Tuesday, December 10, 2013

Lari Daripada Rahmat Allah?!


Musim-musim hujan ni, teringat pula sebuah kisah Juha (Pak Pandir versi Arab) dan hujan.



Ceritanya begini, pada suatu hari Juha berada di sebuah kedai untuk berteduh sementara menanti hujan reda. Dari jauh dia nampak seorang rakannya, Kasim berlari-lari di dalam hujan untuk mencari tempat berteduh.

Lalu Juha menjerit ke arah rakannya itu dengan bertanya, "Wahai Kasim, mengapa engkau berlari dalam hujan?"

Kasim yang kebasahan menjawab, "aku lari kerana bimbang bajuku basah."

Lalu Juha menjawab kembali secara spontan, "Bukankah hujan itu Rahmat daripada Allah? Adakah engkau lari daripada Rahmat Allah yang ditimpakan ke atas kamu?"

Lalu Kasim tersipu-sipu. Dalam hatinya mengakui ada kebenaran di sebalik kata-kata Juha tadi. Lalu berjalanlah dia seperti biasa dalam hujan tersebut hingga basah kuyup satu badannya.

Keesokan harinya, situasi yang sama berulang lagi. Tetapi kali ini Kasim sedang berteduh di dalam kedai, manakala di Juha pula berlari-lari di dalam hujan mencari tempat berteduh.

Kasim merasakan inilah waktu terbaik untuk mengenakan kembali Juha. Lalu dijeritnya kepada Juha, "Wahai Juha, mengapakah engkau berlari dalam hujan? Adakah engkau lari daripada rahmat Allah?"

Juha tersipu-sipu, tetapi tidak kekeringan idea untuk membalas. Juha menjawab, "Aku bukan lari daripada rahmat Allah. Tetapi aku sebenarnya takut 'terpijak' rahmat Allah ini. Bukankah rahmat Allah ini terlalu besar nilainya?"

Kasim hanya tersenyum tawar mendengar alasan Juha tadi.


Senyum.. =)

No comments: