p/s: video ini hanyalah nasihat semata-mata..tiada kena-mengena dengan spesifik individu tertentu yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia..^_^
Wednesday, May 30, 2012
Aku, Dia dan Exam..~
p/s: video ini hanyalah nasihat semata-mata..tiada kena-mengena dengan spesifik individu tertentu yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia..^_^
Saturday, May 19, 2012
Thursday, May 17, 2012
Atas PAGAR Makan Budi..
Angin Pilihanraya Umum ke-13 semakin kuat bertiup.
Apakah ini suatu spekulasi?
Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana pilihanraya adalah milik kita semua dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Hairan juga saya dengan saranan sesengah pihak yang menyuruh rakyat berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRU13. Mengapa pula begitu? Semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami.
Parti politik yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihanraya mereka.
Rakyat juga perlu melakukan pelbagai perkara untuk memastikan mereka boleh mengundi. Out station, bertugas di luar negara, melakukan pembedahan elektif, menyusun rotation kerja bagi kakitangan perubatan dan 1001 sebab lagi. Semuanya terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh pilihanraya dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa.
Tetapi bukanlah hal itu yang menjadi bahan fikir saya kebelakangan ini. Apa yang lebih membimbangkan saya, ialah kecelaruan pemikiran para pengundi, khususnya dari kalangan generasi muda yang bakal mengundi buat pertama kali, tentang segala hal yang berkaitan dengan pilihanraya dan proses demokrasi di negara kita.
AKU PEDULI APA
Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.
Dalam perjuangan mahasiswa, mata terus memberi perhatian kepada pertembungan antara pro BN dengan pro PR. Namun kita terlepas pandang bahawa pertempuran paling besar ialah pertempuran antara golongan PEDULI dengan golongan TIDAK PEDULI.
Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.
POLITIK YANG JENGKEL
Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana.
Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti.
Anak muda bukan punya sabar untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh daripada pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, kedua-duanya bisa gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.
Tetapi mengambil peduli tentang politik memang memerlukan stamina yang tinggi.
Stamina emosi!
Jika kekotoran politik Malaysia menjadi alasan mereka enggan peduli, anak muda Malaysia perlu meninjau anak muda Turki berdepan dengan politik negara mereka yang lebih dahsyat lagi bangsat (maaf), namun mahasiswa di Turki tidak lelah. Jika stamina tinggi mengambil 16 subjek untuk SPM, seharusnya stamina yang sama dipinjamkan kepada keperluan mengambil tahu tentang politik.
Sama ada atas asas Islam, sosialis, Laiklik (sekularisma Turki), atau apa sahaja, peduli dan melakukan sesuatu berkenaan kepedulian itu ertinya sudah menyelesaikan 50% urusan perubahan.
KESALAHAN PARADIGMA
“Saya pening, tak tahu nak undi mana satu. Dua-dua tak meyakinkan!” kata seorang anak muda di Facebook.
“Senang cakap ustaz sebenarnya sokong siapa kerana apa yang kita lihat ikut hukum logik politik kepentingan perlu buang undi memenangkan kedua-dua kelompok ini? Apakah kedudukan umat Islam bergantung dengan kedua-dua kelompok ini?” tanya seorang anak muda lagi. Di Facebook juga.
Kesalahan paradigma kita ialah undi kita adalah untuk menguntungkan pihak yang diundi.
Itu salah.
Kerja kita bukan hanya mengundi.
Mengundi hanya permulaan.
Kita mengundi untuk menyediakan ruang kita berperanan. Pihak yang perlu dimenangkan ialah pihak yang apabila menang, dia mahu mendengar nasihat, tunjuk ajar dan cadangan kita. Dalam erti kata yang lain, selepas pilihanraya, kita mesti terus bekerjasama untuk mengisi keputusan pilihanraya dengan maslahah-maslahah masyarakat, Yakni kita aktif membantu pihak yang menang mengisi kemenangan.
Bukannya selepas undi, kita tinggalkan politik dan komen dari jauh sama ada orang politik sudah buat kerja atau tidak!
Al-Imam Ahmad dan al-Baihaqi meriwayatkan cerita oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang wasiat Nabi Nuh ‘alayhi al-Salaam kepada anaknya di ambang kewafatan Baginda. Hadith yang panjang itu menyentuh perkara berikut:
Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”
Sahabat bertanya, Ya Rasulallah,
sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang
dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai
sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan lagi, atau
apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau
menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat tersebut, atau adakah
jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk
bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?
Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”
[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]
Pihak yang masuk ke Parlimen dan Dewan Rakyat itu memang bukan nasib kita bergantung kepada mereka, tetapi keputusan-keputusan mereka menimpa kita secara langsung.
Maka siapa yang mahu dihantar masuk ke bilik-bilik mesyuarat penggubalan dasar pusat dan negeri itu, amat kritikal!
Namun usaha semua orang di bidang masing-masing mesti diteruskan sama ada di ahli politik atau tidak.
Terutamanya kakitangan awam yang mesti terus berkhidmat kepada rakyat, dan bukannya kepada parti, tanpa mengira apakah bentuk peralihan kuasa pasca Pilihanraya Umum. Kakitangan awam adalah tunggak utama urus tadbir negara.
TERNAKAN AL-MALA’
Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg.
Isunya lebih dari itu.
Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya.
Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan seks.
Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.
Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.
Apakah falsafah binatang ternak?
Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!
Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.
Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.
Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.
Neraka Jahannam bukan hanya dihuni oleh manusia jahat lagi ahli jenayah.
Neraka Jahannam juga dihuni oleh orang-orang yang LALAI.
Ayat ini seharusnya menjadi peringatan paling tegas untuk membanteras gejala AKU TIDAK PEDULISMA.
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin
dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang
mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
orang-orang yang lalai. [Al-A'raaf 7: 179]
Semua pihak perlu serius memikirkan hal ini. Mereka yang bertanding, yang berkempen, yang berdakwah, yang bersiasah… isu ini isu semua.
Pilihanraya, demokrasi, baik pulih pemerintahan… adalah isu yang tidak punya sebarang makna bagi manusia yang hanya berfikir tentang perutnya.
PASRAH SAHAJA
Dunia adalah ladang Akhirat. Nasib kita di Akhirat sangat berkait rapat dengan reaksi dan aksi kita di dunia.
Perbalahan di zaman ini bukan seperti di zaman Muawiyah vs Ali radhiyallahu ‘anhuma yang amat sukar untuk ditentukan pihak mana yang hendak dihulurkan tangan.
Sesungguhnya di Akhirat nanti, Allah tidak simpati kepada golongan ‘tertindas’ yang semasa hidup di dunia, mereka tidak bertindak. Hanya pasrah sahaja.
“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat
semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka ditanya oleh
malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama
kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas
di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang
membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang
sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan
neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [Al-Nisaa' 4: 97]
ERA PAHLAWAN KEYBOARD
Golongan TIDAK PEDULI itu buat masa ini masih kelompok paling besar.
Ramai dari kalangan mereka, amat rancak duduk di depan laptop atau telefon pintar bersuara BISING.
Kekuatan penguasa di mana-mana sahaja
banyak bergantung besar pada golongan ini. Mereka tidak perlu menyokong
pembangkang yang memerlukan kepada kesedaran politik, membaca,
menganalisa, berusrah dan lain-lain kesusahan. Untuk menghasilkan
golongan ini, beri sahaja apa yang nafsu mereka mahu.
Hiburan, duit
poket, ‘kestabilan sosial’ yang semuanya itu diberikan tanpa golongan
ini sedar pun bahawa mereka sedang menikmatinya.
Hakikatnya, mereka hanyalah golongan yang ‘menyembah Allah di pinggiran’.
Opportunist!
“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan
pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah
hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan,
berbaliklah ia semula. (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan
akhirat, itulah kerugian yang terang nyata” [Al-Hajj 22: 11]
Jika bosan dengar celoteh seorang ustaz, dengarlah nasihat Desmond Tutu:
If you are neutral in situations of
injustice, you have chosen the side of the oppressor. If an elephant has
its foot on the tail of a mouse and you say that you are neutral, the
mouse will not appreciate your neutrality.
Selamat berpihak.
Petikan Penuh Daripada:
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Monday, May 14, 2012
Fitnah Ukhti Barbie dan Akhi Ken
“Perkara paling sweet ialah ketika dua orang saling rindu, namun tidak berkomunikasi, tetapi keduanya saling mendoakan di dalam sujudnya masing-masing”
Demikian ungkapan yang dikongsi.
‘Kata-kata hikmah’ yang terkini, disertai dengan ilustrasi.
Lama saya berfikir, sejauh manakah seriusnya hal ini. Penting sangatkah ia untuk disentuh, atau dalam bahasa yang lebih langsung, DITEGUR. Banyak isu lain yang lebih membimbangkan. Sejauh ozon berlubang, sekritikal isu Palestin dan Syria, sehangat isu Pilihanraya Umum yang tidak bersih, hinggalah kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna semasa.
Berbaloikah untuk menjentik topik ini?
Saya mencubanya di Facebook. Dari Facebook ia datang, di Facebook juga ia perlu disuarakan.
PASCA CINTA ANTA ANTI
Dulu-dulu, sahabat saya Ustaz Maszlee Malik telah mencetuskan diskusi yang meluas di kalangan anak muda dengan artikelnya ‘Cinta Anta Anti’. Berkongsi nasihat dengan adik-adik yang berperibadi Islam, sebahagiannya aktif dengan kerja-kerja amal Islami, tetapi terperangkap dalam nafsu yang dibungkus dalam pakaian Islam. Seorang ‘akhi’ menghantar sms berisi ‘Tazkirah of the Day’ kepada seorang ‘ukhti’, dan tersenyum-senyum mereka berdua dalam cinta jarak jauh, yang dipisahkan oleh Syariat.
Sesekali sms atau miss call ditujukan pada jam 4:30 pagi, memberi friendly reminder agar si ukhti bangun daripada tidur yang lena, membasahkan wajah dengan wudhu’ dan membawa muka itu sujud kepada Ilahi ketika dunia sedang alpa dalam mimpi dan tidur yang lena.
Mereka terlupa bahawa mereka juga sedang bermimpi dan tidur dalam jaga.
Dalam pelukan ‘akhi Syaitan’!
Saya perlu suarakan hal ini. Saya bertanggungjawab menghasilkan tiga buah buku CINTA ke tengah masyarakat. Buku cinta saya ada yang terbit menjadi drama, ada yang diforumkan bersama Kang Abik peneraju fenomena Ayat-ayat Cinta. Buku cinta saya juga menjadi ceramah tajuk cinta yang entah berapa ratus kali semenjak 2008 dan kesemuanya saya simpulkan di dalam catatan terakhir siri ketiga ATN di bawah tajuk MURABBI CINTA.
Tujuannya adalah pada ‘menseriuskan’ topik CINTA.
Membasmi penangan novel-novel cinta yang mengheret pembaca ke dunia fantasi yang menjauhi realiti. Malah lebih membimbangkan, dek penerimaan yang meluas, ia membentuk pula realiti alternatif.
Perjuangan saya (mudah-mudahan diterima Allah) adalah pada membuktikan bahawa cinta merupakan terjemahan AQIDAH, PANDANGAN HIDUP dan SISTEM NILAI seseorang. Tiga komponen itu juga merupakan sisi manusia yang diserang oleh DAJJAL (Sayyid Qutb: Tafsir Surah al-Kahf di dalam Fi Dhilal al-Quran) Justeru proses menterjemahkan Aqidah kepada cinta dan rumahtangga, turut mengalami fitnah Dajjal.
ERA ANIMASI
Terkini, fitnah itu bukan lagi diungkapkan melalui sms, atau teks.
Ia diilustrasikan.
Ilustrasi yang sering kita temui melalui sentuhan artis-artis Korea seperti Lee Tae-Ho, tetapi membawa mesej ‘Islamik’. Sesungguhnya ilustrasi sebegini memberi kesan yang lebih merbahaya kepada anak muda terhadap fitnah Cinta Anta Anti. Jumlahnya semakin besar dan tersebar. Perkongsiannya semakin meluas. Biar pun saya tiada statistik untuk membuktikan implikasi fenomena ini, namun cukuplah dengan pemerhatian peribadi saya terhadap trend cinta semasa melalui pergaulan, jemputan-jemputan ceramah dan reaksi hadirin terhadapnya.
Mata saya memerhati bentuk poster program, bagaimanakah gelagat peserta sesama mereka sebelum ceramah bermula, ungkapan pengerusi majlis semasa memulakan program, serta perbandingan terhadap jumlah kehadiran di bawah tajuk Cinta dan tajuk non-Cinta, oleh penceramah yang sama serta penceramah yang berbeza.
Mungkin agak kasar, namun kesimpulan saya ialah: GEDIK.
bp = tergedik-gedik lincah (bkn
gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar;
menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll
sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya
yg montok. [KAMUS DEWAN EDISI 4 - VERSI ATAS TALIAN]
SUBLIMATION IN PSYCHOLOGY?
Saya tidak dapat menyetujui saranan
pendapat bahawa fenomena ini mesti dilihat sebagai sesuatu yang positif,
bersandarkan kepada teori sublimation in psychology yang dihuraikan
oleh Sigmund Freud sebagai satu bentuk defense mechanism bagi menukar
pelbagai bentuk ekspresi psikologi kepada sesuatu yang diterima sebagai
bermanfaat oleh masyarakat. Ia jauh lebih berbahaya daripada kisah J. F.
Dieffenbach yang memotong ekor anjingnya semasa kecil secara yang
sadis, dan kemudian menjadi titik mula kepada Dieffenbach menjadi pakar
bedah yang terkenal!
Teori Sublimation ini mesti diiringi dengan
teori Tipu Daya Iblis yang dibentangkan secara terpeinci di dalam
naskhah klasik Talbees Iblis oleh Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi al-Baghdadi
(meninggal dunia tahun 597H) betapa Syaitan secara licik menggunakan
pendekatan bertahap untuk menyesatkan, bukan hanya orang biasa-biasa
seperti kita, hatta para ulama. Bukan hanya secara mikro di peringkat
individu, malah secara makro hingga membentuk kelompok Khawarij, Syiah
Batiniyyah dan yang seumpama dengannya.
Kerana itu zina, dan sebarang objektif Syaitanik, mesti dikesan daripada langkah-langkah kecil menuju ke arah itu.
“Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi” [Al-An'aam 6: 151]
Selepas bertanggungjawab ‘menghantar’ hampir 100 ribu naskhah buku cinta ke tengah masyarakat Malaysia, saya tegaskan bahawa tiada isi kandungan buku saya yang menjurus ke arah ini.
Malah buku saya bukan buku cinta.
Ia adalah buku yang menggunakan cinta
sebagai alat untuk mengubah kepercayaan, pandangan hidup dan sistem
nilai. Buku yang sepatutnya menyedarkan, bukan mengkhayalkan. Buku yang
membantu pembaca berfikir, bukan membiuskan fikiran mereka.
KISAH ABDULLAH BIN ABU BAKAR
Teringat saya kepada ujian yang menimpa
Abdullah, anak kepada Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu. Abdullah
mengahwini seorang gadis perawan yang serba lengkap kelebihan dirinya
iaitu Atiqah binti Zaid. Namun perkahwinan mereka berdua teruji apabila
Abdullah yang terlalu mencintai Atiqah tercuai daripada pelbagai
tanggungjawab hingga mengabaikan solat dan kesemuanya ini mengecewakan
Abu Bakar. Sebagai bapa, beliau bertegas memberikan nasihat yang telah
menyebabkan Abdullah ‘terpaksa’ menceraikan Atiqah kerana cinta mereka
sudah menjadi FITNAH.
Demikianlah ujian cinta seorang pejuang
yang membantu proses Hijrah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
bernama Abdullah, anak kepada seorang tokoh terhebat bernama Abu Bakr.
Perceraian yang berlaku kerana cinta yang terlebih dos.
Cinta yang membingungkan.
Cinta Abdullah dan Atiqah hanya terjalin
semula dalam sebuah perkahwinan selepas diislahkan oleh Baginda
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, namun harganya adalah sebuah
PEٌCERAIAN.
Kes ini amat terpencil.
Namun dengan perceraian yang berlaku setiap
15 minit di dalam masyarakat kita, saya kira ‘belajar makna perkahwinan
melalui perceraian’ mesti ditangani dengan serius.
PERKAHWINAN DAN MINDA SEDAR
Perkahwinan dan rumahtangga perlu didatangi
dengan minda sedar. Minda yang jelas tentang erti sebuah perkahwinan
yang lebih daripada sekadar rasa cinta, kemahuan seorang lelaki kepada
seorang perempuan, atau perempuan kepada lelaki. Nikah datang dengan
tuntutan upaya mengendalikan output perkahwinan, bermula daripada
persefahaman dan kerjasama, pengurusan hubungan dua keluarga dalam
dimensi mertua dan ipar, anak yang bayi kemudian kanak-kanak, remaja dan
seterusnya dewasa, pengurusan kewangan, kesihatan, tekanan kerjaya dan
keluarga, yang semua itu perlu didatangi dengan minda sedar, bukan
gedik.
Saya bekerja keras untuk menimbulkan minda sedar itu.
Justeru saya perlu menyatakan bahawa, ilustrasi-ilustrasi cinta Islamik ini membinasakannya.
Dara dan Sara? – Alternatif Barbie and Ken oleh Iran
Oh, alternatifnya?
Perlukah ada alternatif?
Fitnah ini timbul bukankah kerana mahu ‘mengalternatifkan’ apa yang tidak perlu kepada alternatif?
Bukan Ukhti Barbie dan Akhi Ken!
Friday, May 04, 2012
Bila Dahi Bertemu Sejadah
Bila dahi bertemu sejadah,
terasa kasihnya yang Maha Esa,
dalam sujud keheningan pagi,
menagih keampunan Ilahi..
Bila dahi bertemu sejadah,
mengimbau akan dosa dan noda,
adakah masih ada peluang untukku,
kembali ke jalan-Mu ya Allah...
Bila dahi bertemu sejadah,
terasa kerdilnya diri,
lahir dari saripati yang hina,
mengabdikan diri kembali ke pangkuan-Mu...
Bila dahi bertemu sejadah,
hamba-Mu ini berdoa kepada-Mu,
tetapkanlah iman hamba-Mu ini,
berilah petunjuk-Mu yang agung,
agar bisa diri ini taat kepada-Mu....
Bila dahi bertemu sejadah,
hati ini merintih kehinaan,
masihkah ada jihad dalam diriku,
saat saudaraku dirobek kekejaman,
adakah aku hanya mampu melihat....
Sebelum dahiku bertemu sejadah,
sujud mengharap keampunan-Mu,
hamparkanlah nur hidayah-Mu,
lunturkanlah kehinaan hamba-Mu ini,
agar bisaku berdiri di hadapan-Mu kelak,
dengan penuh rasa bangga menjadi hamba-Mu yang kamil.
terasa kasihnya yang Maha Esa,
dalam sujud keheningan pagi,
menagih keampunan Ilahi..
Bila dahi bertemu sejadah,
mengimbau akan dosa dan noda,
adakah masih ada peluang untukku,
kembali ke jalan-Mu ya Allah...
Bila dahi bertemu sejadah,
terasa kerdilnya diri,
lahir dari saripati yang hina,
mengabdikan diri kembali ke pangkuan-Mu...
Bila dahi bertemu sejadah,
hamba-Mu ini berdoa kepada-Mu,
tetapkanlah iman hamba-Mu ini,
berilah petunjuk-Mu yang agung,
agar bisa diri ini taat kepada-Mu....
Bila dahi bertemu sejadah,
hati ini merintih kehinaan,
masihkah ada jihad dalam diriku,
saat saudaraku dirobek kekejaman,
adakah aku hanya mampu melihat....
Sebelum dahiku bertemu sejadah,
sujud mengharap keampunan-Mu,
hamparkanlah nur hidayah-Mu,
lunturkanlah kehinaan hamba-Mu ini,
agar bisaku berdiri di hadapan-Mu kelak,
dengan penuh rasa bangga menjadi hamba-Mu yang kamil.
Subscribe to:
Posts (Atom)