Friday, June 15, 2012

Hilangnya Seorang Seorang Murabbi

ZIARAH MENCARI BARAKAH: SATU CORETAN

by Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Menziarahi saudara muslim merupakan amalan yang mulia di sisi Islam. Apatah lagi jika menziarahi orang yang sedang sakit. Lebih lagi jika orang itu insan yang banyak berjasa. Ditambah lagi jika dia seorang ilmuwan yang mempunyai sumbangan yang tersendiri. Jika kita mempunyai kesempatan yang seperti itu, silalah sambut. Bukan selalu kebaikan datang terbentang. Bukan selalu peluang datang bertandang.

Nabi s.a.w memberitahu kita dalam sabda baginda:
“Sesungguhnya muslim apabila menziarahi saudara muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu khurfah syurga?. Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Riwayat Muslim).
Ertinya, orang yang mengunjungi saudara muslim yang sakit seakan dia dalam keadaan memetik buah-buah syurga sepanjang tempoh tersebut. Ertinya perjalanan itu penuh dengan kebaikan dan pahala. Apa yang penting kita mengikhlaskan niat hanya kerana Allah.
Sehari sebelum Ramadan baru-baru ini, Allah telah memberikan limpah kurniaNya kepada saya hambaNya yang amat kerdil dan daif ini dengan diberikan kesempatan menziarahi dua orang tokoh yang banyak menyumbang kepada masyarakat mereka. Kedua-duanya secara kebetulan sedang uzur. Pertama; al-Fadhil Tuan Guru Hj Hashim bin Hj Abu Bakar. Keduanya; guru saya yang saya kasihi al-Fadhil Ustaz Yahya Uthman.
Tuan Guru Hj Hashim Pondok Pasir Tumbuh
Sebelah pagi, saya telah menziarah Sahibul Fadhilah Tuan Guru Hj Hashim bin Hj Abu Bakar, yang merupakan pengerusi tadbir Pondok Pasir Tumbuh. Beliau orang ‘lama’, lahir pada tahun 1923M. Sebagai tuan guru yang sudah lama berkhidmat dan banyak pula muridnya, tentulah banyak jasa dan sumbangannya kepada masyarakat. Kita patut hargai sumbangan yang telah diberikan. Kesanggupan mengabdikan diri kepada ilmu dan para pelajarnya, sesuatu yang bukan sedikit nilainya.
Sekarang beliau uzur. Semasa saya menziarahi, beliau tidak sedar. Ahli keluarganya menyambut kedatangan saya, alhamdulillah. Semoga Allah menyembuhkan beliau dan sentiasa melimpahkan kurniaan dan rahmatNya untuk beliau. Orang sepertinya sentiasa diperlukan dalam masyarakat kita. Jika beliau sedar, saya ingin berkata kepada beliau: “Tuan guru, berikan saya nasihat dan pesanan”. Pesanan orang berilmu dan berpengalaman amat berharga untuk kita dengar.

Saya berada di samping Tuan Guru Hj Hashim yang sedang uzur.
Ya, saya akur bahawa terdapat beberapa pendapat yang berbeza antara sesetengah pihak termasuk saya dengan beberapa pandangan dan pendekatan yang biasa dipegang atau diamalkan di sebahagian pondok pengajian tradisional melayu. Pun begitu, ia bukanlah sebab untuk kita tidak menghormati tokoh dan menghargai antara satu sama lain. Ukhuwwah dan kasih-sayang sesama muslim tidak wajar diputuskan hanya kerana pandangan yang berbeza dalam beberapa masalah furuk. Manusia ini, selagi dia manusia akan ada perbezaan pendapat antara mereka. Mereka yang pernah berada bawah didikan Nabi s.a.w iaitu para sahabah baginda pun mempunyai perbezaan pendapat dalam kalangan mereka. Apatah lagi kita yang sudah jauh jarak waktu antara kita dan baginda s.a.w.

Saya memegang tangan Tuan Guru Hj Hashim
Setiap insan –setelah mempelajari hujah dan dalil- hendaklah berpegang dengan pendapat yang dia yakini paling diredhai Allah. Ini kerana setiap kita akan menjawab untuk diri sendiri di hadapan Allah Azza wa Jalla atas jalan yang dipilih. Tiada siapa yang dapat menolong, melainkan keikhlasan kita dalam beragama. Tanda keikhlasan itu, seseorang memilih apa yang dia yakin –berdasarkan ilmu yang dipelajari- bahawa itulah yang Allah mahu dalam beragama. Bukan atas emosi, bukan atas fanatik. Sebaliknya, atas ikhlas dan yakin.
Selepas itu, kita akur nanti akan ada perbezaan. Kita hormati pilihan setiap saudara muslim kita. Dengan syarat, ianya dalam lingkaran ilmu. Soal keikhlasan, niat dan hasrat setiap kita hanya Allah Yang Maha Tahu. Kita tidak dapat menilai apa yang terselit dan berselindung dalam dada orang lain. Hakikat batin setiap insan menjadi rahsia Allah yang kita tiada ruang untuk kita masuk campur mengenainya.
Maka, tiada siapa dapat memaksa orang lain mengikut pandangannya atau ulama pilihannya. Entah berapa ribu para ilmuwan sepanjang sejarah ilmu dalam Islam ini yang telah melahirkan pelbagai pendapat. Mereka semua itu pun di bawah lembayung Ahlus Sunnah wal Jamaah. Setiap mereka telah berhujah dan berbeza pandangan. Kita ini menuruti rangkaian sejarah yang sama. Memilih dan memberikan pendapat. Tujuannya hanya satu; mencari keredhaan Allah dan memilih jalan dalam beragama yang diyakini memenuhi kehendak Allah dan rasulNya. Tiada siapa boleh berkeras kuasa ke atas orang lain dalam persoalan ilmu, melainkan sekadar berbicara dengan hujah dan alasan yang dia yakini. Kemudian, dia patut berkata seperti al-Imam as-Syafi’i r.a. (wafat 204H) yang menyebut:
“Pendapatku betul, ada kemungkinan salah. Pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul”.
Demikian zuhud dan waraknya imam yang agung itu. Bukan seperti sesetengah, pendapatku betul, pendapat orang lain sesat dan terroris!
Maka, Allah jua Yang Maha Mengetahui segalanya. Hanya yang boleh kita lakukan ialah seperti apa yang Allah firmankan (maksudnya):
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).
Justeru, kita hormati setiap yang berjasa. Kita berterima kasih kepada sumbangannya. Kita sayang mereka kerana Allah. Itu semua tidaklah bererti menghalang kita memberikan pandangan yang berbeza dan pendapat yang berlainan atas asas ilmu pengetahuan.
Al-Fadhil Ustaz Yahya Uthman
Selepas menziarahi Tuan Guru Hj. Hashim, saya pergi ke Machang menziarahi guru lama saya al-Fadhil al-Syeikh al-Murabbi al-Ustaz Dato’ Yahya Uthman. Beliau merupakan bekas exco Kerajaan Kelantan. Seorang yang terkenal dengan kesungguhannya dalam tarbiyyah atau asuhan diri dalam PAS. Pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti itu. Ustaz Yahya terkenal dengan bahasa Arabnya. Pendek kata lebih fasih arab daripada melayunya. Bicaranya, bicara dakwah. Ceritanya cerita dakwah. Seakan Allah menciptanya untuk tugasan itu. Apa tidaknya, beliau anak didik banyak tokoh-tokok ilmu dan dakwah termasuk al-Syeikh Yasin al-Fadani, al-Syeikh Mustafa as-Siba’i dan ramai lagi.
Saya kenal Ustaz Yahya sejak saya menjelang usia 20-an. Semasa saya berkursus bahasa Arab untuk keluar negara di Nilam Puri. Saya mencari guru untuk mempelajari ilmu tambahan. Alhamdulillah, itulah yang sering saya lakukan sehingga kini setiap kali ada kesempatan. Ustaz Yahya aktivis PAS yang terkenal dalam kalangan anak-anak muda yang cintakan tarbiyyah dalam parti itu. Saya berusrah dengan beliau di Dewan Zulkifli, membaca buku Baina al-Qiyadah wa al-Jundiyyah ‘ala Tariq al-Da’wah (Antara Pimpinan dan Petugas Atas Jalan Dakwah) karangan Mustafa Masyhur. Saya masih ingat buku saya ketika itu hanyalah buku potostat, kerana sukar untuk mendapatkan buku asli dalam teks arabnya. Kami potostat dari buku beliau. Semasa itu kadang-kala saya ke rumah beliau, menumpang beliau ke program dan seumpamanya. Itu cerita hampir dua puluh tahun lepas.
Sejak beberapa tahun lepas, semasa dan selepas menjadi Mufti Perlis, saya berusaha mendapatkan nombor telefon beliau. Apatahlagi, apabila saya sering mendapat jemputan dari Kelantan. Namun, masa atau kesibukan menghalang untuk saya sampai ke rumah beliau. Saya kembali sempat bertemu dengan beliau apabila saya dijemput sebagai tetamu ke Muktamar Dewan Pemuda PAS tahun 2010. Saya rasa sayu dan bersalah kerana lama tidak bertemu dengan beliau. Beliau kelihatan sudah agak uzur.

Saya bersama Ustaz Yahya Othman dalam Muktamar Pemuda PAS 2010. Saya hadir sebagai tetamu.
Kemudian, saya beberapa kali ke Kelantan, masih tidak sempat menziarahi beliau. Cuma kadang-kala ada bercakap dan berbincang beberapa perkara melalui telefon. Semasa angin bertiup tentang saya akan masuk UMNO, beliau juga memberikan nasihat kepada saya. Begitu juga kadang-kala beliau bertanya pendapat saya tentang isu-isu yang lain. Hakikatnya, beliau jauh lebih lama dalam politik. Mungkin sekadar hendak mengetahui pandangan.
Alhamdulillah, baru-baru ini saya sempat menziarah beliau di Machang. Ustaz Wan Sharafi sudi membawa saya ke sana. Saya disambut mesra oleh beliau. Terasa sifat murabbi beliau itu. Walaupun agak uzur, masih dapat memberikan nasihat dan bercerita. Berulang kali saya sebut kepada beliau ‘Ustaz! Berilah nasihat kepada saya’. Beliau memberinya secara langsung dan tidak langsung. Semoga Allah memberikannya pahala yang besar!

Ustaz Yahya menyambut kedatangan saya dan Ustaz Wan Sharafi dengan penuh mesra.
Beliau menceritakan pengalaman beliau. Diselang-seli dengan nasihat yang berguna tentang apa yang beliau kutip dari pengalaman hidup. Itulah Ustaz Yahya Othman. Beliau tetap seperti semalam. Nasihat dan pesanan untuk para pendakwah dan petugas di jalan dakwah

Ustaz Yahya bercerita dan bertukar-tukar pandangan


Saya memohon Ustaz Yahya memberikan nasihat dan pesanan kepada saya.
Beliau mengajak saya makan tengahari di rumahnya. Saya agak keberatan pada awalnya kerana kami datang tanpa notis awal. Beliau memberitahu saya, antara kebaikan orang Kelantan suka menjamu tetamu sekalipun hanya sekadar ‘makan ulam’. Saya menerima jemputan beliau. Makanan yang baik dari rumah insan yang baik. Saya terpaksa batalkan jemputan orang lain tengahari itu.

Makan tengahari di rumah beliau


Ucapan selamat tinggal bagi ziarah kali ini setelah mengutip nasihat dan pesanan
Selepas makan, berbicara seketika lagi, kemudian saya bergegas pulang ke hotel kerana bimbang terlepas kapal terbang. Apapun, saya gembira dan bahagia dengan ziarah sehari sebelum Ramadan. Banyak kebaikan yang diperolehi, mudah-mudahan banyak keberkatan yang dibawa pulang. Hidup ini mencari bekalan untuk menerus perjalanan. Bekalan untuk membimbing jalan dan bekalan untuk dibawa pulang ke persada akhir kehidupan.

Petikan penuh daripada: http://drmaza.com/home/?p=1518

No comments: