Monday, April 25, 2011

Duhai Melayu, Usahlah ‘Melayu’!! (Bahagian II)

Percaya dan Yakin.. Entiti yang Lebih-Kurang Sama Tetapi Mempunyai Makna yang Berbeza
 

Ramai umat islam hari ini hanya sekadar percaya berbanding yakin. Mereka percaya itu dan ini. Percaya Allah itu ada, percaya al-Quran itu benar, percaya adanya malaikat, percaya ajaran Rasul, percaya adanya hari akhirat dan percaya segala takdir ketentuan dari-Nya. Namun adakah kita yakin akan apa yang dipercayai selama ini?

Teringat pula intuisiku mengenai sebuah analogi dari seorang ustaz ketika diri ini bertandang ke sebuah madrasah@pondok. Beliau berbicara bahawa percaya dan yakin adalah perkara yang berbeza. Marilah kita menghayati kisah yang disampaikan olehnya bersama-sama.

Bayangkan kita pergi ke persembahan circus, di sana kita melihat suatu persembahan memanah yang targetnya yang jauh dari anak panah. Pemanah berada di garisan yang ditetapkan, kemudian seorang target meletakkan belon atas kepalanya, kemudian pemanah mula persembahkan kehebatannya. TEPAT.. MENGENAI SASARAN!!

Target belon diubah menjadi sebiji epal di atas kepala, bagi sesiapa yang melihatnya, pasti bergetar dalam hatinya. Drum dimainkan dengan rentak mencemaskan, pemanah kembali mengambil tempat yang ditetapkan, lalu melepaskan panahan, dan.. IANYA TEPAT MEMBELAH EPAL DI ATAS KEPALA TARGET!! Sorakan penonton bergema di sana.
Fasa terakhir.. buah cherry menjadi sasaran. Di atas kepala seorang target menjadi tempat cherry diletakkan. Kepala menjadi taruhan. Adakah anak panah bakal menembusi cherry, atau 'Head Shot' yang bakal terjadi?! Para penonton mula berdiri dengan muka mencemaskan, muka target kelihatan masih tenang.. meletakkan cherry di atas kepala dengan lemparan senyuman. Pemanah mengambil tempatnya. Memilih anak panah yang bakal diterbangkan. Busur tersedia di tangan.. anak panah diletakkan pada tempatnya.. tali ditarik dengan mata fokus kepada sasaran. KERINGAT MULA MEMBASAHI DAHI, NAMUN TALI BUSUR TETAP TERUS DILEPASKAN, ANAK PANAH MULA MELAYANG, MENEMBUSI CHERRY YANG KEMUDIANNYA HANCUR BERDERAI!! Sorakan penonton kuat bergema.

Sekarang cuba kita persoalkan dalam diri, ADAKAH KITA PERCAYA BAHAWA PEMANAH ITU HEBAT.. SETELAH PELBAGAI ‘AKSI’ DIPERSEMBAHKAN?! Jika kita merasakan pemanah itu hebat, persoalan kedua yang wajar bermain di minda.. ADAKAH KITA BENAR-BENAR YAKIN BAHAWA PEMANAH ITU HEBAT?! Cuba anda bezakan antara percaya dengan keyakinan. Jika anda mengatakan anda yakin bahawa pemanah itu hebat, SANGGUPKAH ANDA ‘MENGGADAIKAN’ KEPALA UNTUK DILETAKKAN BUAH CHERRY DI ATASNYA?! YAKINKAH KITA BAHAWA ANAK PANAH BAKAL DILEPASKAN AKAN MENGENAI CHERRY DAN BUKANNYA KEPALA KITA?! Jika kita yakin, silakan menjadi targetnya.=). Inilah bezanya antara PENUH YAKIN dan SEKADAR PERCAYA.

Kita harus yakin atas semua yang disampaikan Allah kepada kita. Kita harus yakin bahawa anak panah azab neraka Allah akan mengenai diri jikalau kita tidak melaksanakan apa yang disuruh oleh-Nya dan jikalau kita istiqamah dalam melakukan apa yang dilarang oleh-Nya. Begitu juga dengan anak panah kenikmatan syurga, yakinlah ia akan mengenai kita jika kita lakukan sesuai dengan kehendak Allah dan ingatlah, Dia Penentu Segala.

Sertakanlah keyakinan dalam solat kita, sertakanlah keyakinan dalam ayat-ayat al-Quran yang dibaca, sertakanlah istighfar kita dengan sebenar-benarnya, sertakanlah keyakinan dalam doa dengan penuh pengharapan pada-Nya, sertakanlah keyakinan kita atas perjuangan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi di jalan-Nya, dan sertakanlah keyakinan kita atas janji-janji yang bakal Allah kotai, bersesuaian dengan kehendak-Nya. Keyakinan kepada Allah bukannya optional, tetapi ia adalah compulsory. Bukan boleh dipilih untuk YAKIN atau TIDAK, tapi memang wajib untuk yakin semuanya.


Berjuanglah dengan Penuh Keyakinan!!

Wahai ansorullah.. tidak ramai yang sanggup bertahan dalam perjuangan ini, tidak ramai yang sanggup sabar dengan perjalanan ini, tidak ramai yang tabah berkorban dalam medan ini, tidak ramai yang yakin akan janji pemilik jiwa ini. Namun bagi kita, teruskanlah menanam keyakinan akan perjuangan ini, yakin bahawa janji Allah itu pasti. Kita perlu berjuang dengan keyakinan, bukan ikut-ikutan, kerana kita berbuat bukan kerana orang lain buat, kita berbuat juga bukan kerana orang lain tidak buat, tapi kita berbuat kerana Allah. Berilah komitmen terbaik demi agama Allah, komitmen dalam perjuangan ini bukan dengan banyak memberi alasan, tapi komitmen dalam dalam perjuangan ini adalah sentiasa mencari jalan. Jika masih terus mencari dalil untuk beralasan, terpulang pada anda, mudah-mudahan alasanmu itu diterima di akhirat kelak.=).

Wahai pejuang-pejuang melawan hawa nafsu dunia, yakinlah segala yang kita lakukan akan dibalas kelak, yakinlah adanya hari akhirat, adanya syurga dan neraka, adanya azab dan kenikmatan. Yakinlah segala perkara ghaib yang tidak tercapai dek akal, namun hati yang yakin pasti menyedarinya.

"Dan tiada Kami jadikan penjaga neraka itu melainkan dari malaikat: dan tidaklah Kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cobaan bagi orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi Al Kitab dan orng-orang mukmin itu tidak ragu-ragu.."

(Al-Muddattsir :31)


Wahai jundullah, yakinlah Allah Maha Melihat segala apa yang kita lakukan. Yakinlah Allah Maha Mengetahui segala apa di hati kita, segala hasad dengki kita dan segala niat kita. Yakinlah Allah Maha Mendengar segala apa yang kita perkatakan samada zahir atau sebaliknya dan Yang Maha Mendengar segala rintihan dan doa kita. Yakinlah Allah Maha Kuasa membalas segala amalan kita, walau manusia tidak melihatnya, meski manusia tidak mengetahuinya, yakinlah Allah ada sentiasa, biar imbalan dari-Nya yang kita harapkan.

Wahai pejuang-pejuang pilihan Allah, jangan sampai kita jadi seperti orang-orang kafir yang ketika melihat bukti dihadapan mata di akhirat kelak, baru ingin bertaubat kembali ke dunia dan baru yakin akan janji Tuhan-Nya.


"Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."
(As-Sajdah :12)

No comments: