Tuesday, April 20, 2010

Tulisan Jawi : Bagai Telur di Hujung Tanduk



Mr. Alex: Are you jawi people….. errr I mean from Malaya?

Farhan: Yes I am from Malaya. We call our country now as Malaysia.

Mr. Alex: How do you have a good English (Latin character) writing?

Farhan: Because simply I’d been grown up by this.

Mr. Alex: Ohh dear me, I thought Malayan people are still using this Arabic or Quranic font to write their language. I still remember it’s called jawi, and even a lot of people call your people as jawi.

Begitulah sedkit sebanyak dialog antara diriku dan Mr. Alex (bukan nama sebenar, aku pun tak tau pe name pak cik tu sebenarnya..hehe.), sewaktu percutianku di Songkhla, Thailand. Beliau adalah seorang warga emas Scotland, berumur lebih-kurang 70-an. Ta’aruf punya ta’aruf, rupa-rupanya pakcik itu, merupakan antara ratusan bahkan mungkin ribuan warga British yang pernah berkhidmat menjajah Tanah Melayu suatu masa dahulu. Beliau begitu terkejut kerana tulisan jawi sudah tidak lagi digunakan secara meluas di negara kita, sedangkan semasa beliau bertugas di negara kita sepanjang sekitar tahun 40-50an, tulisan jawi digunakan secara meluas. Bahkan beliau sendiri boleh mengingati beberapa huruf arab/jawi.

Kita tinggalkan dahulu pak cik Alex bersama sisa-sisa hidupnya itu dan kita beralih kepada situasi tulisan Jawi yang diibaratkan mati segan hidup tak mahu di negara kita ini. Sepanjang pemerhatianku, kebanyakan warga emas di Malaysia lebih fasih membaca tulisan jawi berbanding tulisan rumi. Mana tidaknya, itulah dia tulisan rasmi sewaktu mereka di bangku persekolahan. Arwah atukku sendiri, yang pernah menjadi salah seorang pegawai atasan Jabatan Parit dan Tali Air (kini dikenali sebagai Jabatan Saliran dan Pengairan) banyak menulis dan mencatat dokumen-dokumen penting dalam tulisan jawi. Arwah juga turut melanggan akhbar Utusan Melayu yang kini telah dipusarakan. Tambahan pula, pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 turut ditulis di dalam tulisan Jawi. Itu belum ditelek lagi dokumen perjanjian perdagangan antara Raja-raja Melayu dengan pedagang dan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Begitu penting tulisan Jawi pada waktu itu.

Ketika pendita Za’ba cuba memberikan nafas baru kepada tulisan Jawi dengan maha karya agungnya; “Rahsia Tulisan Jawi”, namun agak malang di situ kerana anak-anak didik, acuan penjajah yang berkulit sawa matang telah pun mentalkinkannya di dalam Dasar Pendidikan Negara. Permulaan kepada pengakhiran tulisan jawi adalah selepas perlaksanaan Akta Bahasa 1963, ketika mana tulisan rumi telah dijadikan tulisan rasmi di dalam urusan kerajaan khususnya di dalam sistem pendidikan. Apa yang berlaku di negara kita pada waktu tersebut ialah duplikasi sekularisasi daripada negara Turki, setelah kejatuhan khilafah Uthmaniyyah. Antara keutamaan anak didik penjajah ketika itu ialah me’latin’kan tulisan Turki yang asalnya menggunakan huruf Arab.


Daripada wujudnya kelas Jawi di sekolah rendah, akhirnya Jawi terkubur di dalam buku teks subjek Pendidikan Islam sahaja. Natijahnya, generasi muda hanya mampu merangkak-rangkak membaca tulisan Jawi dan apa menyedihkan lagi, ‘kelancaran’ bacaan al-Quran mereka juga turut terjejas. Memang diakui ada perdebatan akademik mengenai adakah tulisan jawi membantu bacaan al-Quran atau sebaliknya, akan tetapi itu bukan menjadi pokok pangkal yang ingin intuisiku keutarakan di sini.


Nun jauh di United Kingdom sana, intuisiku cukup berasa kagum dengan bagaimana orang-orang Pakistan dan India yang ramai bermigrasi di sini memelihara tulisan Urdu mereka supaya sama dengan tulisan Arab. Anak-anak muda mereka masih lagi lancar menulis di dalam tulisan Urdu, walaupun bersekolah Inggeris, dan hidup pun gaya British. Mereka masih mampu menerbitkan surat khabar di dalam tulisan Urdu di negara sekular ini, dan ianya dibaca secara meluas. Pergilah sahaja ke masjid, atau ke kedai halal, anda akan dapat melihat tulisan Urdu.


Nasib baik jugalah, ketika pemerintahan Tun Abdullah dengan slogan Islam Hadharinya, j-Qaf telah digagaskan. Pada peringkat awal, intuisiku pun tidak tahu apakah yang dimaksudnya dengan j-Qaf. Selidik punya selidik, rupa-rupanya ia adalah merupakan satu cubaan untuk menyuntik nafas baru di dalam subjek Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain (singkatannya ialah j-Qaf). Ramai senior-senior sepengajianku di sekolah dahulu sudah bergelar guru j-Qaf di sekolah kerajaan, bahkan kakakku sendiri juga merupakan ‘ustazah j-Qaf’. Bukan untuk memuji-muji atau mengampu kebaikan kerajaan tetapi intuisiku merasakan bahawa khilaf politik harus diketepikan dahulu dalam bab ini. Berdoalah dan panjatkanlah harapan kepada Sang Maha Pencipta agar usaha itu boleh mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi.


Tidak cukup dengan itu, generasi kini yang merupakan pendokong masa depan bangsa dan negara perlu sedari kepentingan tulisan Arab dan berusaha untuk menguasainya. Pendedahan awal akan memastikan kita lancar membaca al-Quran dan Hadith Nabi. Tulisan Jawi bagiku amat membantu penguasaan bahasa Arab dan al-Quran.

Justeru, ketika Pendita Za’ba berusaha merekaya tulisan Jawi dengan karya “Rahsia Tulisan Jawi”nya, maka janganlah kita menjadi generasi yang hanya ‘merahsiakan tulisan jawi di dalam pusaranya’.

Sunday, March 28, 2010

Exam oh Exam


Buku-buku berselerak diatas meja. Nota-nota kuliah berterabur lari daripada susunan asalnya. Jadual peperiksaan menggantikan jadual kuliah yang dahulunya menghuni ruang kosong di bucu almari. Kawannya, si jadual ‘study’ bertenggek di sebelahnya sebagai peneman dan juga sebagai ‘reminder’ kepada si tuan pembuat jadual agar bersistematik dalam menguruskan waktu untuk belajar di saat-saat genting ini.

Tarikh-tarikh di kalendar di pangkahkan besar-besar agar jelas kelihatan kuantiti masa yang sudah hilang. ‘Exam’ sudah semakin dekat begitu juga dengan cuti ‘inter-sem’. Gundah bercampur dengan girang. Gelojak kedua-dua perasaan mula berkecamuk. Mengelirukan.


Exam oh exam. Kenapa mesti wujudnya ‘exam’? Apakah rasionalnya ‘exam’? Dunia ini memerlukan ‘exam’ kah? Kenapa para akademik begitu taksub dengan istilah puaka ini sehingga terasa tersiksa pelajar-pelajar dibuatnya. Kesian mereka. Terpaksa mengharungi musim ‘exam’ seolah-olah mengharungi musim satu wabak penyakit. Ia datang dan pergi membawa segala macam jenis sindrom. Bagi mereka yang tidak tahan, lemah imun psikologinya, sindrom ‘stress’ dan kemurungan akan menghinggap seolah-olah taun yang merencam sistem pencernaan.

Malangnya, wabak ini wabak bermusim.Selagi berstatus sebagai seorang pelajar jangan harap ingin lari daripadanya. Kitaran ‘exam’ sentiasa berulang.‘Exam’ datang dan pergi tetapi perginya pasti kembali.

Ya Allah, apakah ada ubat! Apakah ada vaksin yang mampu mempertahankan diri ini daripada wabak yang menakutkan ini?

Apabila datang musim ‘exam’ maka bermulalah wabak ini. Wabak ini begitu dahsyat. Semua pelajar pasti dijangkitinya. Semua pelajar pasti jatuh ‘sakit’. Ketika inilah ramai yang akan mula mencari Tuan ‘Doktor’. Ramai akan mencuri segala ruang yang ada untuk berbicara kepada-Nya merayu agar dihulurkan bantuan dan dipermudahkan ujian. Tuan ‘Doktor’ memang sudah lali dengan keterbiasaan ini. Keterbiasaan dimana diri-Nya hanya diseru ketika musibah mendatang.


