Sunday, September 15, 2013

Bila Kita Menulis.. ^_^v



Bila kita menulis tentang cinta..
tak semestinya kitalah yang paling arif tentang cinta,
atau yang paling asyik dilamun cinta,
terkadang itu cuma ekspresi rasa, sebuah catatan tanpa makna, siapa tahu?

Dan bila kita menulis tentang kesedihan..
bukanlah kita yang paling derita dan paling kecewa,
terkadang itu cuma catatan rasa yang berlebihan, melampaui apa yang dirasai,
rintihan sekeping hati yang mungkin terlalu rapuh tanpa ilmu. tanpa iman.

Dan bila kita menulis tentang harapan dan impian..
terkadang bukanlah kerana kita tak pernah putus harapan dan kehilangan impian,
tapi kerana kita mahu terus berharap yang baik, dan mengimpikan sebuah bahagia.

Dan bila kita menulis tentang sebuah ketabahan..
bukanlah bermakna kita yang paling tabah,
tapi,itu cuma antara cara memujuk hati dan diri sendiri.

Maka..,
hakikat sebenar dibalik sebuah penulisan itu mungkin sukar difahami,
mungkin kerana ia lebih mudah diselami,
dari ditafsir dan dibuat andaian yang kita sendiri tak pasti..

Senyum.. ^_^v

Friday, September 13, 2013

Malu Aku Jadi Orang Malaysia..~


Tatkala aku pertikai ketelusan pilihanraya
Aku kau usir, disuruh keluar dari negara

Malu aku jadi orang Malaysia
Tatkala aku mengadu harga ayam tinggi dan beban
Kau kata makan saja ikan bilis, ikan kering dan ikan pekasam
Jika tidak berkemampuan berlaukkan ayam

Malu aku jadi orang Malaysia
Di saat aku tidak punya tempat tinggal
Harga rumah dan tanah melambung mahal

Akibat permainan spekulator yg nakal
Kau bilang tidurlah di atas lengan sebagai bantal

Nyata kau memang bebal kerana terlalu lama menghirup sup capal
Tidak merasai derita rakyat yg tidak punya tanah walau sekepal
Kerana kau terlalu asyik membeli kapal

Malu aku jdi orang Malaysia
Tatkala harga minyak naik
Kau bilang jangan merengek rengek
Jika mahal, basikal dan baslah kau naik

Begitulah kau mengejek
Aku fikir kau memang layak dilenyek
Tunggu PRU akan datang tahulah aku mengajar kau balik

Malu aku jadi orang Malaysia
Tatkala pelan pendidikan kau caca merba

Bahasa ibunda entah ke mana
Anak bangsa perit meraba-raba
Kabur dalam membina watak dan akhlaq agama

Kau bilang jika tidak suka belajarlah ke luar negara
Sedang PTPTN kau jerut kami sampai tak bermaya

Kau fikir kau siapa
Menghalau orang sesedap rasa

Negara ini bukan bapak kau yang punya
Ia milik anak watan tercinta

Malu aku jadi orang Malaysia.

Monday, September 09, 2013

Ujian dan Hati..~





kadang-kadang,
takpelah kalau diuji dari benda-benda lain.
kekurangan - kekurangan lain.
rasa macam mampu nak tanggung.
ok. tak apa.
insyaAllah boleh.

tapi,
bila ujian itu soal hati.
soal-soal benda-benda ‘ajaib’ yang tak nampak ni,
rasa macam lemah.
tak mampu.
terduduk, jatuh.
benci. air mata jatuh lagi dan lagi.

sebab tu, kena cari gali,
kekuatan - kekuatan yang ada.

sebab tu,
kena bina tembok tabah dan sabar tinggi-tinggi.
kukuh.
padu.

sebab tu,
kena letak pagar besi,
kalau boleh yang ada voltan tinggi.

Allah, sebab tu,
kena cari sumber-sumber kekuatan.!
bukan ujian yang berat, susah, dan payah.
tapi, mungkin sebab kita yang tak cukup sedia!

;’)

Wednesday, September 04, 2013

Atuk, Subsidi dan 'Rambutan'.. ~


Sepasang suami isteri yang telah agak berusia serta bergelar datuk dan nenek memiliki satu kawasan kebun rambutan. Kebetulan tahun ini rambutan naik harga dan laris sekali di pasaran.

Musim cuti sekolah sebagaimana biasa pulanglah anak cucu ke rumah dan tentunya rambutan atuk dan nenek akan menjadi sasaran mereka.

Tahun ini disebabkan harga rambutan yang meningkat di pasaran, sebelum anak cucu balik, awal-awal lagi atuk ini telah memasang strategi.

Kebun rambutan itu dipagar. Di pintu pagar siap diletakkan tanda berapa harga sekilo rambutan mengikut harga pasaran semasa. Penimbang juga disediakan.

Sampai saja anak-anak cucu di kampung, terus mereka serbu pokok rambutan atuk. Atuk yang berfikiran kapitalis ini hanya tersenyum sambil menunggu di pintu pagar kebunnya.

“Wahai anak-anak dan cucu kesayanganku, selepas petik rambutan itu, sebelum kamu semua makan, pastikan rambutan itu ditimbang dan dibayar harganya mengikut tanda harga di pintu pagar ini,”
kata atuk.

Terkejut beruklah semua anak cucu dengan karenah baru atuk mereka.

Biasanya atuk amat pemurah dan tak pernah berkira dengan cucu-cucu. Lebih teruk lagi, harga yang dipamerkan pula sama dengan harga rambutan di pasar.

“Alaa atuk, tak kan dengan anak cucu pun nak berkira, mahal pulak tu harga rambutan atuk ni..”
Rayu seorang cucunya.

“Mahal kamu kata! Cuba kamu pergi check harga rambutan di Singapura dan di Jepun, tengok berapa harganya!” tegas saja nada suara atuk.

“Betullah di Singapura dan Jepun harga rambutan mahal, mereka mana ada pokok…”
Seorang anak lelaki atuk mencelah.

“Harga rambutan atuk ini, mengikut harga semasa pasaran, bukannya atuk pandai-pandai buat naik harga sendiri. Sebelum ni sudah banyak atuk tanggung subsidi dengan bagi rambutan percuma pada kamu semua. Dari mana duit atuk nak dapat untuk beli baja, nak beli racun rumput, nak buat pagar, nak upah orang petik dan bla… bla.. bla…”
Atuk terus membebel.

“Betul dah tu atuk, memang rambutan dah naik harga. Tapi atuk juallah kepada orang luar mengikut harga pasaran, dengan kami anak cucu tak kan lah atuk nak berkira. Tak kan sampai atuk nak suruh kami bandingkan harga rambutan atuk dengan harga rambutan di Singapura…

Lagipun kebun rambutan ini memang hak atuk. Atuk pun tak perlu tanggung bayar subsidi harga kepada sesiapa. Pelik juga kalau kebun ini milik atuk, tapi tiba-tiba Atuk kata, atuk kena tanggung subsidi, isshh!! Kepada siapa pula subsidi ni dibayar?”
jawab seorang lagi cucu atuk yang kebetulan belajar ekonomi di sebuah universiti tempatan secara panjang lebar.
 
“Walau apa-pun kamu cakap, atuk tetap bertegas. Harga tetap tak diturunkan. Kamu semua sepatutnya bersyukur. Masih boleh balik ke rumah atuk dengan aman, kampung kita pun masih aman. Makan pakai semua cukup. Kerja makan gaji . Semua pakai kereta besar. Tandanya kamu semua mampu. Tak kan lah nak bayar harga rambutan sikit pun sudah bising!”

Atuk membuat keputusan muktamad.

Senyum.. =)






Sumber: Dr Azman Ibrahim

Monday, September 02, 2013

Prasangka..~





Tidak bererti kita tak call orang tu kita tidak ingat pada dia, tidak bermakna kita tidak tegur dia kita tidak sayang pada dia, tidak bermaksud kita tidak rapat dengan dia kita tidak pernah fikir cara untuk merapatkan diri dengan dia.

Kadang kala orang yang jauh beribu batu dengan kita, orang yang jarang call kita, orang yang jarang senyum dengan kita, orang yang kita jarang jumpa, ialah mereka yang selalu ingat pada kita.

Bersangka baiklah dengan Allah, bersangka baiklah dengan mereka terutama mereka yang bersangka baik dengan Allah. Salah faham adalah lumrah dalam hidup manusia. Tidak semua orang boleh baca apa yang tersirat dalam hati kita, kalau kita tidak luahkan masakan mereka tahu. Kita tidak boleh expect orang nak go after us each time sebab kadangkala orang tu assume yang kita tidak mahu diganggu walaupun hakikatnya kita mahu dihujani dengan soalan-soalan, sebagai contoh, bertanya khabar.

Untuk menguji sejauh mana orang itu ikhlas bersahabat dengan kita adakah dia hanya sahabat ketika ketawa atau dia sahabat ketika mengalir air mata. Memang susah hendak meluahkan sesuatu terutama pada mereka yang kita tidak percaya tapi tidak rugi kalau kita membuang perasaan malu dan bercerita. Mungkin mereka sudah tahu cerita kita sebelum kita ceritakan lagi tapi mereka tunggu kita bercerita sendiri, sebab nanti kalau silap tanyamereka akan dikata busy body.

Walhal mereka hanya mahu membantu apa yang terdaya. Hidup manusia terlalu complicated bagi mereka yang menganggap hidup ini complicated dan hidup ini mudah. Bagi mereka yang menganggap hidup ini mudah manusia itu bersifat ikhtiariah, boleh memilih apa yang dia mahu sebab dia ada akal. Andai kita pilih untuk hidup dengan mudah maka kita akan dapat hidup dengan mudah. Andai kita pilih untuk hidup susah maka kita akan dapat untuk hidup susah. Andai kita pilih untuk hidup sebagai pejuang maka kita akan berusaha untuk hidup sebagai pejuang. Allah sayangkan kita. Dia turunkan panduan Al-Quran dan As-sunnah, hanya mereka yang berakal akan menggunakannya dan mereka inilah yang mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T..

Senyum.. tabarakallah.. :)

Sunday, August 18, 2013

Open House atau Puasa Enam?!

Puasa Enam dan ‘Trend’ Semasa


Bagi sesetengah orang, mereka hanya beraya pada 1 Syawal, dan pada hari raya kedua menyambung puasa selama enam hari berturut-turut. Selepas itu mereka beraya sakan pula pada 8 Syawal.

Ada yang hanya memulakan Puasa Enam setelah seminggu Aidilfitri, sebab mereka tidak tahan dengan godaan dan dugaan untuk berpuasa ketika juadah-juadah raya masih melimpah di atas meja.

Ada yang mula berpuasa hanya pada pertengahan Syawal, dek kerana waktu itu saku sudah kering dan tidak mampu lagi untuk makan di restoran atau gerai. Dalam keadaan pokai mereka melakukan Puasa Enam, tidak semestinya berturut-turut tetapi selang-seli selagi mana ada Syawal.

Ada juga yang tidak sempat menghabiskan Puasa Enam disebabkan setiap hari ada undangan rumah terbuka. Sudah setengah hari berpuasa tiba-tiba menerima panggilan untuk ke rumah terbuka seorang teman rapat.

Sebenarnya bagi yang bersungguh hendak mendapatkan pahala Puasa Enam, mereka akan lakukan walaupun dengan godaan dan dugaan yang hebat. Tetapi bagi yang tidak mahu buat, ada sahaja alasan.

Bak kata bidalan; “nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Syabas kepada mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat Syawal. Selamat berumah terbuka kepada mereka yang tidak sanggup menghadapi dugaan.

Open House a.k.a Rumah Terbuka


Walaupun rata-rata orang mengeluh tidak cukup duit sebab serba-serbi mahal, masih ramai yang meneruskan tradisi open house atau rumah terbuka Aidilfitri. Setiap hari ada rumah terbuka, terutama hujung minggu.

Rata-rata ucapan hari raya yang dihantar pada minggu terakhir Ramadan (kad ataupun sms), semuanya disertakan undangan ke rumah terbuka. Ini yang dikatakan ‘2 dalam 1’ – satu kad/sms, dua tujuan iaitu untuk ucap selamat dan untuk undangan.

Para pemimpin mengundang rakyat jelata berbagai kaum untuk ke rumah terbuka sambil sama-sama merayakan hari besar ini. Menteri, timbalan menteri, orang-orang korporat tidak putus-putus menjamu di rumah terbuka.

Nama sahaja ‘rumah terbuka’, pada hakikatnya kebanyakan mereka tidak menjamu di rumah tetapi di hotel-hotel mewah. Oleh sebab nama hotel mewah, yang dihidangkan kepada tetamu semua mewah-mewah.

Bukan sahaja ketupat dan rendang yang menjadi trade mark tradisional, ada sekian banyak juadah dihamparkan untuk tetamu seperti sate, ketam goreng, udang, daging salai, kambing golek, sup gear-box, murtabak, roti canai, tose… pendek kata semua ada.

Ada hotel yang mengenakan bayaran sehingga RM150 setiap kepala untuk jamuan di rumah terbuka. Bayangkan sekiranya yang diundang 1,000 orang, berapa banyak harga jamuan itu.

Pendek kata, walaupun rata-rata orang ramai mengeluh sebab harga bahan makanan melambung (kelapa sebiji pun RM2), masih ramai juga yang bermewah-mewah mengadakan rumah terbuka.

Seperti biasa, ada beberapa perkara mengenai rumah terbuka yang nampaknya tidak menepati semangat Aidilfitri sebenar. Perkara ini sering ditegur oleh para ulama, tetapi ianya bagai mencurah air ke daun keladi. Aah.. siapa peduli?!

Ada rumah terbuka yang disertakan dengan hiburan seperti karaoke untuk tetamu. Tetamu menyanyi dan yang lain-lain boleh menari ikut suka hati, betul-betul macam parti hari jadi. Tarian ‘poco-poco’ yang telah difatwakan haram di sesetengah negeri pun menjadi acara dalam rumah terbuka. Cabutan bertuah, lawak jenaka yang mengandungi gosip dan fitnah pun ada juga.

Aidilfitri adalah perayaan agama Islam, tentulah tidak sesuai sekiranya ada acara hiburan seperti itu, lebih-lebih lagi sekiranya yang datang menayang betis, paha, lengan, malah ‘tempat-tempat’ yang tidak sepatutnya,tak terkecuali Orang Islam juga.

Kata mereka; “Saya ada duit dan mampu, apa salahnya saya hendak menghibur tetamu dengan hiburan-hiburan seperti itu?” Masalahnya ini majlis Syawal @ Aidilfitri @ Raya Puasa, bukan parti hari jadi atau parti ‘house warming’.

Kalau orang Islam sendiri tidak menghormati, malah ‘mengotori’  perayaan Islam, tentulah orang bukan Islam memandang rendah terhadap kita.

Akhir kalam, orang telah mendedahkan kemewahan keluarga Muammar Gaddafi bekas pemimpin Libya yang kini telah menjadi arwah setelah diburu ‘pemberontak’. ‘Istana’ yang dipenuhi perabot mewah, kolam renang, kereta-kereta, dan semua yang di luar jangkaan.

Ketika dia berkuasa selama tiga dekad tidak seorang pun berani mempertikaikan dari mana dia dapat semua kemewahan itu. Begitulah bila sudah jatuh, barulah kemewahan menjadi persoalan, semuanya akan dibongkar satu persatu. Harap-harap pemimpin kita tidak mewah begitu.


Senyum.. =)


p/s: dalam kita bergembira 'beraya' selama sebulan, usah dilupakan nasib saudara-saudara kita di luar sana.  sentiasa kirimkan doa buat kesejahteraan & kejayaan mereka serta tertegaknya Islam di muka bumi ini..~

Saturday, August 17, 2013

El-Sisi, Si Fir'aun Moden..~

Kemunculan Firaun moden hanyalah ulangan sejarah Firaun di zaman Nabi Musa

Tindakan ganas oleh regim pemimpin diktator General Abdel Fatah el-Sisi di Mesir dilakukan dengan nada sunyi yang memekakkan dari Amerika dan Israel lahir daripada kebimbangan mereka terhadap kebangkitan Gerakan Islam di Mesir dan kemunculan semula sistem khilafah yang telah berjaya dihapuskan pada tahun 1923 di Turki.


Ketakutan mereka ini mengingatkan kita kepada tindakan ganas dan kejam di era pemerintahan Firaun. Oleh kerana takut dan yakin akan munculnya seorang anak lelaki yang bakal menjatuhkan kerajaan mereka, lalu Firaun telah bertindak ganas terhadap mana-mana anak lelaki yang lahir dan terus mereka dibunuh.

Namun pembunuhan tersebut gagal menghalang lahir dan kemunculan Nabi Musa sehingga akhirnya Firaun dijatuhkan. Kini di dalam era moden ini, ketakutan itu muncul kembali.

Kalau Firaun dahulu hanya membunuh kanak- kanak lelaki, kini semua peringkat umur dibunuh kerana semua pihak menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat bagi mempertahankan pemimpin yang dipilih.

Nyata firaun moden lebih zalim dari firaun di era Nabi Musa. Firaun el-Sisi langsung tidak mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku. Halangan dan tindakan ganas akan pasti gagal seperti usaha menahan kemunculan 'Nabi Musa' di zaman dulu.

Tindakan ganas Firaun moden menghalang kemarahan rakyat dan kebencian akan diterjemahkan dengan kerelaan mereka untuk terus berjuang sehingga pimpinan pilihan rakyat Dr Mohamad Mursi kembali semula ke tampuk pemerintahan.

Kemunculan Nabi Musa telah mengubah landskap politik di sekitar Mesir, Jordan, Syria (Wilayah Sham). Kegilaan Firaun moden ini dijangka akan menyebabkan berlakunya satu perubahan besar senario politik Timur Tengah. Kebangkitan semula Islam inilah yang sangat ditakuti oleh rejim Firaun moden kini khususnya ketakutan oleh Amerika dan Israel.

Senyum




(Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 2013)