Wednesday, December 14, 2016

Public Shaming..Bagus Ke?



Dua-tiga hari ni, macam ada satu trend pelik, di mana, orang gunakan gambar wajah orang yang sedikit ganjil, kemudian tulis 'Tolong Tag Ain, Pakwe Dia Panggil Ni'. Baik yang berbahasa Melayu, baik yang berbahasa Inggeris.

Benda ni kalau tengok sepintas lalu, memang kelakar. Iyalah, seronok tengok kawan kita dipanggil insan yang berwajah tidak cantik dan menggelarkan dia sebagai pakwe.

Benda ni bukan terjadi dalam Facebook sahaja, malah ia terjadi di dunia luar. Lihat saja perempuan gempal, "Haaa. Tu mak kau." Lihat saja lelaki berkulit hitam, "Pakwe kau la tu." Lihat perempuan gigi rongak, "Hahahaha tu makwe engkau. Tu makwe engkau."

Apabila kita amati balik perbuatan ni, benda ni tak kelakar pun. Yang gelaknya engkau dan kawan yang kau tag. Sebenarnya, jikalau kita amati dan fikir, benda ni bukan saja tak kelakar. Malah ia memalukan 'watak' di dalam gambar tersebut.

Adat ak kita terfikir , gambar yang kita post itu adalah manusia yang betul? Ada tak terfikir orang hodoh yang kita permainkan tu adalah orang yang wujud di dunia nyata? 

Sebagai contoh salah seorang mangsa yang gambarnya diambil untok tujuan trend bodoh ni: Lizzie Valasquez. Kebanyakan daripada kita  mesti tak kenal siapa wanita  ini bukan? 'Intuisiku' cadangkan  cuba Google Images dia ni, dan kemudian segera sambung balik baca tulisan  ni.
Ok.
Dah tengok?

Kalau dah tengok,  'Intuisiku' percaya yang semua akan terkejut tengok wajah dia. Untok pengetahuan, wajah dia ni dijadikan bahan lawak di seluruh dunia. Bahkan pada hari ini, bertalu-talu gambar dia dijadikan bahan jenaka 'tagging friends' yang bodoh ni.

Valasquez merupakan seorang pesakit Sindrom Marfan dan penghidap satu penyakit yang amat ganjil, yang membuatkan dia tidak mampu menambahkan lemak di dalam badan dia. Sebab itulah tubuh dia amat cengkung. Ini terjadi secara semula jadi. 

Poin 'Intuisiku' sekarang adalah, manusia yang kau permainkan itu wujud di dunia ini. Dan kecacatan yang kita gelakkan dan gelarkan ia sebagai wajah hodoh itu adalah kecacatan yang perlu kita kasihani, bukan untok dibuat main. Kalau bahasa Inggeris, orang panggil ia sebagai 'Public Shaming'.

Jadi, tidakkah kita rasa ke kita sedang menghina manusia yang kita tak kenal? Tak rasa ke yang kita sedang menghina kecacatan yang Tuhan turunkan?

Cuba  bayangkanlah, waktu kita tengah surfing internet, ada orang letak gambar mak kita yang berbadan besar tu, lepas tu letak caption 'Panggil Farid, awek dia tengah tunggu sambil tahan berak ni', kemudian beramai-ramai orang share sambil menggelak-gelakkan muka dan tubuh badan mak kita yang tak sesempurna orang lain.

Agak-agak kita suka tak orang hina mak kita?

Kalau tak suka, kita patut fikirkan perasaan suami Velasquez. Kita patut fikirkan perasaan mak bapak Velasquez. Apa agaknya perasan diorang, bukak internet, tengok-tengok satu dunia tengah menggelakkan orang yang dia sayang.

Sedih yang teramat.

Tapi sayangnya, kita mana nak faham perasaan orang. Kita  buat kat orang boleh. Orang buat kat kita, kita mengamuk. Hiduplah dengan perangai setan tu.

Ini baru Valasquez. Dia insan yang dikenali. Dia terkenal di serata dunia sebab dia ni selalu bagi talk motivasi.
Tapi bagaimana dengan insan lain? Yang gambarnya digunakan bagi tujuan hiburan celaka? Diorang ni takde maruah ke?

Kalau orang guna gambar kita buat bahan jenaka, malah buat bahan untok menghina, takkan kita rileks je? Maruah jatuh kot! Satu dunia gelakkan kita, even diorang tak kenal pun kita! Jiwa kita runtun. Estim kita rendah. Mental kita akan tertekan. Sehinggakan kita rasa nak bernafas pun dah tak guna.

Kita dahlah tak kenal orang yang kita bawak main tu. Lepas tu kita malukan dia.

Even kita tak malukan orang dalam gambar tu seperti mengatakan 'lelaki ni hodoh' atau 'buruk nak mampus dia ni', tetapi perbuatan kita guna gambar dia tu, satu, dah salah. Kedua, keadaan dan tulisan kita dengan meletakkan nama kawan untuk menganjing kawan kita tu pun dah dikira menghina pemilik muka dalam gambar tu.

Macam contoh point nombor 1 tadi tu lah. Nampak orang hodoh, kita menganjing kawan kita dengan mengatakan kawan kita tu ada hubungan dengan orang tu. Kita jadikan orang tersebut sebagai tempat untok kita ketawa. Tapi sikit pun kita tak fikir pasal maruah dia.

"Eleh, dia ni. Tak cool lah. Orang nak buat lawak je pun. Benda nak suka-suka. Bukannya nak hina ke apa. Tu pun nak gelabah tulis pepanjang macam isu besar sangat."

Aduh.

Kalau cakap 'Intuisiku' gelabah, maknanya kita ni jenis manusia yang langsung tak fikir maruah orang lain lah nampaknya.

Cuba  tanya diri sendiri, elok ke tidak orang macam kita ni? Kita gunakan kelemahan orang lain untok dibuat jenaka, kita gelak-gelakkan kecacatan orang lain. Kita rasa post gambar orang hodoh tu benda yang kelakar. Ini adalah adalah sifat pembuli. Benda yang kita sedang buat ini adalah perlakuan orang yang suka membuli.

Kalau  rasa isu ni tak payah diheboh sangat, maknanya kita ini kaki buli yang wajib dibanteras sebelum menular.

Walaupun isu ini nampak remeh, tapi ia sangat berat kerana perbuatan netizen ini akan beri kesan besar pada masa akan datang. Kita sedaplah rasa benda ni kelakar. Tapi orang dalam gambar tu, rasa benda ni kelakar ke? Agak-agak rasa adil ke, kelemahan yang diorang dapat secara tidak rela, tapi dibuat main oleh pembuli macam kita semua?

Tatkala benda jadi trend, tak ramai yang sedar benda ni perlu dihentikan. Orang di dalam gambar tu perlu ada sokongan. Dan sebagai orang yang faham kesan buruk dan ada kesedaran dalam isu public shaming ini, kita perlu menyebelahi mereka.

Oleh itu, 'Intuisiku' menyeru  pada siapa-siapa yang dah ter-publish atau share benda tag nama guna muka orang yang kita rasa hodoh tu, tolonglah padam semula.

Benda ni tak kelakar tau, malah ia memalukan individu. Rugi je share. Dah lah tak kelakar, dosa pun dapat.

Kalau kita malukan orang hari ini,
Esok akan ada suatu masa, kita pula dimalukan.

No comments: