Saturday, February 22, 2014

Aurat Aku, Peduli Engkau.. Aurat Engkau, Peduli Aku..




Ada dua kategori wanita yang bertudung/menutup aurat yang ingin ‘Intuisiku’ bincangkan :

1) Yang tidak sensitif dengan aurat sendiri.
2) Yang sensitif dengan aurat sendiri, tetapi tidak aurat orang lain.


Kategori yang pertama ini menutup aurat seperti almari. Boleh buka dan boleh tutup sesuka hati. ‘Intuisiku’ faham, mungkin ada sesetengah situasi yang menghalang anda untuk menutup aurat, tetapi apakah alasan ini boleh menjadikan sebab anda menayangkan gambar anda tidak menutup aurat sesuka hati untuk ditatapi . Dan sekiranya situasi tidak mengizinkan, tutuplah sekadar yang mampu dan berusahalah untuk tidak menayangkan di khalayak ramai.

Saya ada seorang sahabat mualaf, yang dalam situasi tidak mengizinkan untuk bertudung dan menutup aurat, tetapi apa yang dilakukan olehnya adalah dengan tidak mengupload sebarang gambar free hair di mana-mana laman sosial dan memakai menutup sebanyak mungkin auratnya. Ini namanya usaha. Allah tidak melihat pada hasil, tetapi Dia melihat pada usaha walaupun sekecil-kecilnya. Kerana kita bukan tidak faham dan belajar mengenai aurat. Kita tahu tetapi jangan dilengahkan dan mencari alasan untuk meremehkan tanggungjawab ini.

Berusahalah walaupun seinci langkah setiap hari. Kadangkala, apabila kita sekejap bertudung dan sekejap tidak, akan mengundang fitnah terhadap Islam dan diri kita sendiri juga, dan memberi ruang pada syaitan untuk menghasut.

Dan untuk kategori yang kedua adalah yang dialami oleh saudara perempuan ‘Intuisiku’ sebentar tadi.. *bengang*.. Ketika sedang mengambil wudhu, ada muslimah lain yang membuka pintu seluas mungkin dan tidak menutupnya kembali. Dan di luar, galak lelaki ajnabi berjalan ulang alik di situ. Bukan seorang yang melakukan sebegitu, tetapi ramai. Kita seperti tiada sensitiviti untuk bukan setakat menjaga aurat sendiri, tetapi jaga aurat muslimah yang lain.

Dan situasi kedua pula ialah apabila kita bergambar dengan kawan muslimah yang tidak menutup aurat. Elakkan lah untuk upload di mana-mana laman sosial. Jangan rasa anda sudah menutup aurat, maka anda terlepas dari tanggungjawab mengajak wanita yang lain. Kalau masih tiada courage untuk mengajak mereka menutup aurat, janganlah tidak berperasaan mendedahkan aurat mereka secara umum.

Entry ini bukan untuk menghukum jauh sekali nak menyatakan diri ini bagus sangat, tetapi ‘Intuisiku’ rasa ia satu tanggungjawab untuk kita saling menasihati dan mengingatkan antara satu sama lain. Ini adalah nasihat, terpulang sama ada untuk menerima ataupun tidak.


Senyum.. =)

Sunday, February 16, 2014

Makanan Yang Menghasilkan Angin Dalam Perut




Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktos, laktos dan sorbitol menghasilkan banyak angin.

* Raffinose terdapat pada makanan seperti kacang yang mengandungi banyak gula kompleks, manakala bunga kubis (cauliflower), kubis brussel (brussels sprouts), asparagus, brokoli dan kubis.

* Laktos ialah gula semulajadi yang terdapat pada susu dan makanan yang mengandungi susu seperti keju dan aiskrim.

* Fruktos banyak terdapat pada bawang, buah pir dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis (sweetener) dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.

* Sorbitol diperolehi secara semulajadi daripada buah-buahan termasuk epal, pir, pic dan prun. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam makanan untuk diet, gula-gula dan gula getah.

* Kanji kebanyakannya didapati pada kentang, jagung, gandum di mana makanan ini dihancurkan di dalam usus besar.walau bagaimanapun, beras merupakan satu-satunya makanan berkanji yang tidak menghasilkan angin.

* Seserat (fiber) yang mudah larut dalam air dan bertukar menjadi tekstur menyerupai gel di dalam usus. Ia terdapat dalam kacang, oat, bran, kacang panggang dan kebanyakan buah-buahan.

Seserat larut ini tidak dihancurkan sehinggalah ia sampai ke usus besar di mana proses penghadaman bermula dan angin dikeluarkan. Manakala seserat tidak larut melalui usus tanpa sebarang perubahan dan tidak banyak menghasilkan angin.

Wednesday, February 12, 2014

Rahsia Dia, Rahsia Allah..


Janganlah kita bertanya kepada orang lain tentang persoalan yang menjadi rahsia Allah.

"Bila nak kahwin ni? Umur dah makin bertambah…"
"Bila nak dapat anak ni? Tak nak ada anak ke? Ke merancang?…"

Jaga-jaga dalam berbicara.
Jangan goreskan perasaan orang yang sedang bersabar dengan ujian Allah,
Yang redha dengan ketentuan Allah.

Kita kahwin awal, bukanlah bermakna yang kita hebat dalam mencari pasangan, cuma hanya jodoh itu telah sampai kepada kita…

Kita dapat anak cepat dan ramai, bukanlah bermaksud yang kita ni pandai dalam soal suami isteri,
Tapi kerana rezeki kita yang Allah tetapkan.

Semua itu dalam rahsia Allah.
Jangan kita mencuba mengorek dan mempertikaikan.
Allah jua lah sebaik-baik perancang.

Saturday, February 08, 2014

Nyahkan Bangsawan Samseng


Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Bangsawan ialah golongan yang berkedudukan mulia ataupun ‘kononnya mulia’ dari segi keturunan. Ini seperti mereka yang dari keturunan raja, sultan, khalifah, presiden, dan seumpamanya. Perkataan mulia itu juga kadang-kala lebih bersifat persepsi. Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan yang dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka menjadi maharaja ataupun raja ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar padahal asal usul keturunan mereka sebelum itu mungkin perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang kejam yang kemudian telah berjaya merebut kuasa dan diwarisi. Bahkan semasa berada di atas kuasa pun sebahagian golongan yang dianggap bangsawan itu meneruskan agenda merompak orang lain tetapi mungkin dengan berselindung di sebalik kuasa, ataupun menjadi ‘perompak berlesen’.

Ramai juga mereka yang bergelar diri bangsawan, ataupun merasa diri telah menjadi bangsawan itu menjadi sombong dan bongkak sehingga merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Mereka memukul, memaki, mencedera, mengambil harta orang lain dan awam serta pelbagai cara hidup samseng diamalkan dalam gaya hidup mereka. Mereka sering merasakan mereka mesti menang dalam setiap persaingan. Mereka fikir mereka tidak boleh dipertikai dan dilihat kalah. Kehendak mereka ‘by hook or by crook’ mesti tercapai. Apabila mereka merasa kecewa ataupun marah mereka mula bertindak zalim ke atas pihak yang lemah. Bangsawan seperti ini kita panggil bangsawan samseng.



Mengajar Bangsawan Samseng

Dalam Kanz al-‘Umal dan disebut juga dalam Futuh Misr wa Akhbaruha oleh Ibn ‘Abd al-Hakam al-Misri yang menceritakan sejarah pembukaan Mesir, diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa seorang lelaki dari Mesir telah datang kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab di Madinah. Lelaki itu berkata:

“Wahai Amirul Mukminin! Aku meminta perlindunganmu dari kezaliman”. Kata ‘Umar: Ya!. Kata lelaki itu: “Aku berlumba dengan anak gabenor Mesir (Muhammad bin ‘Amr bin al-‘As), lalu aku menang. Maka dia (anak gabenor) memukulku dengan cemeti sambil berkata: “Aku anak golongan yang mulia”.

Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat perintah kepada gabenor Mesir ‘Amr bin al-‘As meminta dia dan anaknya Muhammad itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata: “Pukul dia”. Dia pun memukul sambil Umar berkata: “Pukullah anak golongan yang mulia”.

Kata Anas bin Malik yang menyaksikan kejadian itu: “Dia memukul dan kami suka dengan pukulannya. Dia tidak berhenti sehingga kami harap dia berhenti”. Kemudian Umar berkata kepadanya: “Letakkan cemeti itu atas kepala botak bapanya (kepala ‘Amr bin al-‘As)”. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Hanya anaknya yang memukulku, aku telah pun membalasnya dan memadai”.

Kemudian Umar berkata kepada ‘Amr bin al-‘As: “Sejak bilakah engkau memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?!” Jawab ‘Amr bin al-‘As: “Sesungguh aku tidak tahu kes ini”.


Sama Di Sisi Tuhan

Demikian Khalifah ‘Umar mengajar kesombongan golongan bangsawan ini. Padahal ‘Amr bin al-‘As seorang sahabat Nabi s.a.w. Namun keadilan itu tidak mengenal keturunan dan latar harta. Semua manusia sama di sisi Allah. Kita semua dari keturunan Adam. Hanya yang lebih kerana nilaian kebaikan jiwa dan ketinggian budi. Nabi s.a.w menyebut:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, hadis berstatus hasan).

Jika hendak dikira manusia yang mulia, maka khalifah empat bagi umat ini Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali merupakan insan-insan mulia yang dipilih memegang jawatan khalifah atas kemuliaan diri mereka. Bukan kerana keturunan mereka mendapatkan kuasa ataupun kerana pengaruh harta mereka yang banyak. Sebaliknya kerana kualiti diri mereka dan kemuliaan mereka yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Pun begitu mereka tidak pernah menyatakan ‘kami ini mulia, sahabat sahabat utama Nabi Muhammad maka jangan pertikai perbuatan dan tindakan kami. Siapa pertikai dianggap derhaka pada negara dan bangsa!’. Sama sekali mereka tidak pernah berkata demikian.

Sebaliknya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada hari dia memegang jawatan khilafah berucap:

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. ” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Hanya mereka yang perasan sahaja merasakan diri mereka bangsawan yang tidak boleh dipertikaikan. Hanya bangsa ataupun individu yang bodoh, dungu dan feudal ataupun pengampu terlampau sahaja yang menganggap mengkritik golongan bangsawan istana itu satu kesalahan dan menggesa agar pengkritik diambil tindakan. Mereka yang seperti itu mempunyai masalah mental dan akidah sehingga seakan menganggap golongan bangsawan itu bagaikan maksum melebihi para nabi yang diutuskan oleh Tuhan.

Pupus

Perlu diingat, kesamsengan golongan bangsawan telah menyebabkan kebanyakan mereka pupus dari tampok kuasa. Walaupun Parsi, Rome, China, beberapa Negara Eropah, dan India pernah memiliki empayar dan kekuasaan yang luas, namun ke mana perginya maharaja-maharaja mereka?! Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak rakyat apabila mereka dilihat sudah tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak merosakkan dari memberikan manfaat kepada rakyat. Nepal juga telah membuang institusi raja mereka.


Jika kita lihat istana-istana raja-raja Eropah serta pencapaian mereka, mereka bagaikan tidak akan tumbang. Maharaja-maharaja China dan Parsi pasti lebih gah dan hebat dengan tentera dan kemewahan harta dan wanita mereka. Tapi kesemuanya lenyap. Kesemua ini menjadi pengajaran kepada golongan bangsawan yang masih berkuasa dalam pelbagai bangsa agar menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng sehingga akhir mereka dicampak oleh rakyat sendiri dan bangsa sendiri.

Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah kerana mereka tidak membiarkan kezaliman raja-raja berterusan. Pembuangan sistem istana dan agama yang diperalatkan oleh istana telah membawa bangsa Eropah maju dan bebas dari cengkaman kezaliman. Inilah yang disebut oleh ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas hadis Nabi s.a.w mengenai kiamat berlaku dalam keadaan Rome paling banyak rakyatnya. Kata ‘Amr:

“Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.

Golongan bangsawan sepatutnya menjadi manusia paling dihormati dalam sesebuah masyarakat. Mereka paling mematuhi peraturan, paling santun kepada rakyat bawahan dan menjadi teladan kesopanan dan kehalusan budi, bahasa dan akhlak. Ucapan mereka menjadi ikutan, falsafah mereka menjadi pegangan, bahasa mereka menjadi ukuran.

Jika bangsawan itu sekadar menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, mendapat pelbagai harta dan tempat atas cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang lebih layak, membazir harta awam, memukul sesuka hati orang biasa, mengambil apa saja yang mereka suka, mengugut sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa yang mereka hendak, maka golongan bangsawan seperti itu sepatutnya dinyahkan dari sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika golongan bangsawan seperti itu masih dibiarkan. Golongan samseng yang menyakiti rakyat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak layak pun untuk ditempat dimuzium sejarah mana-mana bangsa pun melainkan dengan catatan hitam ‘samseng’.


Sumber:  http://drmaza.com/home/?p=2638