
1. Anda Bertanya, Kenapa PAS Cenderung
Untuk Mempercayai UMNO Dalam Isu Hudud?
Saya menjawab, ini bukan soal percaya atau tidak.
Soalnya, UMNO telah membuka sedikit ruang untuk hudud dilaksanakan. Kita sering
katakan bahawa, pihak yang menjadi penghalang kepada undang-undang hudud selama
ini ialah UMNO. Justeru, kita berhenti di titik terakhir yang dapat dapat kita
sampai. Di titik inilah kita tersadai selama 21 tahun. Hari ini, apabila
penghalang itu dikatakan akan dibuka, adakah di titik itu juga kita mahu
berhenti? Justeru, Kelantan perlu bergerak ke depan untuk pelaksanaan
undang-undang ini.
2. Tidakkah
Selama Ini UMNO Menzalimi Kita? Kenapa Tiba-Tiba PAS Mahu Percaya?
Jika dikira isu menzalimi, terlalu banyak kezaliman
UMNO kepada PAS Kelantan selama ini. Adakah apabila satu ruang mahu dibuka,
maka kita lepaskan ruang tersebut kerana ruang lain masih ditutup. Langkah
terbaik ialah mengambil kesempatan daripada ruang yang dibuka dan berusahalah
untuk membuka ruang yang lain.
Bukankah kita membaca firman Allah SWT di dalam
al-Quran :
وَإِنْ
جَنَحُوا
لِلسَّلْمِ
فَاجْنَحْ
لَهَا
وَتَوَكَّلْ
عَلَى
اللَّهِ
إِنَّهُ
هُوَ
السَّمِيعُ
الْعَلِيمُ
Yang bermaksud : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung
kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta
bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui. (Surah At-Taubah, ayat 61)
Tidakkah ayat ini jelas ditujukan kepada
orang-orang kafir yang menjadi musuh Rasulullah SAW? Dengan orang-orang yang
tidak beriman sekalipun apabila mereka cenderung kepada pendamaian, hendaklah
Rasulullah SAW juga cenderung kepada pendamaian tersebut.
UMNO bukannya kafir. Mereka saudara Islam kita yang
tersilap memilih jalan. Bahkan merekalah mad’u kita. Apabila ada sedikit
kecenderungan yang ditunjukkan untuk mereka menerima hudud yang menjadi
kewajipan kepada kita dan mereka, tiada alasan untuk pejuang-pejuang Islam pula
mengenepikan peluang ini.
3. Apa
Jaminan Bahawa UMNO Tidak Akan Menipu Kita?
Bukankah di hujung ayat di atas dinyatakan bahawa
pejuang-pejuang Islam bertawakkal kepada Allah SWT? Bukankah tatkala kita
menyerahkan diri kita untuk urusan perjuangan, telah kita gantungkan tawakkal
kita kepada Allah SWT. Kurang percayakah kita dengan kehebatan tawakkal?
4. Tetapi
Tidakkah Bertawakkal Kepada Allah Swt Dalam Keadaan Jelas UMNO Sedang Berusaha
Menipu Kita, Itu Namanya Tawakkal Yang Bodoh?
Mari saya bacakan kepada anda ayat berikutnya,
وَإِنْ
يُرِيدُوا
أَنْ
يَخْدَعُوكَ
فَإِنَّ
حَسْبَكَ
اللَّهُ
هُوَ
الَّذِي
أَيَّدَكَ
بِنَصْرِهِ
وَبِالْمُؤْمِنِينَ
Yang bermaksud : Dan jika mereka bertujuan hendak
menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan
perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan
dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (Surah At-Taubah, ayat 62)
Justeru, jika UMNO bertujuan mahu menipu kita, maka
sedarlah bahawa Allah SWT sedang menjadi pelindung kita jika ikhlas kepadanya.
Yakinlah bahawa Allah SWT pasti menyelamatkan bahtera perjuangan ini kerana di
dalamnya terkandung perlembagaan PAS yang meletakkan AL-Quran dan Al-Sunnah
sebagai rujukan utama.
Tatkala PAS ditipu UMNO pada tahun 1978, bukankah
selepas itu lahirnya Kepimpinan Ulama pada tahun 1982 yang menjadi mutiara
cerah memimpin PAS meniti kegelapan politik?
5. Tidakkah
Apabila UMNO Menolak Hudud Di Terengganu, Itu Ertinya Mereka Akan Menolak Hudud
Yang Akan Dicadangkan Oleh PAS?
Hudud bukan menjadi agenda UMNO. Penolakan usul
hudud di Terengganu membuktikan UMNO tidak bersedia untuk menjadi juara dalam
isu ini. Inilah sebesar-besar bukti bahawa UMNO ialah parti nasionalis yang
tidak pernah meletakkan Islam sebagai agenda utama.
Justeru, apabila UMNO menolak hudud di Terengganu,
sewajarnya lebih mendorong PAS untuk membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah
1965 ke Parlimen. Jika ia ditolak oleh UMNO, ia menjadi satu lagi bukti yang
besar di mata rakyat bahawa UMNO hanya bermain politik dalam isu ini. PAS TIDAK
RUGI APA-APA APABILA MEMBAWA USUL INI KE PARLIMEN.
6. Tidakkah
Usul Ini Akan Menjejaskan Pakatan Rakyat?
PAS tidak pernah berjanji untuk menggugurkan
perjuangannya mendaulatkan syariat Allah SWT. DAP dan PKR bergabung
bersama-sama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dalam keadaan mereka menyedari
bahawa inilah perjuangan PAS. Mereka mempunyai hak untuk mengundi menolak usul
ini dan PAS juga wajib menyedari bahawa kebersamaan dalam Pakatan Rakyat ialah
dengan wujudnya bersama perbezaan ini.
Perbezaan tidak menghalang untuk kita bersama.
Suami isteri yang berkahwin begitu lama pun tidak sepakat dalam semua perkara.
7. Justeru,
Kenapa PAS Tidak Tinggalkan Dap Dan Bergabung Dengan UMNO?
Isunya ialah, tidak ada mana-mana parti tunggal
mewakili mana-mana kelompok bangsa dan agama di Malaysia boleh memerintah.
Samada PAS atau UMNO perlu bergabung dengan mana-mana parti lain yang mewakili
kelompok bangsa berlainan untuk muncul sebagai pemerintah. Dalam konteks non
Muslim, DAP dilihat parti terbaik dengan disiplin dan akauntabiliti yang mereka
miliki untuk menjadi rakan politik.
Jadi isunya ialah bukan UMNO lebih baik dari DAP.
Isunya ialah DAP lebih baik dari MCA dan MIC. Dalam konteks parti yang mewakili
umat Islam, PAS wajib dilihat LEBIH BAIK dari UMNO. Manakala untuk golongan non
Muslim, DAP lebih baik dari MCA dan MIC.
Menyatakan bahawa UMNO lebih baik dari DAP
seolah-olah menggambarkan UMNO sebagai parti yang mewakili non Muslim.
8. Berbalik
Kepada Isu Usul Hudud, Tidakkah Ini Menggambarkan PAS Mula Berbaik-Baik Dengan UMNO?
Tidak timbul isu berbaik dengan UMNO. Hari ini UMNO
merupakan pemerintah di Pusat dan tulang belakang kepada kerajaan Persekutuan.
Hak untuk membenarkan undang-undang ini berkuatkuasa di Kelantan dipegang oleh
UMNO. Konteks perjumpaan antara pemimpin kerajaan negeri Kelantan dengan pemimpin
Pusat ialah perjumpaan kerajaan dengan kerajaan dan bukannya parti dengan
parti.
UMNO selaku parti politik tetap merupakan lawan PAS
sebelum ini dan juga selepas ini.
9. Tidakkah
Wajar Pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan Berhati-Hati Dengan Muslihat UMNO?
Ya, wajib berhati-hati. Islam mengajar agar kita
sentiasa bersikap waspada dan tidak membenarkan tangan digigit ular yang sama
sebanyak dua kali. Namun sikap hati-hati itu tidak menutup pintu dakwah untuk
kebaikan ummah.
Bagi pihak Pemuda PAS Kelantan, kita sentiasa
mengingatkan semua pihak di dalam PAS sentiasa bersikap waspada dengan tipu
muslihat UMNO dalam isu ini. Pintu yang dibuka wajib dilangkah masuk, namun
jangan lepas parang di tangan bimbang penyamun bersembunyi di sebalik daun
pintu.
Nukilan,
Ust. Ahmad Fadhli bin Shaari
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kelantan.
(5 Rajab 1435H)
p/s:
Alhamdulillah, satu penjelasan yang sangat baik.
Moga ada manfaat untuk semua. Moga ayat 61-62 Surah At-Taubah menjadi panduan
yang jelas buat kita semua.