Kerana
datangnya setahun sekali, Bazaar Ramadhan menjadi tumpuan umum lapisan
masyarakat, tidak kira orang Islam atau bukan Islam. Kedatangan mereka sekadar
mendapatkan makanan yang beraneka jenis yang sebahagian darinya hanya dijual
pada bulan Ramadhan saja.
Orang-orang
Islam yang berpuasa datang ke bazaar kerana mahu mendapatkan makanan berbuka
puasa. Peniaga-peniaga pula sudah tentu melihat inilah masanya mereka mendapat
keuntungan bermusim sepanjang bulan Ramadhan.
Jika
mahu melihat gelagat sikap, memek muka, senyuman bibir, cara berjalan, cara
berpakaian dan cara memilih makanan, cari dan lihatlah di Bazaar Ramadhan.
Namun
begitu, sikap keterujaan kita yang membuak-buak untuk memenuhi kehendak
berbuka, boleh menyebabkan mudharat kepada diri kita, samada dari segi kewangan
dan kesihatan.
Di
sini, suka abam berkongsi tentang tips membeli-belah di Bazaar Ramadhan.
- • Fikirkan menu sebelum ke Bazaar Ramadhan. Sebelum anda keluar ke bazar, fikirkan menu yang anda mahu makan untuk berbuka. Cara ini membantu anda untuk fokus ketika membeli.
- • Sediakan senarai makanan yang hendak dibeli. Cara ini dapat membantu kita merancang juadah berbuka puasa, di samping mengelakkan diri daripada membeli makanan yang tidak diperlukan serta membuat pilihan yang sihat dan tepat.
- • Tetapkan bajet pembelian setiap hari atau bawa duit cukup-cukup sahaja. Cara ini dapat mengelakkan kita daripada dipengaruhi nafsu lapar yang menjurus ke arah ‘terlebih beli’.
- • Beli 2-3 juadah sahaja. Beli 1 juadah berat dan 2 juadah ringan untuk berbuka. Juadah ringan boleh simpan untuk moreh. Dengan cara ini anda boleh menikmati menu yang berbeza setiap hari. Jika teringin untuk membeli lebih dari 3 juadah, ingatkan diri sendiri bahawa 'esok masih ada'. Puasa ada 30 hari, jadi ada 30 pilihan menu untuk di cuba. Bersabar dan bertabahlah.
- • Beli makanan yang sihat dan berkhasiat. Kurangkan makanan berminyak, berlemak, tinggi kandungan gula dan garam. Ini kerana makanan mempengaruhi tahap kesihatan kita.
- • Beli daripada penjual yang mengamalkan kebersihan. Pilih gerai yang bersih dan makanan bertutup. Makanan yang bersih dapat menghindarkan diri daripada penyakit.
- • Catatkan pembelian. Catat dalam buku kecil berapa yang telah anda belanja setiap hari di bazaar. Ini bagi memastikan kita tahu 'level' pengeluaran duit semasa di bazaar.
Jom
kita mulakan langkah pertama dengan berbelanja secara berhemah.
Duit
lebih tu nanti boleh digunakan untuk derma pada surau atau perbelanjaan untu
hari raya nanti. Ingat, banyakkan ibadat, kurangkan pembaziran dan dosa. Bijak
berbelanja mulai hari ini, insya-Allah takdelah poket kering-kontang lepas raya
nanti.
Semoga
tips-tips di atas dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Senyum..=)
faizalMS
Dietitian,
Hospital
USM.