Monday, December 19, 2016

Nak Jaga Makan, Tak Boleh Hadiri Majlis Keraian Ke?!


"Pokcik bukei toksey kawal pemakanei, awe weh..tapi gak, time male tu masalahnya.. sokmo ore panggil ngatik, smaye hajat..pah lepah tu pehe-pehe lar..ado jamu makei..tokkei kito toksey gi pulok dei ore ajok.. "

Luahan seorang jiran yang menghidapi penyakit 'tiga serangkai' di majlis tahlil tempoh hari. Luahan seperti ini juga turut dikongsi sama dengan sebilangan pesakit yang terlantar di dalam wad dan yang datang ke klinik sebagai pesakit luar akibat komplikasi penyakit yang tidak terkawal.


Sebenarnya, tiada masalah pun untuk kita hadir majlis tahlih, solat hajat, 'Maulud Nabi' dan yang seangkatan dengannya kerana ia adalah tuntutan sosial dan agama. Akan tetapi, adalah garis panmduan yang boleh diambil untuk mengawal pemakanan ketika berada di majlis seperti ini.



Pertama, jadikan jamuan kecil selepas majlis keraian tersebut sebagai makan malam. Maksudnya di sini, tidak dibenarkan untuk 'makan berat' sebelum atau selepas majlis tersebut. Jikalau tidak tahan juga, bolehlah diambil 2-3 keping biskut atau 1-2 keping roti sebagai alas perut.


Kedua, jaga porsi atau kuantiti makanan yang diambil. Untuk porsi karbohidrat, ambil nasi, kuay teaw, bihun, spagheti atau laksa tidak melebihi 3 senduk/sudip rata atau 1 1/2 cawan, tanpa menambah.


Untuk pilihan lauk, cuba pilih lauk yang berkuah seperti sup, singgang, gulai, dalca, masak pedas (jika ada) tetapi ambil hanya isi sahaja dengan saiz paling banyak sebesar tapak tangan. Jika mahu diambil juga kuah lauk tersebut, hadkan hanya 1-2 sudu besar sahaja.


Maksimumkan pengambilan sayur (acar, ulaman, sayur campur dsb) yang ada, paling kurang 1/2 cawan. Untuk air, sebolehnya pilihlah air kosong. Jika mahu mengambil air manis, hadkan pengambilan hanya 1 gelas sahaja.


Ketiga, jangan tidur terus seusai balik dari majlis. Cuba lengahkan waktu tidur dengan membaca al-Quran atau lain-lain bahan bacaan, meluang masa bersama keluarga berbual, menonton TV, melakukan senaman ringkas (workout). Cukup sekurang-kurangnya 3 jam selepas makan, barulah dibenarkan untuk tidur.


Itu sahaja tips yang mungkin boleh diamalkan. Mungkin pada permulaan, kita akan berasa kekok untuk mengamalkannya, tapi lama-kelamaan insya-Allah kita akan terbiasa dengannya.


Semoga kita mencapai tahap musleh, bukan sekadar soleh spiritual mahupun soleh soleh sosial.




faizalMS,
Dietitian,
Hospital USM.

No comments: