Benar kata peribahasa Melayu, membaca jambatan ilmu. Terutamanya ulat buku seperti saya.
Saya telah didedahkan dengan kepentingan vaksin dan cara mencegah wabak dari berjangkit sedari usia belasan tahun lagi, agaknya tujuh, lapan tahun sebelum saya bergelar seorang doktor perubatan.
Dari mana agaknya?
Dari sebuah buku tulisan pengarang kegemaran saya, Agatha Christie yang merupakan seorang penulis fiksyen jenayah terkemuka England, juga dunia. Dikatakan hampir 2 billion naskhah buku-bukunya telah terjual setakat ini.
'The mirror crack'd from side to side' yang dikarangnya menceritakan seorang bintang filem terkemuka England yang mandul setelah berkahwin sekian lamanya, sehingga mengambil beberapa orang anak angkat pengubat kesunyian.
Tidak tergambar keterujaannya bila mendapati dirinya akhirnya hamil dan kandungannya dijaga dengan penuh rapi, bagai menatang minyak yang penuh.
Tetapi Tuhan lebih berkuasa, dia telah melahirkan seorang anak yang cacat fizikal jua mental yang akhirnya terpaksa dimasukkan ke dalam 'nursing home'.
Kesedihan yang dialami tidak dapat dibayangkan. Setelah sekian lama, kemurungan yang berpanjangan akhirnya dapat diatasi dan dia kembali ke pangkuan umum setelah beberapa lama menyepi dari dunia seni.
Pada suatu majlis bertemu peminat, dunianya bergoncang kembali. Seorang wanita, peminat setianya dengan berbangga telah menceritakan bagaimana dia jatuh sakit dengan penyakit 'German measles' atau lebih dikenali dengan Rubella tetapi telah menggagahkan diri menghadiri sesi 'autograf' dengan bintang filem itu. Lengkap dengan mekap tebal untuk menyembunyikan ruamnya. Bintang filem itu masih di peringkat awal kandungannya pada ketika itu.
Luluh hati bintang filem tersebut dengan kisah yang diceritakan peminatnya itu. Tersenyum manis tetapi minda yang tersimpan persoalan selama ini yang baru ditemukan jawapannya mengalami transformasi kepada marah yang membara serta dendam kesumat yang tidak terhingga.
Tidak sampai setengah jam kemudian, peminat setia itu mati terminum racun di dalam minuman yang dihidangkan. Dia dibunuh kerana bintang filem itu baru menyedari bahawa dia dan kandungannya telah dijangkiti penyakit Rubella dari peminatnya itu yang telah menyebabkan kecacatan janin yang dikandung.
Ini kisah fiksyen, tetapi sebenarnya disandarkan kepada satu kisah benar yang berlaku di US melibatkan seorang pelakon terkenal pada awal 1900an, Gene Tierney. Hamil setelah menunggu bertahun-tahun lamanya tetapi melahirkan bayi yang bukan sahaja pra-matang tetapi mengalami kecacatan yang teruk dan terpaksa terlantar di 'nursing home'.
Dia juga dijangkiti Rubella oleh seorang peminat tegar, cuma dalam kisah benar ini, tiada yang membunuh dan tiada menjadi mangsa pembunuhan.
Kisah ini timbul semula di dalam benak fikiran saya setahun dua kebelakangan ini. Dalam keghairahan masyarakat kita menggagau konsep 'natural' dan pemakanan sunnah sehingga menidakkan kepentingan vaksinasi, perlu diingatkan bahawa kita hidup bermasyarakat.
Tiada sesiapa di Malaysia mampu membawa keluarganya hidup di sebuah pulau yang terpencil, menanam padi dan tanaman makanan lain sendiri, memproses menjadi beras atau tepung, menjahit bajunya sendiri, menyekolahkan anaknya sendiri tanpa sebarang interaksi dengan manusia lain.
Islam mengajar kita hidup bermasyarakat dan bermuamalah dengan manusia lain dengan peraturan yang ditetapkan. Tiada istilah 'saya menjaga keluarga saya sendiri' dan orang lain menjaga keluarga masing-masing kerana kita berkongsi ruang udara yang sama dan berisiko menyebarkan penyakit sesama sendiri.
Vaksin penting bukan untuk orang sihat seperti kamu dan saya tetapi mereka yang lemah daya ketahanan penyakitnya atau tahap imunisasinya seperti mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik, penyakit kanser seperti leukimia yang dalam rawatan, mereka yang telah dibuang limpanya, penghidap HIV dan AIDS, ibu mengandung jua bayi kecil yang belum boleh mengambil vaksinasi. Mereka ini mungkin anak, isteri, ibu bapa mahupun datuk dan nenek kita.
Apatah lagi di era kebanjiran pendatang asing, sedarkah anda bahawa setakat awal 2015, negara Indonesia, Myanmar, Vietnam dan India tiada program imunisasi nasional Rubella seperti yang sedia ada bertahun lamanya di Malaysia? Yang mereka usahakan hanyalah program imunisasi 'measles' berbanding Malaysia yang menggunapakai vaksin MMR atau 'Measles/Mumps/Rubella'.
Hanya negara Bangladesh baru memulakan usaha imunisasi Rubella ini pada tahun 2014. Oleh itu, apakah status pendatang asing yang ramai di Malaysia? Pastinya, kebanyakannya tiada imunisasi dan bakal menjadi penyebar wabak penyakit Rubella, malah penyakit lain terutamanya jika sebahagian masyarakat kita berterusan memandang enteng usaha pihak berwajib untuk menangani masalah peningkatan wabak di negara kita.
Ibu yang mengandung tetapi lemah imunisasi terhadap Rubella boleh dijangkiti dan mengalami keguguran atau kematian janin dalam kandungan. Jika hidup, janin bakal cacat fizikal dan mental dan diperincikan sekurang-kurangnya lima belas kecacatan atau penyakit yang boleh berlaku, antaranya kecacatan otak, jantung, pendengaran, penglihatan dan autism.
Oleh itu, untuk pasangan yang baru terfikir untuk menimang anak yang sulong, mahupun yang kedua atau ketiga, sila periksa status imunisasi Rubella sang isteri. Jika rendah, sila dapatkan vaksin tersebut dan elak dari mengandung untuk sekurang-kurangnya sebulan setelah menerima vaksin tersebut.
Jika anda tidak mahu mana-mana ahli keluarga anda mendapat nasib yang sama seperti kisah benar di atas, maka pastikan imunisasi anak-anak anda lengkap dan tepat pada masanya.
Masih belum termakan hujah saya atau masih merasakan ya, vaksin ada gunanya tetapi bukan untuk keluarga sendiri?
Bagaimana jika saya katakan bahawa keengganan mengambil vaksin boleh menyebabkan kemandulan orang tersayang?
Jika anda ingin menimang cahayamata seramai sepasukan bola, atau setidak-tidaknya seorang dua atau mahu menjadi seorang datuk atau nenek kepada berdozen-dozen cucu dan cicit, pastikan anak serta cucu anda mengambil vaksin MMR.
Kenapa ya?
Itu cerita untuk hari lain.... nantikan ya!