Saturday, May 11, 2013

MB Kelantan yang Baru..



 Sekarang ini orang sedang bercakap siapa MB Kelantan yang baru? Parti ada kaedah untuk melantiknya...

Kriteria Menteri Besar Kelantan, menurut almarhum Ustaz Yahya Othman....

Ketika dihebohkan tentang pengganti YAB Tuan Guru sebagai Menteri Kelantan, saya juga turut bertanya pandangan Murabbi yang saya hormati ini. “Ustaz tengok siapa yang layak ganti Tok Guru sebagai MB?”. Saya mengajukan soalan dalam nada yang berhati-hati, takut-takut nanti soalan ini akan mengundang kemarahan beliau. Nampaknya Ustaz Yahya tidak menunjukkan reaksi yang negatif ataupun tidak selesa berbicara tentang kepimpinan selepas YAB Tuan Guru Menteri Besar.

Jawapan beliau senang sahaja. “Jika nak pilih pengganti Tok Guru, jangan suluh (tengok) batang tubuh, suluh (tengok) apa yang Kelantan perlukan selepas Tok Guru?”. Dengan bahasa yang mudah, kita senaraikan keperluan-keperluan negeri Kelantan dan pilihlah calon yang sesuai dengan criteria tersebut. Maka tidak timbullah yang akan ganti Tok Guru ialah Dato’ Ahmad Yaakob, Dato’ Nik Amar ataupun Dato’ Husam Musa atau individu-individu lain.

Kerana suasana begitu kondusif untuk saya terus bertanya. Jadi, saya terus ajukan soalan “Gapo kriteria-kriteria tersebut?”. Tanpa apa-apa sentimen dan dipengaruhi, Ustaz Yahya menyenaraikan beberapa kriteria yang perlu ada kepada bakal pengganti YAB MB Kelantan.

Antaranya, yang boleh membawa Kelantan ke persada antarabangsa dalam model pemerintahan dan pentadbiran Islam. Bagi beliau, Kelantan ini nampak kecil sahaja dalam peta, tetapi seluruh dunia memerhatikan model Islam yang dilaksanakan oleh negeri yang diterajui oleh gerakan Islam. Bukan sahaja kepada gerakan Islam, negara Islam dan bukan Islam begitu berminat dengan negeri ini. Oleh itu, individu yang mempunyai jaringan ini amat sesuai untuk menjadi pengganti YAB Tuan Guru menjadi Menteri Besar.

Yang kedua, siapa yang boleh berurusan dengan orang dalam pagar (dirujuk kepada istana) dan diterima oleh Tuanku. Yang ketiga, individu yang berwibawa dan berkarisma yang boleh menawan hati dan menguasai pegawai tadbir negeri (PTN). Kedua-dua ini penting dalam kelicinan pentadbiran negeri dan individu yang diterima oleh kedua-dua golongan ini sesuai untuk menjadi Menteri Besar Kelantan. Yang keempat, Kelantan memerlukan kepada pembangunan ekonomi . Dan yang terakhir, ialah penerimaan golongan rakyat Kelantan yang rata-rata hendakkan seseorang beragama dan dilihat beragama, khususnya diterima oleh golongan kelompok agamawan seperti pondok tradisional. Apabila kita memerhatikan syarat-syarat ini, maka kita carilah orangnya yang layak.

Bagi menilai idea, pemikiran dan wawasan calon-calon yang layak pula, bagilah pentas untuk mereka berpidato atau meminta mereka semua menulis satu halaman seorang dalam Harakah. Kita semua boleh menilai kelayakan dan kebolehan calon yang akan menjadi Menteri Besar Kelantan ini.



Sumber: Ustaz Mohd Nazeli Ahmad (Ex-Setiausaha Akhbar, TG Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat)

No comments: