Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Demam dan kegilaan itu muncul kembali, membadai dan
menghembus pawana paling ganas terhadap dunia, sehingga perompak dan polis
boleh berdamai seketika. Begitulah ia muncul setiap empat tahun sekali menggema
sorakan dan euforia kegirangan di seluruh belahan dunia. Bolasepak bukan lagi
milik mutlak kaum adam, namun telah menjadi
kegilaan kaum hawa juga termasuk kelompok transeksual di semua peringkat. Saat
saya tiba di lapangan terbang Abu Dhabi pagi tadi, untuk meyambung pemusafiran
ke Tanah suci, rupanya penumpang ke Rio De Jenero begitu ramai, dengan aksesori
yang melambangkan mereka adalah pentaksub nombor wahid piala sukan paling berprestij
dalam tempoh dua abad ini.
Media perdana di ruang apa pun,
mengiklankan dengan penuh mengebu acara yang bukan sekadar untuk mengeluarkan
peluh, tetapi persaingan gengsi, maruah diri, percaturan benua, tarikan
pelancongan, bahkan industri judi sukan bolasepak. Kegilaan ini digebukan lagi
dengan kehadiran media baru, ruang siber yang melakar tarikan pesona yang penuh
pelangi kepada Piala Dunia.
Semenjak setahun yang lalu ,
penceritaan tentang bolasepak dan Brazil menjadi fokus lensa dan juga bilik
berita, merebak juga kepada berita jenayah perdagangan dengan operasi pihak
keselamatan menyerbu premis menjual jersi-jersi tiruan pasukan ternama dunia
yang bakal beraksi. Ini semua menambahkan lagi perisa kepada kehebatan Piala
Dunia yang sudah tersohor sehingga mendinginkan suhu politik dunia. Di
negara-negara miskin seperti Brazil sendiri, bolasepak bukan sekadar permainan
sukan yang mengangkat martabat negara, tetapi juga jarum bius untuk rakyat
melupakan seketika kelaparan dan kemiskinan.
Bolasepak Piala Dunia adalah juga ruang kapitalis
menumpuk kekayaan dengan pelbagai cara, penjualan cenderamata, pemasaran
industri pelancongan yang agresif, juga akan berlaku pembidaan pemain-pemain
usai perlawanan untuk kelab-kelab ternama pula. Pelbagai produk makanan, minuman,
fesyen, alatan sukan,
ubatan, cuba untuk mengafilisasikan jenama mereka
dengan sukan paling berprestij ini. Parti-parti politik berlumba untuk
memanfaatkan budaya popular ini kerana demam empat tahun sekali ini begitu
dekat dengan hati massa.
Impaknya dalam negara kita bukan
kepalang, ramai penjawat awam dan swasta mengambil cuti sakit, kedai yang
menayangkan skrin besar bertukar menjad mini stadium, masjid surau yang sedia
suram berpotensi makin lengang, ceramah politik hilang pesona, program yang tak
diatur cermat dengan jadual perlawanan maka berpotensi gagal mencapai sasaran.
Anak-anak kecil pula tiba-tiba begitu teruja disengat matahari kerana berdelusi
sebagai pemain papan carta utama.
Apa pun buat peminat sukan ini,
terutama umat Islam moga Piala Dunia yang bergengsi ini tidak melalaikan kita
daripada ibadah . Dunia Islam masih lagi dilakar dengan tangisan duka ummah,
darah yang berkubang di Syria yang telah mengorbankan lebih 200 000 nyawa,
jutaan rakyat syria yang bergelandangan di sempadan negara. Palestin belum
berhenti menangis pilu, 66 tahun Nakbah yang menghilang mereka daripada peta
dunia. Kerajaan campuran yang dibentuk antara Fatah dan Hamas belum lagi
terbayang cahaya dihujung terowong, warga Palestin masih dijeruk kejerihan.
Bosnia Herzegovina yang dilanda
banjir paling buruk dalam sejarahnya, juga dengan sejuta nyawa yang terkorban
dua puluh tahun lampau, masih tersisa kesengsaraan. Myanmar sesiapa pun tak
endah, dengan puluhan ribu muslim disembelih kejam, tanpa kewarganegaraan yang
sah, sangat ironis dengan jeritan kegembiraan gol menerjah gawang. Berjejeran
pula darah muslim Afrika Tengah minta didengari, kita memekakkan telinga,
sambil mengunyah kacang, mencicip kopi panas , menyorak sorai perlawanan. Diam
tak berkutik untuk derita ummah!
Teman semua, langit tak selalu cerah,
gerah boleh menerjah kita dimana-mana pun , maka berpada-padalah dalam hidup
ini. Ramadhan yang berkah akan kunjung tiba , bulan maghfirah sejuta warna,
bulan para pendosa berpeluang membasuh noda semalam. Jangan pula Ramadhan karim
tahun ini hilang erti kerana keobsesan kita pada sebuah piala. Jom terus berdoa
dan membantu ummah, hitungan dan unjuran kita pada Brazil, Argentina, Belanda,
Sepanyol, England, wajar juga kita tak lupakan Gaza, Syria, Mesir, Myanmar,
Afrika Tengah dan peta luka umat Islam yang lain.
p/s: Sangat kagum dengan penyokong bola sepak Jepun yang
membersihkan sendiri segala sampah sarap di kawasan tempat duduk mereka. Ajaran
Islam yang gagal diamalkan oleh ramai ummat Islam,
namun dipraktikkan oleh mereka yang bukan Islam.
Sewajarnya budaya ini diamalkan di mana-mana
stadium di Malaysia. Sememangnya sudah ada pihak yang cuba membudayakan perkara
ini, namun tidak mendapat sambutan di kalangan penyokong yang lain. Apapun,
budaya ini perlu disemai, biar ia bermula dari seorang ke seorang, yang
akhirnya ramai yang akan mengamalkannya.