Sunday, June 05, 2011

Kesibukan Tidak akan Berakhir..



Seseorang pekerja akan mengulang rutin harian yang sama setiap hari. memulakan hari mereka dengan bekerja seawal 7 pagi dan menghabiskan kerja mereka sehingga lewat 7 petang. Kemudian, pulang ke rumah untuk menonton rancangan televisyen kegemaran, melayari internet, bersama pasangan, mengupdate status laman sosial atau lepak bersama kawan-kawan. Mereka mencari-cari apakah perkara yang perlu disibukkan apabila ada masa terluang di malam hari, di hujung minggu atau cuti umum.

Itulah kesibukan rutin harian seorang pekerja dan mungkin bagi seorang pelajar. Hidangan hiburan yang dicari bukan lagi menghadiri majlis ilmu agama/halaqah/ usrah , membaca alquran, mencari mad'u untuk dibina, berdakwah, membaca buku-buku perubahan diri atau kesibukan amalan akhirat, namun, kita telah disibukkan dengan hiburan orang-orang barat yang semestinya menjadi hidangan yang paling lazat kala ini.

Inilah yang dikatakan,

" Apabila kita tidak disibukkan dengan kebaikan, maka kita akan disibukkan dengan keburukan"

Kesibukan MEREKA


Jika dahulu, Rasulullah saw dan sahabat-sahabat disibukkan dengan ibadah, halaqah-halaqah ilmu, dakwah, perang, infaq dan membangunkan ekonomi untuk dijadikan harta dakwah.


Rasulullah saw sibuk dengan tugasnya menjadi ketua negara, ketua perang, ketua keluarga, berdakwah dan ibadah kepada Allah.


Musa'b sibuk dengan tugasnya berdakwah di Madinah.


Abu Bakar sibuk menjadi sahabat Rasulullah saw yang paling setia.


Abu Hurairah sibuk mengumpul hadith daripada Rasulullah saw dan otaknya adalah gudang pengetahuan.


Khalid al Walid sibuk menjadi panglima perang yang berwibawa.


Siti Khadijah sibuk menguruskan perihal Rasulullah dan menjadi pendokong setia baginda.


'Ibn. Sina dan Al-Razi sibuk dengan hafalan alquran, kajian-kajian tentang perubatan dan penghasilan karya-karya yang masih segar dan menjadi rujukan hingga kini.


mereka sibuk dengan perkara-perkara yang melibatkan kebahagiaan dunia dan akhirat . tapi kita?


Dunia yang menyibukkan

dunia hanyalah tempat bercucuk tanam

Seorang pelajar sering disibukkan dengan assignment, kerja kursus dan nota-nota yang bertimbun.
Seorang ibu sering disibukkan dengan masalah anak-anak, kerja rumah dan suami.
Seorang doktor sering disibukkan dengan melayan karenah pesakit, oncall dan seminar.
Seorang cikgu atau pensyarah sering disibukkan dengan mengajar, melayan karenah anak murid dan kelas tambahan.


Alasan-alasan inilah rupanya menjadikan status mereka sibuk. Padahal, hakikatnya mereka punya masa lapang yang banyak.


Ayuh semak.


Sesibuk mana pun seseorang mereka masih lagi mampu untuk mengupdate laman Facebook dan duduk berjam-jam di hadapan laptop. Lihatlah statistik yang dilakukan, seramai 10.2 juta dari 28.9 juta rakyat Malaysia mempunyai Facebook dan telah pun disibukkan dengan 'kitab' buatan Mark Zuckerberg ini setiap masa.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih boleh mengupdate blog dan melompat daripada blog lain ke blog lain setiap hari.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu mendownload movie/anime dan menontonnya berjam-jam di hadapan laptop.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan setiap episod drama di televisyen.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan beberapa keping cdbollywood, hollywood dan korea.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu membalas setiap mesej daripada pasangan mereka dan masih ada masa untuk membuat temu janji setiap minggu atau setiap hari.


Akhirat yang diabaikan


Apabila manusia sibuk dengan dunia, akhirat hanya dipandang sebelah mata.


Solat lewat waktu dirasakan biasa.
Alquran hanya dibaca kadang-kadang sahaja .
Qiamullail hanya dilakukan bila ada hajat di dada.
Halaqah atau usrah hanya diguna pakai bila terasa kosong di jiwa dan bila sudah bosan dengan dunia.
Dakwah dikatakan tidak wajib bagi dirinya. jika orang lain sudah buat, maka dia telah terlepas daripada dosa.


Fahaman sonsang inikah yang telah meresap di dalam hati kita?


Apabila diajak kepada amalan yang mendekatkan kepada Allah dan jaminan kebahagiaan kita di akhirat, kita sentiasa mengelak dan menjadikan sibuk sebagai alasan utama.
Namun, masa lapang yang ada digunakan untuk perkara sia-sia seperti Facebook, blog, movie dan games, kita boleh pula mengatakan ia adalah untuk menghilangkan ketegangan setelah penat bekerja atau belajar. Perkara-perkara ini bukanlah semakin menghilangkan ketegangan malah ia hanyalah satu keseronokan yang mampu menjauhkan diri daripada Allah. Padahal untuk menghilangkan ketegangan itu adalah melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah itu sendiri.


Adakah berani untuk kita mengemukakan alasan ini dihadapan Allah kelak? Malulah kalian dengan masa yang ada dibazirkan dengan aktiviti yang tidak bermanfaat.

adakah kesibukan akan terhenti setelah kita mati?

Penutup: bila ia akan berakhir?


Adakah kesibukan ini akan berakhir setelah kita habis belajar?
Atau setelah kita jadi bos dalam sebuah syarikat?
Atau setelah bersara?
Kita tidak akan dapat rehat walau apapun kondisi kita.


" Sesungguhnya rehat bagi seorang mukmin itu setelah kakinya menginjak ke syurga"


Kerehatan bagi kita bukanlah kematian. Kalau ia adalah kematian, bagaimana di alam barzakh? Kita mungkin sibuk dengan pukulan-pukulan keras daripada malaikat kerana dosa dan noda. Semoga dijauhkan ya Allah.


Semoga kesibukan kita pada hari ini adalah menyumbang pada agama, bukan menjadi penumbang agama. ayuh, fikir-fikirkanlah.


p/s: sibuk dengan dunia adalah racun kepada kebahagiaan akhirat.


petikan:
http://akhwatmedic.blogspot.com/2011/05/kesibukan-yang-tidak-akan-berakhir.html

No comments: