Wednesday, September 22, 2010

Kekalkan Semangat Kembali Kepada Fitrah


Syawal baru menjejakkan diri di ‘stage’ pertengahan. Kehangatan sambutan Eidul Fitri masih lagi terasa. Eidul Fitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadhan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja kerana telah berjaya menahan diri dari makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan, tetapi juga kerana telah berjaya daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah ketika sedang berpuasa, yakni jika dilakukan juga maka akan terbatallah puasa seseorang itu.

Kalimat 'fitri' itu sendiri bermaksud ‘fitrah’, iaitu manusia kembali dengan kejayaan pulang kepada fitrah yang asal. ‘Fitrah’ asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda. Maka seharusnya keadaan suci ini kita kekalkan.


Perkara asas yang mesti dijaga dan dikekalkan adalah kesucian hati itu sendiri. Bersihkan hati dan jiwa daripada sifat-sifat keji agar diri kita terhindar dari dosa. Hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengarahkan bala tenteranya. Rasululullah SAW menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota seseorang manusia itu, tetapi jika sebaliknya, maka rosaklah seluruh anggotanya, itulah hati manusia(maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Insan pilihan adalah mereka yang tawaduk, iaitu yang arif peri tempatnya, amanahnya dan tanggungjawabnya. Hamba yang tawaduk berperibadi mulia, tidak memandang rendah atau menghina orang lain, mahupun sombong atau berbangga diri. Mereka menjadikan kesederhanaan sebagai amalan hidup, tidak berlebihan atau keterlaluan. Eidul Fitri yang baru berlalu juga bukan untuk bermegah-megah dan berpesta. Sebaliknya ia disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.


Mereka juga tidak begitu terjejas dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin merosot. Ini kerana mereka telah lama mengamalkan perbelanjaan berhemah, seperti yang disaran agama. Ini tidak pula bermakna mereka kedekut. Mereka tidak pernah kikir terhadap diri sendiri dan keluarga, yakni bersedia memberikan hak untuk hal yang diwajibkan Allah kerana mengetahui Allah mencela sifat kikir dan bakhil.


Eidul Fitri yang baru berlalu juga merupakan masa untuk kita bersama menjalinkan persahabatan dan mengeratkan ukhuwah sesama kita . Jangan ada yang hasad dengki sesama sendiri sehingga merosakkan keadaan fitrah yang suci dari dosa itu. Penyakit hasad dengki hanya akan memusnahkan masyarakat dan seterusnya negara. Mereka yang dengki tidak boleh melihat orang lain lebih berjaya daripada dirinya. Dia akan berusaha sedaya-upaya untuk menjatuhkan orang yang lebih daripadanya itu.

Sering juga kita mendengar tentang kedai makan di stesen-stesen bas contohnya, akibat dengki ada yang sanggup menggunakan 'ilmu hitam' kononnya untuk menjatuhkan perniagaan jirannya. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan agama Islam. Ini adalah penyakit yang memang wujud dalam diri dan seharusnya terkubur sebaik kita kembali kepada fitrah di Eidul Fitri lalu. Rasulullah juga telah mengingatkan kita dalam hadis baginda yang bermaksud:

" Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering."

(HR Imam Abu Dawud)


Jangan dibiarkan hati menjadi mati. Hati yang mati adalah hati yang sentiasa menurut hawa nafsu, membenci mereka yang menyeru kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak bersedia menerima nasihat, bersahabat dengan orang-orang jahat, menyanggah hukum Allah serta asyik dengan kenikmatan di dunia. Tipu daya syaitan serta bisikan hawa nafsu sentiasa akan cuba mempermainkan hati seorang insan.


Bersihkan jiwa setiap saat agar kita dapat kembali kepada Allah dalam keadaan sesuci-sucinya. Allah tidak melihat manusia berdasarkan rupa paras yang cantik atau tampan, seperti kebanyakan manusia. Allah tidak juga melihat kehebatan atau terkenalnya manusia itu dalam masyarakat. Tetapi apa yang Allah lihat adalah ‘qalb’nya.

Pada bulan Ramadhan yang lalu juga kita telah berjaya menjaga lisan dan tutur kata. Ini kerana percakapan yang sia-sia akan hanya mengurangkan pahala berpuasa. Hasil tarbiyah Ramadhan ini sewajarnya dikekalkan. Ketika orang melontarkan ucapan buruk, jangan dibalas dengan ucapan yang sama, sebaliknya ianya dimaafi. Sebaiknya jangan kita menyumpah dengan kata-kata kesat. Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai ‘qudwatun hasanah’.


Diriwayatkan, "Satu ketika ada seorang Arab badwi datang kepada Rasulullah dan berkata kasar, lalu kaum Muslimin marah dan ingin mengajarnya, namun hal itu dicegah oleh Baginda. Baginda membalas sikap kasar itu dengan kasih sayang dan lemah lembut."

(Hadis Muttafaqun 'alaih)


Mengawal tutur kata boleh juga dinilai semasa memandu. Memaki hamun dan menyumpah semasa memandu mencerminkan peribadi. Bagi mereka yang mempunyai anak, wajar mengawal lisan apabila anak-anak melakukan kesilapan. Tidak dinafikan apabila perasaan marah meluap-luap, bermacam-macam perkataan yang akan terkeluar dari mulut. Namun hendaknya kita berazam agar tidak mencemari fitrah suci yang berjaya dicapai setelah selesai Ramadhan yang lalu.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama menghayati erti ‘fitrah’ yang sebenar..=)

No comments: