Puncak kepada proses tarbiyyah sebenarnya adalah kebersihan hati.
Bersihnya hati dari cengkaman dunia dan
kepentingan diri sehingga dunia tidak dapat mengapa-apakan hati kita; dihina,
dipuji, dikritik, disanggah.. semuanya menjadi bahan muhasabah untuk
mendekatkan diri pada Allah.
Hati sentiasa terbuka luas untuk menerokai hikmah
dan iktibar. Bahkan nikmat kedua terbesar setelah nikmat Iman dan Islam menurut
Ibnu Taimiyah ialah kefahaman yang betul dan hati yang bersih.
Kefahaman yang betul meluruskan jalan hidup
manakala hati yang bersih yang hanya menginginkan keredhaan Allah menjadi
sumber tenaga untuk menghadapi segala tekanan dan ujian perjuangan dengan sabar
dan redha.
Alangkah indah munajat Rasulullah SAW setelah
dihina dan disakiti di Taif. Dunia benar-benar tidak mampu berbuat apa apa.
وَهَوَانِي عَلَى النّاسِ
يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِينَ أَنْتَ رَبّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبّي ، إلَى
مَنْ تَكِلُنِي ؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهّمُنِي ؟ أَمْ إلَى عَدُوّ مَلّكْتَهُ
أَمْرِي ؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِك عَلَيّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي ، وَلَكِنّ
عَافِيَتَك هِيَ أَوْسَعُ لِي ، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِك الّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ
الظّلُمَاتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ
بِي غَضَبَك ، أَوْ يَحِلّ عَلَيّ سُخْطُكَ لَك الْعُتْبَى حَتّى تَرْضَى ، وَلَا
حَوْلَ وَلَا قُوّةَ إلّا بِك
“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan
kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia.
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkaulah Tuhan golongan yang lemah dan Engkau
juga Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan aku ?
Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah
bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Engkau tidak murka
kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripadaMu
lebih melapangkan aku.
Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang
menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku
berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaanMu terkena kepadaku. Engkau
berhak untuk mencela aku sehingga Engkau redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan
melainkan dengan-Mu.”
Nota Siku
Allah sahajalah yang takkan jemu dengan kita. Dia
sahajalah yang mempunyai kekuatan untuk memberikan kekuatan. Dialah sahaja yang
menjadi tuan kepada kesedihan untuk memanggil
kesedihan pergi dari membaluti diri kita.
Kadang kita terlalu fokus kepada manusia. Mencari
perhatian mereka. Berusaha bermati-matian memuaskan hati mereka. Buat apa
mereka suka, menjauh dari apa yang mereka tidak suka. Walau kita terluka.
Sedangkan mereka juga bergelut mencari bahagia, lari dari kesedihan, dan sibuk
memikirkan diri masing-masing. Bila kita berduka dan keresahan, mereka belum
tentu ada. Bila kita mengadu dan memberikan luahan, mereka belum tentu
memahami.
Tetapi Allah pasti faham dengan kita. Dia sentiasa
ada. Tinggal apakah kita pergi kepada-Nya? Apakah kita bersungguh menggapai
redha-Nya?
Kadang bersungguh mencari manusia yang belum
tentu ada untuk kita, hingga mengabaikan Allah yang pasti ada buat kita. Itu
antara puncanya kita jatuh dalam keresahan, kegelisahan, dan tidak tenang jiwa
kita.
p/s: Cara yang paling mujarab untuk menghadapi
manusia yang sedang bertalu-talu meluahkan kemarahan dan kekecewaannya ialah
dengan berdiam diri dan jangan dilayan. Makin dilayan nanti tambah menjadi-jadi
ragamnya. Sampai masanya dia akan diam sendiri.. ^_^v
No comments:
Post a Comment