Sunday, October 11, 2009

Teladani Keperibadian Unggul Muslimah di Zaman Silam

TUGAS dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi membentuk pelbagai tanggungjawab bagi manusia sama ada lelaki mahupun wanita. Ia bersesuaian dengan fizikal mereka yang dicipta Allah berbeza pada aspek yang tertentu. Perbezaan yang jelas adalah daripada sudut fizikal dan emosi.

Inilah yang menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan satu sama lain. Kelebihan yang dimiliki oleh kaum lelaki dapat dijadikan sandaran bagi wanita bergantung harapan dan naungan manakala kaum lelaki berharap pada sokongan dan kekuatan kaum wanita dalam soal tertentu bagi memenuhi keperluan serta kekurangan diri mereka.

Wanita Muslim @ Muslimah wajar memanfaatkan kelebihan yang dikurniakan Allah seperti ketabahan mengharungi ujian getir, keteguhan dalam mencurahkan kasih sayang dan keupayaan memberi sokongan kepada yang memerlukan untuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera di bumi ini.

Kelebihan itu menjamin mereka dapat melaksanakan tanggungjawab yang ditentukan dengan sempurna. Ada empat bentuk tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh Muslimah dengan sebaik-baiknya iaitu: tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Jika diteliti, dapat disimpulkan perkara paling asas yang diperlukan oleh wanita Muslim untuk menunaikannya ialah keimanan yang tinggi terhadap Allah. Dengan keimanan yang teguh kepada Allah, seseorang wanita dapat menunaikan semua tanggungjawab yang lain dengan sempurna.

Keimanan dan ketakwaan menjadikan seseorang Muslimah seorang anak dan isteri yang solehah, seorang ibu penyayang yang sentiasa berusaha mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baik tarbiyah dan seorang anggota masyarakat yang berkeperibadian tinggi serta berkeupayaan memberi sumbangan besar kepada ummah. Ganjaran yang akan diperoleh oleh hamba-Nya yang beriman termasuk wanita disebut oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang lelaki yang Islam serta orang perempuan yang Islam, dan orang lelaki yang beriman serta orang perempuan yang beriman, dan orang lelaki yang taat serta orang perempuan yang taat, dan orang lelaki yang benar serta orang perempuan yang benar, dan orang lelaki yang sabar serta orang perempuan yang sabar, dan orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang lelaki yang bersedekah serta orang perempuan yang bersedekah, dan orang lelaki yang berpuasa serta orang perempuan yang berpuasa, dan orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".

(al-Ahzab : 35)


Selain keimanan, banyak persediaan lain yang perlu dibuat atau harus dimiliki oleh Muslimah untuk memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Antaranya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan kemahiran tertentu yang dapat memberi panduan dalam menghadapi cabaran dunia moden. Ada dua bentuk ilmu yang perlu dikuasai oleh seseorang wanita Muslim iaitu ilmu fardu ain dan kifayah.

Ilmu fardu ain merangkumi persoalan ibadat, aqidah dan akhlak. Ia akan menentukan kesempurnaan iman dan amalan seseorang wanita Muslim serta kewajipannya terhadap rumah tangga manakala ilmu kifayah pula berkaitan dengan ilmu yang memenuhi keperluan masyarakat.

Sejarah membuktikan bahawa wanita Islam memperoleh peluang yang sama dengan kaum lelaki dalam bidang pengetahuan. Pada zaman Rasulullah, wanita diberikan peluang berjemaah di masjid untuk mendengar dan mengikuti bimbingan yang diberikan Baginda berkaitan dengan ilmu fardu ain dan kifayah.

Peluang itu tidak disia-siakan sama sekali oleh mereka. Mereka memenuhi segenap ruang di dalam Masjid Nabawi saban waktu bagi memastikan tidak ketinggalan memperoleh ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah.

Kehadiran mereka dengan minat mendalam menyebabkan Masjid Nabawi penuh sesak. Kesesakan di Masjid Nabawi di Madinah kemudian diatasi dengan menentukan sebuah pintu untuk Muslimat keluar dan masuk. Pintu itu dikenali sebagai Bab al-Nisa'. Hal ini membuktikan wanita pada zaman Rasulullah sentiasa melengkapkan diri mereka dengan ilmu fardu ain dan kifayah. Ummu Mukminin Saidatina Aisyah adalah sumber inspirasi ilmu bagi kaum muslimat ketika itu.

Ketika hayat Rasulullah, Aisyah adalah pembantu utama Baginda ketika mengajar dan menjelaskan sesuatu hukum kepada wanita terutama jika masalah yang dikemukakan itu terlalu sulit seperti cara bersuci selepas haid dan jika ia menyentuh persoalan kehidupan suami isteri.

Berdasarkan pengalaman hidupnya bersama Rasulullah dan latar belakang keluarga yang baik (anak kepada sahabat Rasulullah) serta kekuatan daya ingatannya, Aisyah memiliki kelebihan yang luar biasa iaitu dapat meriwayatkan lebih daripada 2,000 hadis. Beliau juga berupaya memberi fatwa dalam beberapa perkara sehingga menjadi seorang daripada tujuh sahabat yang terkenal dengan fatwa. Ini menepati apa yang disebut Rasulullah iaitu:

"Ambillah separuh daripada agama kamu daripada wanita yang putih kemerah-merahan ini ('Aisyah)".

Disebut dalam buku al-Sayyidah `Aisyah Ummu al-Mu'minin wa `Alimah Nisa' al Islam, tulisan Abdul Hamid Mahmud Tahmaz (1994), Aisyah dikurnia kelebihan yang istimewa kerana mengahwini Rasulullah ketika masih gadis dan berpeluang hidup di sisi Baginda dalam tempoh yang panjang iaitu lapan tahun lima bulan.

Sepanjang tempoh itu, Rasulullah memberikan perlindungan, kasih sayang, bimbingan dan perhatian penuh terhadap beliau. Malah, kebanyakan wahyu diturunkan kepada Rasulullah ketika Baginda berada di kamar Aisyah.

Aisyah juga gemar mengemukakan soalan; lambang kepintaran akal dan kebijaksanaan dirinya. Apa-apa saja yang didengar dan menimbulkan kemusykilan dalam fikirannya atau yang dilihat tetapi tidak diketahuinya, akan segera ditanya beliau untuk mendapatkan penjelasannya.

Ibn Abi Mulaikah berkata, "Beliau ('Aisyah) tidak mendengar apa-apa yang tidak diketahuinya melainkan akan dirujuk oleh beliau mengenai perkara itu sehingga beliau mendapat jawapannya".

Disebabkan sifat proaktif beliau terhadap ilmu maka Aisyah menyenangi sikap yang diamalkan oleh wanita Ansar terhadap ilmu. Kaum wanita Ansar sentiasa mengemukakan persoalan berkaitan dengan urusan agama mereka. Aisyah berkata:

"Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar yang tidak dihalang oleh perasaan malu untuk mereka mendalami agama".

Di samping Aisyah, ada beberapa wanita lagi seperti Asma' yang meriwayatkan sebanyak 56 hadis.

Kemampuan kaum Muslimat dalam menguasai ilmu fardu ain dapat dilihat sehingga zaman sahabat dan juga tabiin seperti Sayyidah Nafisah binti Abi Muhammad yang mengendalikan majlis ilmunya sendiri. Malah disebut bahawa ketika Imam Syafie berada di Mesir, beliau pernah mengikuti majlis pengajian Sayyidah Nafisah. Imam Syafie sendiri sebagai seorang faqih mewarisi kehebatan dan kebijaksanaan ibunya, Fatimah binti Abdillah ibn al-Husain ibn Hasan ibn `Ali ibn Abi Talib. Ibn Hajar al-'Asqalani menyifatkan ibu Imam Syafie sebagai, "Seorang yang sangat faqih (mendalami bidang ilmu fiqh) yang mempunyai kefahaman dan kesedaran."

Dalam suatu peristiwa, ibu Imam al-Syafie membantah tindakan seorang hakim yang hendak memisahkan dua wanita sebagai saksi dengan membaca dalilnya daripada al-Quran. Ayat itu menjelaskan kedudukan dua wanita sebagai saksi dalam Islam menyamai seorang lelaki dan salah seorang daripada mereka berperanan mengingatkan jika salah seorangnya terlupa.

Dengan hujah dan keterangan yang jelas daripada ibu Imam Syafie itu, hakim berkenaan lantas membatalkan hasratnya memisahkan kedua-dua saksi wanita itu. Dalam soal pendidikan anaknya pula, ibu Imam Syafie ternyata menggunakan sepenuh kebijaksanaan dirinya untuk membuat pilihan terbaik bagi anaknya itu.

Selepas suaminya meninggal dunia, ibu Imam Syafie membuat keputusan untuk berpindah dari Palestin ke Makkah. Beliau melihat kemajuan ilmu pengetahuan ketika itu berkembang pesat di Makkah berbanding Palestin kerana di Makkah ketika itu, ada banyak ulama dan cendekiawan terbilang.

Selain itu, bahasa Arab yang dikuasai penduduk Makkah juga dikatakan belum tercemar di samping Makkah adalah negeri asal nenek moyang Imam Syafie. Faktor inilah yang dilihat oleh ibu beliau sebagai faktor pendorong kejayaan anaknya, khususnya dalam ilmu pengetahuan yang membolehkan Imam Syafie memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada ummah dan Islam sendiri.

Selain memberikan sumbangan dalam bidang ilmu fardu ain, wanita Muslim juga memberikan sumbangan yang bukan sedikit kepada bidang fardu kifayah. Pada zaman Rasulullah, wanita turut berperanan dalam menegakkan syiar Islam. Mereka memberi bantuan dan kerjasama padu dalam apa juga keadaan, ketika aman mahupun ketika peperangan.

Ummu Atiyyah yang diajar oleh Rasulullah mengenai cara mengkhatankan kanak-kanak perempuan dan memandikan jenazah mencurahkan bakti kepada masyarakat demi memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya. Begitu juga dengan Zainab al-Tabib yang terkenal dengan kemahirannya dalam bidang perubatan dan memberikan khidmat untuk mengubati luka serta sakit mata.

Dalam peperangan pula misalnya, kaum Muslimat turut serta di medan peperangan untuk membantu memberi rawatan kepada tentera Islam yang tercedera atau menyediakan makanan mahupun minuman untuk mereka.

Demikianlah hebatnya keperibadian wanita Muslim zaman silam yang sewajarnya menjadi teladan wanita Muslim hari ini. Sumbangan yang diberikan mereka tidak ternilai di sisi Allah dan dicatatkan dalam sejarah supaya generasi hari ini menjadikannya sebagai inspirasi untuk melangkah dengan penuh yakin dalam arus dunia kontemporari yang serba mencabar.

No comments: