Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Tuan Guru Haji Hasan Munas atau Tok Janggut
kembali mencuat namanya apabila rakyat watan ini
digegar bahana kezaliman GST. Ulama pejuang ini bukan semata-mata berjuang
kerana menentang cukai penjajah, namun jauh mendalam ialah kerana semangat
jihad yang sumbunya dinyalakan oleh kefahaman Islam.
Tok Janggut atau Haji Mat Hassan Munas sebelum ke
Mekah adalah hulubalang dalam istana Jeram. Beliau adalah sepupu kepada Tuan
Guru Haji Ismail yang bertanggungjawab membawanya ke Mekah dan dikatakan
berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani. Melalui gurunya, beliau didedahkan
tentang Khilafah Othmaniyah dan diarahkan berjihad untuk memerdekakan Kelantan
daripada penjajah kuffar. Kepulangan beliau ke Kelantan pada 1909, iaitu hampir
serentak dengan kepulangan Tok Kenali, selepas kematian Sheikh Ahmad. Seperti
mana Tok Kenali juga yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan bersama Datuk Nik
Mahmud dan Dato' Laksamana, Tok Janggut terlibat dalam pentadbiran kerajaan
Jeram.
Britain telah memaksa Sultan Kelantan supaya
menyokong mereka dan mendoakan supaya mereka beroleh kemenangan. "Haji dan
lebai" juga mesti berdoa untuk Britain dan tindakan akan diambil jika
arahan tidak dipatuhi. Arahan aneh ini dilihat oleh Tok Janggut sebagai satu
penghinaan kepada ulama dan umat Islam. Dalam masa yang sama Sultan Kelantan
dipaksa untuk melarang rakyat Kelantan menyebelahi, menyokong atau simpati
kepada kerajaan Othmaniyah. Mereka mengeluarkan propaganda bahawa jika kerajaan
Othmaniyah mengalahkan British, seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan dikuasai
Jerman. Ini bertentangan dengan gagasan khalifah yang pernah dibuat oleh Sheikh
Ahmad supaya semua kerajaan Melayu Islam bernaung di bawah kerajaan Othmaniyah.
Fatwa Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British oleh
Sheikhul Islam Othmaniyah atas alasan kerajaan Othmaniyah berkewajipan
mempertahankan setiap inci bumi orang Islam telah mempengaruhi penduduk
Kelantan dengan cepat. British bertindak balas melarang akhbar-akhbar
menyiarkan berita peperangan British dengan kerajaan Othmaniyah. Pemberontakan
Dahagi di Singapura turut mempercepatkan kebangkitan rakyat Kelantan, dan
faktor-faktor seperti masalah cukai, kehadiran En. Latiff dan pembunuhan Sarjan
Che Wan hanya menyegerakan penentangan sahaja.
Bagi menyahut seruan jihad Othmaniyah itu, pada
29 April 1915, Tok Janggut bersama pengikutnya telah berpakat dan menyusun
strategi untuk menyerang British di Pasir Puteh.
Serentak dengan itu, En. Latiff bagi pihak
British telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua mata-mata untuk
menangkap Tok Janggut, tetapi gagal. Sebaliknya Sarjan Che Wan terbunuh. En.
Latiff gagal mendapat bantuan daripada Kweng (Penghulu) Gaal dan Kok Berangan
untuk menyekat kemaraan Tok Janggut sehingga memaksa En. Latiff berundur ke
Kota Bharu. Ini membolehkan Tok Janggut menguasai Pasir Puteh dengan mudah.
Engku Besar Jeram diangkat sebagai Raja, manakala Tok Janggut menjadi Perdana
Menteri.
Pada 3 Mei 1915, 239 tentera British dari
Singapura bertolak ke Kelantan dan tiba di pada 5 Mei dan mengarahkan kapal HMS
Calmus berkawal di Kuala Semerak kerana dibimbangi Tok Janggut mendapat bantuan
kerajaan Othmaniyah atau Jerman. 50 askar berkawal di Tanah Merah dan Gunong,
dan pada 8 Mei 1915 askar British mula bergerak ke Pasir Puteh, Tok Janggut dan
Engku Besar Jeram bersama pengikutnya menolak penyerahan dan mengisytiharkan
jihad dan perang sabil ke atas British.
Pada 24 Mei 1915, British telah menggeledah rumah
Khatib Abu Bakar kerana dipercayai menjadi tempat perlindungan Tok Janggut.
Khatib Abu Bakar menjadi syahid pertama dalam gerakan jihad ini. Kemudian askar
British dan penyokong Tok Janggut bertempur di Kampung Dalam Pupoh, dekat
Jeram. Dalam pertempuran ini, Tok Janggut atau namanya Tuan Guru Haji Hasan
Munas bersama Tok Abbas dan Tok Hussein telah syahid. Engku Besar Jeram berjaya
melarikan diri ke Reman, manakala 14 lagi pengikut Tok Janggut telah diburu
oleh polis. Jenazah Tok Janggut diarak ke Kota Bharu, manakala rumah beberapa
pengikut Tok Janggut dibakar.
Panjang rakaman sejarah sosok ulama pejuang ini,
menentang kezaliman penjajah melalui sistem cukai yang menindas rakyat jembel.
Beliau ulama dimedan operasi masyarakat yang cakna ummah bukan ulama yang hanya
bersimpuh di mihrab. Moga akan lahir semula sosok seperti ini dalam menentang
kezaliman kerana ummah dahagakan pimpinan yang terjun ke medan merasai
kejerihan dan kepayahan. Aku tanya apa khabar para asatizah sekalian?
No comments:
Post a Comment