GURU selalu mendidik kita supaya menjadi bijak, sehingga dapat menemukan jalan hidup yang ‘lurus’ serta diberkati oleh-Nya. Lihatlah dengan mata hati kerana pandangan mata kasar selalunya ‘kabur’, tak mampu menilai hakikat.. MATA yang suka memandang, lalu mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman terhadap orang yang dipandang.
Walaupun hanya baru sekali berjumpa, ada yang sudah ‘bijak’ menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka buruk. “Orang itu jahil”, “si polan fasik”, “jiran kamu sombong”, “kawan kamu penipu”, “suami kamu pembohong”, “beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim”, “saudara kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang lain” dan segala kejahatan hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya.
Itulah mata-mata jahat yang bersatu dengan hati-hati busuk. Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum semeja, mendengar tutur kata sehalus bicara dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu, diumpamakan si dia sebagai malaikat. Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara selamat. Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri kita diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.
Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri iaitu dengan syarat; perhatian itu hanya kepada ‘mutiara’ kebaikan saja. Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang begitu sempurna di dunia ini. Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang lain untuk mengambil faedah daripadanya.
Antara manfaatnya ialah:
Menghilangkan Rasa ‘Ujub Pada Diri Sendiri.
Hati manusia berubah-ubah, ada kala hari ini baik, esok pula belum tentu, hari ini angin yang bertiup itu sepoi-sepoi bahasa, namun tidak mustahil boleh bertukar menjadi puting beliung yang mengganas.
Oleh itu, semua penilaian mengenai seseorang itu sifatnya relatif, boleh berubah-ubah seperti kenyataan Rasulullah SAW yang mengakui bahawa manusia dicipta dengan hati yang berbolak-balik sehingga Baginda mengajarkan umatnya supaya berdoa dengan sabdanya yang bermaksud:
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)
Manusia adalah makhluk yang relatif berubah, sehingga tidaklah boleh dinilai secara mutlak. Jika kita mahu mengambil manfaat daripada orang lain maka ambillah teladan daripadanya ketika dia berada di atas kemuncak kebaikannya. Jangan sesekali melihat ketika dia jatuh, lemah, berdosa, penuh aib dan cela kerana jika kita suka melihat saat dia di bawah maka rasa ujub akan menguasai diri. Boleh jadi kita akan berkata:
“Alangkah baiknya agamaku, amal dan ilmuku, keluarga dan kehidupanku jika dibanding dengan dirinya! Betapa buruk perangai orang itu, zalim sungguh tangannya, tamak dan kedekut sifatnya, kasar dan kurang ajar perangainya, tidak ada kebaikan langsung berbanding diriku!”
Menyuntik Semangat Berlumba-lumba ke Arah Kebaikan.
Orang yang suka memerhati potensi saudaranya tidak seharusnya melahirkan rasa dengki, cemburu, mahupun iri hati. Hanya orang yang berjaya saja yang boleh menjadikan kehebatan potensi orang lain sebagai inspirasi dan penyuntik semangat untuk lebih berjaya. Al-Quran menyindir perangai orang yang suka mendengki terhadap kehebatan orang lain seperti Rasulullah SAW pernah menjadi mangsa kedengkian mereka. Firman Allah yang bermaksud:
(Al-Baqarah: 105)
Ayat ini memberi amaran kepada diri kita yang mungkin sedikit sebanyak menyimpan dengki. Betapa seseorang itu menjadi hamba yang membangkang atas keputusan Allah memilih orang lain untuk diberi anugerah. Maka pandanglah dengan hati kerana pandangan mata itu selalunya gelap tidak mampu melihat hakikat, sedangkan hati yang suci suka memandang dengan pandangan Tuhannya. Apa yang baik menurut Allah itulah yang baik baginya dan sebaliknya.
Sumber Inspirasi, Muhasabah Diri.
Sesiapapun boleh menjadi sumber inspirasi. Jangan pedulikan keburukan orang di sekitar kita dan terus perhatikan kebaikan mereka. Suami boleh menjadi cermin kepada isteri tanpa menafikan kelemahannya. Ibu menjadi cahaya bagi anaknya walaupun dirinya tidak berpelajaran tapi jiwanya cukup arif membahagi cinta. Guru menjadi penyelamat anak murid yang ‘bodoh, lembap dan bengong’ sehingga mereka menemukan jalan terang walaupun guru juga memiliki kekurangan peribadi tetapi jangan dinafikan merekalah sebenarnya paling berpengaruh mewujudkan cita-cita setiap insan.
Siapapun yang berjasa, berbuat baik dan berjaya mereka tidak terlepas daripada cacat cela. Tetapi untuk apa mempersoalkan yang negatif jika yang positif itu mampu menghapus yang negatif? Tiada insan sempurna, berilah peluang kepada siapapun di sekitar kita untuk menjadi sumber inspirasi dalam hidup. Jika kita sudah mengambil manfaat daripada kelebihan orang lain, bagaimana pula menjadikan keburukan dan aib mereka sebagai sempadan?
Seorang Muslim bukanlah mereka yang memilih untuk diam apabila melihat kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan orang yang penakut, takut menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itulah hakikatnya. Mereka tidak takut menyuarakan jalan inilah yang Allah reda dan jalan itu sebaliknya. Seorang Muslim berkewajipan memandang, menilai dan menasihati saudaranya jika berbuat silap seperti tuntutan agama yang mahu amar makruf dan nahi munkar ditegakkan. Apabila melihat aib orang lain, berusaha membantu diri sendiri kemudian orang lain ke arah kebaikan.
Langkah pertama ialah pastikan diri kita sudah berada di jalan yang benar, lurus dan diredai Allah kemudian barulah kita boleh menuntun tangan saudara kita ke sana. Apa yang disampaikan mestilah diamalkan terlebih dulu. Lidah, hati dan amal perbuatan mesti selari, sehati dan sejiwa langsung tiada unsur munafik.
Prinsip amar makruf nahi munkar yang betul ialah buat dulu kemudian suruh orang lain. Allah amat membenci perangai orang yang cakap tidak serupa bikin ini melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.”
(Surah al-Shaff, ayat 2-3)
Ada pula yang bermulut manis dan menyatakan pujian di hadapan saudaranya tapi di belakang mengata lain, bermuka-muka dan menikam dari belakang. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu melihat orang yang suka memuji (mengampu) di hadapan kamu, maka taburkanlah debu tanah di mukanya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebaik-baiknya setiap Muslim berhati-hati dengan pemuji yang melampau ini kerana mereka akan mencela dengan melampau juga. Menggunakan ayat penuh rahmat bukan ayat kesat dan menyimpan emosi negatif.
Mengapa nasihat yang kita beri kepada isteri, anak dan saudara kita tidak berjaya?
Puncanya kerana tiada hubungan kasih sayang kerana Allah. Kaedah dan cara menasihat pun tidak mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Di samping itu, faktor emosi yang susah dikawal sehingga melahirkan nasihat berunsur kemarahan, kritikan pedas dan sindiran tajam menjadi penghalang keikhlasan dalam memberi nasihat.
Nyata begitu susahnya bergaul dengan manusia di sekeliling kita. Bukan hanya kesabaran dituntut tetapi keberanian untuk merasai sakit juga diperlukan dalam menjalinkan persaudaraan. Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai memilih menyendiri dan tidak pedulikan orang lain. Tetapi sampai bila kita boleh bertahan? Pastinya yang terbaik ialah mencari kekuatan diri dalam persaudaraan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Adaptasi adalah suatu proses membentuk rasa cinta dan kasih sayang. Sesiapa yang tidak sabar melaluinya dia tidak akan merasai kenikmatan menjalinkan hubungan sesama insan. Waspadalah dengan sikap anti-sosial. Ia boleh menghalang seseorang mendapat rahmat Allah. Adapun tanda seseorang mendapat rahmat-Nya adalah ketika manusia tertarik dengan keperibadiannya...
No comments:
Post a Comment