Friday, June 26, 2015

Muhasabah Awal Ramadhan



Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk bermuhasabah, dalam keadaan perut kita lapar, dahaga dan terhalang dari sedikit nikmat dunia moga-moga hati kita menjadi celik dan nampak apa yang tak kenanya dengan hidup kita. 

Cari apa yang tidak kena dengan ibadah kita ?


Tiap waktu cuba tambah ilmu dan berusaha memperbaiki ibadah kita. Apa yang masih kurang, tambahkan dan yang tidak betul, perbetulkan. 

Contoh ; Kenapa kita ghairah ke masjid untuk solat SUNAT terawih tetapi tidak ghairah ke masjid untuk soat FARDHU lima waktu? Kenapa kita sanggup beli kurma walaupun ada yang dikenakan GST sebab nak ikut sunnah tetapi tidak pula sanggup duduk makan berjamaah atau menjamu orang susah sedangkan itu adalah lebih sunnah. 

Diriwayatkan bahawa ;

كان ابن عمر رضي لله عنهما يصوم، ولا يفطر إلاَّ مع المساكين

Adapun Ibn Umar RA apabila bepuasa maka beliau tidaklah berbuka puasa kecuali dengan bersama-sama orang miskin. [Lathaif Al-Ma'arif, Ibn Rajab]

Juga diriwayatkan daripada salaf bahawa tidak ada seorang pun yang berpuasa di masjid nabi pada zaman mereka akan memakan makanannya seorang diri kecuali akan berkongsi dengan orang lain atau dicarinya orang untuk makan dengannya. 

Cari apa yang tidak kena dengan sikap kita ?


Kadang-kadang ibadah kita sudah bagus namun sikap dan cara berfikir kita pula banyak yang perlu diubah. 

Contohnya, kebersihan ialah sunnah tetapi berapa ramai yang membuang najis di tandas masjid tetapi tidak 'flush' ? Ada hadith meriwayatkan bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda:

“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Baginda menjawab : “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka”. [Riwayat Muslim]

Ia juga boleh membawa maksud haram dan berdosa menggotorkan tempat awam, menyusahkan orang dan sikap mementingkan diri sendiri. Kita juga suka bersedekah ke masjid, sedang masjid banyak yang sudah kaya-raya namun kita kurang bersedekah kepada sanak-saudara, jiran-tetangga, pelajar yang kesusahan, anak muda yang mahu bernikah dan mereka yang dalam kesusahan. Itu belum mereka yang tiap tahun membuat umrah sedangkan jiran sebelah rumahnya kelaparan dan ada adik-beradiknya yang tidak cukup makan!

Cari apa yang tidak kena dengan keluarga, masyarakat dan sekeliling kita?


Tiap kali Ramadhan, masjid cukup suka buat kuliah dan tazkirah utk orang ramai tetapi jarang yang mahu buat khidmat kepada masyarakat. Ziarahi jiran dan tetangga masjid dan jemaah yang sakit, melawat non-muslim dan ajak mereka menziarahi masjid, menyantuni kanak-kanak, sediakan tempat bermain untuk kanak-kanak atau ada yang menjaganya agar ibubapa senang solat, menyediakan sahur dan berbuka kepada orang susah dan mencari jalan bagaimana berkhidmat kepada umat dan menyebarkan dakwah Islam. Sebaliknya yang disibukkan buat ialah tahlil kepada orang mati, sedekah pahala yang tidak pasti dan buat makan-makan serta takirah atau ceramah yang kurang berkualiti. 

Itu belum bab politik apabila masing-masing menggunakan nass dan dalil agama untuk menghentam lawan masing-masing, berpecah sesama Muslim dan saling mencerca dan menghina pihak yang berbeza pendapat. 

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a, bahawasanya Rasulullah Salallahualaihiwassalam bersabda,

 لا تباغضوا ولا تقاطعوا ولا تحاسدوا ولا تدابروا وكونوا عباد الله إخوانا

"Janganlah kalian saling membenci, saling berdengki, dan saling bermusuhan. Jadilah kalian hamba Allah yang besaudara. [HR al-Bukhari] 

Manakala anak-anak muda pula jauh daripada sentuhan Iman dan agama, tertutup daripada mendapat hikmah tarbiyyah dan didikan orang tua sehingga merayau-rayau mencari arah tujuan dan haluan diri. Sedang kata sebahagian salaf terdahulu;

إن من نعمة الله على الشاب إذا تنسك أن يواخي صاحب سنة يحمله عليها

Di antara nikmat Allah ke atas para pemuda jika dia beragama ialah apabila dia dipersaudarakan (oleh Allah) dengan orang yang mengamalkan sunnah yang membawanya (membimbingnya) kepada al-sunnah.

Isu Gymnastik, Kun Anta, gejala selfie, dubmash, buat video gedik di youtube, Macam cantek jer, tutorial pakai kain pelikat, buli kawan di sekolah, gila artis Korea, khayal dengan novel suamiku encik ketam, gadis bertudung main gitar jadi penyanyi, purdah bermaskara dan gedik, 3gp video lucah, Gangnam style, Sakitnya Tuh disini, salafi vs sufi, anti hadith, anti-tesis, sosialis, liberal, syiah, candy crush dan bermacam lagi....

Kata Syeikh Sulaymaan al-'Alwaan, pakar hadith daripada Arab Saudi.

التوحيد إذا لم يمارسه المسلمون عملياً في حياتهم لم تثمر كلماتهم ولا كتاباتهم ولا تصوراتهم ولم يحصل لهم التمكين

"Tauhid apabila tidak dilatih dan diamalkan oleh kaum muslimin dalam hidup mereka maka ianya tidak akan membuahkan hasil pada ucapan, penulisan dan pandangan mereka dan mereka tidak akan mencapai kekuatan."

Banyak lagi yang perlu kita muhasabah..~

Idea Asal: Ustaz Emran Ahmad



p/s: jika kita boleh jadi 'baik' pada bulan Ramadhan, takkanlah tidak boleh pada bulan-bulan selainnya.. ^_^v

No comments: