Wednesday, November 30, 2011

Jika Anda.....~


Jika anda bakal menjadi seorang DOKTOR kelak ,maka rawatlah hati insan yang kian terpesong jauh daripada Agama tercinta.


Jika anda bakal menjadi seorang AKAUNTAN kelak, maka sedarkanlah manusia bahawa pahala ALLAH itu lebih mewah daripada segala-galanya.


Jika anda bakal menjadi seorang ARKITEK kelak, maka lakarlah sinar Islam yang mampu menyinari kehidupan setiap Muslim.


Jika anda bakal menjadi seorang JURUTERA kelak, maka binalah satu ukhuwah yang kukuh antara umat Islam itu.


Jika anda bakal menjadi seorang PEGUAM kelak, maka pertahankanlah Islam dimata dunia


Jika anda bakal menjadi seorang JURUTERBANG kelak, maka pandulah manusia untuk kembali ke jalan yang diredhai-NYA.


Jika anda bakal menjadi seorang POLIS kelak, maka awasilah umat Islam daripada terus memungkiri Tuhan yang Maha Pencipta.


Jika anda bakal menjadi seorang PENSYARAH kelak, maka didiklah anak bangsa untuk menjadi Muslim yang berjaya.


Jika anda bakal menjadi seorang GURU kelak, maka bentukkanlah acuan sempurna dalam sanubari anak didik mereka agar kelak menjadi GOLONGAN di atas….=)

Monday, November 28, 2011

Tak Sempurna..


sekelip mata..,
seakan tak percaya..,
dunia semakin berusia..
aku pula kini semakin dewasa..
semua benda dah tak sama..,
tapi aku tetap manusia biasa..
berbuat pahala dan dosa..
kadang-kadang berlaku tanpa di duga.


dulu aku kecil saja..,
lalu aku remaja..
kini aku dewasa..
nanti aku akan tua..
kemudian aku akan bertemu dengan-Nya
dia lah Tuhan yang Maha Esa
 

tak sempurna.., 
jujur aku tak sempurna..
bukan seperti yang kau duga
aku cacat..,
aku buta walaupun aku ada mata..
aku cacat..,
aku pekak walaupun aku ada telinga..
aku cacat..,
aku bisu walaupun aku ada suara..
aku cacat..,
aku lumpuh walaupun tubuhku sempurna..
apa guna itu semua..,
andai aku terus leka dengan dunia..
dosa berlipat ganda..
pahala secebis cuma..
ajal pula semakin tiba..


Ilham Cipta;

faizalMS,
Banyu Manis,
Selangor,
26.11.2011 (2.00 am).

Sunday, November 20, 2011

Anugerah Dari Kegagalan



Dari kegagalan
Satu percintaan
Kualami
Penderitaan
Kesengsaraan
Kebatinan

Tapi di sebalik
Semua kepahitan
Tersembunyi
Oh keinsafan
Dan pengertian
Yang amat dalam

Terbukti kegagalan
Bukanlah kehancuran
Dengan anugerah
Nikmat dan hikmat
Kehidupan

Aku pelajari
Mengenali diri
Dan siapa kita
Yang sebenarnya
Di bumi Tuhan
Ho ho 

Sunday, November 13, 2011

Hakikat Sebuah Cinta (Bahagian II)

 Cahaya Cinta

Cukuplah. Bangunlah kita dari tidur yang lena. Kembali melihat kepada cahaya yang telah Allah berikan kepada kita.

Satu soalan yang sememangnya selalu saya tanyakan baik pada budak-budak sekolah, kawan-kawan di IPT, dan pernah juga kepada diri saya sendiri. ketika masih keliru antara cinta nafsu dan cinta Allah.


“Apa yang kita akan buat, seandainya kalau kita nak buktikan cinta kita kepada seorang wanita?”


Terlalu banyak jawapan yang kita akan dapat.

Sanggup korbankan semua duit untuknya, sanggup korbankan semua masa untuknya, sanggup korbankan semua tenaga untuknya.

Sentiasa berusaha untuk memastikan dia selalu cinta kepada kita. Sentiasa berusaha untuk memastikan dia tidak akan pernah cuba membenci kita. Sentiasa berusaha memastikan dia berada dalam keadaan bahagia. Sentiasa berusaha memastikan dia tidak akan pernah merasa sedih atau cemburu.

Semua perkara yang kita rasa dia suka, kita akan buat. Semua perkara yang kita rasa dia akan benci, kita akan tinggalkan. Semua perkara yang dia suruh, kita berusaha memenuhinya tanpa pernah beralasan. Semua perkara yang dia suruh tinggalkan, kita sanggup tinggalkan tanpa beralasan.

Itu hanya kerana mahu mendapatkan cinta seorang manusia. CINTA YANG TIDAK MAMPU MEMBERIKAN KITA JAMINAN UNTUK MENGECAPI KEBAHAGIAAN DI DUNIA, MAHUPUN DI AKHIRAT.

Tapi, bagaimana pula dengan pembuktian cinta kita pada Allah?


Muhasabah Cinta



Tidak mungkin dalam kehidupan seorang muslim untuk memisahkan antara kecintaannya kepada Allah dengan kecintaannya kepada Rasul SAW. Hal ini merupakan tuntutan dari kedua kalimah syahadah yang diucapkannya. Tidaklah sah keislaman seseorang yang hanya mengucapkan satu syahadah dan mengabaikan yang lainnya.

Bukti kecintaan seseorang kepada Allah, adalah dengan mengikuti apa yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Qur’an, tanpa pernah cuba untuk menambahi, atau menguranginya.

“Katakanlah: ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Dan, Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani”
(Ali ‘Imran: 31)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat satu kaum pada zaman Rasul SAW yang berkata;

“Demi Allah hai Muhammad! Sesungguhnya kami benar-benar yakin dan cinta kepada Tuhan kami.”

Maka Allah menurunkan ayat di atas sebagai tuntutan bagaimana seharusnya mencintai Allah.

(Diriwayatkan oleh Ibn Munzir dari al-Hasan)


Dan apa antara perintah Muhammad SAW yang direkodkan di dalam surat cinta Allah kepada kita?!

“Katakanlah: “Jika bapa-bapakmu, anak-anakmu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatirkan  kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
(at-Taubah: 24)

Bezakanlah antara hawa nafsu dan cinta.  Binalah kekuatan dalam dirimu serta hatimu, dan susunlah kembali tingkatan-tingkatan cinta seperti yang sepatutnya untuk bertakhta di hati kita. Bermula dengan Allah, Rasul, jihad dan seterusnya, berdasarkan firman Tuhan di atas.

Tinggalkanlah segala cinta kita pada manusia kerana cinta kita pada Allah. Tinggalkanlah segala cinta kita pada harta kerana cinta kita pada Allah. Tinggalkanlah cinta kita pada kekuasaan kerana cinta kita pada Allah.

Perit?!Cuba baca ayat di bawah;

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
(al-Baqarah: 216)

Subhanallah. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Carilah cinta Allah. Kerana itu cinta abadi..=)

Thursday, November 10, 2011

Kisah Si Buta


Ini kisah si buta,
aku menulisnya,
hanya dengan sebatang pena,
dia bercerita dalam tangisannya,
di samping aku duduk bersama..

Kau manusia cukup bertuah,
punya mata yang sempurna,
menikmati ciptaanya yang terindah,
dan kau ego memilikinya,
tidak sepertiku hidup dalam gelap gelita,
malam dan siang susah aku nak beza,
sekadar mendengar manusia bercerita,
betapa indahnya bulan bercahaya,
di temani bintang-bintang di angkasa,
saat menunggu terbitnya sinar sang suria,
malah aku hanya bermain dengan minda,
berimeginasi dengan suasana,
bagaimana rupanya cahaya,
apa pula kaitannya bulan,bintang dan suria...

Dan aku masih setia,
mendengar setiap bicara,
dari bibir tua si buta,
kisahnya buat mataku terbuka,
melihat nikmat yang diberi percuma,
kisahnya juga buat hatiku sedar dari lena,
nikmat tuhan manakah yang kita dusta?!

Si tua terus bercerita...
dalam sujudku aku pernah berdoa,
meminta sesuatu daripada Sang Maha Pencipta,
semoga Allah panjangkan usia,
walaupun hidupku tak sempurna,
bukan seperti manusia biasa,
aku sering di hina,
insan sepertiku hanya menyusahkan saja,
tapi aku tidak pernah lupa,
yang membezakan manusia mulia,
hanya iman dan taqwa,
apa guna andaiku punya mata,
jika maksiat menguasai dunia,
pasti aku tidak akan terlepas dari berbuat dosa,
dan aku lebih suka buta,
dan terus buta selamanya,
andai ini adalah takdir darinya,
dan biar lah aku jauh dari dunia manusia,
asalkan aku tidak jauh dari-Nya,
Dia lah Tuhan yang Maha Pencipta.


Ilham Cipta;
faizalMS,
Kg Melati,
Kuala Krai,
Kelantan,
10/11/11 (2.30 am).

Saturday, October 22, 2011

Wanita, Muslimah Dan Drama Korea

Eh, Kenapa Drama Korea?


Mengapa perlu dibincangkan tentang drama Korea sahaja?! Mengapa tidak dikaitkan sekali filem-filem melayu, filem-filem fiction Hollywood, filem-filem cinta Bollywood, filem-filem aksi dari Hong Kong atau China dan sebagainya?

Memang benar, ramai juga yang obses atau fanatik dengan filem komedi dari barat, umpamanya filem Big Mama ataupun filem-filem horror seperti ‘Saw’ dan ‘Final Destination’. Begitu juga ada yang fanatik dengan filem-filem aksi dari Hong Kong atau China seumpama ‘IP Man’, ‘Fearless’ dan ‘Rush Hour’.

Tetapi isu drama Korea menarik perhatian kerana fenomenanya berbeza.

Fenomena ini boleh mengundang ‘demam’ dan demam drama Korea ini agak kronik, sehingga mampu MENJADIKAN ‘PESAKIT’ ITU SEAKAN ANGAU, HILANG FOKUS BELAJAR, SUKA BERANGAN-ANGAN MAT JENIN DAN PALING DAHSYAT, TERLIBAT DENGAN PEMBAZIRAN MASA YANG SUNGGUH PARAH.

Lebih malang, demam ini kebanyakannya menimpa wanita muslimah kita, termasuklah yang berada dalam bidang agama.

Justeru dalam isu ini, rasanya lebih elok kita perhatikan kepada beberapa perkara :

Syariat


Di dalam Al-Quran ada perintah supaya menundukkan pandangan, dengan erti kata lain menjaga pandangan kita daripada melihat kepada yang bukan mahram. Lelaki didahulukan dalam ayat tersebut, kemudian diikuti dengan wanita.

Memang benar, di sana sini acap kali larangan memandang ini dititikberatkan kepada lelaki sahaja, sehingga wanita dilupakan. Lelaki dilarang memandang wanita, tetapi wanita tidak kisah kalau memandang lelaki. Mungkin, sesetengah berpendapat sifat malu wanita sudah cukup menjadi benteng penghalang.

Tidak kurang juga yang beralasan :

“Lelaki kalau pandang wanita boleh naik syahwat, bahaya. Tetapi wanita lain, dia tak naik syahwat kalau pandang lelaki..”

Cuba rujuk balik kepada ayat Allah. Perintah menundukkan pandangan itu dihighlightkan kepada kedua-dua, lelaki dan wanita. Meskipun suruhan kepada lelaki didahulukan dalam ayat pertama dan untuk wanita dalam ayat kedua, itu tidak bermakna suruhan menundukkan pandangan bagi wanita boleh dipandang enteng.

Ataupun adakah kita sanggup mengatakan bahawa Allah menyebut suruhan itu secara sia-sia?! Maha Suci Allah dari perbuatan yang sia-sia. Setiap suruhan dan larangan sesungguhnya terkandung hikmah dan kepentingan yang sangat besar untuk manusia.

Maka, mahu atau tidak, WANITA JUGA PERLU MENGAMBIL BERAT SOAL MENJAGA PANDANGAN DARI KAUM ADAM. Tidak kiralah di alam nyata mahupun di dalam maya seperti filem dan drama.

Keperluan Atau Kehendak?!


Menonton filem atau drama bukanlah suatu yang wajib ataupun keperluan kepada manusia. Dengan kata lain, KITA TIDAK MATI JIKA TIDAK MENONTON FILEM. Justeru, memandang aurat bukan mahram di dalam filem atau drama adalah merupakan pilihan kita sendiri dan bukannya suatu yang dipaksakan kepada kita.

Ia berbeza dengan wanita-wanita yang membuka aurat di sekeliling kita. Kita mungkin akan terlanggar tiang jika mahu mengelak dari memandang wanita yang membuka aurat. Begitu juga dengan wanita. Berada di khalayak untuk sesuatu urusan sehingga membuka ruang pandang kepada bukan mahram adalah perkara yang dimaafkan. Kecuali jika kita sengaja memandang, maka itu jelas haram.

Berbalik kepada drama Korea, tiada siapa yang memaksa anda untuk menonton melainkan anda sendiri. Jadi anda perlulah sedar bahawa, SEBARANG KEMAKSIATAN YANG BERLAKU DI HADAPAN ANDA ADALAH DI BAWAH TANGGUNGJAWAB ANDA SENDIRI dan anda mempunyai pilihan samada untuk meninggalkan ataupun meneruskan.

Fanatik dan Obses


Adalah suatu yang malang bagi seorang mukmin, jika ditimpa keobsesan kepada orang kafir dan fasiq yang sedikit pun tidak mendatangkan manfaat kepadanya. Ini jelas terjadi kepada peminat fanatik drama dan pelakon Korea.

Ia berbeza dengan minat dan kekaguman kita terhadap seseorang tokoh. Mereka kita jadikan sebagai idola dan pencetus motivasi. Ini suatu yang berbeza. Kegilaan kepada pelakon Korea adalah KEGILAAN YANG TERFOKUS KEPADA CARA DIA BERLAKON, RUPA PARAS, KACAK, HENSEM, COMEL, ROMANTIK, PANDAI BERMADAH KATA, PANDAI MENYANYI dan sebagainya.

Bahkan ada yang menghabiskan masa meng’google‘ gambar pelakon kegemarannya, mendownload serta menyimpan pula pelbagai klip video lagu Korea yang disukainya.

Kegilaan seperti ini sama sekali tidak mengundang faedah. BERAPA RAMAI YANG MENONTON DRAMA KOREA KERANA MAHUKAN MORAL OF THE STORY BERBANDING YANG MENONTON DAN HANYUT DENGAN ANGAN-ANGAN DAN PERASAAN MASING-MASING?!

Kesemua ini, jika tidak dikawal akan membawa hati kita kepada berkurangnya rasa cinta dan kasih kepada Allah serta Rasul. Di waktu kita melihat keelokan rupa paras, ianya tidak kita kembalikan kepada Allah. Di waktu kita melihat sesuatu kesedihan dan ‘lakonan’ takdir, maka kita tidak kembalikan kepada Allah. Kita hanya menonton dan mengagumi makhluk-makhluk dalam lakonan tersebut sahaja.

Lalai


” Saya risau, ramai kawan-kawan saya yang obses dengan cerita Korea, mereka menjadi sangat lalai..”

Ya. Itulah point nya. K.E.L.A.L.A.I.A.N. Pembaziran masa. Hilang fokus.

Sebagai contoh, muslimah yang sebelumnya rajin mengulangkaji pelajaran dan menggunakan masa untuk membaca bahan ilmiah, tetapi setelah ‘tersampuk’ kegilaan kepada drama Korea, jadual hariannya akan jadi tunggang-langgang.

Anehnya, tunggang-langgang itu tidak menjadikan dirinya ‘susah’ sebaliknya selesa dan bahagia pula. Ini KERANA DIA SUDAH TERBANG KE SUATU DUNIA YANG PENUH DENGAN WARNA WARNI CIPTAAN MANUSIA.

Suatu perkara yang perlu difahami tentang drama Korea ialah, jalan ceritanya sengaja dibentuk supaya bersambung-sambung dan benar-benar menjadikan perasaan penontonnya terbuai-buai dan ‘nak lagi-nak lagi’.

‘SUNTIKAN MAUT’ INILAH YANG AKHIRNYA MEMATIKAN DIRI ANDA YANG SEBENAR.

Di luar, anda menjaga pandangan dari kaum adam. Kononnya, kerana mahukan pasangan yang soleh suatu hari nanti. Tetapi di dalam bilik, wajah pelakon Korea itulah yang menjadi teman setia anda sampai ke dalam selimut. Gambar ditampal di dinding bilik dan di ‘dinding hati’. Dalam solat terbawa-bawa, dalam mimpi terngigau-ngigau. Dalam bilik kuliah, hanyut entah ke mana.

Sifat Malu


Inilah yang menjadikan wanita muslimah sebagai subjek utama. MENGAPA SECARA LUARAN, ANDA MALU UNTUK MENYATAKAN CINTA KEPADA SESEORANG LELAKI KECUALI DENGAN IKATAN PERNIKAHAN YANG SAH, TETAPI DI DALAM, ANDA BEGITU TIDAK MALU MELUAHKAN RASA ‘CINTA’ DAN MINAT ANDA KEPADA ‘MAMAT-MAMAT’ KOREA?

“Oh..Hensemnya dia! Aku jatuh cinta!”

“Aku suka hero cerita ni. Sangat caring..romatik..wah..sukanya..sukanya”.

Kemudian, apabila ditegur dan dinasihati, jawabnya :

“Aku suka je, minat je, bukan betul-betul pun”.

“Alah..biasalah minat, macam lelaki minat siti norhaliza, aku minat mamat Korea”.

Hakikatnya, itulah simptom yang terhasil daripada pokok permasalahan iaitu terhakisnya sifat malu dari dalam diri. APABILA PANDANGAN TIDAK DIJAGA, HATI AKAN DITIMPA MUSIBAH. Lantas lahirlah pelbagai alasan mempertahankan diri meskipun hati sendiri tidak beroleh ketenangan.

Bersederhana Adalah Lebih Baik..\(^_^)/


Intuisiku lebih cenderung mengajak kita mengambil sikap pertengahan. Kerana itu Intuisiku tidak mahu mengatakan haram dan haram semata-mata, tanpa meraikan fitrah dan keperluan insan. Kalau mahu menonton, tontonlah sekadarnya sahaja.

Sekadar mahu menghilangkan tension. Sekadar mahu mengalih perhatian. Sekadar mahu menghilangkan bosan. Sekadar mahu menghiburkan hati.

TETAPI KALAU BERHARI-HARI, BERMINGGU-MINGGU HANYA ITU YANG DIHADAP, ITU ‘SEKADARNYA’ KAH?

Bukan semua cerita Korea itu bersambung episod, ada juga yang dibuat dalam satu cerita pendek sahaja, tetapi yang terfokus di sini adalah drama Korea yang berjela-jela panjangnya, sehingga anda tidak bisa menonton sekadar setengah atau satu jam. ITU BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KATEGORI HARUS, BAHKAN BOLEH SAMPAI TAHAP MAKRUH ATAU HARAM KEPADA MELIBATKAN KELALAIAN HATI DAN PEMBAZIRAN MASA TANPA KEPERLUAN.

Maka berwaspadalah. Isu ini perlu dijadikan teguran dan ‘kempen’, bukan serangan dan hukuman. Mereka yang terlibat mungkin tidak sedar dan mungkin juga sedar, tetapi sedang berusaha melawan keobsesan mereka sendiri.

Pesan pada mereka ; kalau anda tidak dapat menahan hati dengan hanya melihat satu episod, maka jalan terbaik adalah jangan  tonton walaupun satu episod. Mencegah itu, sesungguhnya jauh lebih baik dan selamat.



akan kusampaikan walau sebaris ayat..~

Saturday, October 15, 2011

Hakikat Sebuah ‘Cinta’ (Bahagian I)

Assalamu’alaikum Cinta


Satu perkataan yang sentiasa menjadi topik hangat sepanjang zaman. Yang mana insan yang bergosip mengenainya bukan hanya para jejaka atau para gadis, bahkan juga kanak-kanak yang baru belajar menghafal huruf, hinggalah insan-insan yang bakal menunggu hari perpisahan mereka dengan dunia.

“Adik, abang nak tanya satu benda boleh tak?”  
“Tanyalah, tapi nanti abang kena belanja ais krim. Ok”?  
“Hehe. Abang nak Tanya kat adik, apa itu cinta?”  
“Hurm.. Cinta tu macam hubungan seorang lelaki dengan seorang perempuan la kot? Kenapa?”

Inilah corak pemikiran yang telah dicetak ke dalam jiwa kebanyakan manusia zaman sekarang. Apabila disebut sahaja cinta, maka jawapannya,

“Hurm.. Cinta tu macam hubungan seorang lelaki dengan seorang perempuan la kot? Kenapa?”

Satu fenomena yang pernah dianggap aneh pada suatu masa dahulu, tetapi dilihat sebagai satu “ke-normal-an” bahkan memang “sepatutnya-macam-itu”, oleh kebanyakan masyarakat kita sekarang.

Cinta memang tidak akan pernah habis bila dibahas.

Walaupun sudah ramai orang yang mengulas mengenainya. Ibaratkan memasak, meskipun bahannya sama, tapi kalau orang yang memasaknya atau cara memasaknya berbeza, maka akan menghasilkan satu hasil yang berbeza.


Definisi Cinta


“Cinta: cerita indah yang tiada akhir”. Betul ke?

Menurut Imam Abu Dawud azh-Zhahiri:

“Cinta adalah cermin bagi orang yang sedang jatuh cinta untuk mengetahui watak dan kelemah lembutan dirinya dalam citra kekasihnya. Kerana sebenarnya, dia tidak jatuh cinta kecuali pada dirinya sendiri”.

Bermaksud, orang yang jatuh cinta sebenarnya jatuh hati pada kemiripan peribadi orang yang dicintai. Ia mencintai kekasihnya kerana ada kesamaan selera, kebiasaan, watak mahupun sifat antara dirinya dan kekasihnya. 

Ibn Qayyim al-Jauziyah pula mendefinisikan sekitar lima puluh buah nama cinta!

Antara point-point yang dihuraikan beliau dalam bukunya Taman-taman Orang –orang Jatuh Cinta dan Rekreasi Orang-orang Dimabuk Rindu” adalah;

“Cinta adalah sikap mementingkan orang yang dikasihi lebih dari semua teman” 
“Cinta ialah memelihara kesetiaan. Oleh itu, tidaklah benar bila orang yang mengaku cinta kepada seseorang sedang dia tidak memelihara kesetiaannya”

 Dan…

“Cinta adalah ingatan kepada sang kekasih dalam setiap helaan nafas”

Itulah definisi-definisi cinta yang saya dapat kongsikan di sini.

Bayangan Cinta


Dialog ini dirakamkan lebih kurang di penghujung tahun lepas melalui laman sosial Facebook seorang sahabat Intusiku, ketika mana seorang remaja berumur 16 tahun yang tidak dikenali, tiba-tiba mengutarakan hasrat “murni”nya untuk berkenalan dengan sahabat Intuisiku itu. Tapi sayangnya, perbualan itu terhenti setakat itu sahaja kerana dia tiba-tiba offline.


Muhammad     : Umur kau berapa sekarang?
HF                  : 22 tahun 
Muhammad     : Kau ada awek tak? 
HF                  : Tak. 
Muhammad     : Haha. Kesian kat kau. Dah 22 thn pun xde awek. Aku yang 16 tahun nie
  pun dah ada awek. 
HF                  : Tak main lah awek-awek ni. Macam budak kecik lah.  
Muhammad     : Habis kau tak nak kahwin ke? 
HF                  : Siapa kata kalau nak kahwin kena ada awek dulu? 
Muhammad is offline
  
Ayuh Kita Berfikir Sejenak


Seteruk inikah mindset budak-budak sekolah zaman sekarang? Kalau nak nikah, mesti kena ada teman wanita dulu. Kalau tak, kira tak laku sampai ke tua.

Inikah Islam?

Kalau itulah mindset remaja 16 tahun yang bersekolah di sekolah primer nombor satu di dalam carta negerinya, apa pula agaknya corak pemikiran remaja-remaja sekolah biasa. Bagaimana pula dengan remaja yang tidak bersekolah? Bagaimana pula dengan remaja-remaja yang mungkin dewasa sedikit daripada mereka, iaitu yang belajar di IPT, atau yang sedang bekerja di kilang, atau yang masih berseronok dengan “mengisi” masa mereka dengan dadah, arak, pergaulan bebas, rempit, menganggur, dan sebagainya?

Pasti lebih teruk. Walaupun mungkin bukan semua, tetapi Intuisku yakin, majoriti akan berfikiran seperti remaja 16 tahun tadi, bahkan lagi teruk. Na’uzubillah.

Inikah Islam yang diajar oleh Allah melalui perantaraan lisan Muhammad SAW?


Spesialisasi Cinta

Mari kita sama-sama meluaskan sedikit skop perbahasan cinta kita. Bukan hanya terjumud kepada cinta kepada manusia. Tetapi, segalanya.

Cinta terhadap KEKAYAAN, cinta terhadap KEMEWAHAN, cinta terhadap KEKUASAAN, cinta terhadap KEDUNIAAN, cinta terhadap KEMAKSIATAN, cinta terhadap KEMALASAN, dan macam-macam jenis spesies cinta yang wujud. Dalam dunia keinginan manusia.

Cintanya seseorang kepada KEKAYAAN, maka kita akan melihat betapa ramai manusia yang sanggup mengorbankan hak-hak mereka terhadap Allah.

Keliru antara rasuah atau kejujuran. Keliru antara waktu solat atau waktu kerja. Keliru antara infaq atau riba. Keliru antara majlis ilmu atau karaoke di kelab malam. Keliru akan cinta Allah dan Rasul SAW atau dunia. 

Cintanya seseorang kepada KEMAKSIATAN, maka kita akan melihat betapa ramai manusia yang sanggup mengorbankan agama mereka untuk itu.

Keliru antara zina atau nikah. Keliru antara arak atau pelbagai jenis minuman yang dihalalkan. Keliru antara Al-Qur’an atau majalah hiburan. Keliru antara syurga dunia atau neraka akhirat. Keliru antara keseronokan atau ketenangan. Keliru antara kenginan hawa nafsu atau perintah dari Tuhan. Firman Allah SWT:

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab, bahawa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahawa Allah Allah sangat berat azabnya.
(al-Baqarah:165)

Dan sebahagian ulama’ tafsir mengatakan, tafsir kepada firman Allah di atas adalah;
“Katakanlah: “Jika bapa-bapakmu, anak-anakmu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatirkan  kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
( at-Taubah:24)

Na’uzubillah.



Bersambung….~