Wednesday, November 28, 2012

Anda Sibuk.. Tapi Sarapan Tetap Penting



Sarapan adalah sajian paling penting dalam sehari, dan terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pengambilan sarapan pagi membantu kanak-kanak memberikan prestasi yang lebih baik di sekolah. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan sukar member tumpuan kepada pelajaran dan sukar memahami maklumat baru. Selain itu, tumpuan perhatian mereka lebih singkat, malah mereka juga sukar untuk mengingati sesuatu.

Kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan juga Nampak kurang cergas, kurang aktif, dan besar kemungkinan mereka mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes.

Tugas menyediakan sarapan tidak semestinya rumit. Beberapa contoh sajian yang mudah serta berkhasiat dan senang untuk disediakan seperti:


  • ·         Segelas susu (atau minuman malt coklat) dan sekeping roti disapu mentega kacang/jem
  • ·         Semangkuk bijirin sarapan dan susu
  • ·         Biskut keju
  • ·         Sebiji pisang atau epal untuk dimakan dalam perjalanan (dalam kereta, bas atau tren)


Malah kita juga boleh menyediakan sajian ringan pada waktu malam sebelumnya dan disimpan dalam peti sejuk bagi menjamin keselamatan makanan. Panaskan (jika perlu) untuk sarapan; seperti bubur nasi, lempeng/wafel ataupun inti untuk sandwic (tuna/telur).

Sarapan pagi tidak boleh disamakan dengan snek lewat pagi (morning tea), yang biasanya diambil pada waktu rehat di sekolah, dewan kuliah atau tempat kerja. Makanan snek ini adalah untuk membekalkan tenaga tambahan dan menghindarkan kelaparan sementara menunggu waktu makan tengah hari.





Sumber: Tips Gaya Hidup Sihat, Panduan Pemakanan Praktikal Untuk Keluarga, Bulan Pemakanan Malaysia; diterbitkan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

No comments: