Friday, February 10, 2012

La Syukran ‘Alal Wajib ^_^


Masa belajar bahasa Arab zaman sekolah-sekolah dulu,
selain "Afwan” sebagai ucap balas kepada “Syukran jazilan” [terima kasih],
ustaz mengajar bahawa kami juga boleh menjawabnya dengan  "La syukran ‘alal wajib!"
Ucap balas ini ternyata satu pengucapan yang mempunyai falsafah yang amat dalam.

Kes 1

Ibu ayah menghantar anak-anak ke sekolah agama setelah bertahun menerima pendidikan asas kewajipan-kewajipan agama di rumah sendiri seperti menunaikan solat, membaca al-Quran dan berpekerti mulia.
Ibubapa berusaha sebaik mungkin menjadi teladan terbaik untuk anak-anak mereka.
Setelah dewasa, anak-anak rasa sangat bersyukur dengan usaha ibu bapa mereka suatu ketika dahulu.
Anak-anak mengucapkan kepada ibu bapa mereka, “Terima kasih!”
Ibu bapa menjawab, “La syukran ‘alal wajib!”

Kes 2

Anak-anak telah berjaya dalam kerjaya mereka, sering mencari peluang pulang ke kampung halaman,
memberi wang saku kepada ibu bapa, menguruskan makan pakai, ubat-ubatan mereka,
berbahasa baik dan berlemah lembut dengan mereka melayan kerenah mereka yang saban tahun saban sensitif,
mudah terasa.
Ibubapa gembira, lalu mengucapkan kepada anak-anak mereka, “Terima kasih!”
Anak-anak menjawab, “La syukran a’lal wajib!”

Kes 3

Setelah bertahun-tahun, tahanan ISA yang dipisahkan dari orang-orang yang memerlukan mereka
akan dibebaskan hari ini. Ya Allah, berat sungguh ujian perpisahan, namun Engkau akhirinya dengan sebuah pertemuan yang dinanti-nanti.
Tiada apa yang dapat menggantikan penawar perpisahan melainkan pertemuan semula ini.
Hayat bersambung.
Kasih sayang bertaut, kembali.
Lalu rakyat mengucapkan kepada pemimpin negara, “Terima kasih!”
Aku mengambil peluang ini menjawab bagi pihak pemimpin negara, “La syukran ‘alal wajib!!!”







p/s: Menyemaikan nilai-nilai keagamaan kepada anak-anak adalah kewajipan ibubapa. Berbakti kepada ibubapa di masa tua mereka adalah kewajipan anak-anak. Menegakkan keadilan ke atas orang-orang yang dizalimi adalah kewajipan pemerintah.

La syukran ‘alal wajib.“Tidak perlu penghargaan hanya kerana tanggungjawab telah ditunaikan!” ^_^

No comments: