Tuesday, July 27, 2010

ada udang di sebalik mee..



Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampung yang tahu akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, "Kami simpati atas kehilangan kuda kesayangan Tok.Tentu Tok sedih.."

Sebaliknya,Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, "Tak apalah.Mesti ada hikmahnya." "Apa hikmahnya Tok?" "Tok pun tak tahu. Tapi pasti ada hikmahnya."

Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.
"Tok bertuahlah.Untung." Begitulah kata mereka.

Tok Penghulu sebaliknya berkata, "Belum tentu lagi.Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya."

Anak lelaki Tok penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil mengembala kuda-kuda liar yang lain. Entah bagaimana pada satu hari, anak Tok Penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu tangan kanannya patah.

Orang kampung tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.
"Malang benar nasib tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula," kata mereka.

Tok Penghulu tersenyum dan berkata, "Ini ujian Allah.Tentu ada hikmahnya."

Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!" Arah ketua tentera.

Semua ibubapa kampung itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.
"Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!" Kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.

Pada ketika itu, terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, "Mesti ada hikmahnya."



Pengajaran:
Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat daripada sudut yang baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun didalam hati sentiasa mengharap kebaikan disebaliknya daripada Allah.

Sunday, July 18, 2010

Menilai dan Dinilai..



Di suatu masa dahulu, terdapat seorang alim ulamak yang tersohor kerana ilmu dan amalannya. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran dan juga penghafal beribu - ribu hadith sahih semenjak kecil lagi. Dan semenjak kecil lagi,beliau telah di hantar oleh kedua ibu dan bapanya untuk menuntut di Mekkah dan Madinah selama berpuluh tahun lamanya. Bapanya juga adalah seorang alim ulamak yang pernah mengembangkan agama Islam sampai ke negara selatan Siam.

Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang pertama di zaman moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi penghargaan mengimamkan solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan cerita, pada suatu masa, alim ulamak tersebut telah jatuh sakit lalu tidak dapat untuk mengimamkan solat fardhu di suraunya.

Maka tiba - tiba datanglah seorang yang berpakaian buruk (seolah - olah kelihatan tidak siuman) sejurus sebelum solat fardhu di laksanakan. Alim ulamak tersebut telah meminta supaya orang yang berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam! Setelah solat fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah memohon untuk mengundur diri. Kelihatan senyuman terukir pada wajah murid - murid alim ulamak tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang yang berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain dengan tajwid yang betul.
Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu kerana guru mereka, yaitu alim ulamak tersebut, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali (maklumlah seorang al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).

Maka alim ulamak tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk tersebut sebelum orang yang berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu, alim ulamak memanggil keseluruh muridnya berkumpul di hadapannya lalu beliau telah bercerita :

Pernah berlaku di suatu kampung di timur tengah dimana terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka merendahkan diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya di minta pertolongan. Cuma yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung di dalam sebuah kandang yang serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana sekalipun orang datang untuk membeli kibas daripadanya. Belilah sampai seratus ekor sekalipun, setelah kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang, yang tinggal di dalam kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti sebelum seratus ekor di bawa keluar daripada kandang!

Maka seluruh alim ulamak penduduk kampung telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut adalah seorang aulia' Allah dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa dengan pengembala kibas tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat dimasjid kerana mereka mahu mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala kibas tersebut.

Hasrat mereka telah di persetujui oleh pengembala kibas. Sembahyangpun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas telah menjadi imam. Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah berikutnya, bacaan beliau tidak sempurna tajwidnya. Maka setelah selesai sembahyang, seluruh penduduk kampung telah pulang kerumah masing - masing sambil ketawa terbahak-bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia' Allah telah jauh meleset.

Pada malam tersebut, seluruh alim ulamak penduduk kampung telah bermimpi, dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang seorang lelaki yang tinggi dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut telah mengatakan bahawa seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali pertamanya sembahyang mereka telah diterima Tuhan! Subhanallah!

Keesokan harinya, kesemua alim ulamak penduduk kampung berkumpul dimasjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala kibas. Malangnya, pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnyapun telah tiada. Bekas kandangpun tiada, seolah - olah kandang kibas tidak pernah wujud!

Setelah selesai menceritakan kisah pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah menangis kerana mereka tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah mendahalui Allah dengan merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.

Allah Ta'ala telah berfirman yang bermaksud :

"..maka janganlah engkau semua melagak - lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa."
(An-Najm : 32)

"Janganlah engkau memalingkan muka dari para manusia sebab kesombangan dan janganlah berjalan di bumi dengan takabbur, sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada setiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
(Luqman: 7)

Renunug-renungkan dan selamat beramal.=)



"akan kusampaikan walau sebaris ayat.."

Sunday, July 11, 2010

World Cup 2010 dan…

Mencapai Klimaks

Sedar tak sedar, Piala Dunia atau lebih dikenali sebagai ‘World Cup’ sudah pun mencecah ke klimaksnya. World Cup kali ini menyaksikan pasukan-pasukan jagohan dunia seperti Perancis, Itali dan Cameroon menjadi pasukan belasahan pasukan-pasukan ‘underdog’ yang baru sahaja cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia bola sepak seperti Serbia, New Zealand dan Slovakia. Bak kata pepatah, hidup ini ibarat roda; ada kalanya kita berada di atas dan ada kalanya pula kita berada di bawah. Jadi, usahlah kita terlalu leka dengan pesona dunia. Seperti kebiasaan juga, World Cup yang diadakan ‘Bumi Safari’ ini juga turut menjadi penyaksian betapa megahnya Sang Wira bola sepak dunia seperti Belanda, German dan Sepanyol dengan barisan-barisan ‘tentera’ mereka merobek gawang lawan masing-masing dan bertakhta di senarai teratas ‘choice team of the match’. Terbanglah helang, terbang tinggi…usah kau lupa diri bahawa langit itu tinggi, nanti lemas kau sendiri. Ingatlah wahai sahabat, usah terlalu mendongak ke langit sehingakan terlupa rumput yang dipijak.

Hari Ini Dalam Sejarah

Kejohanan bola sepak buat pertama kalinya dicetuskan secara rasmi pada 26 Mei 1928 di Amsterdam. Sebelum ini, bola sepak hanya dipertandingkan di sukan olimpik. World Cup pertama berlangsung di Uruguay pada 13-30 Julai 1930. Presiden FIFA pada waktu itu, Jules Rimet, berharap pertandingan antara negara ini dapat mencipta perdamaian dunia. Kejohanan pertama itu disertai oleh 13 buah Negara, iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Romania, Belgium, Yugoslavia, Argentina, Chile, Mexico, Brazil, Bolivia, Uruguay, Peru dan Paraguay yang kesemuanya adalah negara non-muslim. Tuan rumah, Uruguay berhasil menjadi juara setelah mengalahkan Argentina dengan 4-2 di perlawanan akhir yang melayakkan negara tersebut memperolehi trofi Jules Rimet Cup yang bertatahkan emas. Semasa Perang Dunia II, kejuaraan ini tergendala seketika selama 12 tahun. Ia diteruskan kembali pada tahun 1950 di Brazil. Pada tahun 1970 di Mexico, FIFA telah memutuskan untuk membenarkan Brazil menyimpan piala Jules Rimet oleh kerana Brazil berjaya menjadi negara pertama yang menjuarai kejohanan itu sebanyak 3 kali iaitu pada 1958, 1962 dan 1970. FIFA kemudian mencipta trofi Piala Dunia yang baru dengan menggunakan emas 18 karat dengan ketinggian 36cm dan berat 4.97kg, yang menjadi rebutan hingga sekarang. Piala ini tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh negara pemenang. Untuk menghiburkan masyarakat dunia, replikanya telah dibuat dan diusung mengelilingi dunia setiap kali acara itu menjelang. Piala ini bak berhala yang didewakan oleh masyarakat dunia, khususnya pencinta bola sepak.


Penangan World Cup

Jika ditanya, boleh dikatakan jarang orang tidak tahu tentang World Cup 2010 yang sedang berlangsung sekarang. Tak kiralah dari mana ‘species’ mereka datang; dari kanak-kanak hinggalah ke warga emas, baik lelaki mahupun wanita, tanpa mengira keturunan, pangkat, kaya atau papa, boss atau driver, baik mereka yang tinggal di singgahsana kekuasaan yang serba mewah mahupun mereka yang tidur hanya beratapkan langit, baik mereka yang tinggal di negara maju mahupun mundur, malah tidak keterlaluan jika dikatakan hampir kesemua penduduk bumi tahu akan kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali ini. Begitulah hebatnya Piala Dunia, ibarat sihir yang memukau seluruh manusia! Apa yang menyedihkan kita ialah terdapat begitu ramai dari kalangan umat Islam yang turut terkena sihir ini. Berapa ramai yang matanya terpaku di depan televisyen dan lidah mereka akan dibasahi dengan ‘zikir’ bola sepak setiap pagi, petang dan malam. Setiap Muslim pencinta bola tidak leka dan lalai dari mengetahui perkembangan perlawanan. Rasanya tidak afdhal jika tidak berbicara tentang bola dalam setiap perbualan dengan kenalan dan taulan.

World Cup yang berlangsung 11 Jun - 11 Julai 2010 ini telah menjadi satu magnet besar yang yang dapat menarik perhatian sebahagian besar penghuni planet yang bergelar bumi ini. Tidak hanya itu, World Cup juga telah berjaya mengubah ‘pola hidup’ manusia di mana secara sedar ataupun tidak, mereka akan menyesuai atau ‘menyelaraskan’ jadual hidup mereka dengan kejohanan tersebut. Paling tidak, dalam sebulan ini, ramai penduduk dunia akan mengubah pola menonton televisyen, termasuk mengubah pola tidur, pola perbelanjaan dan pola perbincangan. Malah ramai yang tidak berpuas hati jika hanya menonton di rumah. Mereka sanggup ke kedai atau ke mana-mana tempat yang ada skrin besar dan menontonnya beramai-ramai untuk ‘merasakan’ suasana dan aura perlawanan umpama berada di stadium.

Kapitalisme dan World Cup


Kali ini (2010), giliran Afrika Selatan pula untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan sukan bola sepak terbesar di dunia tersebut. Fikir punya fikir, sungguh tak tercapai dek aqal bagaimana negara semiskin Afrika Selatan boleh terpilih untuk menjadi hos kepada temasya berprestij ini. Bukan niat ‘intuisiku’ untuk memperkecil-kecilkan kemampuan dan kebolehan Negara Kelas Ketiga ini tetapi cuma terdetik di minda yang serba kekurangan ilmu ini tentang realiti kehidupan. Dari segi infrastruktur, Afrika Selatan sebenarnya masih belum layak untuk menganjurkan temasya yang penuh gilang-gemilang ini kerana semuanya terhad di sana. Afrika Selatan adalah antara negara penghutang yang terbesar di dunia, akan tetapi kenapakah ‘Bumi Safari’ itu berjaya menjadi penyelenggara kejohanan besar empat tahun sekali ini?!



Untuk menjayakan Piala Dunia yang pertama di benua Afrika ini, Johannesburg mesti menyediakan paling kurang pun 10 buah stadium di sana sedangkan yang sedia ada hanyalah berjumlah 5 buah, itupun tidak memenuhi syarat dengan pelbagai kekurangannya. Mahu tidak mahu, 5 buah stadium baru terpaksa dibina dan yang sedia ada perlu diperbaiki. Kos keseluruhannya mencecah berbillion dolar. Imagine, Soccer City Stadium sahaja itu pun sudah melebihi RM1.4 billion. Inikan pula stadium-stadium lain. Justeru, bagaimana hal ini boleh dijayakan jika tidak adanya campurtangan dari para Kapitalis? Tak perlu buka pekong di dada, rasanya semua pun sudah tahu bahawa Afrika Selatan masih berada di bawah bayang-bayang Barat. Walaupun majoriti penduduk negara itu adalah berkulit hitam, namun yang menguasai mereka adalah yang berkulit putih. Melalui tangan Kapitalis global berkulit putih inilah kesemua rancangan dapat dilaksanakan sebagaimana yang dirancang. Sungguh mengkagumkan, dalam waktu 2 tahun sahaja, semua stadium berjaya disiapkan.


Ketua Eksekutif Piala Dunia 2010, Danny Jordaan menjangkakan bahawa FIFA akan memperolehi keuntungan sebesar USD3.5 bilion dari Piala Dunia kali ini. Keuntungan juga akan dikaut oleh rakan niaga FIFA bermula dari syarikat penerbangan rasmi, hak penyiaran rasmi, hotel rasmi dan lain-lain penaja besar rasmi lagi. Pengeluar alatan sukan Adidas misalnya, dijangka mengaut keuntungan USD1.7 bilion, demikian pula dengan Nike, Puma dan Umbro yang dikatakan bakal mengaut nilai yang hampir sama (Sumber: Reuters). Bukan sekadar itu, keuntungan juga bakal dikaut oleh syarikat pengeluar kondom. Ya, jangan pula terkejut dengan pendedahan ini!=) Afrika Selatan memerlukan sejuta kondom sepanjang keberlangsungan World Cup kerana sekitar 40 ribu pelacur dijangka akan turut ‘hadir’ sama bagi memeriahkan temasya tersebut. Ini belum lagi termasuk pengeluar minuman keras yang bakal meraih keuntungan yang mungkin jauh lebih besar. Apatah lagi ‘tahi’ judi yang bakal menjadi juara dalam meraih keuntungan yang paling besar, bukan sahaja di Afrika, malah di seluruh dunia. Pasar judi di Britain sahaja mengharapkan dapat meraih lebih 1 bilion pound sterling. Hatta di Malaysia pun, para Kapitalis judi, dan kerajaan judi 1Malaysia akan mendapat keuntungan besar dengan ‘usaha baik’ Kementerian Kewangan yang telah menghalalkan judi bola di sepanjang kejohanan Piala Dunia ini. Pendek kata, yang menjadi juara di dalam Piala Dunia sebenarnya adalah para Kapitalis!


Muhasabah Diri

Renungkan kembali, wahai sahabat…ingatkah lagi pada perlawanan-perlawanan di peringkat kumpulan dahulu?! Tidakkah pesta dunia yang dihidangkan ini mengambil waktu betul-betul selepas Maghrib?! Dan sudah tentulah kita yang mengikutinya akan tertumpu pada kaca TV sahaja, dan tidak akan ke masjid. Solat kita pun tak khusyuk jadinya disebabkan asyik memikirkan kalah-menang pasukan pilihan. Dan satu perlawanan sebelah malam di ‘dunia’ sebelah sana pula adalah waktu hampir ke Subuh di dunia sebelah sini. Dek leka melayan hidangan dunia itu, Subuh pun menjadi terlajak. Terlajak kerana sememangnya tidur sudah agak lewat. Kita pun berpesta tanpa rasa apa-apa salahnya. Orang lain bergembira dengan dunia, kita pun mahu turut gembira. Orang lain mahu bersorak meraikan tidak sampai tiga puluh orang kejar-mengejar sebiji bola, kemudian sesekali melonjak tinggi, menjerit-jerit atau meratap hiba apabila bola masuk jaring. Kita pun rela dengan sedar melepaskan al-Quran yang dibaca antara Mahgrib dengan Isyak, atau rela tidak beriktikaf di masjid, atau meninggalkan kuliah Mahgrib. Puncanya apa?! Sebiji bola yang didemami seluruh dunia!! Ingatlah sahabatku, Allah telah berfirman dalam kitab suci al-Quran:

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik .

(al-Hasyr : 19)

Ah, betapa zalimnya kita! Betapa kita tewas dengan dunia dan keseronokannya. Betapa tiada lagi air mata Gazza, kebulur Muslim Palestin atau marah kita pada Israel dengan topeng Zionist yang merompak harta-harta sukarelawan kemanusiaan. Sambil bersorak, kita pun bergegar-gegar meneguk Coca-Cola seperti Israel menghirup darah saudara kita di Palestin. Sungguh rakus, tanpa rasa bersalah sedikit pun. Zalimnya kita! Kita pun tahu, kekuatan umat Islam hanya dengan tulusnya ibadah. Kekuatan kita hanya dengan yakinnya kita pada Allah. Sayangnya kita pada Nabi. Dan cintanya kita pada prinsip-prinsip murni Islam. Kita jelmakan baju Islam sebagai pakaian yang namanya taqwa. Betapa Yahudi amat gerun pada muslim jika Solat Subuh mereka seperti ramainya orang bersolat Jumaat atau sunat hari raya. Betapa gerunnya Yahudi jika pemuda Islam berpegang teguh pada ajaran agama. Betapa takutnya Yahudi pada Islam jika setiap jiwa punya kekuatan JIHAD dalam diri. Jika kita takut berjihad mengangkat senjata, jihadlah melawan nafsu yang menjadi musuh terdekat kita.


Lupakah kita, bahawa musuh sebenar diri kita adalah dalam diri kita sendiri?! Ya, itulah yang bergelar NAFSU!


p/s : nampak banyak entry-entry blog, posting-posting kat FB & liputan media massa yang obses pasal ramalan Paul Si Sotong Kurita mengenai World Cup 2010. Dalam sedar tak sedar itu dah semakin menyimpang…

Saturday, July 03, 2010

SIAPA?!


Siapakah orang yang MANIS senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang
yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun."
Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini",
sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang KAYA?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada
dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang MISKIN?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada
sentiasa menumpuk – numpukkan harta.

Siapakah orang yang RUGI?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan
namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling CANTIK?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling LUAS?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati
membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan
saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang SEMPIT lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati
tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai AKAL?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga
kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari
siksa neraka.

Siapakah orang yang KEDEKUT ?
Orang yg kedekut ialah org yg membiar atau membuang entry ini begitu
sahaja, malah dia tidak akan menyampaikan pula pada orang lain..=)