Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bangsawan ialah golongan yang berkedudukan mulia
ataupun ‘kononnya mulia’ dari segi keturunan. Ini seperti mereka yang
dari keturunan raja, sultan, khalifah, presiden, dan seumpamanya. Perkataan
mulia itu juga kadang-kala lebih bersifat persepsi. Betapa ramai dalam sejarah
pelbagai bangsa, golongan yang dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka
menjadi maharaja ataupun raja ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar
padahal asal usul keturunan mereka sebelum itu mungkin perompak, lanun di laut
ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang kejam yang kemudian telah berjaya
merebut kuasa dan diwarisi. Bahkan semasa berada di atas kuasa pun sebahagian
golongan yang dianggap bangsawan itu meneruskan agenda merompak orang lain
tetapi mungkin dengan berselindung di sebalik kuasa, ataupun menjadi ‘perompak
berlesen’.
Ramai juga mereka yang bergelar diri bangsawan,
ataupun merasa diri telah menjadi bangsawan itu menjadi sombong dan bongkak
sehingga merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Mereka memukul, memaki,
mencedera, mengambil harta orang lain dan awam serta pelbagai cara hidup
samseng diamalkan dalam gaya hidup mereka. Mereka sering merasakan mereka mesti
menang dalam setiap persaingan. Mereka fikir mereka tidak boleh dipertikai dan
dilihat kalah. Kehendak mereka ‘by hook or by crook’ mesti tercapai.
Apabila mereka merasa kecewa ataupun marah mereka mula bertindak zalim ke atas
pihak yang lemah. Bangsawan seperti ini kita panggil bangsawan samseng.
Mengajar Bangsawan Samseng
Dalam Kanz al-‘Umal dan disebut juga
dalam Futuh Misr wa Akhbaruha oleh Ibn ‘Abd al-Hakam al-Misri yang
menceritakan sejarah pembukaan Mesir, diriwayatkan daripada Anas bin Malik
bahawa seorang lelaki dari Mesir telah datang kepada Khalifah ‘Umar bin
al-Khattab di Madinah. Lelaki itu berkata:
“Wahai Amirul Mukminin! Aku meminta
perlindunganmu dari kezaliman”. Kata ‘Umar: Ya!. Kata lelaki itu: “Aku berlumba
dengan anak gabenor Mesir (Muhammad bin ‘Amr bin al-‘As), lalu aku menang. Maka
dia (anak gabenor) memukulku dengan cemeti sambil berkata: “Aku anak golongan
yang mulia”.
Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat
perintah kepada gabenor Mesir ‘Amr bin al-‘As meminta dia dan anaknya Muhammad
itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir
tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata:
“Pukul dia”. Dia pun memukul sambil Umar berkata: “Pukullah anak golongan yang
mulia”.
Kata Anas bin Malik yang menyaksikan kejadian
itu: “Dia memukul dan kami suka dengan pukulannya. Dia tidak berhenti sehingga
kami harap dia berhenti”. Kemudian Umar berkata kepadanya: “Letakkan cemeti itu
atas kepala botak bapanya (kepala ‘Amr bin al-‘As)”. Lelaki itu berkata: “Wahai
Amirul Mukminin! Hanya anaknya yang memukulku, aku telah pun membalasnya dan
memadai”.
Kemudian Umar berkata kepada ‘Amr bin al-‘As:
“Sejak bilakah engkau memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan
mereka dalam keadaan merdeka?!” Jawab ‘Amr bin al-‘As: “Sesungguh aku tidak
tahu kes ini”.
Sama Di Sisi Tuhan
Demikian Khalifah ‘Umar mengajar kesombongan
golongan bangsawan ini. Padahal ‘Amr bin al-‘As seorang sahabat Nabi s.a.w.
Namun keadilan itu tidak mengenal keturunan dan latar harta. Semua manusia sama
di sisi Allah. Kita semua dari keturunan Adam. Hanya yang lebih kerana nilaian
kebaikan jiwa dan ketinggian budi. Nabi s.a.w menyebut:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama,
bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam
(yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas
yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah
melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, hadis berstatus hasan).
Jika hendak dikira manusia yang mulia, maka
khalifah empat bagi umat ini Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali merupakan
insan-insan mulia yang dipilih memegang jawatan khalifah atas kemuliaan diri
mereka. Bukan kerana keturunan mereka mendapatkan kuasa ataupun kerana pengaruh
harta mereka yang banyak. Sebaliknya kerana kualiti diri mereka dan kemuliaan
mereka yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Pun begitu mereka
tidak pernah menyatakan ‘kami ini mulia, sahabat sahabat utama Nabi
Muhammad maka jangan pertikai perbuatan dan tindakan kami. Siapa pertikai
dianggap derhaka pada negara dan bangsa!’. Sama sekali mereka tidak pernah
berkata demikian.
Sebaliknya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada hari
dia memegang jawatan khilafah berucap:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik
menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku
betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. ” (Ibn Athir, Al-Kamil
fi al-Tarikh, 1/361).
Hanya mereka yang perasan sahaja merasakan diri
mereka bangsawan yang tidak boleh dipertikaikan. Hanya bangsa ataupun individu
yang bodoh, dungu dan feudal ataupun pengampu terlampau sahaja yang
menganggap mengkritik golongan bangsawan istana itu satu kesalahan dan menggesa
agar pengkritik diambil tindakan. Mereka yang seperti itu mempunyai masalah
mental dan akidah sehingga seakan menganggap golongan bangsawan itu bagaikan
maksum melebihi para nabi yang diutuskan oleh Tuhan.
Pupus
Perlu diingat, kesamsengan golongan bangsawan
telah menyebabkan kebanyakan mereka pupus dari tampok kuasa. Walaupun Parsi,
Rome, China, beberapa Negara Eropah, dan India pernah memiliki empayar dan
kekuasaan yang luas, namun ke mana perginya maharaja-maharaja mereka?!
Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak rakyat apabila mereka dilihat sudah
tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak merosakkan dari memberikan manfaat
kepada rakyat. Nepal juga telah membuang institusi raja mereka.
Jika kita lihat istana-istana raja-raja Eropah
serta pencapaian mereka, mereka bagaikan tidak akan tumbang. Maharaja-maharaja
China dan Parsi pasti lebih gah dan hebat dengan tentera dan kemewahan harta
dan wanita mereka. Tapi kesemuanya lenyap. Kesemua ini menjadi pengajaran
kepada golongan bangsawan yang masih berkuasa dalam pelbagai bangsa agar
menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng sehingga akhir mereka
dicampak oleh rakyat sendiri dan bangsa sendiri.
Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah
kerana mereka tidak membiarkan kezaliman raja-raja berterusan. Pembuangan
sistem istana dan agama yang diperalatkan oleh istana telah membawa bangsa
Eropah maju dan bebas dari cengkaman kezaliman. Inilah yang disebut oleh ‘Amr
bin al-‘As ketika mengulas hadis Nabi s.a.w mengenai kiamat berlaku dalam
keadaan Rome paling banyak rakyatnya. Kata ‘Amr:
“Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada
mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing)
ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana.
Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk
anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu
ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman
raja-raja”.
Golongan bangsawan sepatutnya menjadi manusia
paling dihormati dalam sesebuah masyarakat. Mereka paling mematuhi peraturan,
paling santun kepada rakyat bawahan dan menjadi teladan kesopanan dan kehalusan
budi, bahasa dan akhlak. Ucapan mereka menjadi ikutan, falsafah mereka menjadi
pegangan, bahasa mereka menjadi ukuran.
Jika bangsawan itu sekadar menunjukkan
kesamsengan kepada rakyat, mendapat pelbagai harta dan tempat atas cengkaman
kedudukan padahal ramai lain yang lebih layak, membazir harta awam, memukul
sesuka hati orang biasa, mengambil apa saja yang mereka suka, mengugut sesiapa
yang mereka mahu, memaki sesiapa yang mereka hendak, maka golongan bangsawan
seperti itu sepatutnya dinyahkan dari sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa akan terus
dalam belenggu kebodohan jika golongan bangsawan seperti itu masih dibiarkan.
Golongan samseng yang menyakiti rakyat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak
layak pun untuk ditempat dimuzium sejarah mana-mana bangsa pun melainkan dengan
catatan hitam ‘samseng’.
Sumber: http://drmaza.com/home/?p=2638
No comments:
Post a Comment