Tertarik ‘intuisiku’ pabila terlihat sebuah buku di Darul Ansar sewaktu menemani teman-temanku ‘shopping’ di Kuantan Parade. Tajuknya agak tebal (ada 2 jilid) tetapi ‘cover page’nya agak menarik. Apa yang paling penting tajuk “Alexander Adalah Zulqarnain : Pembebas Barat dan Timur, Pembina Tembok Yakjuj dan Makjuj” telah pun mencuri perhatian dan pandangan ‘intuisiku’. Selak punya selak buku tersebut, lalu tercetuslah persoalan “.. adakah Iskandar Zulkarnain = Alexander the Great?” di benak fikiranku yang serba terbatas ini. Bukan apa, banyak yang berpendapat kedua nama ini datangnya dari individu yang sama, tidak kurang pula ada juga tetap dengan pegangan mereka yang menyangkal dakwaan itu. Hmmm... berat nie.. huhuhu..
Aku dan Ijtihad
Ketika masih awal remaja dulu, pernah juga diriku percaya bahawa kedua-duanya ini datangnya daripada individu yang sama. Namun setelah membaca di hasil kajian mereka yang berkemahiran di sini-sana, barulah diriku ber’ijtihad’ bahawa kedua-duanya orang ini adalah individu yang berbeza.
Perbandingan
Zulqarnain merupakan seorang yang beriman sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran sedangkan Alexander seorang yang kufur. Tambahan pula, Zulqarnain hidup lebih awal daripada Alexander. Masyhurnya Iskandar Zulqarnain ini menyebabkan banyak raja-raja selepasnya menggunakan nama Iskandar/Alexander termasuklah Alexander the Great dari Macedonia (Maquduniah) itu. Raja-raja Melayu sendiri pun banyak yang menggunakan nama Iskandar. Bahkan secara peribadi diriku memandang nama ‘Rajendra’ yang digunakan oleh beberapa orang raja di India tidak lain ialah ‘Alexander’ ataupun ‘Iskandar’. Yang paling terkenal ialah Rajendra 1 (Raja Suran) dari Kerajaan Chola yang berjaya menakluk Tanah Melayu termasuklah kerajaan Gangga Negara di Perak.
‘Intuisiku’ memilih pemerintah Parsi kuno sebagai Zulqarnain iaitu antara Maharaja Cyrus (Korsh/ Kursh) ataupun Darius (Dara) , tapi bukan Maharaja Dara yang berperang dengan Alexander Macedonia. Kajian menunjukkan empayar Parsi kuno ini antara empayar yang paling luas pernah wujud di muka bumi, melebar dari Barat (Eropah dan Afrika) hingga ke Timur (China dan Jepun).
Hujahan
Bukti-bukti menunjukkan perjalanan Alexander Macedonia tidak sampai pun ke negara China, paling jauh pun di pinggirnya saja, kemudian dia menemui maut dalam usia yang muda. Alexander juga tidak membina apa-apa benteng sedangkan Zulqarnain membina benteng kukuh antara gunung (dipercayai binaan awal Tembok Besar China sebelum diteruskan menjadi beribu-ribu kilometer kerana memang ada bahagian tembok itu berteraskan logam bersalut tembaga di sebelah dalamnya) untuk menyekat kaum Yakjud Makjud (bangsa-bangsa gusar di utara China).
Sumber-sumber Barat pada awalnya tidak menyentuh tentang Alexander Macedonia dengan pembinaan benteng tersebut. Namun mereka mula menyentuhnya apabila menyedari wujudnya cerita benteng Zulqarnain dalam al-Quran.
Zulqarnain membawa agama tawhid yang diyakini sebagai agama Zoroaster (Zarathustra yang kemudiannya terseleweng hingga menjadi agama Majusi yang menyembah api . Agama inilah yang bertapak kukuh di Parsi kuno. Ada juga pendapat mengatakan beliau membawa agama Nabi Ibrahim ataupun agama peninggalan Nabi Nuh. Agama Zoroaster dikatakan membawa pemahaman wujudnya Tuhan baik yang diseimbangkan dengan tuhan jahat. Berkemungkinan perkara ini menghasilkan fahaman Yin dan Yang di China.
Salah seorang penasihat utama Alexander ialah Aristotle (Aristun Syah) . Hingga kini agama Aristotle masih diragui sungguhpun dia dan guru-guru sebelumnya seperti Socrates dan Plato kelihatan tidak sealiran dengan pemerintah dalam isu ‘sembahan’. Mereka lebih kepada ahli falsafah berbanding Nabi ataupun seorang yang menganut agama tauhid. Penasihat Zulqarnain yang masyhur pula ialah Nabi Khidhir, yang jelas-jelas bertawhid.
Liciknya Barat
Beberapa pengkaji berpendapat bahawa ‘Barat’ yang terkenal dengan sikap gemar bermanipulasi tentang sejarah itu memainkan peranan penting untuk men’Zulqarnain’kan Alexander Macedonia. Mereka cukup sakit hati jika apa-apa kelebihan memihak kepada ‘Timur’ termasuklah dalam hal Zulqarnain. Barat mahu Alexander Macedonia diyakini semua orang sebagai Zulqarnain dalam Quran. Quran dengan bijaknya menyanggah hal itu apabila menyanjung keagamaan Zulqarnain yang jauh berbeza dengan ‘keliaran’ Alexander Macedonia.
Lihat sajalah filem Alexander keluaran Barat, ‘diwarnakannya’ rambut Zulqarnain dengan warna perang. Padahal sisa-sisa bukti yang ada menunjukkan Zulqarnain berambut hitam. Namun dalam hal ini ada pengecualiannya. Boleh jadi memang filem itu hendak menceritakan Alexander the Great dan bukannya Iskandar Zulqarnain yang diceritakan dalam al-Quran.
Rom dan Parsi saling beralih kuasa pemerintahan (pentadbiran dunia digilir-gilirkan antara Timur dengan Barat). Kedua-duanya ada raja yang bernama ataupun bergelar Iskandar. Rom pastinya iri hati dengan Iskandar Zulqarnain Parsi yang gah suatu masa dahulu. Atas sebab itu Rom (Barat) mahu membuktikan Iskandar merekalah yang paling ulung. Seboleh-bolehnya mereka mahu menutup kisah Iskandar Zulqarnain dari Parsi. Sekali lagi Kalamullah begitu bijak menyanggah hal ini dengan menyebut tokoh ini sebagai ‘Zulqarnain’ sahaja tanpa ‘Iskandar/ Alexander’. ‘Zulqarnain’ hanya ada di Parsi dan bukan di Rom (ketika itu berpusat di Macedonia).
Lain Orang, Lain Pemikirannya
Diriku ada lagi menyimpan satu artikel lama (lebih kurang 10 tahun dulu) yang dikoyak dari sebuah akhbar (rasanya Utusan ataupun Berita Harian) tapi kini entah ke mana perginya. Hehe..Penulisnya berpendapat bahawa Zulqarnain ialah anak Nabi Ibrahim daripada isteri(gundik)nya iaitu Qanturah/ Ketura. Anak inilah yang berguru dengan Aristotle. Penulis jelas cenderung untuk mengakui keimanan Aristotle, Plato dan Socrates.
Pada hemat diriku, pandangan ini tidaklah begitu kukuh. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Iskandar/ Alexander yang berguru kepada Aristotle ialah anak Raja Phillips (Filaqus), bukan anak Nabi Ibrahim. Tentang keimanan ketiga-tiga tokoh falsafah itu, tidaklah didatangi dengan maklumat yang selengkapnya.
Menurut buku ‘Lelaki Misteri Dalam Al-Quran-Iskandar Zulkarnain’, banyak ulama dan sejarahwan menyokong Alexander the Great sebagai Zulqarnain tetapi semakin hari semakin ramai yang menolaknya termasuklah Ibnu al-Qayyim, Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah dan Sayyid Qutb.
Wallahualam bissawar.
p/s: Utamakan urusan yang lebih penting (aulawiyat) berbanding yang penting. Mencari siapa Zulqarnain banyak memakan masa sedangkan apa jua hasilnya tidaklah menguntungkan sangat buat kita. Sebab itu dalam al-Quran tidak diceritakan secara terperinci tokoh, masa dan lokasinya. Biarlah seorang dua saja ilmuan yang berusaha mengkajinya. Bagi kita, lebih baiklah mengikhtiarkan peningkatan ilmu, iman dan amal baik untuk diri sendiri mahupun orang lain. Pencarian Zulqarnain lebih kepada pengetahuan am dan kita sekadar mengambil tahu tentangnya pada masa-masa santai, jangan habiskan masa-masa penting untuk mencari siapa Zulqarnain jikalu kita tidak mahu menanggung rugi.
No comments:
Post a Comment