Sunday, August 18, 2013

Open House atau Puasa Enam?!

Puasa Enam dan ‘Trend’ Semasa


Bagi sesetengah orang, mereka hanya beraya pada 1 Syawal, dan pada hari raya kedua menyambung puasa selama enam hari berturut-turut. Selepas itu mereka beraya sakan pula pada 8 Syawal.

Ada yang hanya memulakan Puasa Enam setelah seminggu Aidilfitri, sebab mereka tidak tahan dengan godaan dan dugaan untuk berpuasa ketika juadah-juadah raya masih melimpah di atas meja.

Ada yang mula berpuasa hanya pada pertengahan Syawal, dek kerana waktu itu saku sudah kering dan tidak mampu lagi untuk makan di restoran atau gerai. Dalam keadaan pokai mereka melakukan Puasa Enam, tidak semestinya berturut-turut tetapi selang-seli selagi mana ada Syawal.

Ada juga yang tidak sempat menghabiskan Puasa Enam disebabkan setiap hari ada undangan rumah terbuka. Sudah setengah hari berpuasa tiba-tiba menerima panggilan untuk ke rumah terbuka seorang teman rapat.

Sebenarnya bagi yang bersungguh hendak mendapatkan pahala Puasa Enam, mereka akan lakukan walaupun dengan godaan dan dugaan yang hebat. Tetapi bagi yang tidak mahu buat, ada sahaja alasan.

Bak kata bidalan; “nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Syabas kepada mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat Syawal. Selamat berumah terbuka kepada mereka yang tidak sanggup menghadapi dugaan.

Open House a.k.a Rumah Terbuka


Walaupun rata-rata orang mengeluh tidak cukup duit sebab serba-serbi mahal, masih ramai yang meneruskan tradisi open house atau rumah terbuka Aidilfitri. Setiap hari ada rumah terbuka, terutama hujung minggu.

Rata-rata ucapan hari raya yang dihantar pada minggu terakhir Ramadan (kad ataupun sms), semuanya disertakan undangan ke rumah terbuka. Ini yang dikatakan ‘2 dalam 1’ – satu kad/sms, dua tujuan iaitu untuk ucap selamat dan untuk undangan.

Para pemimpin mengundang rakyat jelata berbagai kaum untuk ke rumah terbuka sambil sama-sama merayakan hari besar ini. Menteri, timbalan menteri, orang-orang korporat tidak putus-putus menjamu di rumah terbuka.

Nama sahaja ‘rumah terbuka’, pada hakikatnya kebanyakan mereka tidak menjamu di rumah tetapi di hotel-hotel mewah. Oleh sebab nama hotel mewah, yang dihidangkan kepada tetamu semua mewah-mewah.

Bukan sahaja ketupat dan rendang yang menjadi trade mark tradisional, ada sekian banyak juadah dihamparkan untuk tetamu seperti sate, ketam goreng, udang, daging salai, kambing golek, sup gear-box, murtabak, roti canai, tose… pendek kata semua ada.

Ada hotel yang mengenakan bayaran sehingga RM150 setiap kepala untuk jamuan di rumah terbuka. Bayangkan sekiranya yang diundang 1,000 orang, berapa banyak harga jamuan itu.

Pendek kata, walaupun rata-rata orang ramai mengeluh sebab harga bahan makanan melambung (kelapa sebiji pun RM2), masih ramai juga yang bermewah-mewah mengadakan rumah terbuka.

Seperti biasa, ada beberapa perkara mengenai rumah terbuka yang nampaknya tidak menepati semangat Aidilfitri sebenar. Perkara ini sering ditegur oleh para ulama, tetapi ianya bagai mencurah air ke daun keladi. Aah.. siapa peduli?!

Ada rumah terbuka yang disertakan dengan hiburan seperti karaoke untuk tetamu. Tetamu menyanyi dan yang lain-lain boleh menari ikut suka hati, betul-betul macam parti hari jadi. Tarian ‘poco-poco’ yang telah difatwakan haram di sesetengah negeri pun menjadi acara dalam rumah terbuka. Cabutan bertuah, lawak jenaka yang mengandungi gosip dan fitnah pun ada juga.

Aidilfitri adalah perayaan agama Islam, tentulah tidak sesuai sekiranya ada acara hiburan seperti itu, lebih-lebih lagi sekiranya yang datang menayang betis, paha, lengan, malah ‘tempat-tempat’ yang tidak sepatutnya,tak terkecuali Orang Islam juga.

Kata mereka; “Saya ada duit dan mampu, apa salahnya saya hendak menghibur tetamu dengan hiburan-hiburan seperti itu?” Masalahnya ini majlis Syawal @ Aidilfitri @ Raya Puasa, bukan parti hari jadi atau parti ‘house warming’.

Kalau orang Islam sendiri tidak menghormati, malah ‘mengotori’  perayaan Islam, tentulah orang bukan Islam memandang rendah terhadap kita.

Akhir kalam, orang telah mendedahkan kemewahan keluarga Muammar Gaddafi bekas pemimpin Libya yang kini telah menjadi arwah setelah diburu ‘pemberontak’. ‘Istana’ yang dipenuhi perabot mewah, kolam renang, kereta-kereta, dan semua yang di luar jangkaan.

Ketika dia berkuasa selama tiga dekad tidak seorang pun berani mempertikaikan dari mana dia dapat semua kemewahan itu. Begitulah bila sudah jatuh, barulah kemewahan menjadi persoalan, semuanya akan dibongkar satu persatu. Harap-harap pemimpin kita tidak mewah begitu.


Senyum.. =)


p/s: dalam kita bergembira 'beraya' selama sebulan, usah dilupakan nasib saudara-saudara kita di luar sana.  sentiasa kirimkan doa buat kesejahteraan & kejayaan mereka serta tertegaknya Islam di muka bumi ini..~

No comments: