Antara Adat & Tuntutan Agama
Kita baru saja sempurna mengerjakan sebulan puasa pada Ramadan dan Aidilfitri sudah pun disambut beberapa hari lalu. Kelihatan perayaan ini begitu meriah diraikan segenap masyarakat di Malaysia tanpa mengira umur dan tempat, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
Tiada salahnya orang bukan Islam ingin memeriahkan suasana perayaan Aidilfitri ini dengan syarat ia tidak melanggar batasan ditetapkan hukum syarak. Keunikan rakyat Malaysia ini sukar dicari di negara lain.
Umat Islam juga akan menganjurkan rumah terbuka atau open house selepas ini dengan mengadakan jamuan besar-besaran dan sebagainya.
Tentu ramai akan keletihan mengunjungi rumah terbuka yang kadangkala mencecah 10 rumah yang mesti dikunjungi pada satu hari.
Mengadakan rumah terbuka sudah menjadi budaya masyarakat Melayu Malaysia seolah-olah perayaan tidak akan lengkap tanpa mengadakan rumah terbuka.
Jika diperhatikan perubahan budaya ini terutama di bandar, suatu ketika dulu tetamu sama ada saudara atau rakan taulan datang tanpa mengira adanya jamuan terbuka dan sebagainya, tetapi hari ini ia seolah-olah diterima ramai dan sebati dalam hidup kita.
Kita tidak membantah pelaksanaan open house tetapi konsepnya itu tidak meminggirkan apa yang sudah biasa diamalkan terdahulu oleh masyarakat Melayu Islam.
Begitu juga semasa mengadakan rumah terbuka, jangan keterlaluan hingga membawa kepada pembaziran.
Dalam mengadakan rumah terbuka juga, jangan lupa kepada golongan tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah kebakaran, kehilangan orang tersayang.
Kadang-kala berlaku rumah terbuka diadakan tetapi jiran tetangga dan orang miskin berdekatan tidak dijemput sama. Ini suatu yang tidak wajar dan perlu dielakkan. Raikan mereka juga kerana mereka ini adalah saudara seagama dan orang yang hampir dengan kita.
Tanggalkan pakaian adat yang kita pakai dalam meraikan Aidilfitri dan kenakan busana Islam ketika menyambut hari kemenangan itu.
Dari Kaca Mata yang Berbeza
Lihatlah perspektif Aidilfitri daripada kaca mata Islam sebenar. Aidilfitri adalah hari kebesaran Islam yang berbeza daripada perayaan lain yang semata-mata untuk kemeriahan tanpa menyelitkan sebarang unsur agama.
Selepas berhari raya, ramai juga antara kita memulakan ibadat puasa enam. Beruntunglah mereka yang tidak ketinggalan melakukan puasa enam ini kerana Allah menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang menyempurnakan puasa Ramadan diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal.
Jangan pula disebabkan terlalu banyak rumah terbuka, kita tidak berkesempatan berpuasa enam.
Ziarah Menziarahi di Hari Raya \(^_^)/
Aidilfitri pasti ceria di kalangan kanak-kanak. Tentulah yang menyeronokkan mereka ialah tatkala menerima duit raya. Mereka berlumba-lumba menziarahi rumah ke rumah semata-mata untuk mendapatkan duit raya. Itulah sifat kanak-kanak dan orang dewasa tidak patut menyalahkan mereka.
Namun sebagai ibu bapa, kita boleh memberi panduan dan menanam semangat menabung hasil wang kutipan duit raya itu. Semailah sifat berjimat cermat ini ketia mereka masih pada awal usia. Jangan mengajar mereka membazir dalam kehidupan seharian.
Tentu ada sebahagian kita yang sudah meninggalkan kampung halaman untuk kembali ke bandar. Kedamaian di kampung terpaksa ditinggalkan kerana tuntutan kerja di ibu kota.
Kedua orang tua akan kembali kesepian mengenangkan anak cucu mereka di kota yang pulang hanya sekali setahun. Jenguklah kedua orang tua selalu sementara mereka masih ada. Berilah khidmat yang terbaik kepada mereka bagi membalas jasa dan budi baik mereka.
Segala apa yang kita lakukan adalah terlalu kecil berbanding dengan pengorbanan yang mereka harungi untuk kita.
Sempena hari raya ini juga, rapatkan hubungan sesama adik-beradik, maaf bermaafan dan raikan saudara mara yang sudah tua. Menziarahi datuk, nenek dan keluarga wajar diutamakan.
Santunilah orang keliling dengan cara terbaik kerana ia adalah sebahagian tuntutan agama.
Ibrah daripada Fitrah
Banyak pengajaran yang dapat kita ambil sempena Aidilfitri ini. Bukalah mata, bukalah minda bagi menerima pengajaran itu dengan penuh ketulusan hati.
Dengan cara itu kita akan kembali kepada fitrah manusia iaitu dalam keadaan suci bersih daripada noda dan dosa.
Bagi golongan kurang bernasib baik atau mereka yang diuji Allah dengan pelbagai bentuk ujian, tentulah Aidilfitri disambut penuh kesayuan dan kesedihan.
Terutama mereka yang baru kehilangan orang tersayang sama ada kerana kematian, perceraian dan sebagainya, tabahkan hati dan bina keyakinan bahawa hari depan sudah pasti bercahaya dan penuh kebaikan apabila kita menerima ujian Allah dengan positif.
Semoga Aidilfitri ini disambut dengan baik dan menjadi titik tolak perubahan kita ke arah mencapai keredaan Allah.
Moga kita tidak akan mengulangi kesilapan lalu dan mengambil pengajaran daripada apa yang sudah kita lalui.
No comments:
Post a Comment