Wednesday, September 10, 2014

Membugar Fikrah Menyebar Risalah

Oleh: Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri


PAS adalah gerakan dakwah dan siyasah. Justeru, fikrah perjuangan PAS berkisar pada dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain iaitu dakwah Islam dan kuasa pemerintahan Islam. Inilah perjuangan yang digarap oleh Nabi saw sepanjang hayat baginda saw.

PAS sebagai Gerakan Dakwah

Dakwah adalah kerja para Nabi. Ia menjadi misi para sahabat yang bersama Rasulullah saw. Matlamat dakwah kepada bukan Islam ialah agar manusia menerima Islam atau sekurang-kurang mesra Islam. Matlamat dakwah kepada muslim ialah agar mereka menjadi mukmin yang bertaqwa atau sekurangnya-kurangnya tidak menjadi kufur.

Rasulullah saw bersabda kepada Ali r.a. ketika menyerahkan bendera mengepalai peperangan Khaibar:

ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ
Maksudnya: "Serulah mereka kepada Islam. Khabarkan kepada mereka apa yang wajib atas diri mereka. Maka demi Allah, hidayah yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki menerusi kamu lebih baik daripada kamu mendapat unta merah". Hadis Sahih Bukhari

Dakwah bermaksud mengajak manusia mengenali Islam. Nabi berdakwah di Mekah ketika belum berkuasa. Apabila berkuasa di Madinah dakwah menjadi tugasan utama negara. Kesannya Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

PAS membawa risalah perjuangan dakwah ini. Sebelum berkuasa pelbagai medium dimanfaatkan untuk memberi kesedaran Islam kepada masyarakat. Surau dan Masjid menjadi tapak yang subur untuk dakwah Islam yang dibawa oleh PAS. Para Ulamak tidak pernah jemu mengajar, mendidik, menerang dan menjelaskan Islam kepada umat. Maka tidak pelik apabila PAS dipacu perjuangan oleh para Ulamak kerana intipati kerja PAS ialah dakwah dan kerja dakwah adalah kerja utama para alim ulamak.

PAS subur terutamanya di pondok-pondok dan pusat pengajian Islam. PAS di bumi yang subur dengan ilmu seperti Kelantan kerana realiti misi PAS ialah dakwah Islam.

Apabila berkuasa PAS memanfaatkan kuasa untuk menyedarkan umat tentang Islam. Pelbagai aktiviti dakwah dan pendidikan dipergiatkan. Undang-undang digubal untuk manfaat dakwah Islam.

PAS sebagai Gerakan Politik


Selama 13 tahun Nabi saw berdakwah di Makkah untuk mengajak manusia mengenali Islam dan membina pemerintahan Islam. Perjuangan baginda berkisar pada memperhambakan diri kepada Allah dan menentang taghut. Orang-orang Mekah menolak. Akhirnya orang-orang Yathrib menerima dakwah Nabi saw lalu selepas 13 tahun berdakwah tertegaklah negara Islam yang dinamakan al-Madinah. Madinah ditadbir dengan Islam menerusi Nabi saw sebagai pemerintah seterusnya disambung oleh para Khulafa Rasyidun.

Legasi pemerintahan Islam setrusnya disambung oleh Khilafah Bani Umayyah berpusat di Dimasyq, setrusnya Khilafah Bani Abbas berpusat di Baghdad dan akhirnya Khilafah Uthmaniyyah berpusat di Turki. Sehingga 1924 umat Islam berpayung kepada kerajaan Islam yang besar ini.

Awal abad ke 20 menyaksikan kelemahan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Di era kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Turki negara-negara umat Islam berhadapan dengan penjajahan kuffar yang dikepalai oleh Inggeris, Belanda, Itali, Perancis, Rusia dan Amerika di samping Portugis. Umat Islam bangkit menentang penjajahan. Bangkit gerakan-gerakan Islam di seluruh bumi umat Islam. Apabila negara-negara umat Islam menerima kemerdekaan daripada para penjajah pada pertengahan abad ke 20 negara mereka diwarisi pemerintahannya oleh muslim yang berfikiran dan berfikrah penjajah.

Di sinilah datang peranan gerakan Islam untuk mengembalikan Islam ke tampuk kuasa dan pemerintahan. Begitulah PAS berjuang sejak 1951 sebagai kesinambungan bagi gerakan Islam sebelumnya bagi mengembalikan kuasa Islam di Malaysia.

Tugasan Menyebar Risalah Islam

Ahli-ahli PAS tidak dapat memisahkan dirinya daripada kerja dakwah. Untuk itu mereka sendiri dipersiapkan untuk menjadi pen dakwah. Aqidah, Syariat dan Akhlak mereka dipersiapkan untuk menjadi pendakwah.

No comments: