Sunday, October 11, 2009

Teladani Keperibadian Unggul Muslimah di Zaman Silam

TUGAS dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi membentuk pelbagai tanggungjawab bagi manusia sama ada lelaki mahupun wanita. Ia bersesuaian dengan fizikal mereka yang dicipta Allah berbeza pada aspek yang tertentu. Perbezaan yang jelas adalah daripada sudut fizikal dan emosi.

Inilah yang menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan satu sama lain. Kelebihan yang dimiliki oleh kaum lelaki dapat dijadikan sandaran bagi wanita bergantung harapan dan naungan manakala kaum lelaki berharap pada sokongan dan kekuatan kaum wanita dalam soal tertentu bagi memenuhi keperluan serta kekurangan diri mereka.

Wanita Muslim @ Muslimah wajar memanfaatkan kelebihan yang dikurniakan Allah seperti ketabahan mengharungi ujian getir, keteguhan dalam mencurahkan kasih sayang dan keupayaan memberi sokongan kepada yang memerlukan untuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera di bumi ini.

Kelebihan itu menjamin mereka dapat melaksanakan tanggungjawab yang ditentukan dengan sempurna. Ada empat bentuk tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh Muslimah dengan sebaik-baiknya iaitu: tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Jika diteliti, dapat disimpulkan perkara paling asas yang diperlukan oleh wanita Muslim untuk menunaikannya ialah keimanan yang tinggi terhadap Allah. Dengan keimanan yang teguh kepada Allah, seseorang wanita dapat menunaikan semua tanggungjawab yang lain dengan sempurna.

Keimanan dan ketakwaan menjadikan seseorang Muslimah seorang anak dan isteri yang solehah, seorang ibu penyayang yang sentiasa berusaha mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baik tarbiyah dan seorang anggota masyarakat yang berkeperibadian tinggi serta berkeupayaan memberi sumbangan besar kepada ummah. Ganjaran yang akan diperoleh oleh hamba-Nya yang beriman termasuk wanita disebut oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang lelaki yang Islam serta orang perempuan yang Islam, dan orang lelaki yang beriman serta orang perempuan yang beriman, dan orang lelaki yang taat serta orang perempuan yang taat, dan orang lelaki yang benar serta orang perempuan yang benar, dan orang lelaki yang sabar serta orang perempuan yang sabar, dan orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang lelaki yang bersedekah serta orang perempuan yang bersedekah, dan orang lelaki yang berpuasa serta orang perempuan yang berpuasa, dan orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".

(al-Ahzab : 35)


Selain keimanan, banyak persediaan lain yang perlu dibuat atau harus dimiliki oleh Muslimah untuk memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Antaranya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan kemahiran tertentu yang dapat memberi panduan dalam menghadapi cabaran dunia moden. Ada dua bentuk ilmu yang perlu dikuasai oleh seseorang wanita Muslim iaitu ilmu fardu ain dan kifayah.

Ilmu fardu ain merangkumi persoalan ibadat, aqidah dan akhlak. Ia akan menentukan kesempurnaan iman dan amalan seseorang wanita Muslim serta kewajipannya terhadap rumah tangga manakala ilmu kifayah pula berkaitan dengan ilmu yang memenuhi keperluan masyarakat.

Sejarah membuktikan bahawa wanita Islam memperoleh peluang yang sama dengan kaum lelaki dalam bidang pengetahuan. Pada zaman Rasulullah, wanita diberikan peluang berjemaah di masjid untuk mendengar dan mengikuti bimbingan yang diberikan Baginda berkaitan dengan ilmu fardu ain dan kifayah.

Peluang itu tidak disia-siakan sama sekali oleh mereka. Mereka memenuhi segenap ruang di dalam Masjid Nabawi saban waktu bagi memastikan tidak ketinggalan memperoleh ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah.

Kehadiran mereka dengan minat mendalam menyebabkan Masjid Nabawi penuh sesak. Kesesakan di Masjid Nabawi di Madinah kemudian diatasi dengan menentukan sebuah pintu untuk Muslimat keluar dan masuk. Pintu itu dikenali sebagai Bab al-Nisa'. Hal ini membuktikan wanita pada zaman Rasulullah sentiasa melengkapkan diri mereka dengan ilmu fardu ain dan kifayah. Ummu Mukminin Saidatina Aisyah adalah sumber inspirasi ilmu bagi kaum muslimat ketika itu.

Ketika hayat Rasulullah, Aisyah adalah pembantu utama Baginda ketika mengajar dan menjelaskan sesuatu hukum kepada wanita terutama jika masalah yang dikemukakan itu terlalu sulit seperti cara bersuci selepas haid dan jika ia menyentuh persoalan kehidupan suami isteri.

Berdasarkan pengalaman hidupnya bersama Rasulullah dan latar belakang keluarga yang baik (anak kepada sahabat Rasulullah) serta kekuatan daya ingatannya, Aisyah memiliki kelebihan yang luar biasa iaitu dapat meriwayatkan lebih daripada 2,000 hadis. Beliau juga berupaya memberi fatwa dalam beberapa perkara sehingga menjadi seorang daripada tujuh sahabat yang terkenal dengan fatwa. Ini menepati apa yang disebut Rasulullah iaitu:

"Ambillah separuh daripada agama kamu daripada wanita yang putih kemerah-merahan ini ('Aisyah)".

Disebut dalam buku al-Sayyidah `Aisyah Ummu al-Mu'minin wa `Alimah Nisa' al Islam, tulisan Abdul Hamid Mahmud Tahmaz (1994), Aisyah dikurnia kelebihan yang istimewa kerana mengahwini Rasulullah ketika masih gadis dan berpeluang hidup di sisi Baginda dalam tempoh yang panjang iaitu lapan tahun lima bulan.

Sepanjang tempoh itu, Rasulullah memberikan perlindungan, kasih sayang, bimbingan dan perhatian penuh terhadap beliau. Malah, kebanyakan wahyu diturunkan kepada Rasulullah ketika Baginda berada di kamar Aisyah.

Aisyah juga gemar mengemukakan soalan; lambang kepintaran akal dan kebijaksanaan dirinya. Apa-apa saja yang didengar dan menimbulkan kemusykilan dalam fikirannya atau yang dilihat tetapi tidak diketahuinya, akan segera ditanya beliau untuk mendapatkan penjelasannya.

Ibn Abi Mulaikah berkata, "Beliau ('Aisyah) tidak mendengar apa-apa yang tidak diketahuinya melainkan akan dirujuk oleh beliau mengenai perkara itu sehingga beliau mendapat jawapannya".

Disebabkan sifat proaktif beliau terhadap ilmu maka Aisyah menyenangi sikap yang diamalkan oleh wanita Ansar terhadap ilmu. Kaum wanita Ansar sentiasa mengemukakan persoalan berkaitan dengan urusan agama mereka. Aisyah berkata:

"Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar yang tidak dihalang oleh perasaan malu untuk mereka mendalami agama".

Di samping Aisyah, ada beberapa wanita lagi seperti Asma' yang meriwayatkan sebanyak 56 hadis.

Kemampuan kaum Muslimat dalam menguasai ilmu fardu ain dapat dilihat sehingga zaman sahabat dan juga tabiin seperti Sayyidah Nafisah binti Abi Muhammad yang mengendalikan majlis ilmunya sendiri. Malah disebut bahawa ketika Imam Syafie berada di Mesir, beliau pernah mengikuti majlis pengajian Sayyidah Nafisah. Imam Syafie sendiri sebagai seorang faqih mewarisi kehebatan dan kebijaksanaan ibunya, Fatimah binti Abdillah ibn al-Husain ibn Hasan ibn `Ali ibn Abi Talib. Ibn Hajar al-'Asqalani menyifatkan ibu Imam Syafie sebagai, "Seorang yang sangat faqih (mendalami bidang ilmu fiqh) yang mempunyai kefahaman dan kesedaran."

Dalam suatu peristiwa, ibu Imam al-Syafie membantah tindakan seorang hakim yang hendak memisahkan dua wanita sebagai saksi dengan membaca dalilnya daripada al-Quran. Ayat itu menjelaskan kedudukan dua wanita sebagai saksi dalam Islam menyamai seorang lelaki dan salah seorang daripada mereka berperanan mengingatkan jika salah seorangnya terlupa.

Dengan hujah dan keterangan yang jelas daripada ibu Imam Syafie itu, hakim berkenaan lantas membatalkan hasratnya memisahkan kedua-dua saksi wanita itu. Dalam soal pendidikan anaknya pula, ibu Imam Syafie ternyata menggunakan sepenuh kebijaksanaan dirinya untuk membuat pilihan terbaik bagi anaknya itu.

Selepas suaminya meninggal dunia, ibu Imam Syafie membuat keputusan untuk berpindah dari Palestin ke Makkah. Beliau melihat kemajuan ilmu pengetahuan ketika itu berkembang pesat di Makkah berbanding Palestin kerana di Makkah ketika itu, ada banyak ulama dan cendekiawan terbilang.

Selain itu, bahasa Arab yang dikuasai penduduk Makkah juga dikatakan belum tercemar di samping Makkah adalah negeri asal nenek moyang Imam Syafie. Faktor inilah yang dilihat oleh ibu beliau sebagai faktor pendorong kejayaan anaknya, khususnya dalam ilmu pengetahuan yang membolehkan Imam Syafie memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada ummah dan Islam sendiri.

Selain memberikan sumbangan dalam bidang ilmu fardu ain, wanita Muslim juga memberikan sumbangan yang bukan sedikit kepada bidang fardu kifayah. Pada zaman Rasulullah, wanita turut berperanan dalam menegakkan syiar Islam. Mereka memberi bantuan dan kerjasama padu dalam apa juga keadaan, ketika aman mahupun ketika peperangan.

Ummu Atiyyah yang diajar oleh Rasulullah mengenai cara mengkhatankan kanak-kanak perempuan dan memandikan jenazah mencurahkan bakti kepada masyarakat demi memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya. Begitu juga dengan Zainab al-Tabib yang terkenal dengan kemahirannya dalam bidang perubatan dan memberikan khidmat untuk mengubati luka serta sakit mata.

Dalam peperangan pula misalnya, kaum Muslimat turut serta di medan peperangan untuk membantu memberi rawatan kepada tentera Islam yang tercedera atau menyediakan makanan mahupun minuman untuk mereka.

Demikianlah hebatnya keperibadian wanita Muslim zaman silam yang sewajarnya menjadi teladan wanita Muslim hari ini. Sumbangan yang diberikan mereka tidak ternilai di sisi Allah dan dicatatkan dalam sejarah supaya generasi hari ini menjadikannya sebagai inspirasi untuk melangkah dengan penuh yakin dalam arus dunia kontemporari yang serba mencabar.

Wednesday, October 07, 2009

SIS Kian Melampau


1. Tindakan Sister In Islam [ SIS ] dan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina [ JAG ] semakin berani mencabar keputusan mahkamah Syariah berhubung isu sebat ke atas Kartika Dewi yang mengaku bersalah minum arak .

2. Biarpun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu 6 sebatan dan denda sebanyak RM 5,000 tidaklah sepenuhnya menepati hukum syara' tetapi sekurang - kurangnya ia membawa semangat perlaksanaan undang - undfang syariah dalam negara ini .

3. Jika 6 sebatan sahaja dibantah dan ditentang habis - habisan oleh SIS dan JAG , saya tidak dapat gambarkan bagaimana mereka mahu bertindak jika negara ini benar - benar melaksanakan hukum syara' iaitu antara 40 ke 80 kali sebat bagi mereka yang sabit bersalah meminum arak .

4. Jelasnya SIS dan JAG menggunakan hujjah kononnya hukuman itu kejam , menjatuhkan maruah malah bercanggah dengan hak asasi manusia . [ Jika 6 rotan sudah dianggap kejam ertinya mereka akan berkata 40 rotan sangat kejam .]

5. Hujjah yang dikemukan ini nyata menunjukkan kejahilan mereka terhadap hukuman Islam . Mereka tidak melihat kepada hikmah dan unsur spiritual yang terdapat di dalam satu - satu perlaksanaan hukum Islam . Mereka hanya menilai dari unsur luar pula dengan cara yang salah dan menanggapinya dengan persepsi yang asing dari pandangan syara' dan maqasid syari'yyah .

6. Lebih menghairankan , mereka hanya peka terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah , kononnya hukuman itu kejam dan menjatuhkan maruah serta bercanggah dengan hak asasi manusia , sedang mereka tidak bersuara apa lagi menentang hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil ke atas pesalah dalam pelbagai kes jenayah dalam negara kita . Sedang sebatan dalam hukuman Islam tersangat jauh bezanya dengan sebatan dalam hukum sivil.

