Wednesday, September 17, 2014

Runtuhnya Tembok dalam Diri..~


Ketika orang China hendak hidup dalam keadaan aman, mereka membina tembok besar, dengan anggapan tiada siapa mampu memanjatnya kerana terlalu tinggi, namun hakikatnya dalam seratus tahun pertama sahaja mereka diserang sebanyak tiga kali, setiap kali musuh mereka hendak serang mereka tak perlu robohkan atau panjat tembok besar. Mereka hanya perlu rasuah para pengawal dan masuk melalui pintu.

Masyarakat China ketika itu sibuk membina tembok dan lupa nak membina jati diri pengawal mereka.
Membina jati diri manusia lebih utama dari segala binaan lain dan inilah yang kita perlukan untuk anak-anak dan pelajar-pelajar kita pada hari ini.

Seorang orientalis berkata : kalau nak runtuhkan sebuah tamadun atau masyarakat maka ada 3 cara ;

1. Runtuhkan ikatan kekeluargaan.
2. Runtuhkan sistem pendidikan.
3. Jatuhkan idola-idola masyarakat yang berwibawa.

Untuk meruntuhkan ikatan kekeluargaan ketepikan peranan IBU dalam keluarga. Biarkan para wanita rasa diri mereka tak sempurna bila mereka digelar suri rumah.

Untuk meruntuhkan sistem pendidikan berikan tekanan kepada para GURU. Jangan berikan mereka kedudukan dalam masyarakat, hilangkan rasa hormat terhadap mereka di kalangan para pelajar.

Untuk menjatuhkan idola-idola masyarakat yang berwibawa, jatuhkan kedudukan para ULAMA', sehingga masyarakat sekeliling tidak menghormati mereka.

MAKA APABILA PERANAN IBU HILANG, PERANAN GURU DIPERLEKEHKAN DAN PARA ULAMA' TIDAK MENJADI SUMBER RUJUKAN DAN IDOLA MASYARAKAT, MAKA SIAPAKAH YANG AKAN MENGAJAR MASYARAKAT ITU ERTI KEHIDUPAN YANG HAKIKI?!

Senyum..=)

Wednesday, September 10, 2014

Membugar Fikrah Menyebar Risalah

Oleh: Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri


PAS adalah gerakan dakwah dan siyasah. Justeru, fikrah perjuangan PAS berkisar pada dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain iaitu dakwah Islam dan kuasa pemerintahan Islam. Inilah perjuangan yang digarap oleh Nabi saw sepanjang hayat baginda saw.

PAS sebagai Gerakan Dakwah

Dakwah adalah kerja para Nabi. Ia menjadi misi para sahabat yang bersama Rasulullah saw. Matlamat dakwah kepada bukan Islam ialah agar manusia menerima Islam atau sekurang-kurang mesra Islam. Matlamat dakwah kepada muslim ialah agar mereka menjadi mukmin yang bertaqwa atau sekurangnya-kurangnya tidak menjadi kufur.

Rasulullah saw bersabda kepada Ali r.a. ketika menyerahkan bendera mengepalai peperangan Khaibar:

ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ
Maksudnya: "Serulah mereka kepada Islam. Khabarkan kepada mereka apa yang wajib atas diri mereka. Maka demi Allah, hidayah yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki menerusi kamu lebih baik daripada kamu mendapat unta merah". Hadis Sahih Bukhari

Dakwah bermaksud mengajak manusia mengenali Islam. Nabi berdakwah di Mekah ketika belum berkuasa. Apabila berkuasa di Madinah dakwah menjadi tugasan utama negara. Kesannya Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

PAS membawa risalah perjuangan dakwah ini. Sebelum berkuasa pelbagai medium dimanfaatkan untuk memberi kesedaran Islam kepada masyarakat. Surau dan Masjid menjadi tapak yang subur untuk dakwah Islam yang dibawa oleh PAS. Para Ulamak tidak pernah jemu mengajar, mendidik, menerang dan menjelaskan Islam kepada umat. Maka tidak pelik apabila PAS dipacu perjuangan oleh para Ulamak kerana intipati kerja PAS ialah dakwah dan kerja dakwah adalah kerja utama para alim ulamak.

PAS subur terutamanya di pondok-pondok dan pusat pengajian Islam. PAS di bumi yang subur dengan ilmu seperti Kelantan kerana realiti misi PAS ialah dakwah Islam.

Apabila berkuasa PAS memanfaatkan kuasa untuk menyedarkan umat tentang Islam. Pelbagai aktiviti dakwah dan pendidikan dipergiatkan. Undang-undang digubal untuk manfaat dakwah Islam.

PAS sebagai Gerakan Politik


Selama 13 tahun Nabi saw berdakwah di Makkah untuk mengajak manusia mengenali Islam dan membina pemerintahan Islam. Perjuangan baginda berkisar pada memperhambakan diri kepada Allah dan menentang taghut. Orang-orang Mekah menolak. Akhirnya orang-orang Yathrib menerima dakwah Nabi saw lalu selepas 13 tahun berdakwah tertegaklah negara Islam yang dinamakan al-Madinah. Madinah ditadbir dengan Islam menerusi Nabi saw sebagai pemerintah seterusnya disambung oleh para Khulafa Rasyidun.

Legasi pemerintahan Islam setrusnya disambung oleh Khilafah Bani Umayyah berpusat di Dimasyq, setrusnya Khilafah Bani Abbas berpusat di Baghdad dan akhirnya Khilafah Uthmaniyyah berpusat di Turki. Sehingga 1924 umat Islam berpayung kepada kerajaan Islam yang besar ini.

Awal abad ke 20 menyaksikan kelemahan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Di era kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Turki negara-negara umat Islam berhadapan dengan penjajahan kuffar yang dikepalai oleh Inggeris, Belanda, Itali, Perancis, Rusia dan Amerika di samping Portugis. Umat Islam bangkit menentang penjajahan. Bangkit gerakan-gerakan Islam di seluruh bumi umat Islam. Apabila negara-negara umat Islam menerima kemerdekaan daripada para penjajah pada pertengahan abad ke 20 negara mereka diwarisi pemerintahannya oleh muslim yang berfikiran dan berfikrah penjajah.

Di sinilah datang peranan gerakan Islam untuk mengembalikan Islam ke tampuk kuasa dan pemerintahan. Begitulah PAS berjuang sejak 1951 sebagai kesinambungan bagi gerakan Islam sebelumnya bagi mengembalikan kuasa Islam di Malaysia.

Tugasan Menyebar Risalah Islam

Ahli-ahli PAS tidak dapat memisahkan dirinya daripada kerja dakwah. Untuk itu mereka sendiri dipersiapkan untuk menjadi pen dakwah. Aqidah, Syariat dan Akhlak mereka dipersiapkan untuk menjadi pendakwah.

Tuesday, September 09, 2014

Cabaran Menguruskan Tarbiah II

Ustaz Idris Hj Ahmad
4 Sep 2014


Kurang Murabbi Berkualiti

Ini satu perkara yang menjadi cabaran ketika menguruskan tarbiah ialah untuk mendapat Murabbi. Murabbi berbeza dengan Muallim. Mungkin ramai yang boleh menjadi Muallim, tetapi payah henda menjadi Murabbi. Murabbi dia bukan sahaja melontar idea dan memberi ilmu, tetapi dia akan mutaba'ah (follow up) balik apa yang dia lontarkan kepada anak buahnya. Misalnya dia mengarahkan anak buahnya melaksanakan tugas, kemudian dia akan pantau kembali. Murabbi ini mesti melaksanakan apa yang dia bercakap. Murabbi menunjukkan sikap susah dan senang bersama dengan anak didiknya. Gelagat mereka diperhati. Anak buah sukar untuk ikut telunjuk jika mereka melihat Murabbi ada kecacatan yang ketara. Murabbi yang paling agung ialah baginda Nabi Muhammad SAW. Kesukaran ini menjadikan tarbiah lesu dan tidak bermaya. Kerana pembimbingnya hanya memberi idea dan memindahkan maklumat sahaja. Penyampaianya juga tidak ada beza majlis tarbiah dan majlis ceramah umum. Ia berbeza dengan murabbi yang berkualiti.

Kemunculan Media Baru

Kita tidak boleh salahkan ledakan teknogi maklumat di masa kini. Kehadirannya mesti diurus dengan baik. Menolak terus penggunaanya satu langkah yang tidak tepat. Cuma kita mesti ada jati diri yang kuat ketika menghadapi era ini. Bemarlah Saidina Umar RA berkata "Ajarlah anak kamu sesuai dengan zaman dia, bukan zaman kamu". Apabila adanya media ini menyebabkan ada yang anggap tidak perlu lagi datang usrah, tamrin, liqa'. Cukup sekadar mendapat maklumat daripada sumber ini. Kadang-kadang fikrah ahli dibentuk oleh media baru sehingga sukar dirungkai. Mereka tidak peduli daripada sumber itu sah atau tidak. Samaada dalam bentuk sangkaan atau andaian sahaja. Mereka lebih percaya kepada laporan media daripada ucapan pemimpin Pas. Di sinilah kita memerlukan ahli dan pemimpin yang mesti mengambil kesempatan untuk menggunakan medium ini untuk membuat pencerahan di dalam satu isu dan mencanai fikrah perjungan supaya ahli tidak terkeliru dan tidak dibentuk oleh persepsi jahat terhadap perjuangan Pas.

Manhaj Tidak Sama

Kadang- kadang ada setengah kawasan dengan kawasan tidak sama penggunaan manhaj. Sedangkan salah satu unsur kekuatan tarbiah ialah adanya keseragaman manhaj. Apabila ada keseragaman barulah akan melahirkn satu wehdatul fikri dan wehdatul amal di seluruh negara, walau pun siapa yang memberi pengisian. Setengah menggunakan teks usrah yang bukan daripada lajnah. Sedangkan pihak Lajnah Tarbiah sudah tentukan buku rujukan yang perlu digunakan. Buku yang diterbit oleh pihak Lajnah dan buku yang karang oleh Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Ada pula yang lebih pendekatan tasauf, kurangkan politik atau pun sebaliknya. Atau pun hanya penekanan kepada feqah semata-mata tanpa bersifat haraki.

Program Umum Sahaja

Ada yang hanya melaksanakan program umum sahaja, yang bukan bersifat haraki dan perkaderan. Bukan bermakna program umum tidak penting di dalam nizam tarbiah Pas. Kerana ia sebagai permulaan untuk orang awam mengenali Islam yang syumul. Program tarbiah tidak terhenti dengan kuliah umum dan ceramah umum sahaja. Program umum tidak bersifat perkaderan. Pembinaan tenaga pelapis hanya boleh dibina dengan program khusus. Program yang akan mengenali individu jamaah secara ditil, bukan sahaja nama. Tetapi kita akan kenal potensi, kekuatan, kelemahan setiap ahli. Bertitik tolak daripada sini bermulanya perkaderan untuk diletakkan di mana posisi yang betul di dalam jamaah.

Tidak Bersedia Untuk Ditarbiah

Ada juga mereka yang merasakan sudah cukup dengan apa yang ada pada dirinya. Ia sudah alim, sudah lama berjuang, sudah lama meniadi pemimpin. Sehingga dia lupa mentarbiah dirinya dan tidak bersedia untuk ditarbiah. Menganggap beliau tidak perlu lagi menghadiri program tarbiah. Lebih-lebih lagi apabila beliau sudah menjawat jawatan pemimpin. Sedangkan proses tarbiah berjalan tanpa noktah. Hanya kematian sahaja yang akan menamatkan program tarbiah ke atas dirinya. Perlu diingat tarbiah sentiasa hidup di dalam diri setiap anggota jamaah. Kerana cabaran dan dugaan begitu tinggi kepada mereka yang ditaklifkan sebagai pemimpin. Gangguan dan hasutan syaitan setiasa berlari di dalam diri individu yang bernama pemimpin. Penyakit-penyakit mazmumah seperti sombong, riak, suma'ah, ujub merupakan prasit perosak amal Islami yang begitu aktif di dalam diri seorang pemimpin. Jika tidak dibendung dengan agenda tarbiah kita akan rugi di dunia dan diakhirat. Malang ketika itu apabila buku amalnya dibuka, kosong. Sedangkan dia merasa dirinya sudah menghabiskan tenaga dan masa untuk perjuangan Islam.

 Waliyazubillah.

Cabaran Mengurus Tarbiah I

Ustaz Idris Hj Ahmad
28/8/14

Tarbiah adalah tonggak kepada perjuangan Pas. Kemampuan Pas bertahan sehingga kini, hasil daripada peranan tarbiah. Sekali pandang seolah-olah Pas tidak ada tarbiah yang tersusun. Sedangkan Pas mempunyai nizam yang tersendiri hasil daripada pengalaman pimpinan Pas yang pernah ditarbiah oleh Gerakan Islam. Segala pengalaman yang dilalui digarap dan disesuai mengikut realiti negara ini. Walau pun begitu bukan senang untuk menguruskan tarbiah dengan kapasiti tenaga yang terhad dan ahli yang berbagai latar belakang. Antara cabarannya ialah;

Tidak Faham

Tidak faham ketika menjadi ahli Pas. Mungkin kerana kawan ajak, marah kepada parti musuh. Masuk Pas kerana semangat. Akhirnya dia pun tidak tahu hendak meletakkan dirinya sebagai anggota jamaah Islam. Menyebabkan dia tidak suka kepada program tarbiah. Orang ini payah hendak urus. Dia fikir dia masuk Pas semacam masuk parti lain. Akhirnya sikap dan perangai tidak berubah walau pun bersama dengan Pas. Beliau masih mengekalkan tabiat lama. Sebab itu pentingnya ahli diberi kefahaman yang sebenar supaya tidak banyak masalah.

Kagum Dengan Tarbiah Lain

Tidak salah kita ambil pengalaman jamaah lain. Semuanya peninggalan menjadi hikmah yang hilang. Sabda Rasulullah SAW; "Hikmah suatu yang hilang dari kalangan orang Islam, di mana kamu jumpa maka pungut balik". Apa yang menjadi masalahnya, ia hanya kagum dan buat telahan yang tidak tepat. Kononya Pas tidak ada nizam tarbiah. Kita mesti ambil nizam tarbiah jamaah lain yang lebih hebat dan teratur. Bila ditanya kepada beliau, pernah baca atau lihat nizam tarbiah. Dengan spontan dia jawab tidak pernah. Inilah masalahnya, kehebatan sendiri yang ada kepada jamaah tidak diketahui. Seperti mana yang pernah disebut oleh al-Marhum Profesor Zulkifli Mohammad, bekas Timbalan Presiden Pas; "Umat Islam hari ini seperti anak yatim yang tidak tahu bapanya banyak meninggalkan harta, sedangkan beliau masih menagih simpati daripada orang ramai". Moral ceritanya ialah jangan kita tidak tahu bahawa Pas sudah ada nizam tarbiah. Kalau boleh tanya dengan orang yang terlibat di dalam tarbiah. InsyaAllah dia boleh terangkan.

Tuduh Tarbiah Pas Gagal

Kadang-kadang cuba buat perbandingan dan tohmohan dengan tarbiah orang lain, bahawa tarbiah Pas gagal. Ini pun tidak salah, mungkin kayu ukur beliau berdasarkan pemerhatian dan pengalaman beliau. Tetapi jika hendak membuat perbandingan secara melulu agak kurang tepat. Mungkin jamaah lain ahlinya setara sahaja dari segi akademik dan taraf hidup. Sedangkan Pas ahlinya berbagai tahap dan taraf, daripada mempunyai kelulusan Phd hingga tidak gosok gigi. Kadang-kadang mereka ini tidak hafal ayat dan hadis, tetapi mereka menghayati apa yang mereka dengar. Mereka yang syahid di Memali, mereka ini tidak faham apa itu marhalah tarif, takwin dan tanfiz. Ahli Pas ini ramai, memang tidak nampak terserlahnya. Memiliki anak seorang tidak sama dengan anak sepuluh orang. Anak seorang sudah terjaga kebersihannya, pencapaian akademiknya. Ia mudah hendak diatur kerana sedikit. Jangan lupa Pas mempunyai hampir 1000 doktor perubatan yang ditarbiah oleh Pas. Malahan ada yang menjadi doktor pakar, yang bersedia untuk khidmat bila- bila masa. Begitu juga dengan bidang profesional yang lain, yang bergerak di semua sektor di negara ini. Bukankah ini kejayaan tarbiah Pas?

Parti Politik Sahaja

Dia fikir ahli Pas macam parti politik biasa. Hanya parti pilihanraya sahaja. Agenda tarbiah bukan keutamaan. Dakwaan mereka bekerja pilihanraya juga tarbiah amali, tarbiah di medan. Kita tidak nafikan ini juga merupakan tarbiah. Tetapi untuk menggerakkan kerja pilihanraya tidak akan rancak tanpa ada unsur tarbiah. Siapa mahu kerja tanpa diupah, malahan wang kocek sendiri pun dihabiskan demi perjuagan. Adakah perkara ini boleh direka begitu sahaja. Jawabnya tentu tidak. Semua lahir daripada pemahaman dan penghayatan tarbiah yang berkesan di dalam hati setiap pendokong. Satu lagi yang paling menakutkan ialah mungkin kita kuat bekerja, bertungkus lumus dalam amal lapangan tetapi bimbang diselubungi dengan riak, takbur, suma'ah, hasad disebabkan kita tidak mentarbiah diri dan hati kita. Paling mengecewakan ketika dibuka buku amalan semuanya kosong belaka kerana amal kita ditolak.

Tidak Seimbang Amal

Di antara ciri tarbiah ialah Tawazun ( seimbang). Malangnya ada yang tidak faham konsep tarbiah mesti syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam. Akhirnya ada di kalangan ahli berminat di satu bidang, abai bidang yang lain. Contohnya ada ahli yang hanya minat hadir usrah dan kuliah ilmu, manakala mesyuarat dia tidak berminat atau pun sebaliknya. Dia faham program tarbiah tidak termasuk hadir ke program dan hadir mesyuarat. Akhirnya yang terpalit buruknya ialah tarbiah. Maka orang menyalahkan tarbiah. Sedangkan yang salah itu ialah orangnya, bukan program tarbiah.

Monday, September 01, 2014

Aku, Rakyat Marhaen..~




Dalam keriuhan,
Semua berbicara,
Ada yang riang,
Ada yang bimbang,
Bicara diiring ceria,
Bicara menjeruk rasa..

Nun di gedung nan mewah,
Si ibu riuh,
Ini pakaian layakmu,
Ini kasut saizmu,
Ini buku rujukanmu..

Nun di teratak using,
Si ibu mengeluh,
Di tangan hanya untuk sesuap nasi,
Mana baju nak dibeli,
Mana buku nak dicari,
Mana yuran mahu dilunasi..

Anak kecil usai bertanya,
Bila kita kan ke pekan?,
Memilih sehelai pakaian,
Nah kekawan sudah pingitan.
Di tangan penuh uncang..

Aduh,
Suami yang membujur,
Di tilam usang,
Diiringi derita kesakitan,
Sudah ku dapat RM500,
Sumbangan sang raja,
Rumah sewa sudah dilangsai,
Baki hanya untuk beras dan sayur,
Untuk anakku,
Sudah tiada lagi dayaku..

Aduhhh..,
Mana perginya manusia,
Mana dia yang berharta,
Mana dia yang bertakhta
Aduhh.....

Nukilan,
..faizalMS..