Wednesday, March 27, 2013

Gerak + Kerja = Gerakerja, Jom!! ^_^y

Ayuh, Bergerak dan Bekerja ! Perjalanan Masih Jauh..


Islam hari ini dalam keadaan ghurbah. Asing. Pelik.

Hari ini, Islam dipandang dan dilihat sebagai sesuatu yang begitu asing. Nampak Islam, seolah-olah seperti nampak ‘alien’.

Hari ini, Islam diukur dengan neraca yang dipamerkan oleh umat Islam itu sendiri. Kadang-kadang, neraca yang dipamerkan tidak sepadan dengan Islam yang sebenar itulah mengakibatkan Islam disalah tafsir dan dipandang serong.

Islam kembali dagang seperti mana ia bermula. Terlalu sedih rasanya melihat ummat dihenjak-henjak oleh jahiliah pada hari ini. Bahkan, ada pula umat Islam sendiri yang ‘menyerahkan  diri’ untuk dilunyai-lunyaikan oleh kuffar. Sudahlah luka kelmarin masih tidak sembuh, hari ini luka bertambah besar menjadi barah dan nanah.

Inilah yang disebut oleh Dr Majdi Al-Hilali:

“Hari demi hari, luka-luka baru menjaluri tubuh ummat, sedangkan luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh.”


Luka Yang Membarah Kesan daripada Suasana Yang Mencederakan


Hakikatnya, pada hari ini, anak-anak ummat Islam dibesarkan dalam keadaan dan suasana yang ghurbah (asing). Suasana yang ada tidak membangkitkan kesedaran jiwa dan menghilangkan kepekaan terhadap apa yang berlaku kepada ummat pada hari ini.

Seperti kata Abul A’la Al-Maududi:

“Mencari hidayah dalam keadaan ghurbah(asing) umpama orang yang memanjat gunung berbanding orang yang selesa dalam keadaan ghurbah(asing) umpama orang yang menuruni gunung.”

Sesiapa yang mencari peluang untuk pembinaan dan peningkatan diri dalam suasana yang meruntuhkan jiwa ini, maka pasti Allah akan menambah kefahaman dan keyakinannya terhadap deen ini.

Namun, orang yang hidup selesa dalam suasana yang rosak ini, tidak ada rasa kegentingan perlu berbuat sesuatu, maka keselesaan itu akan membuatkan jiwanya terus lemah dan lemah.

Kata Said Hawwa dalam Al-Islam:


“Orang yang dalam ghurbah ini umpama orang yang dalam kebakaran sedangkan dia sedang tidur.”

Apa anda buat bila rumah sudah terbakar?
Sudah tentu anda akan lari keluar, bukan?

Masihkah sempat untuk anda tidur?! Tidak.

Anda perlu kejutkan orang yang tidur sehingga dia bangun kerana rumahnya sedang terbakar. Dia perlu bangun dan selamatkan dirinya.

Itulah gambaran suasana yang ada pada hari ini.

Lalu, masihkah ada ruang untuk kita berehat tatkala kita tahu suasana yang ada pada hari ini bakal mencederakan kita?!


Fikirlah Untuk Bergerak dan Bekerja!



“Ana ni lemah, anta lainlah, qowie.”



“Aku ni tak layak nak nasihat-nasihat orang. Aku pun bukannya baik sangat.”



“Aku ada kena jaga rumah hari ini. Sorilah, tak dapat ikut halaqah.”

Alasan. Alasan. Dan alasan!

Kalau kiamat besok, apakah sempat kita beralasan dengan Allah?!

“Allah, aku tak sempat nak pergi halaqah. Aku kena jaga rumah.”

Haha.. Layakkah kita memberi alasan sebegitu dibandingkan dengan nikmat Allah yang sekian lamanya kita menikmati ini?!

Hari ini, ramainya umat Islam yang menjadi PENUMPANG. Menumpang sebuah kereta yang sedang bergerak menuju ke gaung. Tetapi, ‘penumpang’ tidak pula berkata apa-apa, tidak menghalang, bahkan mengikut sekali masuk ke gaung.

Kita perlu berhenti menjadi hanya sekadar PENUMPANG. Kita perlu menjadi seorang PEMANDU!!

Kita yang sepatutnya ‘MEMANDU’. Barulah kita boleh menentukan hala tuju kita dengan betul.

Berhentilah mereka-reka alasan. Usahlah kita menjadi orang yang LEMAH dan TERPEDAYA!!

Orang yang mencipta alasan untuk lemah, dia telah terpedaya dengan syaitan.

Bayangkanlah, anda sudah berada dalam rumah yang terbakar, lalu anda masih memberi alasan, “Aku mengantuk lah. Engkau keluarlah dulu. Aku nak tidur kejap.”


Tidakkah rasa pelik begitu?
Justeru, apa yang kita perlu buat sekarang?

Fikirlah apa yang mampu kita buat dan sumbangkan untuk Islam.
Bukannya sibuk memikirkan, “Aku ni lemah, engkau tu qowie.”

Tidak.Tidak. Kita perlu berhenti memikirkan siapa lemah, siapa kuat.
Yang perlu kita rancang sekarang adalah bagaimana untuk menjadi kuat.
Kejarlah apa-apa sahaja peluang dan wasilah untuk kita sumbangkan sesuatu kepada deen ini.

Mustahil kita ini terlalu lemah hingga tidak mampu buat apa-apa untuk Islam.

Bilal bin Rabah, cuma seorang hamba. Tidak memiliki apa-apa. Tetapi Bilal merancang untuk menjadi kuat. Diseksa, dijemur di padang pasir, dipakaikan baju besi, dihempap batu besar, tetapi dia kuat mempertahankan akidahnya.

Amr Ibn Jamuuh, seorang tua dan cacat pula. Meskipun tempang sebelah kakinya, namun jiwanya kuat mendorong beliau untuk menyertai perang Uhud bersama Rasul s.a.w. Beliau mencari alasan untuk menjadi kuat. Katanya kepada Rasul s.a.w. :

“Wahai Rasulullah, anak-anakku hendak menghalangku berperang bersamamu. Demi Allah, daku ingin berjalan dengan penuh kebanggaan dengan kakiku yang tempang ini di syurga.”




Tidak Bergerak = Jiwa Lemah, Luka Membarah


Kita perlu bergerak dan bekerja. Jika kita tidak bekerja, jiwa kita akan terus lemah dan lemah. Kerana kita tidak proses ia untuk menjadi kuat.

Janganlah menjadi seperti ‘ayam daging’. Cuma tunggu diberi makan. Malas mencari makan sendiri. Hinggalah gemuk. Ia cuma menunggu masa untuk disembelih. Kita yang tidak bekerja dan terus biarkan diri dalam kelemahan, maka tunggulah masa ‘disembelih’ oleh kuffar.

Imam Syafie menggambarkan dalam puisinya:

Bagi orang-orang yang berakal dan berilmu,
Tinggalnya di rumah tiada nikmat keselesaannya,
Maka tinggalkanlah tanah air dan berdaganglah ke tempat yang jauh,
Di sana akan didapatinya gantian bagi orang-orang yang ditinggalkannya.
Bersakit-sakitlah dalam kehidupan, di situlah letak kelazatan,
Lihatlah air bila ia bertakung baunya berubah menjadi busuk,
Dan kalau ia sentiasa mengalir, barulah keheningannya kekal.

Singa tidak akan bertemu mangsanya jika ia tidak meninggalkan rimbanya,
Begitu juga panah tidak akan bertemu sasarannya jika tidak tinggalkan busarnya,
Lihatlah pula Matahari yang bergemerlapan indah, kalau ia tetap tinggi di perut langit,
Nescaya akan dibosani oleh orang Ajam mahupun Arab yang memandangnya.

Bijih yang berharga tidaklah bernilai jika dibiarkan di tempatnya,
Begitulah juga kayu gaharu kalau ia ditinggalkan di buminya,
samalah ia dengan kayu-kayu lain yang bakal dibuat kayu api.
Kalau kedua-duanya (bijih dan gaharu) diambil keluar dari tempatnya,
Lihatlah betapa tinggi mutunya laksana emas.



Jadi, bergerak dan bekerjalah! ^_^y

Monday, March 18, 2013

Kerja sebagai Ibadah.. ^_^y




‘Kerja sebagai ibadah’. Adakah kita menghayati bait-bait kata itu?! Apakah yang dimaksudkan dengan kerja dan pekerjaan, sebenarnya?! Menurut Kamus Dewan, kerja adalah sinonim dengan khidmat, tugas, tanggungjawab, kewajipan, usaha, urusan dan kegiatan. Kerja dalam konteks bahasa Arab dikatakan ‘Amal yang bermaksud perbuatan yang dibuat dengan Qasd (niat). Qasd juga bermaksud perbuatan dengan keteguhan hati ingin melakukannya.

Ibadah pula adalah istilah Islam bermaksud melakukan kerana ingin menzahirkan nilai Ta’abbud iaitu pengabdian diri kepada Allah. Pengabdian itu diambil daripada perkataan Arab juga iaitu ABD yang bermaksud ‘Hamba’. Hamba kepada Allah tidak sama dengan hamba kepada sesama makhluk. Hamba kepada makhluk atau kepada sesama manusia menzahirkan rasa hina dan kehilangan nilai, sebaliknya hamba kepada Allah menzahirkan ketinggian nilai insani. Manusia menjadi lebih nilai kemanusiaannya jika dia adalah hamba Allah sebaliknya nilai kemanusiaannya kurang kalau ia hamba kepada manusia lain.

Kerja sebagai ibadah adalah melakukan perbuatan dengan sungguh-sungguh, dengan keazaman dan keteguhan hati semata-mata ingin menzahirkan rasa kehambaan kepada Allah. Ganjaran daripada kerja bukan semata-mata tampak pada zahir berbentuk gaji dan elaun tetapi merangkumi nilai tambah iaitu keredhaan dan keberkatan anugerah daripada Allah untuk keselamatan, kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat yang lebih kekal abadi.

Benarlah sabda junjungan Nabi Muhammad S.A.W; 

“Sesungguhnya setiap amalan (kerja) itu hendaklah dengan niat, sekiranya baik niatnya (kerana Allah) maka balasan (rahmat, kesejahteraan dan keberkatan) adalah sepertimana yang Allah redha. Sebaliknya jika buruk niatnya (kerana dunia semata-mata, kerana manusia sama ada lelaki mahupun wanita) maka ia tidak akan dapat selain perkara yang menjadi isi kepada niatnya itu sahaja (fizikal atau material) yang lebih berbentuk fatamorgana dan fana.”

Oleh hal demikian, mereka yang faham akan konsep bekerja sebagai ibadah, akan menjadi lebih sempurna pekerjaannya. Lebih teratur, tersusun dan jika ada kelemahan pun, mereka masih boleh menerima teguran yang membina dengan hati yang tabah. Kerana mereka faham, yang sempurna hanya milik Allah dan mereka berusaha ke arah kesempurnaan sama ada pada pandangan manusia ataupun pandangan Allah (yang jauh untuk dicapainya). Tetapi mereka tetap berusaha dan ada ketenangan di sebalik tiap usaha mereka. Tidak ada keluh kesah, tidak ada ragu-ragu, dan tidak dapat dipengaruhi terutama oleh mereka yang zalim.

Kerana, segala perbuatan mereka dilindungi Allah berkat niatnya yang suci dan pengharapan serta kebergantungan mereka kepada hanya Allah. Hidup mereka akan selamat di dunia walau pada pandangan zahir penuh dengan kelemahan-kelemahan yang terinsaf dan yang lebih penting, mati mereka diterima oleh Allah SWT. 

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.
(Fajr: 27-30)

Sebaliknya mereka yang kerja hanya kerana dunia, dan hanya kerana yang selain daripada Allah, tidak ada konsep ibadah dalam pekerjaannya, maka hidup mereka adalah fatamorgana. Mengejar dunia yang diibaratkan seperti bayang-bayangnya sendiri, semakin dikejar, semakin ia menjauh. Lalu hiduplah mereka dalam kepenatan yang tidak berpenghujung. Bukan itu sahaja, apabila mati mereka tidak diterima sebagai Hamba Allah.. dan ditempatkan ke dalam azab siksaan yang kekal abadi. Nauzubillah.

Oleh itu, berbaliklah kita ke pangkal jalan. Sedarilah apa tujuan pekerjaan kita sebenarnya. Soal diri sendiri dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi untuk kehidupan yang jauh lebih baik daripada ini, selepas ini.


Wallahu a’lam..^_^y

Tuesday, March 05, 2013

Doa Buatmu Perwira Negara..



 
Bismillahirrahmanirrahim :

Ya Allah Ya Tuhan kami, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kebesaran. Tuhan penganugerah keselamatan dan kesejahteraan. Kami hamba-hamba-Mu menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk dihitungnya, atas keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan dan kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini Ya Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau campakkanlah jaluran kerahmatan yang berpanjangan kepada kami, Engkau simpulkanlah ikatan ukhwah penuh keserasian, Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh keinsafan, Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan, Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat kami, anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.

Wahai pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara, bangkit dan bersumpahlah berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah, bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh bersejarah ini, diinjak pijak, disentap rentap, diselat lipat dek musuh durjana petualang bangsa ya Allah.

Tidak akan kami biarkan, biar ia putih bersih, tidak akan kami biarkan ya Allah, biarkan kami mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan, huru hara dan pencerobohan. Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa, agama dan negara Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu ya Salam.

Ameen Ya ALLAH

#Pray4Sabah #Allahuakbar

Sunday, March 03, 2013

Yang Bertudung atau Yang Menutup Aurat?! ^_^y

"Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung!"

"Haa? Kenapa?"

"Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."

Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki.

Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.

Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.

Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.



Hayati kembali perintah Allah ini;

ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 
[33:59]
 
Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.

Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudung pun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.

"Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"

Ya.. memang cerewet! Hehee..

Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.

Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.

Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;

"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[HR Bukhari dan Muslim]

Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah SAW menjawab;

" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[HR Abu Daud dan Nasai]

Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat di khalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?

Cuba fikirkan sejenak..

Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.



"Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milih pun tiada guna."

Ya.. jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya.

Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Itu janji Allah!


الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). 
[24:26]

Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.