7. Sebatan mengikut cara Islam :

a] Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter , tebal tidak lebih 1.25 sm
b] Jika pesalah hamil, hukuman dilaksana selepas 2 bulan melahirk anak
c] Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
d] Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
e] Sebatan dengan kekuatan sederhana
f] Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala
g] Tidak melukakan kulit pesalah.
8. Adapun sebatan mengikut kaedah sivil pula:
a] Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
b] Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat
c] Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja
d] Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat
e] Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
f] Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
g] Sesetengah yang lain menyebat dengan cara sentap.
h] Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana dirasakan cebisan kulit tersentap keluar .

9. Jika SIS dan JAG terus menerus begini seperti mempunyai dendam terpendam terhadap Mahkamah Syariah dengan mengambil langkah menentang keputusannya malah mengheret persepsi mereka yang separuh masak terhadap Islam , suka saya tegaskan Dewan Pemuda PAS Pusat sedia berhadapan dengan SIS dan JAG demi memelihara kesucian Islam sekaligus membetulkan tanggapan salah mereka terhadap Islam .

10. Kami sedia turun dalam apa jua medan atau forum , wacana atau debat dan dialog atau bahas . Sila anjurkan dan kami akan hadhir . Tindakan SIS dan JAG sudah keterlaluan . Saya tidak faham , apa yang mereka mahu ? Nak jaga maruah ? maruah siapa ? maruah apa yang mereka nak jaga ?

11. Kalau dihukum itu menjatuhkan maruah , maknanya minum arak itu tidak menjatuhkan maruah . Jika sebat pesalah dengan 6 rotan menggunakan kaedah cara sebatan Islam [ biarpun jumlah sebatan itu tidak menepati hukuman Islam ] dianggap kejam , maknanya membiarkan orang mabuk lalu mengheret berlakunya pelbagai jenayah ekoran mabuk seperti berzina atau membunuh itu tidak kejam .

12. Persoalannya , kenapa hukuman sebat yang diputuskan oleh mahkamah syariah dianggap kejam sedang hukuman yang sama diputuskan oleh mahakamah sivil mereka sepi dan membungkam seribu bahasa . Saya nak tanya , apa sebenarnya yang mereka mahu ?

13. Sekali lagi saya cabar Dr. Hamidah Marican Pengarah Eksekutif Sistem In Islam membuka gelanggang debat ilmiyyah dan jemput kami Dewan pemuda PAS Pusat bagi kita membahaskan Benarkah Sebat Kartika satu Kekejaman yang Menjatuhkan Maruah ?

14. Apakah langkah yang diambil oleh SIS dan JAG sebagai tindakan sengaja mahu memberi tekanan ke atas Mahkamah Syariah dan pihak berkuasa agama dalam negara ini untuk tidak bertindak ke atas pesalah - pesalah agama ? atau mereka suka dan bangga melihat negara ini bebas tanpa batas atas nama hak asasi lalu semua boleh berbuat apa sahaja sekalipun suatu yang bertentangan dengan agama ?

15. Tindakan SIS dan JAG ini menimbulkan interpersepsi yang bersimpang siur dan paling dekat , orang - orang yang beriman dan bertaqwa melihat mereka ini berniat jahat terhadap agama Islam dan tidak keterlaluan jika ramai yang menganggap SIS dan JAG berlaku biadab terhadap Islam amnya dan mahkamah Syariah khasnya .

Petikan daripada :

Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Saturday, October 03, 2009

Kekalkan Semangat Kembali Kepada Fitrah

Bulan Syawal baru saja sampai di pertengahan. Kehangatan sambutan Aidil fitri masih lagi terasa. Aidil fitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadhan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja kerana telah berjaya menahan diri dari makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan, juga kerana telah berjaya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang apabila berpuasa, yakni jika dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.

Kalimat 'fitri' itu sendiri bermaksud fitrah, iaitu manusia kembali dengan kejayaan pulang kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda. Maka seharusnya keadaan suci ini kita kekalkan.

Perkara asas yang mesti dijaga dan dikekalkan adalah kesucian hati itu sendiri. Bersihkan hati dan jiwa daripada sifat-sifat keji agar diri terhindar dari dosa. Hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengarahkan bala tenteranya. Baginda SAW menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota manusia, tetapi jika sebaliknya, maka rosaklah seluruh anggotanya, itulah hati manusia(maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Insan pilihan adalah mereka yang tawaduk, iaitu yang arif peri tempatnya, amanahnya dan tanggungjawabnya. Hamba yang tawaduk berperibadi mulia, tidak memandang rendah atau menghina orang lain, mahupun sombong atau berbangga diri. Mereka menjadikan kesederhanaan sebagai amalan hidup, tidak berlebihan atau keterlaluan. Aidil Fitri yang baru berlalu juga bukan untuk bermegah-megah dan berpesta. Sebaliknya ia disambut dengan penuh kesyukuran dan sederhana.

Mereka juga tidak begitu terjejas dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin merosot. Ini kerana mereka telah lama mengamalkan perbelanjaan berhemah, seperti yang disaran agama. Ini tidak pula bermakna mereka kedekut. Mereka tidak pernah kikir terhadap diri sendiri dan keluarga, yakni bersedia memberikan hak untuk hal yang diwajibkan Allah kerana mengetahui Allah mencela sifat kikir dan bakhil.

Aidil fitri yang baru berlalu juga merupakan masa untuk kita bersama menjalinkan persahabatan dan mengeratkan ukhuwah sesama kita . Jangan ada yang hasad dengki sesama sendiri sehingga merosakkan keadaan fitrah yang suci dari dosa itu. Penyakit hasad dengki hanya akan memusnahkan masyarakat. Mereka yang dengki tidak boleh melihat orang lain lebih berjaya daripada dirinya. Dia akan berusaha sedaya-upaya untuk menjatuhkan orang yang lebih daripadanya itu.

Sering juga kita mendengar tentang kedai makan di stesen-stesen bas contohnya, akibat dengki ada yang sanggup menggunakan 'ilmu hitam' kononnya untuk menjatuhkan perniagaan jirannya. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan agama Islam. Ini adalah penyakit yang memang wujud dalam diri dan seharusnya terkubur sebaik kita kembali kepada fitrah di Aidil fitri lalu. Rasulullah telah mengingatkan kita dalam hadis baginda yang bermaksud," Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering."(hadis diriwaytkan Imam Abu Dawud).

Jangan dibiarkan hati menjadi mati. Hati yang mati adalah hati yang sentiasa menurut hawa nafsu, membenci mereka yang menyeru kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak bersedia menerima nasihat, bersahabat dengan orang-orang jahat, menyanggah hukum Allah serta asyik dengan kenikmatan di dunia. Tipu daya syaitan serta bisikan hawa nafsu sentiasa akan cuba mempermainkan hati seorang insan.

Bersihkan jiwa setiap saat agar kita dapat kembali kepada Allah dalam keadaan sebersih-bersihnya. Allah tidak melihat manusia berdasarkan rupa paras yang cantik atau tampan. Allah tidak juga melihat kehebatan atau terkenalnya manusia itu dalam masyarakat. Yang Allah lihat adalah hatinya.

Pada bulan Ramadhan yang lalu juga kita telah berjaya menjaga lisan dan tutur kata. Ini kerana percakapan yang sia-sia akan hanya mengurangkan pahala berpuasa. Hasil tarbiyah Ramadhan ini sewajarnya dikekalkan. Ketika orang melontarkan ucapan buruk, jangan dibalas dengan ucapan yang sama, sebaliknya kita maafkan. Sebaiknya jangan kita menyumpah dengan kata-kata kesat. Nabi SAW menjadi ikutan. Diriwayatkan,

"Satu ketika ada seorang Arab badwi datang kepada Rasulullah dan berkata kasar, lalu kaum Muslimin marah dan ingin mengajarnya, namun hal itu dicegah oleh Baginda. Baginda membalas sikap kasar itu dengan kasih sayang dan lemah lembut."

(Hadis Muttafaqun 'alaih)

Mengawal tutur kata boleh juga dinilai semasa memandu. Memaki hamun dan menyumpah semasa memandu mencerminkan peribadi. Bagi mereka yang mempunyai anak, wajar mengawal lisan apabila anak-anak melakukan kesilapan. Tidak dinafikan apabila perasaan marah meluap-luap, bermacam-macam perkataan yang akan terkeluar dari mulut. Namun hendaknya kita berazam agar tidak mencemari fitrah suci yang berjaya dicapai setelah selesai Ramadhan yang lalu.

akan kusampaikan walaupun sebaris ayat..