Namun demikian, rayuan bantuan yang dipinta secara ikhlas dan sopan pasti disambut baik oleh Tuan ‘Doktor’. Amat jarang sekali untuk Dia menolaknya. Tetapi, Tuan ‘Doktor’ tidak menghulurkan ubat seperti yang dipinta secara magik. Wujud dengan sekali hembusan mahupun mencul, entah dari mana, di telapak tangan secara tiba-tiba. Apatah lagi untuk melihat-Nya adalah sesuatu yang mustahil. Oleh sebab itu, ramai yang akan rasa kecewa. Tidak kurang juga ada yang rasa was-was, diracuni keraguan.

Walaupun begitu, usahlah kita kecewa, usahlah kita putus asa. Firman-Nya sahaja sebenarnya sudah cukup untuk melemahkan vektor jahat yang dibawa oleh wabak ‘exam’ ini. Percuma tanpa sebarang bayaran.

“Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.”

(an-Nahl : 53)

Kata-kata yang diberi bakal menyembuhkan dengan keizinan-Nya. Namun, tidak memadai sekiranya kata-kata-Nya diambil secara bulat-bulat sebagai penawar. Ubat tidak boleh menyembuhkan tanpa ada usaha. Usaha mesti datang dari pesakit itu sendiri bagi melengkapi terapi yang dimintanya.


‘Exam’ itu satu wabak dan wabaknya bermusim. Musimnya tetap dan datangnya dapat dijangka. Oleh sebab itu, ada sahaja masa untuk kita bersedia. Persediaan mental itu sudah tentu perlu dan persiapan bekalan ilmu untuk menghadapinya itu pastinya wajib. Berilah apa sahaja ubat pun tetapi jika diri sendiri yang menempah bahana, jika diri sendiri yang lalai dan menjerumus kepada kecelakaan tiada siapa mahupun apa yang dapat membantu.

‘Exam’ usah terlalu dirisaukan. Ya, ia memang satu wabak, satu perkara yang menakutkan. Tetapi, di sebaliknya ada manisan Rahmah yang menunggu untuk dihirup oleh mereka yang sabar dan yakin datangnya adalah satu ujian.

‘Exam’ usah terlalu dirisaukan. Walaupun ia sukar, sukarnya ada satu pengajaran. Satu pengajaran bagi mereka yang angkuh dan bongkak agar mereka sedar hakikat sebenar menjadi seorang insan yang perlu kepada tuhan, yang lemah tatkala dihurung musibah.

Hadapilah ‘exam’. Jadikanlah ia sebagai satu kayu ukur. ‘Exam’ akademik, jadikanlah ia sebagai tanda aras kefahaman kita terhadap sesuatu subjek. ‘Exam’ kenaikan pangkat, jadikanlah ia sebagai indikasi dedikasi kita terhadap sesuatu tugas. Namun, yang paling penting sekali, ‘exam’ takwa. ‘Exam’ terbesar yang graduasinya adalah graduasi segala graduasi. Sijilnya adalah sijil di atas segala sijil. Exam yang mengundang pahit kepada manis fantasi hidup di dunia yang penuh dengan ilusi. ‘Exam’ yang hanya ada dua kemungkinan;

"Lulusan syurga ataupun buangan neraka"

Sunday, March 21, 2010

Iklankan Islam dalam Emosi dan Jasmani



GURU selalu mendidik kita supaya menjadi bijak, sehingga dapat menemukan jalan hidup yang ‘lurus’ serta diberkati oleh-Nya. Lihatlah dengan mata hati kerana pandangan mata kasar selalunya ‘kabur’, tak mampu menilai hakikat.. MATA yang suka memandang, lalu mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman terhadap orang yang dipandang.

Walaupun hanya baru sekali berjumpa, ada yang sudah ‘bijak’ menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka buruk. “Orang itu jahil”, “si polan fasik”, “jiran kamu sombong”, “kawan kamu penipu”, “suami kamu pembohong”, “beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim”, “saudara kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang lain” dan segala kejahatan hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya.

Itulah mata-mata jahat yang bersatu dengan hati-hati busuk. Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum semeja, mendengar tutur kata sehalus bicara dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu, diumpamakan si dia sebagai malaikat. Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara selamat. Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri kita diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.

Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri iaitu dengan syarat; perhatian itu hanya kepada ‘mutiara’ kebaikan saja. Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang begitu sempurna di dunia ini. Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang lain untuk mengambil faedah daripadanya.

Antara manfaatnya ialah:

Menghilangkan Rasa ‘Ujub Pada Diri Sendiri.

Hati manusia berubah-ubah, ada kala hari ini baik, esok pula belum tentu, hari ini angin yang bertiup itu sepoi-sepoi bahasa, namun tidak mustahil boleh bertukar menjadi puting beliung yang mengganas.

Oleh itu, semua penilaian mengenai seseorang itu sifatnya relatif, boleh berubah-ubah seperti kenyataan Rasulullah SAW yang mengakui bahawa manusia dicipta dengan hati yang berbolak-balik sehingga Baginda mengajarkan umatnya supaya berdoa dengan sabdanya yang bermaksud:

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)


Manusia adalah makhluk yang relatif berubah, sehingga tidaklah boleh dinilai secara mutlak. Jika kita mahu mengambil manfaat daripada orang lain maka ambillah teladan daripadanya ketika dia berada di atas kemuncak kebaikannya. Jangan sesekali melihat ketika dia jatuh, lemah, berdosa, penuh aib dan cela kerana jika kita suka melihat saat dia di bawah maka rasa ujub akan menguasai diri. Boleh jadi kita akan berkata:

“Alangkah baiknya agamaku, amal dan ilmuku, keluarga dan kehidupanku jika dibanding dengan dirinya! Betapa buruk perangai orang itu, zalim sungguh tangannya, tamak dan kedekut sifatnya, kasar dan kurang ajar perangainya, tidak ada kebaikan langsung berbanding diriku!”

Menyuntik Semangat Berlumba-lumba ke Arah Kebaikan.

Orang yang suka memerhati potensi saudaranya tidak seharusnya melahirkan rasa dengki, cemburu, mahupun iri hati. Hanya orang yang berjaya saja yang boleh menjadikan kehebatan potensi orang lain sebagai inspirasi dan penyuntik semangat untuk lebih berjaya. Al-Quran menyindir perangai orang yang suka mendengki terhadap kehebatan orang lain seperti Rasulullah SAW pernah menjadi mangsa kedengkian mereka. Firman Allah yang bermaksud:

“Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik tidak suka kiranya diturunkan kepadamu sesuatu kebaikan daripada Tuhanmu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah jugalah yang mempunyai kurnia yang amat besar.”
(Al-Baqarah: 105)


Ayat ini memberi amaran kepada diri kita yang mungkin sedikit sebanyak menyimpan dengki. Betapa seseorang itu menjadi hamba yang membangkang atas keputusan Allah memilih orang lain untuk diberi anugerah. Maka pandanglah dengan hati kerana pandangan mata itu selalunya gelap tidak mampu melihat hakikat, sedangkan hati yang suci suka memandang dengan pandangan Tuhannya. Apa yang baik menurut Allah itulah yang baik baginya dan sebaliknya.

Sumber Inspirasi, Muhasabah Diri.

Sesiapapun boleh menjadi sumber inspirasi. Jangan pedulikan keburukan orang di sekitar kita dan terus perhatikan kebaikan mereka. Suami boleh menjadi cermin kepada isteri tanpa menafikan kelemahannya. Ibu menjadi cahaya bagi anaknya walaupun dirinya tidak berpelajaran tapi jiwanya cukup arif membahagi cinta. Guru menjadi penyelamat anak murid yang ‘bodoh, lembap dan bengong’ sehingga mereka menemukan jalan terang walaupun guru juga memiliki kekurangan peribadi tetapi jangan dinafikan merekalah sebenarnya paling berpengaruh mewujudkan cita-cita setiap insan.

Siapapun yang berjasa, berbuat baik dan berjaya mereka tidak terlepas daripada cacat cela. Tetapi untuk apa mempersoalkan yang negatif jika yang positif itu mampu menghapus yang negatif? Tiada insan sempurna, berilah peluang kepada siapapun di sekitar kita untuk menjadi sumber inspirasi dalam hidup. Jika kita sudah mengambil manfaat daripada kelebihan orang lain, bagaimana pula menjadikan keburukan dan aib mereka sebagai sempadan?

Seorang Muslim bukanlah mereka yang memilih untuk diam apabila melihat kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan orang yang penakut, takut menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itulah hakikatnya. Mereka tidak takut menyuarakan jalan inilah yang Allah reda dan jalan itu sebaliknya. Seorang Muslim berkewajipan memandang, menilai dan menasihati saudaranya jika berbuat silap seperti tuntutan agama yang mahu amar makruf dan nahi munkar ditegakkan. Apabila melihat aib orang lain, berusaha membantu diri sendiri kemudian orang lain ke arah kebaikan.

Langkah pertama ialah pastikan diri kita sudah berada di jalan yang benar, lurus dan diredai Allah kemudian barulah kita boleh menuntun tangan saudara kita ke sana. Apa yang disampaikan mestilah diamalkan terlebih dulu. Lidah, hati dan amal perbuatan mesti selari, sehati dan sejiwa langsung tiada unsur munafik.

Prinsip amar makruf nahi munkar yang betul ialah buat dulu kemudian suruh orang lain. Allah amat membenci perangai orang yang cakap tidak serupa bikin ini melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.”

(Surah al-Shaff, ayat 2-3)


Ada pula yang bermulut manis dan menyatakan pujian di hadapan saudaranya tapi di belakang mengata lain, bermuka-muka dan menikam dari belakang. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu melihat orang yang suka memuji (mengampu) di hadapan kamu, maka taburkanlah debu tanah di mukanya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sebaik-baiknya setiap Muslim berhati-hati dengan pemuji yang melampau ini kerana mereka akan mencela dengan melampau juga. Menggunakan ayat penuh rahmat bukan ayat kesat dan menyimpan emosi negatif.

Mengapa nasihat yang kita beri kepada isteri, anak dan saudara kita tidak berjaya?
Puncanya kerana tiada hubungan kasih sayang kerana Allah. Kaedah dan cara menasihat pun tidak mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Di samping itu, faktor emosi yang susah dikawal sehingga melahirkan nasihat berunsur kemarahan, kritikan pedas dan sindiran tajam menjadi penghalang keikhlasan dalam memberi nasihat.

Nyata begitu susahnya bergaul dengan manusia di sekeliling kita. Bukan hanya kesabaran dituntut tetapi keberanian untuk merasai sakit juga diperlukan dalam menjalinkan persaudaraan. Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai memilih menyendiri dan tidak pedulikan orang lain. Tetapi sampai bila kita boleh bertahan? Pastinya yang terbaik ialah mencari kekuatan diri dalam persaudaraan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Adaptasi adalah suatu proses membentuk rasa cinta dan kasih sayang. Sesiapa yang tidak sabar melaluinya dia tidak akan merasai kenikmatan menjalinkan hubungan sesama insan. Waspadalah dengan sikap anti-sosial. Ia boleh menghalang seseorang mendapat rahmat Allah. Adapun tanda seseorang mendapat rahmat-Nya adalah ketika manusia tertarik dengan keperibadiannya...

Saturday, March 06, 2010

Asyik


Dengan bahasa kalimah yang sama
Puji dan memuja
Dilindung dan dibuka
Rahsiakan tetap rahsia

Indah bukan rupa
Harum bukan bunga
Manis bukan gula
Panas bukannya bara
Cintakan tetap cinta
Sejak aku kenali
Cintamu yang suci
Aku telah berjanji
Tak berpaling lagi

Akan aku genggam api
Hingga jadi besi
Dan nyata sebati

Gelap bukan malam
Terang bukan siang
Satu tak terbilang
Hanyut tak terenang
Waktu tak terasa
Rindu tak terkata
Asyiknya cinta

Dan hanya kepadamu
Kuserah jiwa ragaku
Walau berjuta seteru
Tak kuragu


Artist: Damasutra

Sunday, February 28, 2010

Cinta Kampus : Matlamat Halalkan Cara ?!




Cinta Kampus

Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga. Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri. Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.

Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk. Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?

Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku. Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri. Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.

Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar. Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.

Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif. Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu ‘keperluan’ untuk rasa sempurna. Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.

Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri. Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik. Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.

Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang ‘intuisiku’ tidak begitu memahami adalah bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud. Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?

Matlamat Salah Cuba Menghalalkan Cara.

‘Intuisiku’ berasa cukup gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.

Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, e-mail dengan luahan perasaan cinta masing-masing.

Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.

Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan. Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.

Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.

Kepada ikhwan dan akhawat sekalian, khususnya mereka yang sedang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber-couple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Subhanahu Taala. Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Muhasabahlah kalian.

Hayati Ajaran Islam yang Sebenar

Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia. Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.

Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan. Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:
“Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”
(al-Ankabut :69)

Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.

Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.

Perintah itu wajib.

Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan. Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin. Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.

Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya , jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.

Mua’dz ra berdoa sebelum kematiaannya:
“Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama”.

Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala. Ameen ya Rabbal ‘Alameen..
“akan kusampaikan walaupun sebaris ayat..”