Tuesday, November 17, 2015

Vape..Ya atau Tidak?!


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua warga Malaysia, semoga rahmat Allah bersama kita semua.

Dalam kita dikejutkan dengan malapetaka terbaru yang menimpa kita semalam (semoga mangsa yang terlibat sabar menghadapinya), terdapat satu lagi malapetaka besar yang mungkin tidak kita sedari. Vaping, secara tiba-tiba menjadi isu di dalam negara dan langkah KKM dilihat tidak populis dengan tindakannya yang sebenarnya telah termaktub di bawah Akta Racun seawal 1952 lagi.

Semalam, saya mencuri masa semasa bertugas atas panggilan dan menunggu dengan penuh minat perbincangan 11 malam di TV3 dengan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah Kesihatan Malaysia dan Dato' Prof Abdul Razak dari Institut Perubatan Respiratori Negara.

Saya begitu teruja apabila isi-isi penting yang saya kongsi sejurus berakhirnya program itu dengan sahabat taulan dan sanak saudara telah di'viral'kan sejak awal pagi. Malah, telah tersebar ke whatsapp page NGO Islam yang lain juga.

MasyaAllah, hebatnya media sosial ini dan semoga memberi manfaat kepada semua.

Di sini, saya nukilkan kembali isi-isi penting yang saya dapat dari perbincangan semalam.

1. Bahan-bahan yang digunakan di dalam vape termasuk bahan bakar dan logam berat (heavy metal - bukan muzik ya) telah terbukti boleh menyebabkan kanser.

2. Mereka yang pro-vaping menjaja kajian yang menunjukkan vape ialah 95% lebih selamat. Namun, kajian ini didapati berat sebelah dan berkepentingan oleh itu tidak boleh diterima sebagai hujah menyokong penggunaan vape.

3. Profesor Razak ada menyebut kajian yang dibuat di New Zealand membandingkan orang yang merokok, orang yang menggunakan vape dan nicotine patch dan juga tidak menggunakan apa-apa langsung pada kebarangkalian berhenti merokok. Namun, tiada perubahan atau kesan kepada kadar berhenti merokok. Oleh itu, hujah untuk menggunakan vape untuk berhenti merokok tiada asas dan tidak 'valid'.

4. Rokok menggunakan nikotin tidak tulen iaitu daun tembakau sahaja. Akan tetapi vape menggunakan nikotin cecair tulen iaitu dikategorikan racun. Ia dikawal di bawah Akta Racun 1952. Oleh yang demikian, vape yang menggunakan nikotin tulen ini pada kepekatan yang tinggi sangat bahaya.

5. Kabinet Malaysia baru-baru ini tidak mengharamkan vape tetapi akan mengawal kegunaan vape sahaja. Oleh itu, KKM tidak boleh mengharamkan vape, cuma menggunakan apa-apa akta yg ada utk mengawal penggunaan vape.

6. Bahaya vaping ini sama seperti merokok. Wap vape ini sama sahaja dengan asap rokok dan boleh memudaratkan orang lain yang ada di situ tetapi tidak merokok. Oleh itu, mungkin kita perlu wujudkan terma baru - 'passive vaping'.

7. E-cigarette telah wujud selama 2 tahun di Malaysia - kajian yang dijalankan jua menunjukkan bahawa e cigarette juga tiada kesan positif untuk membantu orang berhenti rokok.

8. Mengambil kira perjanjian kita dengan WHO untuk mengekang penularan tabiat merokok, KKM juga merasakan perlu mengekang e-cigarette.

9. Jika mengunakan e-cigarette, dalam 10 saat sahaja nikotin sudah tiba di otak. Nikotin akan bergabung dengan 'nicotine receptor' di otak yang memberi kesan seronok/khayal dan lama-kelamaan akan ketagih.

10. 1 botol nikotin cecair berisipadu lebih kurang 100mg. Akan tetapi hanya perlu 40mg sahaja nikotin yang tertelan untuk membunuh seorang dewasa. 40mg = 10 ml sahaja nikotin cecair boleh membunuh seorang dewasa.

11. Ada 3000 kes kanak-kanak tertelan nikotin cecair di Amerika Syarikat tahun lepas dengan satu kematian.

12. Di Malaysia tahun lepas pun sudah ada kes kanak-kanak tertelan cecair nikotin tetapi alhamdulillah tiada kematian setakat ini.

13. Vape yang tiada nikotin tetapi ber'perisa' ketum dan lain-lain tidak tertakluk di bawah Akta Racun 1952 tetapi di bawah PDRM. Tetapi pihak KKM boleh mengambil cecair tersebut untuk dikaji isi kandungannya.

14. KKM tidak merampas peranti vape hanya cecair nikotin sahaja.

15. Kita bimbang penggunaan vape di kalangan kanak-kanak dan remaja yang pada awalnya suka-suka sahaja kemudian menjadi trend atau ikutan kemudian menjadi ketagih kepada nikotin. Ini sama dengan bagaimana perokok tegar ini memulakan tabiat merokok.

15. Vape nikotin sudah difatwakan haram di Wilayah Persekutuan.

16. Perokok asalnya sudah berjumlah 5 juta di Malaysia. Dalam masa setahun, 1 juta rakyat Malaysia menggunakan e-cigarette. Vape?

17. Untuk membeli vape atau nikotin cecair sekarang tiada had umur.

18. Vaping trend yang sangat bahaya. Peranti vape juga bahaya termasuk boleh meletup. Dilaporkan peranti vape pernah meletup di dalam kapal terbang dan di Malaysia, pernah meletup di muka.

19. Kebimbangan vape disalahguna utk mengambil dadah dalam bentuk cecair.

20. Perlu untuk kita silent majority yang tidak setuju dengan trend ini untuk menyatakan pendirian kita dengan lebih tegas.

NO TO VAPING

Seusai perbincangan tersebut, kesimpulan yang saya dapati ialah vape ini sama bahayanya dengan merokok dan mempunyai potensi untuk lebih merbahaya kerana beberapa perkara: kurang akta untuk mengawal vape, tiada had umur menyebabkan ia mudah menular di kalangan kanak-kanak dan menyebabkan ketagihan, banyak kesan jangka panjang yang belum diketahui lagi di samping mudarat yang kita telah pun tahu.

Oleh kerana tiada 'imej negatif' padanya malah kelihatan 'ranggi', ramai kaum hawa juga menggunakannya yang mungkin selama ini teragak-agak untuk merokok secara terang-terangan.

Sebagai seorang pegawai perubatan yang cakna dengan masa hadapan warga Malaysia, saya ingin mengajak anda semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membendung gejala ini.

Kini, selain dari bertanyakan pesakit samada mereka merokok, mengambil alkohol atau dadah, kami kini terpaksa bertanya, "Do you vape?". Dan soalan ini perlu juga ditanya kepada kanak-kanak dan perempuan mengandung.

Dan untuk mereka yang ingin menemuduga calon menantu, perlu juga ditanya soalan yang sama selain dari "Adakah anda merokok?"

Ditanya jua, "Anakanda, do you vape?"



Nukilan Dr Nabilah Ali