Friday, June 15, 2012

Hilangnya Seorang Seorang Murabbi

ZIARAH MENCARI BARAKAH: SATU CORETAN

by Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Menziarahi saudara muslim merupakan amalan yang mulia di sisi Islam. Apatah lagi jika menziarahi orang yang sedang sakit. Lebih lagi jika orang itu insan yang banyak berjasa. Ditambah lagi jika dia seorang ilmuwan yang mempunyai sumbangan yang tersendiri. Jika kita mempunyai kesempatan yang seperti itu, silalah sambut. Bukan selalu kebaikan datang terbentang. Bukan selalu peluang datang bertandang.

Nabi s.a.w memberitahu kita dalam sabda baginda:
“Sesungguhnya muslim apabila menziarahi saudara muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu khurfah syurga?. Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Riwayat Muslim).
Ertinya, orang yang mengunjungi saudara muslim yang sakit seakan dia dalam keadaan memetik buah-buah syurga sepanjang tempoh tersebut. Ertinya perjalanan itu penuh dengan kebaikan dan pahala. Apa yang penting kita mengikhlaskan niat hanya kerana Allah.
Sehari sebelum Ramadan baru-baru ini, Allah telah memberikan limpah kurniaNya kepada saya hambaNya yang amat kerdil dan daif ini dengan diberikan kesempatan menziarahi dua orang tokoh yang banyak menyumbang kepada masyarakat mereka. Kedua-duanya secara kebetulan sedang uzur. Pertama; al-Fadhil Tuan Guru Hj Hashim bin Hj Abu Bakar. Keduanya; guru saya yang saya kasihi al-Fadhil Ustaz Yahya Uthman.
Tuan Guru Hj Hashim Pondok Pasir Tumbuh
Sebelah pagi, saya telah menziarah Sahibul Fadhilah Tuan Guru Hj Hashim bin Hj Abu Bakar, yang merupakan pengerusi tadbir Pondok Pasir Tumbuh. Beliau orang ‘lama’, lahir pada tahun 1923M. Sebagai tuan guru yang sudah lama berkhidmat dan banyak pula muridnya, tentulah banyak jasa dan sumbangannya kepada masyarakat. Kita patut hargai sumbangan yang telah diberikan. Kesanggupan mengabdikan diri kepada ilmu dan para pelajarnya, sesuatu yang bukan sedikit nilainya.
Sekarang beliau uzur. Semasa saya menziarahi, beliau tidak sedar. Ahli keluarganya menyambut kedatangan saya, alhamdulillah. Semoga Allah menyembuhkan beliau dan sentiasa melimpahkan kurniaan dan rahmatNya untuk beliau. Orang sepertinya sentiasa diperlukan dalam masyarakat kita. Jika beliau sedar, saya ingin berkata kepada beliau: “Tuan guru, berikan saya nasihat dan pesanan”. Pesanan orang berilmu dan berpengalaman amat berharga untuk kita dengar.

Saya berada di samping Tuan Guru Hj Hashim yang sedang uzur.
Ya, saya akur bahawa terdapat beberapa pendapat yang berbeza antara sesetengah pihak termasuk saya dengan beberapa pandangan dan pendekatan yang biasa dipegang atau diamalkan di sebahagian pondok pengajian tradisional melayu. Pun begitu, ia bukanlah sebab untuk kita tidak menghormati tokoh dan menghargai antara satu sama lain. Ukhuwwah dan kasih-sayang sesama muslim tidak wajar diputuskan hanya kerana pandangan yang berbeza dalam beberapa masalah furuk. Manusia ini, selagi dia manusia akan ada perbezaan pendapat antara mereka. Mereka yang pernah berada bawah didikan Nabi s.a.w iaitu para sahabah baginda pun mempunyai perbezaan pendapat dalam kalangan mereka. Apatah lagi kita yang sudah jauh jarak waktu antara kita dan baginda s.a.w.

Saya memegang tangan Tuan Guru Hj Hashim
Setiap insan –setelah mempelajari hujah dan dalil- hendaklah berpegang dengan pendapat yang dia yakini paling diredhai Allah. Ini kerana setiap kita akan menjawab untuk diri sendiri di hadapan Allah Azza wa Jalla atas jalan yang dipilih. Tiada siapa yang dapat menolong, melainkan keikhlasan kita dalam beragama. Tanda keikhlasan itu, seseorang memilih apa yang dia yakin –berdasarkan ilmu yang dipelajari- bahawa itulah yang Allah mahu dalam beragama. Bukan atas emosi, bukan atas fanatik. Sebaliknya, atas ikhlas dan yakin.
Selepas itu, kita akur nanti akan ada perbezaan. Kita hormati pilihan setiap saudara muslim kita. Dengan syarat, ianya dalam lingkaran ilmu. Soal keikhlasan, niat dan hasrat setiap kita hanya Allah Yang Maha Tahu. Kita tidak dapat menilai apa yang terselit dan berselindung dalam dada orang lain. Hakikat batin setiap insan menjadi rahsia Allah yang kita tiada ruang untuk kita masuk campur mengenainya.
Maka, tiada siapa dapat memaksa orang lain mengikut pandangannya atau ulama pilihannya. Entah berapa ribu para ilmuwan sepanjang sejarah ilmu dalam Islam ini yang telah melahirkan pelbagai pendapat. Mereka semua itu pun di bawah lembayung Ahlus Sunnah wal Jamaah. Setiap mereka telah berhujah dan berbeza pandangan. Kita ini menuruti rangkaian sejarah yang sama. Memilih dan memberikan pendapat. Tujuannya hanya satu; mencari keredhaan Allah dan memilih jalan dalam beragama yang diyakini memenuhi kehendak Allah dan rasulNya. Tiada siapa boleh berkeras kuasa ke atas orang lain dalam persoalan ilmu, melainkan sekadar berbicara dengan hujah dan alasan yang dia yakini. Kemudian, dia patut berkata seperti al-Imam as-Syafi’i r.a. (wafat 204H) yang menyebut:
“Pendapatku betul, ada kemungkinan salah. Pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul”.
Demikian zuhud dan waraknya imam yang agung itu. Bukan seperti sesetengah, pendapatku betul, pendapat orang lain sesat dan terroris!
Maka, Allah jua Yang Maha Mengetahui segalanya. Hanya yang boleh kita lakukan ialah seperti apa yang Allah firmankan (maksudnya):
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).
Justeru, kita hormati setiap yang berjasa. Kita berterima kasih kepada sumbangannya. Kita sayang mereka kerana Allah. Itu semua tidaklah bererti menghalang kita memberikan pandangan yang berbeza dan pendapat yang berlainan atas asas ilmu pengetahuan.
Al-Fadhil Ustaz Yahya Uthman
Selepas menziarahi Tuan Guru Hj. Hashim, saya pergi ke Machang menziarahi guru lama saya al-Fadhil al-Syeikh al-Murabbi al-Ustaz Dato’ Yahya Uthman. Beliau merupakan bekas exco Kerajaan Kelantan. Seorang yang terkenal dengan kesungguhannya dalam tarbiyyah atau asuhan diri dalam PAS. Pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti itu. Ustaz Yahya terkenal dengan bahasa Arabnya. Pendek kata lebih fasih arab daripada melayunya. Bicaranya, bicara dakwah. Ceritanya cerita dakwah. Seakan Allah menciptanya untuk tugasan itu. Apa tidaknya, beliau anak didik banyak tokoh-tokok ilmu dan dakwah termasuk al-Syeikh Yasin al-Fadani, al-Syeikh Mustafa as-Siba’i dan ramai lagi.
Saya kenal Ustaz Yahya sejak saya menjelang usia 20-an. Semasa saya berkursus bahasa Arab untuk keluar negara di Nilam Puri. Saya mencari guru untuk mempelajari ilmu tambahan. Alhamdulillah, itulah yang sering saya lakukan sehingga kini setiap kali ada kesempatan. Ustaz Yahya aktivis PAS yang terkenal dalam kalangan anak-anak muda yang cintakan tarbiyyah dalam parti itu. Saya berusrah dengan beliau di Dewan Zulkifli, membaca buku Baina al-Qiyadah wa al-Jundiyyah ‘ala Tariq al-Da’wah (Antara Pimpinan dan Petugas Atas Jalan Dakwah) karangan Mustafa Masyhur. Saya masih ingat buku saya ketika itu hanyalah buku potostat, kerana sukar untuk mendapatkan buku asli dalam teks arabnya. Kami potostat dari buku beliau. Semasa itu kadang-kala saya ke rumah beliau, menumpang beliau ke program dan seumpamanya. Itu cerita hampir dua puluh tahun lepas.
Sejak beberapa tahun lepas, semasa dan selepas menjadi Mufti Perlis, saya berusaha mendapatkan nombor telefon beliau. Apatahlagi, apabila saya sering mendapat jemputan dari Kelantan. Namun, masa atau kesibukan menghalang untuk saya sampai ke rumah beliau. Saya kembali sempat bertemu dengan beliau apabila saya dijemput sebagai tetamu ke Muktamar Dewan Pemuda PAS tahun 2010. Saya rasa sayu dan bersalah kerana lama tidak bertemu dengan beliau. Beliau kelihatan sudah agak uzur.

