Sunday, June 30, 2013

Alkisah Seorang Budak Nakal..~


Seorang pelajar bernama Amin terkenal dengan kenakalannya di sekolah. Amin suka memberontak, tidak memberikan penumpuan dalam kelas, keputusannya tidak cemerlang, suka mengacau rakan lain, mempersendakan dan melawan kata-kata cikgunya.

Selepas tamat sesi persekolahan tahun lepas, dan tiba masa untuk mengagihkan pelajar, tiada guru di sekolah yang sudi menerima Amin di dalam kelas mereka.

“Saya tak mahu. Nanti sakit jantung,”
kata Puan Halimah.

“Saya tak mahu. Dah serik setahun dengannya,”
kata Cikgu Kamala.

“Jangan pandang saya. Kalau saya, saya dah tendang dia keluar,”
kata Tuan Kassim.

“Tak apa saya ambil,” jawab Ustaz Ismail Nihat.

Semua menarik nafas lega, tapi sahabat baik Ustaz Ismail, Cikgu Timmy berkata, “Ustaz fikir baik-baik. Kena ada kesabaran tinggi untuk mengajar budak itu. Kalau tak tahan, ustaz tukar dengan saya.”

“Takkan budak ini saya tak dapat kawal hehehhe,” jawab Ustaz Ismail dengan berseloroh.

Malangnya, perbualan guru-guru itu telah didengari Amin. Amin berbisik di hatinya, “Ustaz Ismail nak kawal saya ya? Kita tengok siapa lebih hebat!”

Sesi persekolahan baru pun bermula, Amin memasuki kelas Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail mengaturkan Amin duduk di barisan depan kelas.

Amin cuba buat perangai, tapi Ustaz Ismail tetiba bersuara…

“Saya nak cadangkan seorang pelajar untuk jadi Ketua Kelas. Dia ini keputusan tak berapa baik. Akan tetapi, dia pandai bergurau. Jika dia jadi Ketua Kelas, sudah tentu kita dapat senyum tiap-tiap hari,” kata Ustaz Ismail sambil menunjuk kepada Amin.

Para pelajar kelas Ustaz Ismail terus terdiam dan berbisik sesama sendiri.

“Orang macam dia pun, Ustaz pilih jadi Ketua Kelas? Ustaz tahu ke dia terkenal sebagai pelajar ternakal di sekolah.”

Amin yang muka kemerahan kerana segan hendak menolak tawaran, tapi Ustaz Ismail tidak memberi peluang…

“Jadi Ketua Kelas bukan lihat pada keputusan sahaja. Yang paling penting dia boleh jadi contoh kepada pelajar lain. Saya percaya Amin boleh melakukannya dan dia amat berpotensi. Apa kata kita beri dia satu peluang?”

“Baik ustaz,”
jawab para pelajar. Kata-kata ini menyebabkan Amin terasa malu dan segan sehingga muka bertambah merah.

Akhirnya, Amin menjadi Ketua Kelas.

Besok harinya, apabila masuk ke kelas, pelajar mendapati Amin sudah berada di tempat duduknya dan tidak mengacau pelajar lain ketika Ustaz Ismail mengajar.

“Amin sudah tak buat perangai dan kacau orang?” tanya seorang pelajar bernama Zul yang selalu dibuli Amin.

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi contoh pada orang lain,” jawab Amin.

Apabila melihat Amin menumpukan perhatian di dalam kelas, seorang pelajar lain Jannah bertanya pada Amin, “Mengapa Amin tak perlekehkan ustaz seperti biasa sehingga cikgu menghalau Amin keluar?”

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi rajin dan bagus keputusan barulah orang lain boleh terima saya sebagai Ketua Kelas dengan hati terbuka ,”
jawab Amin.

Peperiksaan menjelang dan keputusannya, Amin melonjak dari tangga terakhir di sekolah ke tangga ke 15.

“Dia meniru ke ustaz?”
tanya Tuan Kassim pada Ustaz Ismail.

“Berdasarkan ketekunan dia, saya rasa keputusan ini benar. Ini memang hasil dia,”
jawab Ustaz Ismail.

“Ustaz Ismail memang hebat,” kata Cikgu Timmy.

“Apa yang Ustaz buat kat dia?”
tanya Puan Halimah.

“Dia nakal sebab ego nak perhatian. Saya bagilah dia dapat perhatian secukupnya sebagai Ketua Kelas. Kerana egonya, maka dia memaksa dia menjadi baik supaya orang tak kata dia tak layak jadi Ketua Kelas. Sama seperti najis binatang, jika diletakkan pada tempat yang tidak betul, ia busuk dan tidak menyenangkan pandangan. Jika ia terkena tanah dan ditanam, ia bertukar menjadi baja yang menghasilkan banyak pokok yang berbuah,” jawab Ustaz Ismail sambil tersenyum.

Senyum.. ^_^v

(Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, 2013)

Saturday, June 22, 2013

Kan Kutinggalkan Si Dia Kerana-Nya..~


Menerima Teguran Iman Dari Hati Sebelum Nafsu Menguasai Diri


"Aku memang sangat cintakan dia. Tapi aku terpaksa clash dengannya.."

"Aik, asal pulak?"

"Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah.."

“Pergh.. cayalah bro!”

 Alhamdulillah..insaf jua dia akhirnya.

Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. Tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.

Ya.. begitulah.. Memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber'couple', iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.

Maka cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih untuk menguasai. 

Berpegangan Tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka?!


Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber'couple'. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.

Itu barulah 'saling-menyayangi' namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka?! Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan?! Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?!

Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber'couple' itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber'couple' (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya 'kehilangan' atau perpisahan. Kerana 'kehilangan' atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.

Dan firman Allah yang bermaksud;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"

(al-Baqarah: 216)

Bak kata Sang Pujangga;

"biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia."

Buat Renungan Diri Sendiri dan Mereka yang ‘Mengerti’


Sahabat-sahabat.. Marilah sama-sama kita renungkan... Belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita ber‘couple' bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.

Jika pasangan kita itu ditaqdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun 'suprise' yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.

Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Sang Maha Pencipta. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal. 

Doa Cinta Nabi Daud
 

Marilah kita hayati dan amalkan doa Nabi Daud A.S ini. Semoga ianya memberi kita semangat dan teguh dalam mencintai Allah sepenuh hati,  melebihi cinta kita kepada makhluk-Nya.

" Ya Allah..,                                                                                                                 
Kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, Dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu..

Ya Allah..,                                                                                                                                    
 Apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.

Ya Allah..,                                                                                                                                    Jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.

Dan Rasulullah SAW bersabda;
"Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud A.S"
(HR At-Tarmizi)
Wallahu A'lam Bissawar..^_^v





“Kan kusampaikan walau sebaris ayat..”

Tuesday, June 18, 2013

Erti Hidup Bukan Hanya Sekadar Memberi.. ^_^v



Bila kita beri orang hadiah dengan harapan orang itu akan memberi semula, tup-tup orang itu tak beri apa-apapun pada kita, mesti kita akan rasa sakit hati, geram, terguris, terhina, dan macam-macam lagi perasaan negatif yang akhirnya akan buat kita rasa serabut. "Confirm aku takkan bagi apa-apa dah dekat engkau lepas ni. Lantak lar!" kata kita.

Tapi bila kita memberi kepada orang dengan ikhlas, tanpa mengharapkan apa-apa balasan, walau sekadar ucapan terima kasih sekalipun daripadanya, kita tetap akan rasa besar hati, seronok, gembira, tenang, berbaloi dan kita akan rasa seolah-olah kita sudah membuat suatu kerja yang begitu besar sekali. Alah, kengkonon rasa macam “superhero” gitu. Hee..

Samalah juga halnya apabila kita memberi kepada Allah. Dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang, itu firman-Nya sendiri. Tapi, kenapa walau sudah banyak kita memberi kepada-Nya, jutaan zikir sudah kita lantunkan, hitam sudah dahi kita bersujud di tikar sejadah dan serak sudah suara kita membaca ayat-ayat-Nya, kenapa hati kita masih jua berserabut?! Kenapa jiwa kita masih jua tidak mahu tenang?! Kenapa kita masih bermasalah?!

Kerana niat kita memberi itu salah. Kita berzikir, membaca al-Quran, bersolat dan berdoa, adalah dengan harapan kita ingin masalah kita diselesaikan. Kita tidak ikhlas melakukannya kerana Allah. Kita mengingati Allah hanyalah sewaktu kita sedang ditimpa masalah. Adakah kita berzikir, membaca al-Quran, bersolat dan berdoa sewaktu kita sedang berada di dalam keadaan yang senang dan gembira?

Kalaulah ada kawan kita ni, jenis yang datang cari kita hanya waktu dia susah je, tapi waktu dia senang, usahkan batang hidung, baying pun langsung tak Nampak.. agak-agak kita nak tolong dia terus ke, ataupun bagi pelangkung dulu sedas dua, lepas tu baru kita tolong dia?!

Tepuk dada, tanya iman..~

Senyum..^_^v

Saturday, June 08, 2013

Siapa Dia Perompak Sebenarnya?!

 
Semasa rompakan di Guangzhou, China, perompak bank berteriak kepada semua orang di bank:

"Semua tiarap di lantai dan jangan melawan! Wang ini kepunyaan bank tapi nyawa anda adalah kepunyaan anda..."

Semua orang dalam bank pun ikut arahan perompak tanpa melawan dan senyap.

*Ini dipanggil "berfikir di luar kotak." - berfikir lain daripada yang lain!

Apabila seorang wanita bertiarap di atas meja dengan gaya yang menggoda, perompak menjerit kepadanya: "Tolong bersopan! Ini adalah rompakan, bukan cubaan merogol!"

*Ini dipanggil sebagai "Profesional." - Fokus hanya pada apa yang anda dilatih untuk melakukan!

Apabila perompak bank kembali ke rumah, perompak muda (kelulusan MBA) memberitahu kepada perompak yang lebih tua (lulus darjah 6 sahaja): "Taiko, mari kita kira berapa banyak duit kita dapat."

Perompak tua menyangkal dan berkata: "kau ni bodoh! Terdapat banyak wang, sampai bila baru kita habis kira ? Malam ni kita nonton berita di tv, pasti kita akan tahu jumlah rompakan dari berita tersebut."

*Ini dipanggil "Pengalaman." - Kini, pengalaman adalah lebih penting daripada sijil kertas!

Selepas perompak telah beredar, pengurus bank itu mengarahkan penyelia bank untuk memanggil polis dengan cepat. Tetapi penyelia berkata kepadanya: "Tunggu Mari kita ambil $ 10 juta daripada bank untuk diri kita dan tambah kepada $ 70 juta yang kita sudah gelapkan dari bank!".

*Ini dipanggil "inovatif." - Menukar keadaan tidak menguntungkan untuk keuntungan anda!

Penyelia berkata: "alang kah baiknya jika rompakan berlaku setiap bulan. Dapat juga kita gelapkan duit"

*Ini dipanggil "berpandangan jauh." - merancang masa depan selangkah lebih awal!

Keesokan harinya, berita TV melaporkan bahawa $ 100 juta telah diambil dari bank. Perompak mengira, mengira dan mengira berulang kali, tetapi mereka hanya boleh mengira $ 20 juta.

Perompak sangat marah dan mengadu: "Cilaka! Kita mempertaruhkan nyawa kita dan hanya mendapat $ 20 juta tapi Pengurus bank pula mengambil $ 80 juta dengan hanya petikan jarinya, nampaknya lebih baik menjadi orang pintar daripada menjadi pencuri."

*Ini dipanggil " Pengetahuan." - pengetahuan kunci kejayaan hidup!

Pengurus bank itu tersenyum dan gembira kerana kerugiannya dalam permainan pasaran saham kini sudah dilangsaikan oleh duit rompakan itu.

*Ini dipanggil "sambil menyelam minum air." - mempergunakan peluang yang ada untuk mencipta peluang yang lain!



Soalan : Siapa Perompak sebenar di sini ?



p/s:
Terkadang kita terlalu fokus kepada nama watak yang diberikan, bukan kepada pengajaran dari cerita tersebut. Sedangkan kita boleh sahaja tukarkan nama watak yang diberikan. Apa yang penting ialah mesej pengajaran dari setiap kisah yang diceritakan.

Walau bagaimanapun, Intuisiku memohon maaf kepada semua pembaca sekiranya ada yang tersinggung dengan cara penulisan dan nama-nama watak yang dikemukakan di laman ini.
.~



 :: Senyum.. ^_^v


Wednesday, June 05, 2013

Terapi Hati dengan Bersendiri.. ^_^v




Siapa kata sendiri itu tidak bahagia? Tidak menggembirakan? Zahirnya, orang mungkin nampak seseorang yang bersendirian itu menyedihkan kerana kekosongan tanpa ditemani. Namun, pada hakikatnya mereka yang bersendiri itu lebih bahagia sebenarnya.

Bila sendiri, kita mempunyai banyak ruang untuk muhasabah diri. Biarpun sendiri, kita tetap takkan berada dalam relung kesunyian. Kerana dengan bersendiri, kita mampu merasai kehadiran-Nya di sisi kita. SubhanaAllah.. Mampu untuk merasa redup kasihNya yang lagi menenangkan!

Sendiri, mengajar kita untuk memperbaiki diri sendiri tanpa gangguan dan halangan daripada ‘mereka-mereka’ lagi.

Sendiri itu terapi. Terapi untuk menguatkan iman. Terapi untuk perbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Terapi untuk memperbaiki habluminnanas (hubungan sesama manusia). Terapi untuk membetulkan setiap yang sumbang.

Kerana, dengan bersendiri, seseorang mampu untuk berfikir dengan rasional tentang segala hal duniawi mahupun ukhrawi. Mampu membuatkan seseorang mencari kembali dirinya yang telah hilang. Mampu menilai antara kaca dan permata. Mampu membezakan antara hitam dan putih.

Sendiri itu juga terapi untuk menghapuskan parut-parut dosa yang dilakukan. Apa gunanya berteman seandainya diulit dengan dosa yang mencengkaman?! Tentulah hati takkan tenang apabila dosa-dosa tersebut menghantui. Astargfirullahalazim...

Sesungguhnya, sendiri itu terapi yang indah. Terlalu indah bagi mereka yang benar-benar memahami istilah sendiri. Allah SWT ciptakan sendiri itu untuk mengembalikan semula hamba-Nya yang 'hilang'. Dia biarkan kamu yakni insan yang terpilih untuk bersendiri hanya semata-mata inginkan kamu kembali ke jalan-Nya. Bukan untuk menghukum kamu. Sebaliknya, untuk menyatakan kasih sayangNya kepada hamba-hamba-Nya.

Jadi, janganlah bersedih apabila sendiri. Bersangka baiklah dengan Allah. 

Sebagaimana firman Allah SWT:

"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan"


(Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)

Percayalah, setiap keadaan atau peristiwa itu mempunyai hikmah yang kadangkala dapat kita fikir sendiri (namun kadangkala hikmah itu tidak dapat difikir oleh kita manusia biasa). Ingat, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."


(al-Baqarah: 216)

Biarlah kita buruk dan hina pada pandangan manusia, namun cantik dan suci pada pandangan Sang Maha Pencipta..



Akan kusampaikan walau hanya sebaris ayat...Wallahualam...^_^v

Tuesday, June 04, 2013

Alkisah Seekor Nuri…~


Satu hari, seekor Nuri bernama Fatimah pulang ke rumah, benggang, keliru dan marah.

“Saya tak suka paruh saya!” rungut Fatimah kepada maknya.

“Mengapa pula? Kan cantik?” kata maknya.

“Burung lain semua mempunyai paruh yang lebih cantik – Helang, Pelikan, Sendok dan Pipit! Saya saja yang ada paruh macam ini!” kata Fatimah.

Berfikir sejenak melihat ke cermin, mak Fatimah turut bersetuju dengan anaknya.

“Jom kita pergi tanya Tok Guru. Beliau akan tahu apa nak buat. Dia paling bijak dalam kumpulan Nuri dan tinggal di pokok tertinggi. Beliau akan tahu apa nak buat,” kata mak Fatimah.

Fatimah dan maknya tiba di rumah Tok Guru di pohon tertinggi.

“Maafkan saya Tok Guru. Saya ada masalah yang paling besar di dunia,” kata Fatimah.

“Apa yang saya boleh bantu?” tanya Tok Guru kumpulan Nuri.

“Saya ada satu paruh yang hodoh dan bodoh. Mengapa saya tidak layak mendapat paruh seperti Helang, Pelikan, Sendok dan Pipit?” tanya Fatimah sambil maknya mendengar.

“Betul itu. Mereka semua ada paruh yang hebat. Fatimah, jawab dulu soalan saya, suka tak makan cacing dan benda-benda krustasia?” tanya Tok Guru.

“Ewekkk! Itu menjijikan!” jawab Fatimah.

“Itu tujuan mengapa paruh Sendok dibuat sebegitu rupa. Bagaimana pula dengan ikan?” tanya Tok Guru lagi.

“Itu lagi jijik… melompat-lompat dalam mulut!” jawab Fatimah lagi.

“Hmmm… jadi paruh Pelikan pun tak sesuai untuk Fatimah. Bagaimana pula dengan arnab dan tikus?” tanya Tok Guru lagi.

“Ewwww… darah ewwww…” Fatimah rasa nak muntah.

“Hmmm… jadi paruh Helang pun tak sesuai untuk Fatimah. Bagaimana pula dengan bijiran yang kecil?” tanya Tok Guru.

“Itu ok. Tapi saya suka kacang yang lebih besar macam Almond dan Hazelnut,” kata Fatimah, si Nuri sambil menelan air liurnya.

“Saya ada beberapa biji. Saya ambilkan,” kata Tok Guru.

Fatimah terus makan Almond dan Hazelnut yang disediakan Tok Guru.

“Jadi Fatimah, jika kamu ada paruh seperti Helang, Pelikan, Sendok dan Pipit boleh kah kamu menikmati Almond dan Hazelnut itu?” tanya Tok Guru.

“Rasanya tidak,” jawab Fatimah sambil tersentak.

Fatimah dan maknya terhenti seketika perlakuan mereka. Mereka memandang Tok Guru – airmata mula mengalir.

“Terima kasih Tok Guru. Kami faham sekarang. Paruh kami adalah terbaik dan direka khas untuk kami. Kami tak patut dengki dengan paruh orang lain,” kata Fatimah dan maknya.



Dapat isi tersirat cerita ini?

Jangan habiskan masa berdengki dan cemburu dengan kelebihan orang lain. Lebih baik kita tahu apa kelebihan kita dan mengapa Allah memberikan kita sesuatu.

Bersangka baiklah bahawa Allah maha Adil. Ada yang ada pada orang lain ada tujuannya yang mungkin tidak sesuai untuk kita. Kita adalah unik dengan kelebihan tersendiri. Takkan itu pun kita tidak boleh bersangka baik dengan Allah dan ciptaannya?

Renung-renungkan..

Senyum..^_^