Friday, January 25, 2013

JUST LISTEN… (Hanya dengan Mendengar!)


Percayalah, kekadang manusia hanya inginkan ‘didengar’ bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia terasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar…

Saya sendiri menempuh pelbagai kesalahan dan kesilapan dalam hidup akibat tidak mendengar. Sangka saya, dengan berkata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika kita menjadi pendengar.

Kita pernah mendengar di corong radio apabila masyarakat menghubungi pakar motivasi, ulama, ustazah dan pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan masalah. Mereka hanya bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin didengar.

Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan penyelesaian tetapi hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang.

Mari pada hari ini, kita bertekad untuk menjadi pendengar. Ketapkan mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. InsyaAllah, kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, pengikut dan pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang pertama: Just listen…hanya dengan mendengar.

Dari saya, hanya seraut catatan.

HANYA DENGAN  MENDENGAR…

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya.

Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.”

Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.

Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain.

 Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?
Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!

Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata.

Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?

Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya  bila-bila masa sahaja.

Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak.  Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!

Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…

Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!

Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.

Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!

Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.

Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.

Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…

Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.


Sumber:  genta-rasa.com/2013/01/17/just-listen-hanya-dengan-mendengar/#more-2401

Friday, January 18, 2013

Harga yang Perlu Dibayar Demi Sebuah Perjuangan..~


Menegakkan kebenaran beriringan dengan risiko. Ada risiko kecil, ada risiko besar. Semasa Luqman menasihati anaknya agar amar makruf dan nahi munkar, realiti ini sudah pun dijelaskan (Q31:17)

Asasnya sama iaitu SABAR. Ganjarannya pun sama iaitu BERITA GEMBIRA BUAT YANG SABAR.

ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Q2:155)

Anak muda mahu berdiri, tetapi bagaimana kalau, kalau, kalau dan kalau...

Sedangkan...

1. Jika dimarah, sabar.
2. Jika dibenci, sabar.
3. Jika dikutuk, sabar.
4. Jika digantung pengajian, lawan kes sambil baca buku di luar pengajian.
5. Jika digantung biasiswa, lawan kes sambil berusaha mencari rezeki.
6. Jika dibuang universiti, lawan kes dan usaha masuk semula.
7. Jika mati, syahid.

Dalam 1000 orang yang bangkit:

0 menerima ujian nombor 7, Alhamdulillah, jauh sekali.
3 menerima ujian 4,5 dan 6. Allah sangat sayang mereka, yakin dengan kebolehan mereka, dan mahu mereka mencontohi ulul azmi.
997 akan diuji dengan ujian 1,2,3.

Dan ujian 1,2,3... harga murah yang perlu dibayar untuk mengejar produk yang amat mahal... di sini dan Sana.

Waja, bijaksana, sederhana, berbudi bahasa.

Tumpaskan kebatilan, dengan kebenaran dan CINTA.



(Ust Hasrizal Abdul Jamil, 2013)

Wednesday, January 16, 2013

Listen, listen, listen!!



Dalam suatu kisah, Imam Abu hanifah berjumpa dengan seorang budak. Budak tersebut kelihatan seakan-akan ingin tersadung, dek kerana selipar yang dipakainya. Imam Abu Hanifah menegur; "Kau akan terjatuh kerana selipar itu." Imam memberikan peringatan. Kemudian, budak tersebut menegur; "Bukankah engkau Imam Abu Hanifah?" "Iya, akulah Imam Abu Hanifah." Budak tersebut memberikan nasihat; "Sekiranya aku tersadung, aku hanya akan tersadung di dunia, disebabkan selipar ini. Tetapi, sekiranya engkau wahai Imam Abu Hanifah, tersadung disebabkan jawatan engkau, engkau bukan sahaja tersadung di dunia, malah engkau juga akan tersadung di akhirat". Imam Abu Hanifah menangis. Subhanallah! Seorang budak menegur seorang ulama yang hebat! Tanpa mengira usia! Jika kejadian ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita, aku sudah dapat mengagak kejadian yang akan berlaku. "Kurang ajar punya budak! Kecil-kecil lagi dah pandai menjawab!" Begitulah realiti masyarakat kita. Terlalu merumitkan isu umur..=)
p/s: "Ramai yang marah dalam kes 'Listen 11x' tetapi sebahagian besar masyarakat kita memang mudah ditipu, diperbodoh, diperdaya dan dikongkong, kerana apa? Sebagai contoh lihat skim cepat kaya yg begitu mudah menipu tetapi sangat digemari ramai. Kes Listen 11 x dikatakan mengongkong mahasiswa, tetapi adakah hanya mahasiswa yang dikongkong suaranya? Bagaimana pensyarah, guru, pekerja dan lainnya. Juga, adakah hanya mereka yang mengongkong itu dipersalahkan? Bagaimana pula mereka yang membiarkan dirinya tidak berilmu, terlalu 'penakut' sehingga merelakan kongkongan tanpa maruah?"      (UZAR, 2013)

Tuesday, January 08, 2013

Pemakanan Anak-anak: Bukan Sekadar Lazat dan Berkhasiat, Tetapi Haruslah Halalan Tayyibah



Mutakhir ini, timbul isu mengenai pemakanan dan masalah obesity yang dihadapi oleh kanak-kanak sekolah. Dikatakan kebanyakan makanan di kantin sekolah penyumbang besar kepada masalah tersebut.

Justeru, kerajaan mengambil langkah menetapkan jenis-jenis makanan tertentu sahaja yang boleh dijual di kantin sekolah, dengan harapan kanak-kanak sekolah tidak terdedah kepada bahaya pengambilan makanan yang kurang berzat dan menggemukkan.

Persoalannya, adakah masalah obesity atau kurang khasiat semata-mata yang patut dirisaukan ibu bapa?!

Sebenarnya, ada satu lagi perkara penting yang mesti diberi tumpuan, iaitu status halal makanan itu. Sebagai ibu bapa, kita perlu mengambil berat soal pemakanan yang masuk ke dalam perut anak-anak yang kemudian menjadi darah daging mereka. Ia bukan cukup sekadar member makan dengan tujuan mengenyangkan perut, malah apa yang lebih penting adalah makanan tersebut halal dan baik (tayyibah), sebagaimana yang dituntut oleh Allah s.w.t.:

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
(al-Baqarah: 168)

Makanan yang halal dan baik akan member kesan yang baik kepada keturunan dan generasi akan datang, termasuk anak-anak kita. Oleh hal demikian, apa yang perlu dititikberatkan dalam soal pemakanan anak-anak setiap masa ialah beberapa aspek berikut:

Halal


Makanan yang dimasak ataupun dimakan itu mesti halal dan tidak meragukan. Misalnya daging atau ayam, seharusnya ia dibeli di pasar-pasar pemilik dan penjualnya terdiri daripada orang Islam.

Begitu juga selain halal, kita juga sedapat mungkin pastikan ianya bersih dari sudut syariat. Contohnya ayam sekalipun disembelih cara halal, tetapi ada juga kes cara membasuh dan membersihkannya tidak menurut syariat.

Sumber wang atau pendapatan yang diperolehi ibu bapa setiap bulan juga mestilah halal. Wang itulah kelak akan dibelanjakan untuk segala urusan rumah termasuklah perbelanjaan makanan. Maksud halal di sini ialah pendapatan ibu dan ayah hendaklah tidak bercampur dengan unsure-unsur yang haram. Misalnya pendapatan bukan daripada hasil rasuah, menipu atau mengambil hak orang lain.

Ibu bapa yang bekerja perlu amanah dan jujur dalam kerjaya mereka. Jauhi budaya ‘curi tulang’ ketika bekerja dengan berbual kosong atau melayari internet tanpa tujuan. Dikhuatiri hasil pendapatan yang diperolehi telah bercampur syubhah. Ia sepatutnya terhasil daripada usaha yang halal lagi berkualiti. Dengan wang tersebutlah kita member makan dan membesarkan anak-anak. Bagaimana jika makanan yang diberikan itu tidak halal di sisi syariat?!

Sumber pendapatan yang tidak halal membawa kepada tiada keberkatan dalam hidup kita. Ia member kesan negative  dalam banyak perkara, misalnya kepada jiwa iaitu rasa tidak bahagia, selalu resah, rasa tidak cukup dengan rezeki dan pelbagai masalah sering melanda.

Sebaliknya jika sumber itu halal, makanan halal itu membantu anak-anak tetap berbuat ma’ruf selama mereka hidup, serta Berjaya di dunia akhirat.

Doa juga terhalang apabila harta dan makanan tidak halal. Ini pernah berlaku pada zaman Nabi Musa a.s.; ada seorang lelaki telah berdoa dengan bersungguh-sungguh. Namun doanya tidak diterima oleh Allah. Baginda menjadi hairan mengapa terjadi demikian.

Nabi Musa pun bertanya kepada Allah sebab doa lelaki tersebut tidak diterima lalu Allah menjawab bahawa di dalam perut, rumah serta pakaiannya terdapat sumber-sember yang haram.

Inilah antara penyebab doa tidak diterima. Bukan setakat doa tidak diterima, makanan haram juga boleh menyebabkan kita dan anak-anak terseksa di neraka. Na’uzubillahi min zaalik..

Baik (Tayyibah)


Ibu bapa perlu mengetahui asas-asas makanan yang baik untuk penyediaan makanan harian. Bukan sekadar lazat, tetapi hendaklah berzat dan baik untuk kesihatan. Mereka perlu mengetahui kandungan karbohidrat dan protein yang perlu ada dalam pemakanan anak-anak. Mereka juga perlu mendisiplinkan pengambilan gula dan lemak supaya anak-anak tidak mengambilnya secara berlebihan. Insya-Allah cara pemakanan yang diamalkan secara sihat setiap hari akan diwarisi oleh cucu-cicit kita kelak.

Erti kata tayyibah juga perlu merangkumi cara penyediaan makanan, cara memasak, cara menjual dan menghidangkannya. Apakah bahan-bahan mentah dicuci dengan laluan air bersih atau direndam sahaja?!

Kita sering mendengar keluhan ibu bapa tentang anak-anak yang tidak mendengar nasihat, cepat panas baran, degil dan sebagainya. Sebenarnya moral anak-anak juga dipengaruhi oleh jenis makanan yang kita sajikan setiap hari. Mungkin salah satu sebabnya adalah kerana makanan yang disediakan tidak halal atau tidak baik.

Alangkah baiknya ketika mengadun kuih atau mengacau gulai, dimulai dengan bacaan basmalah serta diiringi dengan selawat atau zikir-zikir. Doakan semoga makanan tersebut memberi kebaikan kepada tubuh anak-anak untuk rajin beribadah serta mendapat keberkatan dalam hidup.

Antara contoh penjagaan di sudut kesihatan pula, sebaik-baiknya cara memasak yang sering disarankan oleh dietitian atau pakar pemakanan ialah memasak dengan cara membuat sup, mencelur, merebus, membakar, memanggang dan mengukus. Makanan yang disediakan dengan cara sebegini lebih segar dan dapat mengurangkan penggunaan bahan yang tinggi lemak, kolesterol, pengawet, perisa dan pewarna tiruan.

Kreativiti


Ibu bapa mesti rajin memasak untuk anak-anaknya. Sama ada sedap atau tidak, usaha untuk memberikan kegembiraan atau kasih-sayang melalui masakan kepada anak-anak tidak ternilai harganya.

Kita sering mendengar ungkapan anak-anak walaupun yang sudah dewasa seperti; “Masakan yang paling sedap ialah masakan emak”, “Teringat masakan emak” dan sebagainya. Walaupun masakan si ibu itu biasa-biasa sahaja, namun ia terasa enak apabila dihidangkan dengan penuh kasih-sayang.  Oleh sebab itu, anak-anak yang selalu memakan masakan ibu pasti selalu mengingatinya.

Ibu bapa juga perlu kreatif dalam menyediakan hidangan. Ini kerana ada di antara anak-anak yang memilih-milih makanan seperti tidak suka makan sayur ataupun ikan. Mereka lebih gemar menyantap hidangan ayam segera atau makanan berasaskan ayam. Maka ibu boleh menyediakan sup dengan bebola ikan yang dibuat sendiri (home-made). Jika anak-anak tidak suka sayur, maka ibu boleh mencuba sayur berinti ayam atau krim yang lazat dan sebagainya. Ia lebih berkhasiat dan tiada bahan pengawet. Boleh juga dihidangkan drngan hiasan dan jus buah-buahan.

Monday, December 31, 2012

Selamat Tinggal 2012, Selamat Datang 2013..^_^y



Begitu cepat masa berlalu. Benarkah begitu?! Mungkin… kerana hari ini kita sudah hampir berada di penghujung 2012. Mungkin juga ada yang berkata, bagai baru semalam menyambut tahun baru 2012. Sedar tak sedar, kita berada pada 31 Disember 2012 sudah.

Sebenarnya, masa tidak pernah bergerak lebih pantas sejak sedari dulu. Setiap detiknya bergerak sama sahaja. Mungkin kerana kita berada dalam persekitaran yang kelihatan bergerak laju, makanya kita berasa masa turut bergerak laju seperti itu.

Memasuki bulan-bulan terakhir pada setiap tahun, cukup ’seronok’ mengimbau kenangan-kenangan lama. Dan sepatutnyalah kita lakukan demi mengutip setiap pelajaran berguna untuk panduan hidup dan kehidupan pada masa-masa yang mendatang, khususnya tahun 2012. Namun lebih ramai yang mengimbau tanpa mengutip apa-apa ‘pesanan’ yang ditinggalkan dalam setiap peristiwa yang berlaku dan dilalui. Terserahlah… itu adalah kehidupan dan masing-masing punyai akal untuk menilai baik dan buruk apa yang dilakukannya.






p/s: Tahun baru, bererti ada sesuatu yang pasti akan berubah. Khususnya yang tak mampu kita ubah, iaitu umur kita yang bertambah. Jika UMUR kita bertambah, maka AJAL dan MAUT juga merapati kita berlangkah-langkah. Renung-renungkan dan selamat beramal..^_^y

Sunday, December 23, 2012

9 Sebab Israel Mahukan Gencatan Senjata Lebih Awal




Israel terpaksa mendesak pihak ke 3 agar diadakan gencatan senjata awal setelah mereka mengganas selama ‘hanya’ 8 hari dan telah mengorbankan ‘hanya’ 161 syuhada’ rakyat Palestin.

Sedangkan serangan Gaza 2008-2009 berlangsung selama 22 hari dan telah mengorbankan lebih 1450 orang rakyat Palestin di Gaza.

Apa tidaknya ?

1-Roket al Qassam menemui sasaran strategiknya sehingga ke Tel Aviv dan Jerusalem (74 km) sedangkan kemampuan roket ini hanya 40-50 km pada tahun 2009.
2-Ben Gurion International Airport terpaksa memberhentikan operasinya selama beberapa hari disebabkan roket al Qassam

3-Roket juga telah memaksa warga penjajah Israel tinggal di bawah tanah dengan ketakutan selama 8 hari dan operasi kerja harian kerajaan dan swasta dibatalkan sepanjang 8 hari yang lalu.
israel f16 Igauan Israel menjadi realiti...

Jet pejuang F16 adalah di antara habuan roket al Qassam

4-Buat kali pertama, roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan jet pejuang F16 bersama juruterbangnya ke perairan Gaza. Ini adalah kali pertama dalam sejarah perang Israel.

5-Roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan helikopter Apache, drone dan berjaya mensasarkan kapal perang Israel sebagai destinasi roket ini.

6-Unit R & D IDF telah mendapati bahawa roket al Qassam yang sampai ke Tel Aviv adalah buatan tempatan (bukan dari Iran dsb). Ini membuktikan kemampuan unit R & D al Qassam mengeluarkan roket mereka sendiri.

7-Iron-Dome yang merupakan sistem penangkis peluru berpandu yang tercanggih Israel (dengan bantuan US) hanya berjaya menangkis 20-25 % daripada lebih 1400 roket al Qassam yang sampai ke Israel.

8-Israel terpaksa menggesa gencatan senjata terlebih awal miski pun Briged al Qassam baru menggunakan kira-kira 15 % daripada keseluruhan roket yang dipersiapkan kali ini.

9-Keterlibatan Mesir dan Turki yang memberikan sokongan secara terbuka kepada Palestin amat menakutkan Israel miski pun mereka belum memberikan sokongan ketenteraan kepada Palestin. Apatah lagi sekiranya negara-negara Arab dan negara umat Islam yang lain turut memberikan sokongan kepada mereka.
Ingatilah firman Allah swt :

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ -

Surah al-Imran ayat 54

“Dan Mereka Merancang(tipu daya),Allah juga merancang(membalas tipu daya),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”

Subhanallah, alhamdulillah, Allah akbar….

 



Sumber:  Dr Zainur Rashid Zainuddin

Monday, December 03, 2012

Bocah-bocah Palestina..~



Bocah-bocah kecil itu
Berlari, melompat, dan menyerbu
Lihat kawan..
Beradu dengan bom dan peluru
Hanya dengan batu-batu

Bocah-bocah kecil itu
Menerjang tiada gentar
Memburu tiada ragu
Ia bukan di negeri khayalan
Ia ada di sana, Palestina

Tak ada paksaan untuk bergerak
Tak ada pula hadiah pengganti luka
Ia hanya inginkan surga
Dan bumi Palestina merdeka

Jangan tanya kapan ia akan berhenti
Jangan tunggu kapan ia akan mengeluh

Karna ia akan selalu kembali
Tuk bebaskan tanah suci
Karna akan selalu terdengar
Lemparan batu dan teriakan Allahu Akbar

Siapa bilang ia kalah?
Bahkan lawan pun ketakutan
Siapa bilang ia salah?
Bahkan langitpun memujinya

Akan selalu ada Allah bersamanya
Menemani hari-harinya, desah nafasnya, di relung hatinya...