Saya bersama Ustaz Yahya Othman dalam Muktamar Pemuda PAS 2010. Saya hadir sebagai tetamu.
Kemudian, saya beberapa kali ke Kelantan, masih tidak sempat menziarahi beliau. Cuma kadang-kala ada bercakap dan berbincang beberapa perkara melalui telefon. Semasa angin bertiup tentang saya akan masuk UMNO, beliau juga memberikan nasihat kepada saya. Begitu juga kadang-kala beliau bertanya pendapat saya tentang isu-isu yang lain. Hakikatnya, beliau jauh lebih lama dalam politik. Mungkin sekadar hendak mengetahui pandangan.
Alhamdulillah, baru-baru ini saya sempat menziarah beliau di Machang. Ustaz Wan Sharafi sudi membawa saya ke sana. Saya disambut mesra oleh beliau. Terasa sifat murabbi beliau itu. Walaupun agak uzur, masih dapat memberikan nasihat dan bercerita. Berulang kali saya sebut kepada beliau ‘Ustaz! Berilah nasihat kepada saya’. Beliau memberinya secara langsung dan tidak langsung. Semoga Allah memberikannya pahala yang besar!

Ustaz Yahya menyambut kedatangan saya dan Ustaz Wan Sharafi dengan penuh mesra.
Beliau menceritakan pengalaman beliau. Diselang-seli dengan nasihat yang berguna tentang apa yang beliau kutip dari pengalaman hidup. Itulah Ustaz Yahya Othman. Beliau tetap seperti semalam. Nasihat dan pesanan untuk para pendakwah dan petugas di jalan dakwah

Ustaz Yahya bercerita dan bertukar-tukar pandangan


Saya memohon Ustaz Yahya memberikan nasihat dan pesanan kepada saya.
Beliau mengajak saya makan tengahari di rumahnya. Saya agak keberatan pada awalnya kerana kami datang tanpa notis awal. Beliau memberitahu saya, antara kebaikan orang Kelantan suka menjamu tetamu sekalipun hanya sekadar ‘makan ulam’. Saya menerima jemputan beliau. Makanan yang baik dari rumah insan yang baik. Saya terpaksa batalkan jemputan orang lain tengahari itu.

Makan tengahari di rumah beliau


Ucapan selamat tinggal bagi ziarah kali ini setelah mengutip nasihat dan pesanan
Selepas makan, berbicara seketika lagi, kemudian saya bergegas pulang ke hotel kerana bimbang terlepas kapal terbang. Apapun, saya gembira dan bahagia dengan ziarah sehari sebelum Ramadan. Banyak kebaikan yang diperolehi, mudah-mudahan banyak keberkatan yang dibawa pulang. Hidup ini mencari bekalan untuk menerus perjalanan. Bekalan untuk membimbing jalan dan bekalan untuk dibawa pulang ke persada akhir kehidupan.

Petikan penuh daripada: http://drmaza.com/home/?p=1518

Tuesday, June 12, 2012

Selayang Pandang


Terang benderang
Terang tapi tidak menyilaukan
Karena akupun setitik cahaya
Dalam lautan cahaya
Aku adalah kehidupan
Kehidupan tanpa ada yang menghidupi
Kehidupan yang berdiri dengan sendirinya
Meliputi semua yang hidup
Meliputi semua yang berwujud dan tak berwujud
Cahaya segala cahaya
Cahaya kesadaran dan kebenaran serta kehidupan sejati
Menyinari dan menepis sisa sisa kegelapan dihati dan jiwa
Memancar dan meliputi seluruh keberadaanmu
Mengurai sinar kasih sayang dan kemesraan
Sebagai bekal untuk melangkah menjalani kehidupan
Papan tanpa tulisan persiapkan dan carilah dahulu sebelum kita melangkah keluar diri
agar menjadi media yang baikdalam laku dan tindak tumindak
sebagai tempat tulisan tanpa papan
Jika keduanya sudah menyatu dan melebur dalam sang diri
maka hiduplah sang diri terliputi oleh kesadaran sejati
bukan hidup dipimpin oleh akal pikir
bukan hidup dipimpin oleh rasa perasaan
Tetapi hidup yang dipimpin oleh KESEDARAN SEJATI
Bersemi indah bagaikan mentari pagi
Melarutkan sisa sisa kegelapan dijiwa
Membangkitkan hidup lebih hidup
Manunggaling kawulo lan Gusti
leburnya papan dengan tulisannya
tapi tetap kita hanyalah kawulo cilik
yang lemah tak berdaya upaya
Tak bisa melangkah apalagi berlari
kehendak dan iradatNYA
hanya berjalan dan berjalan
melangkah dalam kebodohan
untuk melaksanakan sebuah Dharma
Sebagai botol tanpa isinya
dan tak pernah merasakan pahit dan manis isinya
ya hanyalah sebuah alat
semua telah kembali kepadaNYA
dariNYA untukNYA olehNYA dan bagiNYA.


 

Saturday, June 02, 2012

Dedikasi Khas Buat Pelajar Tahun Akhir



Alhamdulillah.. penat jerih 4 & 5 tahun (ada juga 6,7 & 8) di IIUM (Kuantan) bakal berakhir. Ada yang gembira mengimpikan keindahan alam pekerjaan, gaji yang lumayan, kehidupan yang selesa dan ada juga yang berduka terkenang saat perpisahan dengan sahabat-handai (bayangkan wajah2 mereka..).

Begitulah dunia ini. Hal ini tidak lah begitu ganjil kerana Bumi ini juga telah bertukar ganti penduduknya semenjak kewujudannya 4.5 bilion tahun yang lalu. Cuba kenangkan saat anda mendaftar di kampus ini dahulu dan anda akan dapati cepatnya masa berlalu.

  1. Student A : belajar di uia 4 tahun, dan berjaya mendapat sekeping kertas bernama IJAZAH. Lalu berkerja.
  2. Student B : belajar di uia 4 tahun, dan berjaya mendapat sekeping kertas bernama IJAZAH, dalam masa yang sama meninggalkan memori dan rakan-rakan rapat (gembira & menangis bersama terutama tika menonton korea..), dan berDOTA. Lalu bekerja.
  3. Student C : belajar di uia 4 tahun, dan berjaya mendapat sekeping kertas bernama IJAZAH, dalam masa yang sama mahir membuat kertas kerja, public speaking, leadership skills, mahir selok belok bisnes, public relation superb, aktif dalam dakwah, usrah, mempunyai kefahaman jelas tentang Islam yang syumul, aktif dalam sukan futsal, tenis, skuasy, mahir berenang dan punyai sahabat-sahabat sedunia dan seakhirat =)
Ketiga-tiga mereka ialah graduan, diberi masa yang sama 4 TAHUN, tetapi hasil akhirnya sedikit berbeza. Kita di kategori yang mana ?

Apapun pilihannya, tidak ada istilah terlambat dalam kamus hidup seorang Moslem. Rancanglah kehidupan anda dari sekarang. Sekurang-kurangnya ada masa untuk 5 perkara ini :
  • Kerja (apa pun jurusan, asalkan halal dan baik eg Maggi itu halal, tapi kurg baik utk kesihatan =) 
  • Ilmu - rugi lah kalau belajar sampai umur 25 sahaja, elok kalau sampai saat nafas terakhir..
  • Dakwah - lihat masyarakat sekeliling ..dan geleng kepala. Tanya diri sendiri apa yang boleh aku sumbangkan ??
  • Ekonomi / Bisnes (bukankan 9/10 rezeki itu dalam perniagaan ? cuba..)
  • Leadership ( join NGO, usrah cawangan etc)
Sunngguh kenangan bersama kalian akan aku rindui dan ingati sepanjang  perjalanan hayat ini. Jutaan kemaafan dihulur sekira ada salah dan silap. Moga berjumpa lagi , kalau tidak di reunion dunia ini,  insya-Allah di taman-taman syurga Allah nanti. Uhibbukum fillah.



SHARIF AHMAD
Timbalan Yang Dipertua I,
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Wednesday, May 30, 2012

Aku, Dia dan Exam..~



 p/s: video ini hanyalah nasihat semata-mata..tiada kena-mengena dengan spesifik individu tertentu yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia..^_^

Thursday, May 17, 2012

Atas PAGAR Makan Budi..


Angin Pilihanraya Umum ke-13 semakin kuat bertiup.

Apakah ini suatu spekulasi?

Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana pilihanraya adalah milik kita semua dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Hairan juga saya dengan saranan sesengah pihak yang menyuruh rakyat berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRU13. Mengapa pula begitu? Semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami.


Parti politik yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihanraya mereka.

Rakyat juga perlu melakukan pelbagai perkara untuk memastikan mereka boleh mengundi. Out station, bertugas di luar negara, melakukan pembedahan elektif, menyusun rotation kerja bagi kakitangan perubatan dan 1001 sebab lagi. Semuanya terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh pilihanraya dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa.

Tetapi bukanlah hal itu yang menjadi bahan fikir saya kebelakangan ini. Apa yang lebih membimbangkan saya, ialah kecelaruan pemikiran para pengundi, khususnya dari kalangan generasi muda yang bakal mengundi buat pertama kali, tentang segala hal yang berkaitan dengan pilihanraya dan proses demokrasi di negara kita.

AKU PEDULI APA 

Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.

Dalam perjuangan mahasiswa, mata terus memberi perhatian kepada pertembungan antara pro BN dengan pro PR. Namun kita terlepas pandang bahawa pertempuran paling besar ialah pertempuran antara golongan PEDULI dengan golongan TIDAK PEDULI.

Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.

POLITIK YANG JENGKEL

Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana.

Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti.

Anak muda bukan punya sabar untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh daripada pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, kedua-duanya bisa gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.

Tetapi mengambil peduli tentang politik memang memerlukan stamina yang tinggi.

Stamina emosi!

Jika kekotoran politik Malaysia menjadi alasan mereka enggan peduli, anak muda Malaysia perlu meninjau  anak muda Turki berdepan dengan politik negara mereka yang lebih dahsyat lagi bangsat (maaf), namun mahasiswa di Turki tidak lelah. Jika stamina tinggi mengambil 16 subjek untuk SPM, seharusnya stamina yang sama dipinjamkan kepada keperluan mengambil tahu tentang politik.

Sama ada atas asas Islam, sosialis, Laiklik (sekularisma Turki), atau apa sahaja, peduli dan melakukan sesuatu berkenaan kepedulian itu ertinya sudah menyelesaikan 50% urusan perubahan.

KESALAHAN PARADIGMA

“Saya pening, tak tahu nak undi mana satu. Dua-dua tak meyakinkan!” kata seorang anak muda di Facebook.

“Senang cakap ustaz sebenarnya sokong siapa kerana apa yang kita lihat ikut hukum logik politik kepentingan perlu buang undi memenangkan kedua-dua kelompok ini? Apakah kedudukan umat Islam bergantung dengan kedua-dua kelompok ini?” tanya seorang anak muda lagi. Di Facebook juga.
Kesalahan paradigma kita ialah undi kita adalah untuk menguntungkan pihak yang diundi.
Itu salah.

Kerja kita bukan hanya mengundi.

Mengundi hanya permulaan.

Kita mengundi untuk menyediakan ruang kita berperanan. Pihak yang perlu dimenangkan ialah pihak yang apabila menang, dia mahu mendengar nasihat, tunjuk ajar dan cadangan kita. Dalam erti kata yang lain, selepas pilihanraya, kita mesti terus bekerjasama untuk mengisi keputusan pilihanraya dengan maslahah-maslahah masyarakat, Yakni kita aktif membantu pihak yang menang mengisi kemenangan.

Bukannya selepas undi, kita tinggalkan politik dan komen dari jauh sama ada orang politik sudah buat kerja atau tidak!

Al-Imam Ahmad dan al-Baihaqi meriwayatkan cerita oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang wasiat Nabi Nuh ‘alayhi al-Salaam kepada anaknya di ambang kewafatan Baginda. Hadith yang panjang itu menyentuh perkara berikut:

Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”
Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?
Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”

[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]

Perjuangan kita ialah untuk menundukkan kesombongan agar yang memerintah ialah pihak yang mahu mendengar kata. Bukan meremehkan saranan-saranan, mentertawakan kritikan, pandai dalam semua benda hingga politik tidak perlu mendengar pendapat ahli bahasa dalam masalah bahasa, ahli sukan dalam masalah sukan, ahli pendidikan dalam masalah pendidikan, semata-mata kerana AL-KIBR!

Pihak yang masuk ke Parlimen dan Dewan Rakyat itu memang bukan nasib kita bergantung kepada mereka, tetapi keputusan-keputusan mereka menimpa kita secara langsung.
Maka siapa yang mahu dihantar masuk ke bilik-bilik mesyuarat penggubalan dasar pusat dan negeri itu, amat kritikal!

Namun usaha semua orang di bidang masing-masing mesti diteruskan sama ada di ahli politik atau tidak.
Terutamanya kakitangan awam yang mesti terus berkhidmat kepada rakyat, dan bukannya kepada parti, tanpa mengira apakah bentuk peralihan kuasa pasca Pilihanraya Umum. Kakitangan awam adalah tunggak utama urus tadbir negara.

TERNAKAN AL-MALA’

Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg.

Isunya lebih dari itu.

Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya.

Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan seks.


Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.

Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.

Apakah falsafah binatang ternak?

Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!

Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.

Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.

Neraka Jahannam bukan hanya dihuni oleh manusia jahat lagi ahli jenayah.

Neraka Jahannam juga dihuni oleh orang-orang yang LALAI.

Ayat ini seharusnya menjadi peringatan paling tegas untuk membanteras gejala AKU TIDAK PEDULISMA.


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A'raaf 7: 179]

Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?

Semua pihak perlu serius memikirkan hal ini. Mereka yang bertanding, yang berkempen, yang berdakwah, yang bersiasah… isu ini isu semua.

Pilihanraya, demokrasi, baik pulih pemerintahan… adalah isu yang tidak punya sebarang makna bagi manusia yang hanya berfikir tentang perutnya.

PASRAH SAHAJA

Dunia adalah ladang Akhirat. Nasib kita di Akhirat sangat berkait rapat dengan reaksi dan aksi kita di dunia.
Perbalahan di zaman ini bukan seperti di zaman Muawiyah vs Ali radhiyallahu ‘anhuma yang amat sukar untuk ditentukan pihak mana yang hendak dihulurkan tangan.

Sesungguhnya di Akhirat nanti, Allah tidak simpati kepada golongan ‘tertindas’ yang semasa hidup di dunia, mereka tidak bertindak. Hanya pasrah sahaja.


“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [Al-Nisaa' 4: 97]

ERA PAHLAWAN KEYBOARD

Golongan TIDAK PEDULI itu buat masa ini masih kelompok paling besar.

Ramai dari kalangan mereka, amat rancak duduk di depan laptop atau telefon pintar bersuara BISING.

Kekuatan penguasa di mana-mana sahaja banyak bergantung besar pada golongan ini. Mereka tidak perlu menyokong pembangkang yang memerlukan kepada kesedaran politik, membaca, menganalisa, berusrah dan lain-lain kesusahan. Untuk menghasilkan golongan ini, beri sahaja apa yang nafsu mereka mahu. 

Hiburan, duit poket, ‘kestabilan sosial’ yang semuanya itu diberikan tanpa golongan ini sedar pun bahawa mereka sedang menikmatinya.

Mereka menganggap tidak berpihak mereka kepada mana-mana pihak itu adalah sebuah intelektualisma, bebas, merdeka, bukan balaci pembangkang dan kemegahan-kemegahan buana yang dicanang.. Tetapi merekalah al-An’aam golongan Al-Mala’!

Hakikatnya, mereka hanyalah golongan yang ‘menyembah Allah di pinggiran’.
Opportunist!


“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula. (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata” [Al-Hajj 22: 11]

Jika bosan dengar celoteh seorang ustaz, dengarlah nasihat Desmond Tutu:

If you are neutral in situations of injustice, you have chosen the side of the oppressor. If an elephant has its foot on the tail of a mouse and you say that you are neutral, the mouse will not appreciate your neutrality. 

 Selamat berpihak.





Petikan Penuh Daripada:

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

Monday, May 14, 2012

Fitnah Ukhti Barbie dan Akhi Ken


“Perkara paling sweet ialah ketika dua orang saling rindu, namun tidak berkomunikasi, tetapi keduanya saling mendoakan di dalam sujudnya masing-masing”

Demikian ungkapan yang dikongsi.

‘Kata-kata hikmah’ yang terkini, disertai dengan ilustrasi.

Lama saya berfikir, sejauh manakah seriusnya hal ini. Penting sangatkah ia untuk disentuh, atau dalam bahasa yang lebih langsung, DITEGUR. Banyak isu lain yang lebih membimbangkan. Sejauh ozon berlubang, sekritikal isu Palestin dan Syria, sehangat isu Pilihanraya Umum yang tidak bersih, hinggalah kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna semasa.

Berbaloikah untuk menjentik topik ini?

Saya mencubanya di Facebook. Dari Facebook ia datang, di Facebook juga ia perlu disuarakan.


PASCA CINTA ANTA ANTI

Dulu-dulu, sahabat saya Ustaz Maszlee Malik telah mencetuskan diskusi yang meluas di kalangan anak muda dengan artikelnya ‘Cinta Anta Anti’. Berkongsi nasihat dengan adik-adik yang berperibadi Islam, sebahagiannya aktif dengan kerja-kerja amal Islami, tetapi terperangkap dalam nafsu yang dibungkus dalam pakaian Islam. Seorang ‘akhi’ menghantar sms berisi ‘Tazkirah of the Day’ kepada seorang ‘ukhti’, dan tersenyum-senyum mereka berdua dalam cinta jarak jauh, yang dipisahkan oleh Syariat.

Sesekali sms atau miss call ditujukan pada jam 4:30 pagi, memberi friendly reminder agar si ukhti bangun daripada tidur yang lena, membasahkan wajah dengan wudhu’ dan membawa muka itu sujud kepada Ilahi ketika dunia sedang alpa dalam mimpi dan tidur yang lena.

Mereka terlupa bahawa mereka juga sedang bermimpi dan tidur dalam jaga.

Dalam pelukan ‘akhi Syaitan’!

Saya perlu suarakan hal ini. Saya bertanggungjawab menghasilkan tiga buah buku CINTA ke tengah masyarakat. Buku cinta saya ada yang terbit menjadi drama, ada yang diforumkan bersama Kang Abik peneraju fenomena Ayat-ayat Cinta. Buku cinta saya juga menjadi ceramah tajuk cinta yang entah berapa ratus kali semenjak 2008 dan kesemuanya saya simpulkan di dalam catatan terakhir siri ketiga ATN di bawah tajuk MURABBI CINTA.

Tujuannya adalah pada ‘menseriuskan’ topik CINTA.

Membasmi penangan novel-novel cinta yang mengheret pembaca ke dunia fantasi yang menjauhi realiti. Malah lebih membimbangkan, dek penerimaan yang meluas, ia membentuk pula realiti alternatif.

Perjuangan saya (mudah-mudahan diterima Allah) adalah pada membuktikan bahawa cinta merupakan terjemahan AQIDAH, PANDANGAN HIDUP dan SISTEM NILAI seseorang. Tiga komponen itu juga merupakan sisi manusia yang diserang oleh DAJJAL (Sayyid Qutb: Tafsir Surah al-Kahf di dalam Fi Dhilal al-Quran) Justeru proses menterjemahkan Aqidah kepada cinta dan rumahtangga, turut mengalami fitnah Dajjal.

ERA ANIMASI

Terkini, fitnah itu bukan lagi diungkapkan melalui sms, atau teks.

Ia diilustrasikan.

Ilustrasi yang sering kita temui melalui sentuhan artis-artis Korea seperti Lee Tae-Ho, tetapi membawa mesej ‘Islamik’. Sesungguhnya ilustrasi sebegini memberi kesan yang lebih merbahaya kepada anak muda terhadap fitnah Cinta Anta Anti. Jumlahnya semakin besar dan tersebar. Perkongsiannya semakin meluas. Biar pun saya tiada statistik untuk membuktikan implikasi fenomena ini, namun cukuplah dengan pemerhatian peribadi saya terhadap trend cinta semasa melalui pergaulan, jemputan-jemputan ceramah dan reaksi hadirin terhadapnya.

Mata saya memerhati bentuk poster program, bagaimanakah gelagat peserta sesama mereka sebelum ceramah bermula, ungkapan pengerusi majlis semasa memulakan program, serta perbandingan terhadap jumlah kehadiran di bawah tajuk Cinta dan tajuk non-Cinta, oleh penceramah yang sama serta penceramah yang berbeza.

Mungkin agak kasar, namun kesimpulan saya ialah: GEDIK.

bp = tergedik-gedik lincah (bkn gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar; menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya yg montok. [KAMUS DEWAN EDISI 4 - VERSI ATAS TALIAN]

SUBLIMATION IN PSYCHOLOGY?

Saya tidak dapat menyetujui saranan pendapat bahawa fenomena ini mesti dilihat sebagai sesuatu yang positif, bersandarkan kepada teori sublimation in psychology yang dihuraikan oleh Sigmund Freud sebagai satu bentuk defense mechanism bagi menukar pelbagai bentuk ekspresi psikologi kepada sesuatu yang diterima sebagai bermanfaat oleh masyarakat. Ia jauh lebih berbahaya daripada kisah J. F. Dieffenbach yang memotong ekor anjingnya semasa kecil secara yang sadis, dan kemudian menjadi titik mula kepada Dieffenbach menjadi pakar bedah yang terkenal!

Teori Sublimation ini mesti diiringi dengan teori Tipu Daya Iblis yang dibentangkan secara terpeinci di dalam naskhah klasik Talbees Iblis oleh Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi al-Baghdadi (meninggal dunia tahun 597H) betapa Syaitan secara licik menggunakan pendekatan bertahap untuk menyesatkan, bukan hanya orang biasa-biasa seperti kita, hatta para ulama. Bukan hanya secara mikro di peringkat individu, malah secara makro hingga membentuk kelompok Khawarij, Syiah Batiniyyah dan yang seumpama dengannya.
Kerana itu zina, dan sebarang objektif Syaitanik, mesti dikesan daripada langkah-langkah kecil menuju ke arah itu.
“Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi” [Al-An'aam 6: 151]

Selepas bertanggungjawab ‘menghantar’ hampir 100 ribu naskhah buku cinta ke tengah masyarakat Malaysia, saya tegaskan bahawa tiada isi kandungan buku saya yang menjurus ke arah ini.

Malah buku saya bukan buku cinta.

Ia adalah buku yang menggunakan cinta sebagai alat untuk mengubah kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai. Buku yang sepatutnya menyedarkan, bukan mengkhayalkan. Buku yang membantu pembaca berfikir, bukan membiuskan fikiran mereka.

KISAH ABDULLAH BIN ABU BAKAR

Teringat saya kepada ujian yang menimpa Abdullah, anak kepada Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu. Abdullah mengahwini seorang gadis perawan yang serba lengkap kelebihan dirinya iaitu Atiqah binti Zaid. Namun perkahwinan mereka berdua teruji apabila Abdullah yang terlalu mencintai Atiqah tercuai daripada pelbagai tanggungjawab hingga mengabaikan solat dan kesemuanya ini mengecewakan Abu Bakar. Sebagai bapa, beliau bertegas memberikan nasihat yang telah menyebabkan Abdullah ‘terpaksa’ menceraikan Atiqah kerana cinta mereka sudah menjadi FITNAH.

Demikianlah ujian cinta seorang pejuang yang membantu proses Hijrah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bernama Abdullah, anak kepada seorang tokoh terhebat bernama Abu Bakr.
Perceraian yang berlaku kerana cinta yang terlebih dos.

Cinta yang membingungkan.

Cinta Abdullah dan Atiqah hanya terjalin semula dalam sebuah perkahwinan selepas diislahkan oleh Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, namun harganya adalah sebuah PEٌCERAIAN.

Kes ini amat terpencil.

Namun dengan perceraian yang berlaku setiap 15 minit di dalam masyarakat kita, saya kira ‘belajar makna perkahwinan melalui perceraian’ mesti ditangani dengan serius.

PERKAHWINAN DAN MINDA SEDAR

Perkahwinan dan rumahtangga perlu didatangi dengan minda sedar. Minda yang jelas tentang erti sebuah perkahwinan yang lebih daripada sekadar rasa cinta, kemahuan seorang lelaki kepada seorang perempuan, atau perempuan kepada lelaki. Nikah datang dengan tuntutan upaya mengendalikan output perkahwinan, bermula daripada persefahaman dan kerjasama, pengurusan hubungan dua keluarga dalam dimensi mertua dan ipar, anak yang bayi kemudian kanak-kanak, remaja dan seterusnya dewasa, pengurusan kewangan, kesihatan, tekanan kerjaya dan keluarga, yang semua itu perlu didatangi dengan minda sedar, bukan gedik.
Saya bekerja keras untuk menimbulkan minda sedar itu.

Justeru saya perlu menyatakan bahawa, ilustrasi-ilustrasi cinta Islamik ini membinasakannya.
Dara dan Sara? – Alternatif Barbie and Ken oleh Iran

Oh, alternatifnya?

Perlukah ada alternatif?

Fitnah ini timbul bukankah kerana mahu ‘mengalternatifkan’ apa yang tidak perlu kepada alternatif?

Kita perlukan Ukhti Fatimah dan Akhi Ali.

Bukan Ukhti Barbie dan Akhi Ken!





Petikan penuh daripada:

ABU SAIF @ www.saifulislam.com,
43000 Bandar Seri Putra