Sunday, July 31, 2016

Kenapa Ketum, Bukannya Poppy?




Tersembur air kopi semasa minum pagi tadi, pabila terbaca headline kebanyakan berita akbar bahawa Risda akan tanam ketum untuk eksport. Kononnya alasan bahawa daun ketum amat berguna dalam industri perubatan di Barat. Mungkin diluar pengetahuan saya terdapat bukti terbaharu bahawa ketum ini mempunyai khasiat kesihatan yang mendesak sehinggakan agensi rasmi kerajaan ingin mengusulkan kelulusan penanaman ketum di negara kita? Atau keadaan terdesak dengan harga getah yang semakin hari mengcengkam para pekebun getah, lalu diusul tanaman gantian baru- ketum? Saya tidak pasti!

Terfikir dalam minda nakal saya, kenapa nak komersialkan ketum? Tidak Opium Poppy. Poppy adalah tanaman asas kepada morfin yang digunakan secara luas dalam bidang perubatan. Pesakit serangan jantung, guna sebagai ubat bius, ubat tahan kesakitan sewaktu nak bersalin dan banyak lagi manfaat lain. Sudah banyak kajian yang mengkaji keberkesanan morfin ini. Ia sejenis dadah terkawal yang juga termaktub dalam undang² negara. Dibawah akta racun Negara 1952. Sama juga dengan ketum.

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam 'Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952'. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003. Cuma ketum ini tidak ada lagi bukti perubatan, boleh berubat dalam penyelamatan nyawa manusia. Kecuali ia digunakan secara tradisi bagi menghilangkan sakit urat, penambah tenaga seks dan beberapa petua tempatan. Petua tersebut terbukti secara amalan ramai, tetapi tidak mengikut dos standard yang tertentu. Itu sahaja, tidak lebih dari itu berbanding dengan keberkesanan morfin.

Ironinya, ketum telah disalah guna bagi kepentingan nafsu golongan muda dengan dicampur bersama bahan yang tidak masuk dek akal seperti ubat nyamuk, tahi lembu dan macam² lagi. Lagi sedih, jika anda berada di sof hadapan perubatan, anda akan melihat para pemabuk ketum ini bermasalah besar dari sudut fizikal, mental dan sosial.

Sekian

Dr Suhazeli Abdullah 
_Insan Faqir_


28.7.2016.

P/s: posting ini bukan bermakna saya menyuruh atau bersetuju utk tanam opium poppy dalam negara. Saya hanya membawa perbandingan antara kedua tumbuhan tersebut.

Rujukan 
[1] Ketum. http://onlinelibrary.wiley.com/d…/10.1111/adb.12185/abstract
[3] Mitragynine In Thailand.http://www.tandfonline.com/d…/abs/10.1080/10826080701205869…
[4] Khratom in Medical Use.http://www.emcdda.europa.eu/publicatio…/drug-profiles/kratom

No comments: