Thursday, June 19, 2014

Piala Dunia 2014, Kubangan Darah Umat dan Lolongan Kesakitan

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor


Demam dan kegilaan itu muncul kembali, membadai dan menghembus pawana paling ganas terhadap dunia, sehingga perompak dan polis boleh berdamai seketika. Begitulah ia muncul setiap empat tahun sekali menggema sorakan dan euforia kegirangan di seluruh belahan dunia. Bolasepak bukan lagi milik mutlak kaum adam, namun telah menjadi kegilaan kaum hawa juga termasuk kelompok transeksual di semua peringkat. Saat saya tiba di lapangan terbang Abu Dhabi pagi tadi, untuk meyambung pemusafiran ke Tanah suci, rupanya penumpang ke Rio De Jenero begitu ramai, dengan aksesori yang melambangkan mereka adalah pentaksub nombor wahid piala sukan paling berprestij dalam tempoh dua abad ini.

Media perdana di ruang apa pun, mengiklankan dengan penuh mengebu acara yang bukan sekadar untuk mengeluarkan peluh, tetapi persaingan gengsi, maruah diri, percaturan benua, tarikan pelancongan, bahkan industri judi sukan bolasepak. Kegilaan ini digebukan lagi dengan kehadiran media baru, ruang siber yang melakar tarikan pesona yang penuh pelangi kepada Piala Dunia.

Semenjak setahun yang lalu , penceritaan tentang bolasepak dan Brazil menjadi fokus lensa dan juga bilik berita, merebak juga kepada berita jenayah perdagangan dengan operasi pihak keselamatan menyerbu premis menjual jersi-jersi tiruan pasukan ternama dunia yang bakal beraksi. Ini semua menambahkan lagi perisa kepada kehebatan Piala Dunia yang sudah tersohor sehingga mendinginkan suhu politik dunia. Di negara-negara miskin seperti Brazil sendiri, bolasepak bukan sekadar permainan sukan yang mengangkat martabat negara, tetapi juga jarum bius untuk rakyat melupakan seketika kelaparan dan kemiskinan.

Bolasepak Piala Dunia adalah juga ruang kapitalis menumpuk kekayaan dengan pelbagai cara, penjualan cenderamata, pemasaran industri pelancongan yang agresif, juga akan berlaku pembidaan pemain-pemain usai perlawanan untuk kelab-kelab ternama pula. Pelbagai produk makanan, minuman, fesyen, alatan sukan,
ubatan, cuba untuk mengafilisasikan jenama mereka dengan sukan paling berprestij ini. Parti-parti politik berlumba untuk memanfaatkan budaya popular ini kerana demam empat tahun sekali ini begitu dekat dengan hati massa.


Impaknya dalam negara kita bukan kepalang, ramai penjawat awam dan swasta mengambil cuti sakit, kedai yang menayangkan skrin besar bertukar menjad mini stadium, masjid surau yang sedia suram berpotensi makin lengang, ceramah politik hilang pesona, program yang tak diatur cermat dengan jadual perlawanan maka berpotensi gagal mencapai sasaran. Anak-anak kecil pula tiba-tiba begitu teruja disengat matahari kerana berdelusi sebagai pemain papan carta utama.

Apa pun buat peminat sukan ini, terutama umat Islam moga Piala Dunia yang bergengsi ini tidak melalaikan kita daripada ibadah . Dunia Islam masih lagi dilakar dengan tangisan duka ummah, darah yang berkubang di Syria yang telah mengorbankan lebih 200 000 nyawa, jutaan rakyat syria yang bergelandangan di sempadan negara. Palestin belum berhenti menangis pilu, 66 tahun Nakbah yang menghilang mereka daripada peta dunia. Kerajaan campuran yang dibentuk antara Fatah dan Hamas belum lagi terbayang cahaya dihujung terowong, warga Palestin masih dijeruk kejerihan.

Bosnia Herzegovina yang dilanda banjir paling buruk dalam sejarahnya, juga dengan sejuta nyawa yang terkorban dua puluh tahun lampau, masih tersisa kesengsaraan. Myanmar sesiapa pun tak endah, dengan puluhan ribu muslim disembelih kejam, tanpa kewarganegaraan yang sah, sangat ironis dengan jeritan kegembiraan gol menerjah gawang. Berjejeran pula darah muslim Afrika Tengah minta didengari, kita memekakkan telinga, sambil mengunyah kacang, mencicip kopi panas , menyorak sorai perlawanan. Diam tak berkutik untuk derita ummah!

Teman semua, langit tak selalu cerah, gerah boleh menerjah kita dimana-mana pun , maka berpada-padalah dalam hidup ini. Ramadhan yang berkah akan kunjung tiba , bulan maghfirah sejuta warna, bulan para pendosa berpeluang membasuh noda semalam. Jangan pula Ramadhan karim tahun ini hilang erti kerana keobsesan kita pada sebuah piala. Jom terus berdoa dan membantu ummah, hitungan dan unjuran kita pada Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol, England, wajar juga kita tak lupakan Gaza, Syria, Mesir, Myanmar, Afrika Tengah dan peta luka umat Islam yang lain.



p/s: Sangat kagum dengan penyokong bola sepak Jepun yang membersihkan sendiri segala sampah sarap di kawasan tempat duduk mereka. Ajaran Islam yang gagal diamalkan oleh ramai ummat Islam, namun dipraktikkan oleh mereka yang bukan Islam.

Sewajarnya budaya ini diamalkan di mana-mana stadium di Malaysia. Sememangnya sudah ada pihak yang cuba membudayakan perkara ini, namun tidak mendapat sambutan di kalangan penyokong yang lain. Apapun, budaya ini perlu disemai, biar ia bermula dari seorang ke seorang, yang akhirnya ramai yang akan mengamalkannya.

Wednesday, May 28, 2014

Kalau Rasa Geram Dan Jijik dengan Coklat Cadbury !




Kalau rasa geram dan jijik dengan coklat Cadbury, sila check akaun bank, pinjaman bank, saham pelaburan kita, ada tak unsur riba kerana sesungguhnya dosa terjebak dengan riba jauh lebih besar dari makan makanan tidak halal secara tidak sengaja, lagi-lagi duit itu digunakan untuk beli makanan (halal) dan akan jadi sebahagian darah daging kita dan keluarga kita.

Kalau rasa geram dan jijik dengan coklat Cadbury, sila check jam kerja kita dan gaji kita, adakah kita telah tunaikan semua amanah yang diberikan dan tidak makan gaji buta kerana sesungguhnya rezeki yang tidak halal yang digunakan untuk beli makanan (halal) akan jadi sebahagian darah daging kita dan keluarga kita.

Kalau rasa geram dan jijik dengan coklat Cadbury, sila check status & share facebook kita, dan percakapan kita, adakah kita telah membuat fitnah kepada orang lain kerana dosa fitnah lebih teruk daripada membunuh dan lebih teruk daripada makan makanan tidak halal secara tidak sengaja.

Kalau rasa geram dan jijik dengan coklat Cadbury, sila check solat dan puasa kita, sudahkan kita sempurnakan solat kita dan puasa kita kerana dosa meninggalkan solat dan puasa secara sengaja jauh lebih teruk daripada makan makanan tidak halal secara tidak sengaja.

Sila audit dan check diri, jangan double standard dengan fiqh dan syariah Allah. Sila bertindak dengan rasional dan bukan emotional. Kalau 100% rasa haram makan coklat Cadbury, haramkan diri dalam rasuah, riba, fitnah, mengumpat, tipu, etc. yang 100% haram di sisi Allah juga.

Allahu'alam.

Sumber: Dr Fathin Aliah Phang



Nota Kaki



Ada pula pihak yang meminta ganti rugi untuk cuci darah akibat makan coklat CADBURY..

Nasib baik tak minta ganti rugi daripada ASTRO, MEDIA PRIMA, RTM, BERITA HARIAN, UTUSAN MALAYSIA, media sosial dan hiburan untuk cuci hati akibat hedonisme yang melalaikan..

Lagilah pelik bilamana ada yang menangis pilu, membuat FATWA mengenai mereka yang ingin melaksanakan UMRAH/HAJI tetapi telah TERMAKAN unsur babi..

Dahsyat sungguh krisis BABI yang melanda orang Melayu. Terserlah kemelayuannya MELEBIHI Islamnya.

Mungkinkah haramnya babi pada MELAYU melebihi haramnya babi di dalam SYARIAT ISLAM?!

Senyum..=)

Monday, May 26, 2014

Piala Thomas Dan Persaingan Politik..



Seronok menonton Piala Thomas. Suasananya cemas. Ada kalanya kita mendahului dan ada kalanya Jepun mendahului. Kita tewas kepada Jepun, tetapi sokongan dan rasa sayang kepada pemain kita tetap tinggi.

Kita dari pelbagai bangsa tetap menyokong kuat pasukan negara kita, biarpun pemainnya hanya dari bangsa Cina. Tidak ada laungan Cina pendatang, Cina penceroboh dan lainnya.

Semuanya memuji Datuk Lee Chong Wei dan lain-lain pemain. Biarpun kita tewas, tetapi saya puas melihat semangat patriotik rakyat kita. Cukup luar biasa.

Tetapi mengapa dalam politik tidak begitu? Mengapa parti politik perlu mencelakakan antara satu sama lainnya?

Jawapannya mudah. Kita menyokong kuat pasukan badminton kita kerana menyokong negara. Tetapi dalam politik kenapa kita tidak begitu? Kenapa tidak kita menyokong kuat parti kita untuk menyokong demokrasi negara?

Kenapa dalam politik kita perlu ‘hilang akal’ untuk memenangkan parti kita? Kenapa kita perlu ada pemimpin politik yang sering mengeluarkan kenyataan yang terkeluar dari legitimasi moral?

Setelah kita bersatu teguh menyokong negara dalam perlawanan akhir Piala Thomas, bolehkah kita juga sama berdiri teguh untuk menegakkan demokrasi negara?

Lupakan politik kebencian. Mari semua kita berpolitik untuk negara. Dan jikalah badminton boleh menyatukan kita, ayuh, mari semua kita menonton badminton setiap hari.

 

Sumber: Prof Dr. Mohammad Agus Yusoff 

p/s: Tahniah Jepun membuat kejutan melakar sejarah memenangi Piala Thomas buat kali pertama..tahniah juga buat kontijen negara kerana menunjukkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi..kalah-menang itu adat permainan...mungkin anda kalah di gelanggang tetapi anda menang di hati rakyat kebanyakan..~

Sunday, May 25, 2014

Babi Dan Zina


Di antara subjek kegemaran saya adalah 'Isu Fiqh Kontemporari' yang diambil sewaktu di tahun 3 Mu'tah Universiti. Majoriti pelajarnya adalah warga Malaysia.

Suatu hari, kami berdiskusi tentang proses 'Istihaalah'. Konklusi yang kami terima pada sesi kelas tersebut sangat memukul emosi.

Kata Prof. Dr. Syuwesh Mahamid, "Kamu di Malaysia, sangat sensitif dengan haramnya babi, namun kurang peka dengan haram yang lebih keji seperti zina, rasuah dan khianat amanah rakyat jelata."

Kami terkedu. Jarang benar beliau 'memukul' kami. Biasanya kami pelajar Malaysia diangkat sebagai contoh kepada pelajar tempatan.

Sambung Prof. lagi, "Satu lagi, kamu sangat jijik untuk menyentuh anjing, namun tak merasa 'jijik' untuk menyentuh perempuan ajnabi. Sedangkan menyentuh anjing tidaklah berdosa, manakala menyentuh perempuan ajnabi adalah jalan menuju dosa besar yang direkod larangannya dalam Al-Quran."

Sungguh, sesi kuliah tersebut menginsafkan.


via  Ihsan Fadhli Al-Maliki

Friday, May 23, 2014

P.A.N.D.A.


Orang minta komen pasal panda juga, ya?!

Erm..Boleh.

Panda itu comel.

Pembawa panda itu tak comel langsung perangainya. Kasihan rakyat jelata yang comel-comel belaka ini dibuli macam panda dikurung dalam zoo GST dan pelbagai kandang kenaikan. Menteri-mentara makin comel bulat-bulat perutnya. Harapnya comel dari sumber halalan toyyiban.

Manusia yang berjaga malam berlaman sosial, bermain games, berchit-chat dengan lelaki perempuan bukan mahram, bergayut sampai pagi sehingga matanya menjadi mata panda di siang hari. Semua ini tak comel. Dia ingat comel sangat lah tu mengutamakan hak nafsunya melebihi hak Allah iaitu tahajjud malam.

Panda comel itu ‘panda diplomasi’. Jadi, seandainya dua individu bergaduh, hubungan tengah tegang, hantarlah binatang-binatang comel seperti kucing dan siamang diplomasi untuk menjernihkan keadaan. Ayah dan ibu bergaduh, hadiahkanlah kura-kura comel untuk menggembirakan mereka.

Wanita dan mekap serta maskara bersama kanta lekap warna-warni mengingatkan pada panda comel. Panda comel sebab solekan hitam di keliling matanya. Wanita comel dengan mekap seluruh mukanya. Andai dibuang solekan pada mata, panda hilanglah identitinya. Wanita dibuang mekap dan lense, seperti panda yang sedang tercengang-cengang hilang arah tujuan. Mereka tak tahu, lelaki suka yang natural look.

Majulah panda untuk negara.



Kata Orang Kelate;

"Panda-panda mung lah tanggung doso sendiri. Jangey sapa aku tipah mung 25 juta kali."

Sekian, senyum..=)

Wednesday, May 14, 2014

Goods and Service Tax (GST)




Hari ini ‘intuisiku’ tengok viral tentang info maklumat GST.

Menteri kata GST memang on walaupun dibangkang rakyat. Suara rakyat tidak diperlukan dalam hal ni. Kita semua dah faham tambah-tambah lagi suara rakyat di jalanan, lagi-lagilah ditolak terus atas faktor politikusarap.

‘Intuisiku’ bimbang satu sahaja,

"Adakah GST akan mengurangkan hutang negara? Sedangkan negara sedang diurus oleh pengurus GST yang super boros lagi suka berhutang? Atau sekadar teori macam SPPBS je cantik di luar buruk di dalam?"

Dengan kata mudah,

Awak ada kawan. Awak tahu kawan awak tu suka berhutang, tak reti urus duit, boros, khianat, susah nak bayar hutang dan macam-macam perangailah. Tapi, awak tiba-tiba nak dia jaga tabung duit awak. Tiap-tiap hari awak menabung tanpa awak periksa pun isi tabung itu bertambah atau sebenarnya sedang berkurang.

Bukan tak yakin pada GST. Tapi tak yakin pada pengurusannya sahaja.

Kita tahu orang tu tak pandai berkebun, tapi kita bagi gak cangkul dekat dia suruh buat kebun. Akhirnya, dia akan main golf saja dengan cangkul itu. Kebun jahanam teruih.

Tak suka entry ni? Bangkang saja.



#Senyum.. =)

Tuesday, May 13, 2014

Hudud: Nama vs Inti


Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman 




Menurut PENDAPAT saya (sekadar lontaran idea, boleh pro dan kontra dengan harmoni), apabila melihat kepada suasana keadaan masyarakat, kandungan hukuman hudud itu patut diperjuangkan 'substance' atau intinya TANPA SEMESTINYA menamakannya sebagai 'hudud' atau 'enakmen jenayah syariah'. Mungkin tidak pelru juga mengemukkan di parlimen dalam satu package berlabel 'hudud'.

Ia boleh diselitkan terus sebagai pindaan kepada Penal Code (hukuman civil) yang sedia ada dengan mengemukakan kertas PINDAAN undang-undang jenayah sedia ada di parlimen.

Tidak wajib juga diberikan 'perisa agama' lalu menamakannya sebagai 'hudud' (sehingga melenting non-muslim), cukup jadikan ia seperti memperkenalkan undang-undang jenayah yang baru untuk negara dan ia seragam terpakai ke atas semua pesalah jenayah tanpa mengira agama. Manakala beberapa hal teknikal seperti hakim, background hakim etc, boleh diharmonikan kemudian.

Seperti mati mandatori bila mengedar dadah melebihi berat tertentu, ia seragam tanpa sebarang nama undang-undang Islam, Kristian, Buddha etc.

Jika kelihatan sukar untuk memperkenalkannya secara satu package lengkap, saya berpendapat harus untuk mulakan SATU jenis kesalahan terlebih dahulu dan diikuti yang selanjutnya. Ia berdasarkan konsep tadarruj. Dengan itu, beban kegagalan dan kelemahan dalam pelaksanaannya dapat diminimakan lantaran kurang pengalaman pelbagai pihak. 

Wallahu'alam.