Saturday, April 14, 2012

Pejuang Islam ke Pahlawan Keyboard?!


Terdetik di lubuk ‘intuisiku’ sejak dari siang tadi untuk menulis tentang tajuk entry kali ini. Eh, tidak, sebetulnya sejak semalam lagi. Semuanya gara-gara ‘intuisiku’ terbaca satu blog di mana penulisnya terang-terangan mengutarakan perkara yang bagi saya terlalu jauh dengan akhlak seorang pejuang Islam. Bahkan TERLALU JAUH UNTUK DIGELAR PEJUANG ISLAM
Intuisiku’ terfikir lagi. Perlukah sesuatu kritikan sebegini disertakan sekali dengan bukti, gambar serta siapa yang punya angkara?! Andainya ‘intuisiku’ letakkan di sini, comfirm trafik blog dia akan naik. Itu tak mengapalah, perkara kecil. Tetapi yang lebih besar, ‘intuisiku’ akan menjadi salah seorang dari penyambung sahamnya dalam melakukan agenda bersifat keji sebegitu, di mana akhirnya nanti ‘intuisiku’ akan ditanya oleh Allah atas setiap apa yang ‘intuisiku’ lakukan.

Akhirnya ‘intuisiku’ memutuskan untuk bercerita secara umum dan secara klu sahaja. Apa yang lebih penting adalah ia menjadi iktibar berharga buat kita semua. ‘Intuisiku’ bukanlah jenis orang yang meletakkan gambar perempuan seksa-seksi yang bisa menaikkan syahwat orang yang melihat-semata mahu bercerita tentang kejahatan atau keburukan yang dilakukan oleh perempuan tersebut. Pada hemat ‘intuisiku’, hendak bercerita tentang akibat zina, tidak perlu sampai diletakkan video orang sedang berzina.

Alamaya


Intuisiku’ suka menjelajah membaca blog orang. Tidak kira apa temanya, jikalau menarik maka ianya akan dibaca. Namun dalam bab politik dan agama, ‘intuisiku’ melihat ruangan maya semakin hari semakin buas dan berbahaya. Setakat blog politik yang copy-paste situ sini kemudian diletakkan tajuk yang gempak (konon-kononnya lar), memang ‘intuisiku’ tak layan. Apatah lagi segala provokasi serta spekulasi yang dihidangkan di dalamnya. Benar-benar meloyakan.

Intuisiku’ tidak ada masalah untuk membaca blog yang mengulas tentang politik. Akan tetapi tahukah anda, dalam beribu-ribu blog (tidak kiralah dari parti politik mana) sebenarnya HANYA ADA BEBERAPA KERAT SAHAJA YANG ULASAN POLITIKNYA BOLEH DITERIMA, ATAU DENGAN KATA LAIN , ULASAN YANG SIHAT DAN MEMBUKA MINDA.

Selebihnya lebih bersifat sampah. KEKERINGAN IDEA UNTUK MENULIS, AKHIRNYA MENCIPTA PROVOKASI DAN SPEKULASI YANG SANGAT RENDAH NILAI INTELEKTUALNYA. Hairan.. bagaimana hari ini semua orang ’berkelayakan’ mengulas tentang politik?! YANG ASAL-ASALNYA JAHIL TENTANG POLITIK, TIBA-TIBA BOLEH BERCAKAP SEPERTI SEORANG PENGANALISIS POLITIK TERKEMUKA PULA! Peperangan politik di alam maya, banyak didominasi oleh golongan ini.

MEREKALAH PENYUMBANG KEPADA BURUKNYA POLITIK DI MATA MASYARAKAT. Sehingga sebahagiannya menolak politik secara mentah-mentah. Contoh ulasan politik dangkal adalah ; “dalam krisis di Mesir, bawa pulang pelajar yang sokong UMNO terlebih dahulu.” Alangkah dangkal!

Sekali lagi, ‘intuisiku’ tidak kisah dengan pengulas politik dari parti mana sekalipun. Hijau atau biru, semua ada ruangan di alam maya. Tetapi SAYANGNYA ANDAI TUGASAN YANG BEGITU BERAT, DIAMBIL ALIH OLEH MEREKA YANG RENDAH TAHAP KECERDIKANNYA SEHINGGA MELETAKKAN POLITIK DI TAHAP YANG BEGITU HINA DINA. Blogger dari parti Hijau juga ada yang begitu, jangan cakap tiada. Kalau anda biasa membaca blog politik, anda pasti sudah faham blogger  jenis mana yang dimaksudkan. Bahkan seingat ‘intuisiku’ , Ustaz Idris Ahmad sendiri pernah menegur sikap-sikap sebegini yang wujud di kalangan ahli bawahannya.

Blog Pejuang Islam?

 

Berhati-hatilah apabila kita membawa imej Islam. Saranan ini ‘intuisiku’ tujukan buat diri ‘intuisiku’ terutamanya. ‘Intuisiku’ sendiri tidak declare blog ‘intuisiku’ sebagai blog seorang ustaz yang begitu thiqah, wara’ lagi tawadhuk. Pergaulan di alam maya tidak sama dengan pergaulan di luar. Di alam blog, kita boleh ditemui oleh orang-orang yang kita tidak kenal dan kita tidak duga! Bahkan kita sendiri tidak tahu siapa yang sedang menemui kita tersebut.

Ada orang membaca blog kita dan mengambil istifadah. Ada orang meletakkan kepercayaan yang tinggi apabila melihat imej blog kita, meskipun tidak mengenali diri kita. Contoh, blog warna hijau, letak pula bendera hijau, KIRI KANAN GAMBAR ULAMAK, BERCERITA TENTANG LAWAN PEMERINTAH ZALIM, TETAPI DALAM SEBAHAGIAN ARTIKEL DILETAKKAN UPLOAD-UPLOAD GAMBAR LUCAH, CERITA-CERITA BERUNSUR LUCAH BAHKAN LANGSUNG TIDAK ADA MANFAAT UNTUK ORANG YANG TENGOK DAN BACA!

Intuisiku’ sendiri, hendak meletakkan gambar seorang wanita yang tidak bertudung, meskipun tidak dikenali dan hanya gambar hiasan , itu pun berfikir beribu kali. Tetapi hairan, ada yang cakapnya berapi-rapi tentang perjuangan Islam, tetapi menulis posting tentang ‘buah dada anak menteri yang besar’ , kemudian diletakkan pula gambar tersebut semaksimanya..?! MasyaAllah..

Bezakan antara Orang yang Pandai Menulis dan Orang Pandai yang Menulis


Sesungguhnya tidak salah jikalau  mahu menulis atau menyebarkan supaya orang sedar dan ambil pengajaran, tetapi biarlah kena caranya. ‘Intuisiku’ masih ingat, bagaimana saya menulis tentang satu posting bertajuk ‘berpakaian tetapi telanjang’. Sampai hari ini, begitu ramai orang yang menjumpai blog ‘intuisiku’ kerana keyword tersebut di internet. Alhamdulillah, ‘intuisiku’ kira mereka yang baca tulisan itu akan mengambil iktibar, meskipun apa yang mereka ‘cari’ tidak dijumpai. 

Sebenarnya apa yang mencetus saya untuk menulis tentang ini adalah apabila membaca blog seseorang yang dikatakan ‘ulamak’ pro-KERAJAAN, tetapi apa yang dihidangkannya cukup memalukan. Intuisiku’ sama sekali tidak akan meninggalkan apa-apa pautan kepadanya. Cukuplah sekadar klu , selebihnya kita muhasabah bersama.

Blogger tersebut mendakwa tentang perilaku seorang USTAZ yang begitu meningkat naik namanya dewasa ini, dikatakan menyalahgunakan popularity, sesat dan sebagainya. Terbaru, didakwa pula berlaku sumbang dengan seorang wanita dalam tandas, bermain mesej lucah, taksub dan berbagai-bagai lagi. Itu dakwaan beliau. ‘Intuisiku’ tidak kata betul atau salah. Akan tetapi..perlukah digunakan saluran blog untuk memaparkan wajah orang yang didakwa, disebarkan dan ‘dibogelkan’ semahunya di khalayak maya?! ‘Intuisiku’ tanya, PERLU atau TIDAK?!

Dalam kaedah Fiqh disebut : لا ضرر ولا ضرار --> ertinya ; “tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas mudharat.” Sebagai contoh, seorang yang hartanya dirompak tidak boleh membalas dengan melakukan rompakan yang sama, sebaliknya harus menemui hakim / polis untuk menuntut haknya yang dirompak sehingga penjenayah tersebut dihukum. Itu Islam. Penuh dengan keadilan. Penuh dengan ketelitian. BUKAN AGAMA MAIN HENTAM. Tetapi hari ini, yang mengaku pejuang Islam bagai orang tidak mengaji. SEOLAH BUKAN REDHA ALLAH LAGI YANG DIKEJAR, SEBALIKNYA DENDAM KESUMAT DAN TUJUAN-TUJUAN LAIN. Orang begini, kalau betul pun seorang ‘ulamak’, dia tidak lebih sekadar memburukkan mereka menbawa imej  Islam sahaja. Kalau dia bukan seorang ‘ulamak’, dia adalah seorang penyamar yang hanya mahu merosakkan imej perjuangan Islam.Sudah tentu, ‘intusiku’ cukup kesal dan bersedih. Dari Abu Hurairah R.A.:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Tahukah kalian, apa itu ghibah?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang tahu”. Beliau bersabda: “Iaitu kamu menceritakan tentang saudaramu dengan sesuatu yang tidak ia sukai”. Seorang sahabat bertanya: “Bagaimana jika apa yang aku tuturkan itu memang benar-benar ada padanya?”. Beliau bersabda: “Jika apa yang kamu tuturkan itu memang ada padanya, maka bererti kamu telah berbuat ghibah terhadapnya. Dan jika tidak demikian, bererti kamu telah membuat-buat kebohongan padanya.”
(HR Muslim)


Fitnah Itu Lebih Dahsyat daripada Membunuh


Lihat, bagaimana Allah nyatakan bahawa fitnah itu mudharatnya jauh lebih hebat daripada membunuh. Kalau dibunuh, tidak ada yang menanggung sakit sehingga bertahun-tahun baru mati. Tetapi fitnah? Sehingga berganti keturunan pun padahnya terasa.
Intuisiku’ bawakan contoh untuk difikirkan bersama :

Seorang pemimpin masyarakat didakwa meliwat. Wartawan datang ambil gambar ketika dibawa ke balai polis. Keluar muka depan Harian Metro. Semua orang mencaci, mencela dan menghina. Asal-asalnya, ia adalah satu DAKWAAN  yang belum sahih, tetapi kerana ada laporan polis, maka ditangkap dan akan dibawa ke mahkamah.

Dalam hukum , seseorang itu tidak dikira bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah. Baik, adakah pemimpin masyarakat tadi telah dibuktikan bersalah (sebagai contoh)?! Jawabnya tidak. Bahkan mungkin sahaja ia adalah fitnah semata-semata. Tetapi hakikatnya dia TELAH DIHUKUM OLEH MASYARAKAT SEBELUM DIBUKTIKAN BERSALAH.

Intuisiku’ sendiri boleh sahaja menyalin gambar dia dalam blog, kemudian menulis itu dan ini, gila seks dan sebagainya, tetapi harus diingat, TIDAK ADA SESUATU PUN YANG DITULIS OLEH KITA MELAINKAN DIKIRI KANAN ADA MALAIKAT YANG MENCATATNYA. Ingat tu!

Baik, katakan, setelah 3 tahun kes dibicarakan, akhirnya didapati pemimpin masyarakat tersebut sebenarnya tidak bersalah. Ternyata bahawa tuduhan tersebut sangat lemah dan tidak ada bukti. Di kala itu, 3 TAHUN telah berlalu. NAMANYA TELAH BURUK, IMEJNYA TELAH TERCALAR, MASYARAKAT SUDAH KENYANG MENGEJI DAN MENCACI. Waktu itu boleh jadi berita dia dibebaskan dari tuduhan tidak keluar pun di muka hadapan Harian Metro!

Lihat, bagaimana FITNAH mendatangkan BALA yang begitu dahsyat berbanding membunuh. Ingat lagi bagaimana YAB Menteri Besar Kelantan dituduh dengan kes rasuah?! Dikeji, dihina, dicaci sebelum dibuktikan bersalah. Akhirnya terbukti tidak bersalah.

Aku Pejuang Islam


Justeru ingatlah, apabila kita mengaku kita sebagai seorang pejuang Islam, maka jagalah akhlak dalam menulis. RAMAI ORANG ILMUNYA HEBAT, TETAPI AKHLAKNYA HANCUR

Dalam isu blogger yang ‘intuisiku’ nyatakan di atas, tidak salah mahu membongkarkan kejahatan seseorang, tetapi biarlah kena dengan salurannya. Jika masih belum dibuat aduan, maka buatlah laporan polis atau mana-mana pihak berwajib. DAKWALAH DIA DI MAHKAMAH. TIDAK PERLU SEHINGGA MAHU DIBONGKARKAN KESEMUANYA DALAM BLOG. Dipaparkan gambar sejelas-jelasnya. ‘Dibogelkan’ semahu-mahunya. Sehingga orang-orang yang tidak sepatutnya tahu menjadi tahu.

Ini samalah dengan perangai Uncle Seekers yang membongkarkan pelbagai keaiban mantan permaisuri di dalam blog. Apa yang cuba disampaikan pun tidak tahu, melainkan semata-mata untuk mengaibkan orang lain.

Ingat, 1 KEAIBAN ORANG KITA BUKA, 40 KEAIBAN KITA ALLAH BUKA HARI KIAMAT KELAK!! Kalau mengaku pejuang Islam , takkan itu sahaja taraf perjuangan kita? Inilah yang ‘intuisiku’ katakan, PERANGAI MANUSIA YANG MENGAKU PEJUANG ISLAM TETAPI MENJADI FITNAH PADA PERJUANGAN ISLAM.Muhasabahlah!

Intuisiku’ sendiri terkesan dengan apa yang cuba disampaikan ini. ‘Intuisiku’ sedaya upaya mahu perbaiki diri supaya tidak sekali-kali terlibat dengan perkara seperti ini. Sudah tentu, ‘intuisiku’ mengharap teguran. Bukan mudah mahu menjadi seorang pejuang Islam. RAMAI ORANG, ISLAMNYA HANYA UNTUK DIRI SENDIRI, TIADA ISLAH TIADA DAKWAH

Tetapi bagi yang melaksanakan Islah dan Dakwah, janganlah jatuhkan martabat diri anda yang hakikatnya telah pun dimuliakan oleh Allah. Semoga kisah-kisah ini mampu mencetus pengajaran kepada kita semua. Andai kita terlibat, masih sempat untuk berpatah balik. Kembali kepada niat utama kita iaitu mencari keredhaan Allah. Sudah tentu, Allah tidak akan redha kiranya kita berjuang dengan ‘membelakangkanNya’. Firman Allah S.W.T:

“Dan berwaspadalah dari mereka yang hendak memesongkan kamu dari jalan kebenaran."
(al-Maidah: 49)



Sekian, wallahu a’lam.. ^_^

No comments: