Sunday, November 13, 2011

Hakikat Sebuah Cinta (Bahagian II)

 Cahaya Cinta

Cukuplah. Bangunlah kita dari tidur yang lena. Kembali melihat kepada cahaya yang telah Allah berikan kepada kita.

Satu soalan yang sememangnya selalu saya tanyakan baik pada budak-budak sekolah, kawan-kawan di IPT, dan pernah juga kepada diri saya sendiri. ketika masih keliru antara cinta nafsu dan cinta Allah.


“Apa yang kita akan buat, seandainya kalau kita nak buktikan cinta kita kepada seorang wanita?”


Terlalu banyak jawapan yang kita akan dapat.

Sanggup korbankan semua duit untuknya, sanggup korbankan semua masa untuknya, sanggup korbankan semua tenaga untuknya.

Sentiasa berusaha untuk memastikan dia selalu cinta kepada kita. Sentiasa berusaha untuk memastikan dia tidak akan pernah cuba membenci kita. Sentiasa berusaha memastikan dia berada dalam keadaan bahagia. Sentiasa berusaha memastikan dia tidak akan pernah merasa sedih atau cemburu.

Semua perkara yang kita rasa dia suka, kita akan buat. Semua perkara yang kita rasa dia akan benci, kita akan tinggalkan. Semua perkara yang dia suruh, kita berusaha memenuhinya tanpa pernah beralasan. Semua perkara yang dia suruh tinggalkan, kita sanggup tinggalkan tanpa beralasan.

Itu hanya kerana mahu mendapatkan cinta seorang manusia. CINTA YANG TIDAK MAMPU MEMBERIKAN KITA JAMINAN UNTUK MENGECAPI KEBAHAGIAAN DI DUNIA, MAHUPUN DI AKHIRAT.

Tapi, bagaimana pula dengan pembuktian cinta kita pada Allah?


Muhasabah Cinta



Tidak mungkin dalam kehidupan seorang muslim untuk memisahkan antara kecintaannya kepada Allah dengan kecintaannya kepada Rasul SAW. Hal ini merupakan tuntutan dari kedua kalimah syahadah yang diucapkannya. Tidaklah sah keislaman seseorang yang hanya mengucapkan satu syahadah dan mengabaikan yang lainnya.

Bukti kecintaan seseorang kepada Allah, adalah dengan mengikuti apa yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Qur’an, tanpa pernah cuba untuk menambahi, atau menguranginya.

“Katakanlah: ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Dan, Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani”
(Ali ‘Imran: 31)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat satu kaum pada zaman Rasul SAW yang berkata;

“Demi Allah hai Muhammad! Sesungguhnya kami benar-benar yakin dan cinta kepada Tuhan kami.”

Maka Allah menurunkan ayat di atas sebagai tuntutan bagaimana seharusnya mencintai Allah.

(Diriwayatkan oleh Ibn Munzir dari al-Hasan)


Dan apa antara perintah Muhammad SAW yang direkodkan di dalam surat cinta Allah kepada kita?!

“Katakanlah: “Jika bapa-bapakmu, anak-anakmu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatirkan  kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
(at-Taubah: 24)

Bezakanlah antara hawa nafsu dan cinta.  Binalah kekuatan dalam dirimu serta hatimu, dan susunlah kembali tingkatan-tingkatan cinta seperti yang sepatutnya untuk bertakhta di hati kita. Bermula dengan Allah, Rasul, jihad dan seterusnya, berdasarkan firman Tuhan di atas.

Tinggalkanlah segala cinta kita pada manusia kerana cinta kita pada Allah. Tinggalkanlah segala cinta kita pada harta kerana cinta kita pada Allah. Tinggalkanlah cinta kita pada kekuasaan kerana cinta kita pada Allah.

Perit?!Cuba baca ayat di bawah;

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
(al-Baqarah: 216)

Subhanallah. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Carilah cinta Allah. Kerana itu cinta abadi..=)

No comments: