Friday, July 17, 2009

Hikmah Di Sebalik Amal Kebaikan


“Apa gunanya kalau saya membaca al-Quran tetapi tidak memahaminya?” Tanya seorang murid kepada gurunya.

“Bacalah dulu, nanti perlahan-lahan Tok akan ajar maknanya,” jawab gurunya.

Murid itu pun terus membaca. Hari demi hari , bulan beganti bulan. Lama-kelamaan dia berasa jemu dan datang menemui gurunya semula.

“Tok, saya masih berasa usaha membaca tanpa memahami makna al-Quran ini sesuatu yang tidak berfaedah,” katanya.

“Baiklah, Tok akan suruh kamu buat sesuatu yang lebih bermakna,” kata Tok Guru tersebut. Wajah murid itu kembali ceria.

Tok Guru menyerahkan sebuah raga dan berkata, “Kamu cedok air di sungai itu dengan raga ini, dan kemudian curahkannya ke dalam kolah madrasah kita.”

Si murid kehairanan. Mesti ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku, detik intuisinya. Dia terus ke sungai dan mencedok air dan secara tergesa-gesa dia berlari-lari untuk menuangkan air ke dalam kolah. Namun sebaik sampai, air telah habis, menitis keluar dari celah-celah raga yang jarang itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang kali. Air menitis keluar dari celah raga dan kolah masih tidak dapat dipenuhi.

“Tok, perbuatan ini lebih tidak bermakna. Kalau Tok gantikan raga ini dengan timba, barulah ia boleh menampung air dan kolah akan penuh!”

Tok guru itu tersenyum. “Setiap yang Tok suruh pasti ada maknanya,” katanya perlahan.

“Apa maknanya, Tok?”

“Menimba air dengan timba samalah dengan membaca al-Quran walaupun tidak memahami maknanya,” jawab Tok Guru.

“Sama-sama tiada faedahnya. Begitu?!”

“Tidak.. sama-sama ada faedahnya,” pintas Tok Guru.

Anak muridnya menjadi lebih hairan.

“Cuba kamu tengok raga yang kamu gunakan sejak tadi itu. Mulanya ia kotor, tetapi sekarang, bukankah ia sudah bersih?! Walaupun air kolah tidak penuh, tapi raga yang kamu gunakan sudah bersih. Betul tak?”

“Betul, Tok,” jawab anak murid mengiakannya.

“Ha, begitulah juga hati kamu ketika membaca al-Quran berulang-ulang kali. Walaupun belum memahami maknanya, tetapi paling tidak hati itu akan dibersihkan daripada kelalaian dan gangguan syaitan.”

Muridnya mengangguk-angguk. Hebat, rupa-rupanya Tok Gurunya mendidik, bukan sekadar mengajar!

Moral of da Story : Jangan memandang remeh sesuatu amalan baik, walaupun sekiranya kita belum Nampak manfaat atau hikmahnya. Dan jangan gopoh untuk ‘improve’ dalam perjalanan menjadi ibadullah yang baik dengan tindakan-tindakan yang melanggar ketertiban amal dan kehalusan adab. Ingat, setiap yang baik pasti ada kebaikannya.

1 comment:

nkniessa said...

“Ha, begitulah juga hati kamu ketika membaca al-Quran berulang-ulang kali. Walaupun belum memahami maknanya, tetapi paling tidak hati itu akan dibersihkan daripada kelalaian dan gangguan syaitan.”

- Betul kata tok guru tu. tp kita perlu berusaha utk memahami ayat2 suci Al-Quran utk kita melaksanakannya.. Klau baca berulang2 kali tp x faham maknanya x guna juga. umpama mencurah air didaun keladi.... Sama-sama kita memahami kata-kata Allah (kalamullah)...