Tuesday, April 07, 2009

Kecantikan Ukuran Syariah..


Menurut Syed Qutb dalam Tafsir Fil Zilal, menghuraikan tafsiran ayat ke-30 dan 31, Surah an-Nuur, kecantikan terbahagi kepada kecantikan haiwaniah dan kejelitaan insaniah.

Sebagaimana kelompok haiwan yang lain, manusia dibekalkan dengan kecantikan naluri yang perlu untuk menarik perhatian manusia yang berlainan jantina bagi tujuan kopulasi atau pembiakan, yang penting untuk memastikan penerusan zuriat dan kemandirian. Pada tahap ini, kelompok manusia tidak ubah seperti sekawan lembu atau kambing yang meragut rumput di padang ragut. Akan tetapi demi kemuliaan manusia yang diangkat darjatnya oleh Allah, konsep ‘aurat’ diperkenal seawal penciptaan Adam lagi. Anggota badan yang dikategorikan sebagai aurat adalah bahagian yang meliputi organ pembiakan manusia.

Apabila kecantikan haiwaniah itu ditutup dari pandangan umum, Allah menggantikannya dengan kejelitaan insaniah – yang mencakupi konsep kesopanan dan kesantunan (modesty). Dengan menjaga batas-batas aurat yang ditetapkan oleh Allah, manusia mampu berinteraksi antara satu sama lain dengan penuh kesopanan dan kehormatan.

Apabila ada manusia yang membelakangi arahan Allah ini, iaitu mendedahkan kecantikan haiwaniah dengan penuh bangga untuk ditonton oleh semua orang, bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya interaksinya berkesudahan dengan populasi dan persetubuhan atau penzinaan. Lantaran ketika saat itu, dia berperanan pada peringkat atau tahap paling rendah, iaitu pada tahap haiwaniah semata-mata.

Kayu ukur yang berpandukan kefahaman di atas tentunya akan bertindak lebih adil terhadap wanita. Keutamaan seseorang wanita tentunya berubah daripada mencapai kecantikan dan kejelitaan lahiriah semata-mata, kepada satu usaha sedar memastikan setiap tingkah laku dan gerak-geri tidak tersasar dari batasan yang ditentukan Allah. Hanya itulah satu-satunya cara seorang wanita dapat meraih kecantikan dan keanggunan yang hakiki. Wanita itu tentunya bebas merdeka dari kegusaran yang sentiasa memburu, yang menuntutnya untuk tunduk mengikut gaya atau ‘trend’ semasa. Dia yakin sekiranya dia berusaha menuruti apa yang digariskan oleh Allah, dia tidak perlu bimbang dengan apa yang diperkata oleh orang lain.

Tentu sekali, kesedaran ini tidak pula menjadikannya seorang yang selekeh, tidak berketrampilan, comot dan pengotor. Malahan ianya akan berubah daripada seorang yang mengejar kecantikan yang palsu dan olok-olok, kepada seorang yang tenang melayari hidupnya dengan penuh keanggunan, kesopana dan kesantunan. Begitulah seharusnya nilai yang kita perlu sematkan dalam jiwa anak-anak muda kita, yang dikhuatiri sudah begitu jauh tercicir dari pedoman agama dan budaya bangsanya.

Marilah kita melipatgandakan usaha mencari keredaan Sang Maha Pencipta semata-mata dan bukannya sekadar mendapat pengiktirafan manusia. Sesungguhnya bahagialah jiwa yang setenang air di kali, matanya memancarkan iman yang hakiki dan gerak-gerinya melambangkan akhlak yang tinggi.


akan kusampaikan biarpun satu ayat..

No comments: