Monday, April 07, 2014

Apa, Kanak-Kanak Bawah Umur 12 Tahun Dilarang Sama Sekali Guna Gajet ?!



Akedemi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik Kanada menyatakan kanak-kanak dari umur 0-2 tahun tidak sepatutnya didedahkan pada teknologi, 3-5 tahun dibenarkan hanya sejam sehari, dan 6-18 tahun hanya dua jam sehari ((AAP, 2001/13; CPS, 2010).

Walau bagaimanapun, kanak-kanak dan remaja dibenarkan menggunakan gajet oleh ibu bapa mereka pada jangkamasa 4-5 kali ganda dari yang disyorkan, dengan kesan yang serius dan mengancam nyawa ((Kaiser Foundation, 2010; Active Healthy Kids Canada, 2012).

Persoalannya, mengapakah kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang sama sekali bagi menggunakan gajet?! Ini adalah kerana:-

1. Kepantasan Perkembangan Otak

Di antara 0 – 2 tahun, saiz otak kanak-kanak membesar tiga kali ganda dan terus berkembang hingga berusia 21 tahun (Christakis, 2011). Perkembangan awal otak ditentukan oleh rangsangan alam sekitar, atau kurang rangsangan alam sekitar. Rangsangan kepada otak yang berkembang yang disebabkan pendedahan keterlaluan kepada teknologi (telefon bimbit, Internet, iPad, televisyen) telah dibuktikan berkait rapat dengan kekurangan fungsi dan perhatian dalam melakukan sesuatu, kognitif lembap, pembelajaran terjejas, peningkatan kepada perlakuan mengikut emosi dan kurang kebolehan untuk mengawal selia diri, contohnya mengamuk atau ‘tantrum’ (Small, 2008; Pagini, 2010).


2. Perkembangan Fizikal Terbantut

Menggunakan gajet mengurangkan pergerakan, yang boleh menyebabkan perkembangan terbantut. Seorang dari tiga kanak-kanak kini memasuki sekolah dalam keadaan perkembangan terbantut, memberikan impak negatif pada pencapaian akademik dan literasi (HELP EDI Maps, 2013). Pergerakan fizikal meningkatkan perhatian dan kebolehan belajar (Ratey, 2008). Penggunaan teknologi untuk kanak-kanak bawah 12 tahun cenderung untuk menyebabkan kerosakan perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak (Rowan, 2010).

3. Obesiti Epidemik

Permainan video dan televisyen berkait dengan peningkatan kadar obesiti (Tremblay, 2005). Kanak-kanak yang dibenarkan menggunakan gajet dalam bilik tidur mempunyai 30 % lebih bukti yang mereka obes (Feng, 2011). Seorang dari empat kanak-kanak Kanada dan seorang dari tiga kanak-kanak AS obes (Tremblay, 2011). 30% dari kanak-kanak obes akan mendapat kencing manis, dan individu obes mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat serangan strok dan jantung di awal usia, memendekkan jangka hayat (Center for Disease Control and Prevention, 2010). Disebabkan obesiti, kanak-kanak abad 21 mungkin menjadi generasi pertama yang akan mati dahulu sebelum ibu bapa mereka (Professor Andrew Prentice & BBC News, 2002)

4. Kurang Tidur

60% ibu bapa tidak mengawal selia penggunaan teknologi oleh anak-anak mereka, dan 75% anak dibenarkan penggunaan teknologi dalam bilik tidur (Kaiser Foundation, 2010). 75% kanak-kanak dari usia 9-10 tahun tidak cukup tidur sehinggakan memberi impak negatif kepada pencapaian akademik (Boston College, 2012).


5. Penyakit Mental

Penggunaan teknologi secara keterlaluan diimpikasikan sebagai penyebab kepada peningkatan kes kemurungan di kalangan kanak-kanak, kebimbangan, gangguan ikatan kekeluargaan, autisme, gangguan bipolar, psikosis dan kelakuan kanak-kanak bermasalah (Bristol University, 2010; Mentzoni, 2011; Shin, 2011; Liberatore, 2011; Robinson, 2008). Satu dari enam kanak-kanak di Kanada telah didiagnosis mengalami masalah mental, dan kebanyakannya mengambil ubat psikotropik (Waddell, 2007).


6. Keagresifan

Kandungan media yang ganas boleh mengakibatkan keagresifan pada kanak-kanak (Anderson,, 2007). Lebih ramai kanak-kanak didedahkan dengan insiden keganasan fizikal dan seksual dalam media masa kini. “Grand Theft Auto V” mendedahkan kanak-kanak kepada perlakuan seks, pembunuhan, rogol, penyeksaan dan pencacatan secara jelas, begitu juga kebanyakan filem dan rancangan televisyen. AS telah mengkategorikan keganasan dalam media sebagai risiko kesihatan orang ramai kerana impak kasual kepada keagresifan kanak-kanak (Huesmann, 2007). Terdapat peningkatan laporan media tentang kanak-kanak yang dikurung atau diasingkan dalam bilik khas kerana keagresifan yang sukar dikawal.

7. Demensia Digital

Kandungan media yang terlalu pesat boleh menyumbang kepada defisit perhatian, serta kurang kepekaan dan memori kerana otak memangkas trek neuron kepada korteks hadapan (Christakis, 2004; Small, 2008). Kanak-kanak yang tidak dapat menumpukan perhatian tidak dapat belajar.

8. Ketagihan

Apabila ibu bapa lebih mendekatkan diri mereka kepada teknologi, mereka menjauhkan diri dari anak-anak. Apabila tidak wujud ikatan dengan ibu bapa, anak anak mengikat diri mereka kepada gajet, yang boleh mengakibatkan ketagihan (Rowan, 2010). Satu dari 11 kanak-kanak berumur 8-18 tahun ketagih teknologi (Gentile, 2009).


9. Pengeluaran Radiasi

Pada Mei 2011, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan telefon bimbit (dan kebanyakan gajet tanpa wayar) sebagai risiko kategori 2B (agen kanser berkemungkinan) disebabkan oleh pengeluaran radiasi (WHO, 2011). James McNamee dari Healh Canada pada Oktober 2011 mengeluarkan amaran menyatakan “kanak-kanak adalah lebih sensitif kepada pelbagai agen berbanding orang dewasa disebabkan otak dan sistem imuniti mereka sedang berkembang, jadi risikonya tidak sepatutnya sama antara orang dewasa dan kanak-kanak (Globe and Mail, 2011). Pada Disember 2013, Dr. Anthony Miller dari Sekolah Kesihatan Orang Ramai Toronto mengesyorkan yang berdasarkan kajian terbaru, pendedahan frekuensi radio patut di klasifikasikan semula sebagai 2A (agen kanser yang berkemungkinan besar), bukan 2B (agen kanser yang berkemungkinan). Akademi Pediatrik Amerika memohon untuk penilaian semula tentang pengeluaran radiasi EMF dari alatan teknologi, sambil merujuk kepada tiga sebab yang berkaitan impak kepada kanak-kanak (AAP, 2013).


10. Tidak dapat dikekalkan

Cara kanak-kanak dibesarkan dan diberi pembelajaran menggunakan teknologi adalah tidak boleh lagi dikekalkan (Rowan, 2010). Kanak-kanak ialah masa depan kita, tetapi tidak ada masa depan untuk kanak-kanak yang menggunakan teknologi secara berlebihan. Satu pendekatan berpasukan perlu dan penting untuk mengurangkan penggunaan teknologi di kalangan kanak-kanak.




Sumber:















No comments: