Thursday, July 25, 2013

Ramadhan, Iklan dan Lagu Raya..~

Ramadhan: Bulan Barakah



Telah datang kepada kita bulan yang penuh barakah, bulan yag dinantikan oleh sekalian para solihin sejak zaman berzaman. Disebut bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat menjadikan bulan Ramadhan sebagai penanda dalam kehidupan mereka.

Enam bulan sebelum kedatangan Ramadan masing-masing menanam harapan agar mereka akan sampai di bulan yang mulia. Manakala dua bulan sebelum Ramadhan, masing-masing mula berdoa sepertimana disebut;

“Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.

Selepas Ramadhan pula, masing-masing berdoa agar amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadhan diterima oleh Allah SWT. Begitulah kehidupan Nabi SAW dan para Sahabat yang menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang ditunggu-tunggu mereka.

Di bulan Ramadhan inilah, Allah telah menjanjikan bahawa amalan kebajikan akan digandakan tanpa had, sedangkan amalan yang sama hanya digandakan samada 10 kali atau maksimanya 700 kali ganda. Allah sendiri yang akan menentukan betapa ganjaran yang selayaknya diterima oleh orang yang berpuasa itu. Ini dinyatakan dalam suatu hadith Baginda SAW;

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang seumpamanya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya.”



Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.’”

(HR. Muslim no. 1151)

Lailatul Qadar


Begitu juga dengan kedatangan Lailatul Qadar yang ganjarannya disebut lebih baik dari 1000 bulan (lebih 83 tahun). Lailatul Qadar ini juga dikatakan dalam satu hadith yang sahih boleh dicari pada sepuluh malam-malam akhir di bulan Ramadan khususnya pada malam-malam ganjil sepertimana disebut. Hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah RA menyebut mafhumnya;


Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan".

(HR Bukhari)

Terlalu banyak untuk kita nukilkan kelebihan dan keberkatan bulan Ramadan ini dan tuntutan kepada kita untuk berlumba-lumba mencari ganjaran dan kelebihannya. Cuma, tidak begitu bermanfaat jika kita sekadar dinukilkan kelebihan dan keberkatan bulan Ramadan ini jika hakikatnya kita seharian tidak bersungguh-sungguh merebut kelebihan dan keberkatan ini.

Malang sekali umat Islam jika kita mensia-siakan tawaran ganjaran hebat dari Allah SWT ini yang bukan sahaja akan memberi kebahagiaan dan keberkatan hidup kita di dunia ini tetapi juga akan memasukkan kita ke dalam Syurga FirdausNya yang hebat.

Perlukah Budaya Memainkan lagu promosi Raya Dihentikan?



Andai kata ada pasaraya besar  yang menjual pakaian misalnya ,di negara kita yang memberi tawaran potongan harga sebanyak 80 atau 90 peratus terhadap barangan jenama tersohor, nescaya akan berbondong-bondong di kalangan kita pergi bahkan sanggup beratur berjam-jam untuk merebut kelebihan potongan harga tersebut. Tetapi ganjaran yang Allah berikan bukan 80 peratus atau 90 peratus tetapi tiada had dan bahkan boleh melebihi 700 peratus. Kenapa kita tidak rebut kelebihan ini?

Sebaliknya apa yang kita mula dengar hari ini bahkan sebelum mula berpuasa lagi promosi diskaun raya dan kini lagu-lagu raya sudah mula berkumandang di pasar-pasaraya. Yang dibesarkan oleh masyarakat kita ialah sambutan Hari Raya, bukan kelebihan Ramadhan itu.

Ini adalah satu budaya berupa bid’ah sesat yang wujud dalam masyarakat kita sehingga kelebihan, kebesaran, dan kemuliaan Ramadan mula luntur manakala keghairahan merebut Lailatul Qadar pula semakin lesu. Jemaah masjid juga seolah-olah terpengaruh dengan budaya ini sehingga menjadikan masjid-masjid semakin lengang berbanding di awal Ramadan dahulu.

Budaya ini perlu dihentikan dan semua pihak samada pasaraya-pasaraya, peniaga-peniaga dan stesen-stesen radio sewajarnya bersama-sama mempromosikan kelebihan Ramadhan dan malam Lailatul Qadar dan bukannya mempromosikan potongan harga barangan dan dendangan lagu raya sahaja. Sungguh besar ganjaran diberikan kepada mereka yang mengajak orang lain berbuat kebaikan apatah lagi berbuat kebaikan di bulan Ramadan.

Tuntasnya, iklan komersil yang menyiarkan potongan harga atau penyiaran lagu-lagu raya mungkin boleh disiarkan tetapi ianya haruslah berpada-pada. Jangan pula sampai hari raya itu dirai dengan lebih gembira berbanding dengan ganjaran kelebihan Ramadan yang dianugerahkan oleh-Nya.

Senyum.. ^_^v

Monday, July 22, 2013

Dalam Kenangan..~

Dendangan: Wheels




Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendirian

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu tebrau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya abadi dalam kenangan

Monday, July 15, 2013

PERASAN TAK ?! ^_^v


PERASAN TAK?
... Duit RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke StarHill, MegaMall, Mid-Vally dan seangkatan dengannya...

PERASAN TAK?... 30 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tetapi begitu pendek untuk menonton drama-drama di televisyen...

PERASAN TAK?
... Betapa lamanya 2 jam berada di masjid, tetapi betapa cepatnya 2 jam ketika menonton wayang di panggung...

PERASAN TAK?
... Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan doa ketika solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang bila bertemu kawan-kawan...

PERASAN TAK?
... Betapa seronoknya mendengar seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bola sepak, tapi betapa bosannya bila imam solat terawih bulan Ramadhan lama dan panjang...

PERASAN TAK?
... Susah sangat baca Al-Quran 1 juzuk saja, tapi majalah hiburan dan novel best seller 100 halaman pun habis ditelaah...

PERASAN TAK?
... Orang berebut depan untuk menonton bola dan konsert, tapi berebut saf paling belakang bila solat Jumaat supaya boleh cepat keluar....

Ada 3 Hal dlm hidup yang tidak boleh kembali :
1. Waktu
2. Kata-kata
3. Kesempatan

Ada 3 Hal yang dapat menghancurkan hidup seseorang :
1. Kemarahan
2. Keangkuhan
3. Dendam ..

Ada 3 Hal yang tidak boleh hilang :
1. Harapan
2. Keikhlasan
3. Kejujuran

Ada 3 Hal yang paling berharga :
1. Kasih Sayang ..
2. Cinta

3. Kebaikan

Ada 3 Hal dalam hidup yang tidak pernah pasti :
1. Kekayaan ..
2. Kejayaan
3. Mimpi

Ada 3 Hal yang membentuk watak seseorang :
1. Komitmen
2. Ketulusan
3. Kerja keras

Ada 3 Hal yang membuat kita sukses :
1. Tekad
2. Kemahuan
3. Fokus ..

Ada 3 Hal yang tidak pernah kita tahu :
1. Rezeki ..
2. Umur
3. Jodoh

TAPI, ada 3 Hal dalam hidup yang PASTI :
1. Tua
2. Sakit
3. Kematian..







Ya اللّه , insan yg membaca ini adalah insan yg soleh, solehah, kuat, sabar, pengasih dan penyayang - maka sayangilah dia serta kasihilah dia, bantulah dia meningkatkan taraf kehidupannya, murahkan rezekinya, sihatkan tubuh badannya, jika dia melangkah, selamatkanlah dia, permudahkan & lancarkan segala pekerjaannya..

Kirimlah kepada insan-insan yang anda ingati... ^_^v

Saturday, July 13, 2013

Sesuatu yang Tersembunyi di Sebalik Waktu..~



Untuk memahami makna SATU TAHUN
Tanyalah seorang siswa yang gagal dalam ujian kenaikan kelas

Untuk memahami makna SATU BULAN
Tanyalah seorang ibu yang melahirkan bayi pre-mature

Untuk memahami makna SATU MINGGU
Tanyalah seorang editor majalah mingguan

Untuk memahami makna SATU HARI
Tanyalah seorang pekerja dengan gaji harian

Untuk memahami makna SATU JAM
Tanyalah seorang gadis yang sedang menunggu kekasihnya
Untuk memahami makna SATU MINIT
Tanyalah seseorang yang ketinggalan kereta

Untuk memahami makna SATU DETIK
Tanyalah seseorang yang selamat dari kecelakaan

Untuk memahami makna SATU MILI DETIK
Tanyalah seorang pelari yang meraih medali perak olimpiade

Dan akhirnya, sadarkah kita waktu terus berlalu?
Siapkah kita mempertanggungjawabkan kepada Allah?
Bagaimana kita menggunakan setiap mili detik waktu kita?
Apa sajakah yang sudah anda peroleh di sepanjang waktu anda hingga anda membaca artikel ini?

Setiap waktu itu berarti, janganlah kau buang waktu itu sia-sia.
Bagaimana bila nanti tiba-tiba waktu terhenti dan kau tak bisa apa-apa lagi?

Hanyalah penyesalan yang akan anda peroleh,
Karena anda telah melewatkan waktu selama anda hidup,
Ingat selalu bahwa satu hari itu 24 jam, jangan kau sia-sia satu milidetik pun di tiap hari anda.

Sehingga anda bisa tersenyum di akhir waktu anda nantinya, karena anda tidak mensia-siakan satu milidetik waktu di saat anda hidup.. ^_^V

Tuesday, July 09, 2013

Customer, Sales Person dan Janji yang Disemai..~




Situasi 1

Sales Person: Cik punya kandungan air dalam badan nie kurang, kadungan lemak pulak tinggi…bla…bla…bla. Jadi saya syorkan cik beli produk A lar kerana produk A boleh mengengatasi masalah cik ini dalam masa seminggu sahaja.
Customer: Yer ke? Berapa harga produk tu?
Sales Person: Tak mahal, cik. Cuma $$$$$$ aja. Tapi produk A akan lagi berkesan jikalau cik guna bersama-sama produk B. Kebetulan kami  pun tengah buat promosi. So kira jika cik beli pakej produk A + B, cik akan dapat harga $$$$.. murah tu.  Jika kat luar, harga dia $$$$$. So cik boleh jimat dalam $$$$.
Customer: A’ah.. murahnya. Ok, saya beli pakej A+B.
Sales Person: Ok cik. Memandangkan cik adalah pelanggan yang ke-100 kami, kami hadiahkan produk C kepada cik. Cuma tambah $$$ aja, cik boleh menikmati pakej lengkap produk kami.
Customer: Errr… “banyak lar pulak nak kene beli “(monolog dalam hati).

Situasi 2

Sales Person: Bacaan puan punya kandungan lemak, air, bla… bla.. bla.. semuanya normal.
Customer: Ye ke?! Fuh nasib baik. Jadi saya tak payah lar beli produk nie kan? Hehe..
Sales Person: Betol tu, puan.. tapi jika puan ingin mencapai tahap kesihatan dan kecergasan yang maksimum, saya sarankan puan amek produk ini kerana produk ini boleh melancarkan saluran darah, membuang toksin dalam badan… bla..bla..bla..
Customer: Dah kalau dah normal, buat apa nak beli kan?
Sales Person: Memang normal, puan. Tapi mesti puan banyak nak kene pantang, kan?
Customer: A’ah..banyak jugak lar yang doctor tak bagi makan.
Sales Person: Kalau puan makan produk kami, puan tak perlu pantang apa-apa dah. Puan boleh makan apa-apa sahaja  yang puan mahu tanpa perlu risau pada tahap kesihatan puan.
Customer: Iye?! Hmmm… sound’s good (muka dengan mata yang bersinar-sinar penuh harapan).

Situasi 3

Sales Person: Encik kena subscribe kad nie. Kad nie memang best seller sekarang ini.. memang produk terbaik yang untuk encik.
Customer: Iyer ke? Apa yang saya dapat kalau saya langgan kad ini?
Sales Person: Macam-macam, encik. Encik boleh shopping, melancong…bla..bla..bla.. dan yang paling menarik, kalau cik masuk hospital pun, boleh guna kad nie.. Cuma swipe je.
Customer: Warrr.. macam menarik. Tapi berapa rate interest dia?
Sales Person: Tak banyak encik, cuma 19% je. Tapi kalau encik bayar terus bila dah guna kad untuk setiap urusniaga atau tiap-tiap bulan, takde lar interest die.
Customer: Hmmm… kalau macam tu, boleh saya daftar subscribe sekarang?
Sales Person: Boleh, encik. Lagi cepat, lagi bagus. “Hehe.. lebih target lagi sale aku bulan nie.. (monolog dalam hati).

Situasi 4

Sales Person: Dik, mari beli produk ini. Produk ini memang mengandungi makanan-makanan Sunnah.
Customer: Iye ke, bang? Saya tengok kat sini, content dia banyak nama yang pelik je, nama drug pun ada. Ada kelulusan KKM tak?
Sales Person: Eh, ada je. Tu habbatus sauda, dia guna nama saintifik tu, dik. Lagipun produk ini dialunkan ayat-ayat suci al-Quran berserta selawat. Tak payah nak dapatkan kelulusan daripada KKM. Memang sesuai lar untuk adik kalau nak amalkan pemakanan mengikut sunnah nie.
Customer: Kalau dah produk nie dialunkan ayat suci al-Quran dan selawat, kenapa letak kat kaki yer?
Sales Person: Errrrr… “sudah, tak tahu nak jawab apa..” (monolog di dalam hati).







Moral of the Story:  Sales person memang ‘dilatih’ untuk menjual barang. Perhati, kaji, kenali dan fahami mereka yang datang mempromosikan produk mereka kepada kita dan modus operandi mereka. Janji-janji manis bulan dan bintang memang nampak menarik tetapi apakah ianya akan tertunai atau kita hanya akan merana diu kemudian hari?!

Senyum.. =)

Sunday, June 30, 2013

Alkisah Seorang Budak Nakal..~


Seorang pelajar bernama Amin terkenal dengan kenakalannya di sekolah. Amin suka memberontak, tidak memberikan penumpuan dalam kelas, keputusannya tidak cemerlang, suka mengacau rakan lain, mempersendakan dan melawan kata-kata cikgunya.

Selepas tamat sesi persekolahan tahun lepas, dan tiba masa untuk mengagihkan pelajar, tiada guru di sekolah yang sudi menerima Amin di dalam kelas mereka.

“Saya tak mahu. Nanti sakit jantung,”
kata Puan Halimah.

“Saya tak mahu. Dah serik setahun dengannya,”
kata Cikgu Kamala.

“Jangan pandang saya. Kalau saya, saya dah tendang dia keluar,”
kata Tuan Kassim.

“Tak apa saya ambil,” jawab Ustaz Ismail Nihat.

Semua menarik nafas lega, tapi sahabat baik Ustaz Ismail, Cikgu Timmy berkata, “Ustaz fikir baik-baik. Kena ada kesabaran tinggi untuk mengajar budak itu. Kalau tak tahan, ustaz tukar dengan saya.”

“Takkan budak ini saya tak dapat kawal hehehhe,” jawab Ustaz Ismail dengan berseloroh.

Malangnya, perbualan guru-guru itu telah didengari Amin. Amin berbisik di hatinya, “Ustaz Ismail nak kawal saya ya? Kita tengok siapa lebih hebat!”

Sesi persekolahan baru pun bermula, Amin memasuki kelas Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail mengaturkan Amin duduk di barisan depan kelas.

Amin cuba buat perangai, tapi Ustaz Ismail tetiba bersuara…

“Saya nak cadangkan seorang pelajar untuk jadi Ketua Kelas. Dia ini keputusan tak berapa baik. Akan tetapi, dia pandai bergurau. Jika dia jadi Ketua Kelas, sudah tentu kita dapat senyum tiap-tiap hari,” kata Ustaz Ismail sambil menunjuk kepada Amin.

Para pelajar kelas Ustaz Ismail terus terdiam dan berbisik sesama sendiri.

“Orang macam dia pun, Ustaz pilih jadi Ketua Kelas? Ustaz tahu ke dia terkenal sebagai pelajar ternakal di sekolah.”

Amin yang muka kemerahan kerana segan hendak menolak tawaran, tapi Ustaz Ismail tidak memberi peluang…

“Jadi Ketua Kelas bukan lihat pada keputusan sahaja. Yang paling penting dia boleh jadi contoh kepada pelajar lain. Saya percaya Amin boleh melakukannya dan dia amat berpotensi. Apa kata kita beri dia satu peluang?”

“Baik ustaz,”
jawab para pelajar. Kata-kata ini menyebabkan Amin terasa malu dan segan sehingga muka bertambah merah.

Akhirnya, Amin menjadi Ketua Kelas.

Besok harinya, apabila masuk ke kelas, pelajar mendapati Amin sudah berada di tempat duduknya dan tidak mengacau pelajar lain ketika Ustaz Ismail mengajar.

“Amin sudah tak buat perangai dan kacau orang?” tanya seorang pelajar bernama Zul yang selalu dibuli Amin.

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi contoh pada orang lain,” jawab Amin.

Apabila melihat Amin menumpukan perhatian di dalam kelas, seorang pelajar lain Jannah bertanya pada Amin, “Mengapa Amin tak perlekehkan ustaz seperti biasa sehingga cikgu menghalau Amin keluar?”

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi rajin dan bagus keputusan barulah orang lain boleh terima saya sebagai Ketua Kelas dengan hati terbuka ,”
jawab Amin.

Peperiksaan menjelang dan keputusannya, Amin melonjak dari tangga terakhir di sekolah ke tangga ke 15.

“Dia meniru ke ustaz?”
tanya Tuan Kassim pada Ustaz Ismail.

“Berdasarkan ketekunan dia, saya rasa keputusan ini benar. Ini memang hasil dia,”
jawab Ustaz Ismail.

“Ustaz Ismail memang hebat,” kata Cikgu Timmy.

“Apa yang Ustaz buat kat dia?”
tanya Puan Halimah.

“Dia nakal sebab ego nak perhatian. Saya bagilah dia dapat perhatian secukupnya sebagai Ketua Kelas. Kerana egonya, maka dia memaksa dia menjadi baik supaya orang tak kata dia tak layak jadi Ketua Kelas. Sama seperti najis binatang, jika diletakkan pada tempat yang tidak betul, ia busuk dan tidak menyenangkan pandangan. Jika ia terkena tanah dan ditanam, ia bertukar menjadi baja yang menghasilkan banyak pokok yang berbuah,” jawab Ustaz Ismail sambil tersenyum.

Senyum.. ^_^v

(Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, 2013)

Saturday, June 22, 2013

Kan Kutinggalkan Si Dia Kerana-Nya..~


Menerima Teguran Iman Dari Hati Sebelum Nafsu Menguasai Diri


"Aku memang sangat cintakan dia. Tapi aku terpaksa clash dengannya.."

"Aik, asal pulak?"

"Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah.."

“Pergh.. cayalah bro!”

 Alhamdulillah..insaf jua dia akhirnya.

Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. Tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.

Ya.. begitulah.. Memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber'couple', iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.

Maka cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih untuk menguasai. 

Berpegangan Tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka?!


Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber'couple'. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.

Itu barulah 'saling-menyayangi' namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka?! Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan?! Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?!

Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber'couple' itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber'couple' (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya 'kehilangan' atau perpisahan. Kerana 'kehilangan' atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.

Dan firman Allah yang bermaksud;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"

(al-Baqarah: 216)

Bak kata Sang Pujangga;

"biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia."

Buat Renungan Diri Sendiri dan Mereka yang ‘Mengerti’


Sahabat-sahabat.. Marilah sama-sama kita renungkan... Belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita ber‘couple' bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.

Jika pasangan kita itu ditaqdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun 'suprise' yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.

Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Sang Maha Pencipta. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal. 

Doa Cinta Nabi Daud
 

Marilah kita hayati dan amalkan doa Nabi Daud A.S ini. Semoga ianya memberi kita semangat dan teguh dalam mencintai Allah sepenuh hati,  melebihi cinta kita kepada makhluk-Nya.

" Ya Allah..,                                                                                                                 
Kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, Dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu..

Ya Allah..,                                                                                                                                    
 Apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.

Ya Allah..,                                                                                                                                    Jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.

Dan Rasulullah SAW bersabda;
"Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud A.S"
(HR At-Tarmizi)
Wallahu A'lam Bissawar..^_^v





“Kan kusampaikan walau sebaris ayat..”