Tuesday, September 09, 2014

Cabaran Mengurus Tarbiah I

Ustaz Idris Hj Ahmad
28/8/14

Tarbiah adalah tonggak kepada perjuangan Pas. Kemampuan Pas bertahan sehingga kini, hasil daripada peranan tarbiah. Sekali pandang seolah-olah Pas tidak ada tarbiah yang tersusun. Sedangkan Pas mempunyai nizam yang tersendiri hasil daripada pengalaman pimpinan Pas yang pernah ditarbiah oleh Gerakan Islam. Segala pengalaman yang dilalui digarap dan disesuai mengikut realiti negara ini. Walau pun begitu bukan senang untuk menguruskan tarbiah dengan kapasiti tenaga yang terhad dan ahli yang berbagai latar belakang. Antara cabarannya ialah;

Tidak Faham

Tidak faham ketika menjadi ahli Pas. Mungkin kerana kawan ajak, marah kepada parti musuh. Masuk Pas kerana semangat. Akhirnya dia pun tidak tahu hendak meletakkan dirinya sebagai anggota jamaah Islam. Menyebabkan dia tidak suka kepada program tarbiah. Orang ini payah hendak urus. Dia fikir dia masuk Pas semacam masuk parti lain. Akhirnya sikap dan perangai tidak berubah walau pun bersama dengan Pas. Beliau masih mengekalkan tabiat lama. Sebab itu pentingnya ahli diberi kefahaman yang sebenar supaya tidak banyak masalah.

Kagum Dengan Tarbiah Lain

Tidak salah kita ambil pengalaman jamaah lain. Semuanya peninggalan menjadi hikmah yang hilang. Sabda Rasulullah SAW; "Hikmah suatu yang hilang dari kalangan orang Islam, di mana kamu jumpa maka pungut balik". Apa yang menjadi masalahnya, ia hanya kagum dan buat telahan yang tidak tepat. Kononya Pas tidak ada nizam tarbiah. Kita mesti ambil nizam tarbiah jamaah lain yang lebih hebat dan teratur. Bila ditanya kepada beliau, pernah baca atau lihat nizam tarbiah. Dengan spontan dia jawab tidak pernah. Inilah masalahnya, kehebatan sendiri yang ada kepada jamaah tidak diketahui. Seperti mana yang pernah disebut oleh al-Marhum Profesor Zulkifli Mohammad, bekas Timbalan Presiden Pas; "Umat Islam hari ini seperti anak yatim yang tidak tahu bapanya banyak meninggalkan harta, sedangkan beliau masih menagih simpati daripada orang ramai". Moral ceritanya ialah jangan kita tidak tahu bahawa Pas sudah ada nizam tarbiah. Kalau boleh tanya dengan orang yang terlibat di dalam tarbiah. InsyaAllah dia boleh terangkan.

Tuduh Tarbiah Pas Gagal

Kadang-kadang cuba buat perbandingan dan tohmohan dengan tarbiah orang lain, bahawa tarbiah Pas gagal. Ini pun tidak salah, mungkin kayu ukur beliau berdasarkan pemerhatian dan pengalaman beliau. Tetapi jika hendak membuat perbandingan secara melulu agak kurang tepat. Mungkin jamaah lain ahlinya setara sahaja dari segi akademik dan taraf hidup. Sedangkan Pas ahlinya berbagai tahap dan taraf, daripada mempunyai kelulusan Phd hingga tidak gosok gigi. Kadang-kadang mereka ini tidak hafal ayat dan hadis, tetapi mereka menghayati apa yang mereka dengar. Mereka yang syahid di Memali, mereka ini tidak faham apa itu marhalah tarif, takwin dan tanfiz. Ahli Pas ini ramai, memang tidak nampak terserlahnya. Memiliki anak seorang tidak sama dengan anak sepuluh orang. Anak seorang sudah terjaga kebersihannya, pencapaian akademiknya. Ia mudah hendak diatur kerana sedikit. Jangan lupa Pas mempunyai hampir 1000 doktor perubatan yang ditarbiah oleh Pas. Malahan ada yang menjadi doktor pakar, yang bersedia untuk khidmat bila- bila masa. Begitu juga dengan bidang profesional yang lain, yang bergerak di semua sektor di negara ini. Bukankah ini kejayaan tarbiah Pas?

Parti Politik Sahaja

Dia fikir ahli Pas macam parti politik biasa. Hanya parti pilihanraya sahaja. Agenda tarbiah bukan keutamaan. Dakwaan mereka bekerja pilihanraya juga tarbiah amali, tarbiah di medan. Kita tidak nafikan ini juga merupakan tarbiah. Tetapi untuk menggerakkan kerja pilihanraya tidak akan rancak tanpa ada unsur tarbiah. Siapa mahu kerja tanpa diupah, malahan wang kocek sendiri pun dihabiskan demi perjuagan. Adakah perkara ini boleh direka begitu sahaja. Jawabnya tentu tidak. Semua lahir daripada pemahaman dan penghayatan tarbiah yang berkesan di dalam hati setiap pendokong. Satu lagi yang paling menakutkan ialah mungkin kita kuat bekerja, bertungkus lumus dalam amal lapangan tetapi bimbang diselubungi dengan riak, takbur, suma'ah, hasad disebabkan kita tidak mentarbiah diri dan hati kita. Paling mengecewakan ketika dibuka buku amalan semuanya kosong belaka kerana amal kita ditolak.

Tidak Seimbang Amal

Di antara ciri tarbiah ialah Tawazun ( seimbang). Malangnya ada yang tidak faham konsep tarbiah mesti syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam. Akhirnya ada di kalangan ahli berminat di satu bidang, abai bidang yang lain. Contohnya ada ahli yang hanya minat hadir usrah dan kuliah ilmu, manakala mesyuarat dia tidak berminat atau pun sebaliknya. Dia faham program tarbiah tidak termasuk hadir ke program dan hadir mesyuarat. Akhirnya yang terpalit buruknya ialah tarbiah. Maka orang menyalahkan tarbiah. Sedangkan yang salah itu ialah orangnya, bukan program tarbiah.

No comments: