Monday, December 19, 2016

Nak Jaga Makan, Tak Boleh Hadiri Majlis Keraian Ke?!


"Pokcik bukei toksey kawal pemakanei, awe weh..tapi gak, time male tu masalahnya.. sokmo ore panggil ngatik, smaye hajat..pah lepah tu pehe-pehe lar..ado jamu makei..tokkei kito toksey gi pulok dei ore ajok.. "

Luahan seorang jiran yang menghidapi penyakit 'tiga serangkai' di majlis tahlil tempoh hari. Luahan seperti ini juga turut dikongsi sama dengan sebilangan pesakit yang terlantar di dalam wad dan yang datang ke klinik sebagai pesakit luar akibat komplikasi penyakit yang tidak terkawal.


Sebenarnya, tiada masalah pun untuk kita hadir majlis tahlih, solat hajat, 'Maulud Nabi' dan yang seangkatan dengannya kerana ia adalah tuntutan sosial dan agama. Akan tetapi, adalah garis panmduan yang boleh diambil untuk mengawal pemakanan ketika berada di majlis seperti ini.



Pertama, jadikan jamuan kecil selepas majlis keraian tersebut sebagai makan malam. Maksudnya di sini, tidak dibenarkan untuk 'makan berat' sebelum atau selepas majlis tersebut. Jikalau tidak tahan juga, bolehlah diambil 2-3 keping biskut atau 1-2 keping roti sebagai alas perut.


Kedua, jaga porsi atau kuantiti makanan yang diambil. Untuk porsi karbohidrat, ambil nasi, kuay teaw, bihun, spagheti atau laksa tidak melebihi 3 senduk/sudip rata atau 1 1/2 cawan, tanpa menambah.


Untuk pilihan lauk, cuba pilih lauk yang berkuah seperti sup, singgang, gulai, dalca, masak pedas (jika ada) tetapi ambil hanya isi sahaja dengan saiz paling banyak sebesar tapak tangan. Jika mahu diambil juga kuah lauk tersebut, hadkan hanya 1-2 sudu besar sahaja.


Maksimumkan pengambilan sayur (acar, ulaman, sayur campur dsb) yang ada, paling kurang 1/2 cawan. Untuk air, sebolehnya pilihlah air kosong. Jika mahu mengambil air manis, hadkan pengambilan hanya 1 gelas sahaja.


Ketiga, jangan tidur terus seusai balik dari majlis. Cuba lengahkan waktu tidur dengan membaca al-Quran atau lain-lain bahan bacaan, meluang masa bersama keluarga berbual, menonton TV, melakukan senaman ringkas (workout). Cukup sekurang-kurangnya 3 jam selepas makan, barulah dibenarkan untuk tidur.


Itu sahaja tips yang mungkin boleh diamalkan. Mungkin pada permulaan, kita akan berasa kekok untuk mengamalkannya, tapi lama-kelamaan insya-Allah kita akan terbiasa dengannya.


Semoga kita mencapai tahap musleh, bukan sekadar soleh spiritual mahupun soleh soleh sosial.




faizalMS,
Dietitian,
Hospital USM.

Wednesday, December 14, 2016

Public Shaming..Bagus Ke?



Dua-tiga hari ni, macam ada satu trend pelik, di mana, orang gunakan gambar wajah orang yang sedikit ganjil, kemudian tulis 'Tolong Tag Ain, Pakwe Dia Panggil Ni'. Baik yang berbahasa Melayu, baik yang berbahasa Inggeris.

Benda ni kalau tengok sepintas lalu, memang kelakar. Iyalah, seronok tengok kawan kita dipanggil insan yang berwajah tidak cantik dan menggelarkan dia sebagai pakwe.

Benda ni bukan terjadi dalam Facebook sahaja, malah ia terjadi di dunia luar. Lihat saja perempuan gempal, "Haaa. Tu mak kau." Lihat saja lelaki berkulit hitam, "Pakwe kau la tu." Lihat perempuan gigi rongak, "Hahahaha tu makwe engkau. Tu makwe engkau."

Apabila kita amati balik perbuatan ni, benda ni tak kelakar pun. Yang gelaknya engkau dan kawan yang kau tag. Sebenarnya, jikalau kita amati dan fikir, benda ni bukan saja tak kelakar. Malah ia memalukan 'watak' di dalam gambar tersebut.

Adat ak kita terfikir , gambar yang kita post itu adalah manusia yang betul? Ada tak terfikir orang hodoh yang kita permainkan tu adalah orang yang wujud di dunia nyata? 

Sebagai contoh salah seorang mangsa yang gambarnya diambil untok tujuan trend bodoh ni: Lizzie Valasquez. Kebanyakan daripada kita  mesti tak kenal siapa wanita  ini bukan? 'Intuisiku' cadangkan  cuba Google Images dia ni, dan kemudian segera sambung balik baca tulisan  ni.
Ok.
Dah tengok?

Kalau dah tengok,  'Intuisiku' percaya yang semua akan terkejut tengok wajah dia. Untok pengetahuan, wajah dia ni dijadikan bahan lawak di seluruh dunia. Bahkan pada hari ini, bertalu-talu gambar dia dijadikan bahan jenaka 'tagging friends' yang bodoh ni.

Valasquez merupakan seorang pesakit Sindrom Marfan dan penghidap satu penyakit yang amat ganjil, yang membuatkan dia tidak mampu menambahkan lemak di dalam badan dia. Sebab itulah tubuh dia amat cengkung. Ini terjadi secara semula jadi. 

Poin 'Intuisiku' sekarang adalah, manusia yang kau permainkan itu wujud di dunia ini. Dan kecacatan yang kita gelakkan dan gelarkan ia sebagai wajah hodoh itu adalah kecacatan yang perlu kita kasihani, bukan untok dibuat main. Kalau bahasa Inggeris, orang panggil ia sebagai 'Public Shaming'.

Jadi, tidakkah kita rasa ke kita sedang menghina manusia yang kita tak kenal? Tak rasa ke yang kita sedang menghina kecacatan yang Tuhan turunkan?

Cuba  bayangkanlah, waktu kita tengah surfing internet, ada orang letak gambar mak kita yang berbadan besar tu, lepas tu letak caption 'Panggil Farid, awek dia tengah tunggu sambil tahan berak ni', kemudian beramai-ramai orang share sambil menggelak-gelakkan muka dan tubuh badan mak kita yang tak sesempurna orang lain.

Agak-agak kita suka tak orang hina mak kita?

Kalau tak suka, kita patut fikirkan perasaan suami Velasquez. Kita patut fikirkan perasaan mak bapak Velasquez. Apa agaknya perasan diorang, bukak internet, tengok-tengok satu dunia tengah menggelakkan orang yang dia sayang.

Sedih yang teramat.

Tapi sayangnya, kita mana nak faham perasaan orang. Kita  buat kat orang boleh. Orang buat kat kita, kita mengamuk. Hiduplah dengan perangai setan tu.

Ini baru Valasquez. Dia insan yang dikenali. Dia terkenal di serata dunia sebab dia ni selalu bagi talk motivasi.
Tapi bagaimana dengan insan lain? Yang gambarnya digunakan bagi tujuan hiburan celaka? Diorang ni takde maruah ke?

Kalau orang guna gambar kita buat bahan jenaka, malah buat bahan untok menghina, takkan kita rileks je? Maruah jatuh kot! Satu dunia gelakkan kita, even diorang tak kenal pun kita! Jiwa kita runtun. Estim kita rendah. Mental kita akan tertekan. Sehinggakan kita rasa nak bernafas pun dah tak guna.

Kita dahlah tak kenal orang yang kita bawak main tu. Lepas tu kita malukan dia.

Even kita tak malukan orang dalam gambar tu seperti mengatakan 'lelaki ni hodoh' atau 'buruk nak mampus dia ni', tetapi perbuatan kita guna gambar dia tu, satu, dah salah. Kedua, keadaan dan tulisan kita dengan meletakkan nama kawan untuk menganjing kawan kita tu pun dah dikira menghina pemilik muka dalam gambar tu.

Macam contoh point nombor 1 tadi tu lah. Nampak orang hodoh, kita menganjing kawan kita dengan mengatakan kawan kita tu ada hubungan dengan orang tu. Kita jadikan orang tersebut sebagai tempat untok kita ketawa. Tapi sikit pun kita tak fikir pasal maruah dia.

"Eleh, dia ni. Tak cool lah. Orang nak buat lawak je pun. Benda nak suka-suka. Bukannya nak hina ke apa. Tu pun nak gelabah tulis pepanjang macam isu besar sangat."

Aduh.

Kalau cakap 'Intuisiku' gelabah, maknanya kita ni jenis manusia yang langsung tak fikir maruah orang lain lah nampaknya.

Cuba  tanya diri sendiri, elok ke tidak orang macam kita ni? Kita gunakan kelemahan orang lain untok dibuat jenaka, kita gelak-gelakkan kecacatan orang lain. Kita rasa post gambar orang hodoh tu benda yang kelakar. Ini adalah adalah sifat pembuli. Benda yang kita sedang buat ini adalah perlakuan orang yang suka membuli.

Kalau  rasa isu ni tak payah diheboh sangat, maknanya kita ini kaki buli yang wajib dibanteras sebelum menular.

Walaupun isu ini nampak remeh, tapi ia sangat berat kerana perbuatan netizen ini akan beri kesan besar pada masa akan datang. Kita sedaplah rasa benda ni kelakar. Tapi orang dalam gambar tu, rasa benda ni kelakar ke? Agak-agak rasa adil ke, kelemahan yang diorang dapat secara tidak rela, tapi dibuat main oleh pembuli macam kita semua?

Tatkala benda jadi trend, tak ramai yang sedar benda ni perlu dihentikan. Orang di dalam gambar tu perlu ada sokongan. Dan sebagai orang yang faham kesan buruk dan ada kesedaran dalam isu public shaming ini, kita perlu menyebelahi mereka.

Oleh itu, 'Intuisiku' menyeru  pada siapa-siapa yang dah ter-publish atau share benda tag nama guna muka orang yang kita rasa hodoh tu, tolonglah padam semula.

Benda ni tak kelakar tau, malah ia memalukan individu. Rugi je share. Dah lah tak kelakar, dosa pun dapat.

Kalau kita malukan orang hari ini,
Esok akan ada suatu masa, kita pula dimalukan.

Wednesday, September 28, 2016

Supplement? Perlu ke?!


"Supplement apa yang bagus untuk saya?"

Soalan 'favourite' daripada netizen apabila bersua muka dengan Dietitian, Pegawai Dietetik, Perunding Pemakanan dan seangkatan dengannya.

Bagi yang sedang memasarkan produk, inilah masa yang sesuai untuk mempromosikan produk mereka. Sebaliknya bagi yang tidak berkepentingan, tiada jawapan terhadap soalan ini.

Sebenarnya, supplement tidak diperlukan bagi mereka yang sihat walafiat, melainkan sebilangan yang mengalimi keadaan di mana memerlukan zat tertentu lebih daripada biasa.

Sebagi contoh, mereka yang mengalami luka atau melecur, adalah digalakkan bagi mengambil supplement yang mengandungi tinggi protein dan vitamin C.

Bagi yang sering angin badan pula, adalah digalakkan untuk mengambil supplement yang berasaskan halia atau 'habbatus sauda'.

Sementara untuk yang mengalami masalah sembelit yang teruk pula disarankan unuk mengambil supplement yang mengandungi tinggi 'probiotic', 'prebiotic' dan serat seperti yogurt, 'psysillium husk', 'chia seed' dan 'wheat grass'.

Akan tetapi, harus diingat.. zat yang ada dalam bentuk asal (dalam makanan) adalah lebih cepat dan 'efficient' dalam penyerapannya berbanding dengan zat yang telah diproses (dalam tablet/kapsul).

Senyum..=)=)



p/s: berpakaian kemas, selalu senyum, ramah dan lembut dalam bertutur bukan bererti kami tidak punyai masalah atau stress..cumanya sudah terbiasa dilatih dari segi psikologi untuk tidak mengekspressikannya dalam urusan kerja sehari-hari..~

Tuesday, August 16, 2016

Kurus, Protein dan Kalori


"Saya nak kurus, protein apa yang patut saya makan?"

Acap kali juga pertanyaan ini diajukan orang awam kepada yang bergelar dietitian atau perunding pemakanan/kesihatan. Mungkin disebabkan kita sering 'diasuh'' dengan ideologi kurus dan pengambilan sumber protein yang tinggi.

Sebenarnya, protein bukanlah prioriti untuk kita mencapai berat badan ideal.

Apa yang perlu ditekankan adalah KALORI. Kerana kalorilah yang menyebabkan penyimpanan lemak secara berlebihan dalam badan jikalau tidak digunakan.

Dan makan yang tinggi kalori selalunya datang daripada makanan yang tinggi gula (contoh: aiskrim, kuih/air manis, dessert, coklat dan sebagainya) serta lemak (contoh: kari, gulai, roti canai, 'junkfood/fastfood, susu pekat manis, 'cheese' dan sebagainya).

Manakala sumber protein (contoh: ikan, ayam, daging, telur, susu dan kekacang) hendaklah dimakan sekadarnya, iaitu 2-3 sajian sehari (rujuk Piramid Makanan) untuk mengelakkan komplikasi lain yang tidak diingini.

Tidak diupa juga, aktiviti fizikal perlu dipertingkatkan (>45 minit per sesi, 2-5 kali seminggu) bagi membakar lemak yang sedia ada dan kalori yang kita ambil setiap hari.

Capailah berat badan unggul (BMI: 19.5 - 24.9), insya-Allah kita akan automatik menjadi kurus.

Senyum..

Sunday, July 31, 2016

Kenapa Ketum, Bukannya Poppy?




Tersembur air kopi semasa minum pagi tadi, pabila terbaca headline kebanyakan berita akbar bahawa Risda akan tanam ketum untuk eksport. Kononnya alasan bahawa daun ketum amat berguna dalam industri perubatan di Barat. Mungkin diluar pengetahuan saya terdapat bukti terbaharu bahawa ketum ini mempunyai khasiat kesihatan yang mendesak sehinggakan agensi rasmi kerajaan ingin mengusulkan kelulusan penanaman ketum di negara kita? Atau keadaan terdesak dengan harga getah yang semakin hari mengcengkam para pekebun getah, lalu diusul tanaman gantian baru- ketum? Saya tidak pasti!

Terfikir dalam minda nakal saya, kenapa nak komersialkan ketum? Tidak Opium Poppy. Poppy adalah tanaman asas kepada morfin yang digunakan secara luas dalam bidang perubatan. Pesakit serangan jantung, guna sebagai ubat bius, ubat tahan kesakitan sewaktu nak bersalin dan banyak lagi manfaat lain. Sudah banyak kajian yang mengkaji keberkesanan morfin ini. Ia sejenis dadah terkawal yang juga termaktub dalam undang² negara. Dibawah akta racun Negara 1952. Sama juga dengan ketum.

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam 'Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952'. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003. Cuma ketum ini tidak ada lagi bukti perubatan, boleh berubat dalam penyelamatan nyawa manusia. Kecuali ia digunakan secara tradisi bagi menghilangkan sakit urat, penambah tenaga seks dan beberapa petua tempatan. Petua tersebut terbukti secara amalan ramai, tetapi tidak mengikut dos standard yang tertentu. Itu sahaja, tidak lebih dari itu berbanding dengan keberkesanan morfin.

Ironinya, ketum telah disalah guna bagi kepentingan nafsu golongan muda dengan dicampur bersama bahan yang tidak masuk dek akal seperti ubat nyamuk, tahi lembu dan macam² lagi. Lagi sedih, jika anda berada di sof hadapan perubatan, anda akan melihat para pemabuk ketum ini bermasalah besar dari sudut fizikal, mental dan sosial.

Sekian

Dr Suhazeli Abdullah 
_Insan Faqir_


28.7.2016.

P/s: posting ini bukan bermakna saya menyuruh atau bersetuju utk tanam opium poppy dalam negara. Saya hanya membawa perbandingan antara kedua tumbuhan tersebut.

Rujukan 
[1] Ketum. http://onlinelibrary.wiley.com/d…/10.1111/adb.12185/abstract
[3] Mitragynine In Thailand.http://www.tandfonline.com/d…/abs/10.1080/10826080701205869…
[4] Khratom in Medical Use.http://www.emcdda.europa.eu/publicatio…/drug-profiles/kratom

Tuesday, July 12, 2016

Ramadhan dan Syawal : Golongan 'Tiba-tiba'..


Sudah seminggu Ramadhan berlalu. Namun masih terngiang-ngiang ucapan tatkala ia baru menjelma.

"AHLAN WASAHLAN YA RAMADAN"

Bergema ucapan alu-aluan daripada muslim yang rindukan bulan pesta ibadah ini. Alhamdulillah ya Allah! Engkau ketemukan aku lagi dengan Ramadhan, padanya ada sesuatu yang didamba kekasih-Mu.


Mungkin berkat bulan Ramadhan ini, tambahan pula, syaitan dirantai, maka apa yang terjadi, ramailah manusia
Tiba tiba ibadah digandakan
Tiba tiba bangun qiamullail
Tiba tiba tahap kesabaran meningkat
Tiba tiba segala perkara sia-sia ditinggalkan


Alhamdulillah sangat baik seandainya ibadah sepanjang bulan Ramadhan dilakukan dengan mengejut dalam usaha melatih jiwa dan mengawal nafsu.




Namun JANGAN DIULANGI KEJUTAN "TIBA-TIBA" itu seawal hari pertama graduate dari madrasah Ramadhan.

Tiba-tiba makan banyak
Tiba-tiba mendedahkan aurat
Tiba-tiba terlupa di mana al Quran
Tiba-tiba meninggalkan masjid
Tiba-tiba meninggalkan amalan sunat
Tiba-tiba memulakan kembali agenda sia sia.


Apakah semua ini? Adakah satu perbuatan membalas dendam? Kepada siapa?

Ayuh koreksi diri. Apa niat utama kita puasa sebulan? Adakah sekadar ingin berpuasa dan fokus kepada ibadah hanya dalam tempoh sebulan sahaja? Apakah ibadah sepanjang Ramadhan dapat menebus semua kealpaan kita daripada mengingati Allah selama 11 bulan berbaki?




Senyum..=)

Tuesday, June 28, 2016

Ulat Buku, Rubella dan Vaksin


Benar kata peribahasa Melayu, membaca jambatan ilmu. Terutamanya ulat buku seperti saya.
Saya telah didedahkan dengan kepentingan vaksin dan cara mencegah wabak dari berjangkit sedari usia belasan tahun lagi, agaknya tujuh, lapan tahun sebelum saya bergelar seorang doktor perubatan.

Dari mana agaknya?

Dari sebuah buku tulisan pengarang kegemaran saya, Agatha Christie yang merupakan seorang penulis fiksyen jenayah terkemuka England, juga dunia. Dikatakan hampir 2 billion naskhah buku-bukunya telah terjual setakat ini.
'The mirror crack'd from side to side' yang dikarangnya menceritakan seorang bintang filem terkemuka England yang mandul setelah berkahwin sekian lamanya, sehingga mengambil beberapa orang anak angkat pengubat kesunyian.

Tidak tergambar keterujaannya bila mendapati dirinya akhirnya hamil dan kandungannya dijaga dengan penuh rapi, bagai menatang minyak yang penuh.

Tetapi Tuhan lebih berkuasa, dia telah melahirkan seorang anak yang cacat fizikal jua mental yang akhirnya terpaksa dimasukkan ke dalam 'nursing home'.

Kesedihan yang dialami tidak dapat dibayangkan. Setelah sekian lama, kemurungan yang berpanjangan akhirnya dapat diatasi dan dia kembali ke pangkuan umum setelah beberapa lama menyepi dari dunia seni.

Pada suatu majlis bertemu peminat, dunianya bergoncang kembali. Seorang wanita, peminat setianya dengan berbangga telah menceritakan bagaimana dia jatuh sakit dengan penyakit 'German measles' atau lebih dikenali dengan Rubella tetapi telah menggagahkan diri menghadiri sesi 'autograf' dengan bintang filem itu. Lengkap dengan mekap tebal untuk menyembunyikan ruamnya. Bintang filem itu masih di peringkat awal kandungannya pada ketika itu.

Luluh hati bintang filem tersebut dengan kisah yang diceritakan peminatnya itu. Tersenyum manis tetapi minda yang tersimpan persoalan selama ini yang baru ditemukan jawapannya mengalami transformasi kepada marah yang membara serta dendam kesumat yang tidak terhingga.



Tidak sampai setengah jam kemudian, peminat setia itu mati terminum racun di dalam minuman yang dihidangkan. Dia dibunuh kerana bintang filem itu baru menyedari bahawa dia dan kandungannya telah dijangkiti penyakit Rubella dari peminatnya itu yang telah menyebabkan kecacatan janin yang dikandung.

Ini kisah fiksyen, tetapi sebenarnya disandarkan kepada satu kisah benar yang berlaku di US melibatkan seorang pelakon terkenal pada awal 1900an, Gene Tierney. Hamil setelah menunggu bertahun-tahun lamanya tetapi melahirkan bayi yang bukan sahaja pra-matang tetapi mengalami kecacatan yang teruk dan terpaksa terlantar di 'nursing home'.

Dia juga dijangkiti Rubella oleh seorang peminat tegar, cuma dalam kisah benar ini, tiada yang membunuh dan tiada menjadi mangsa pembunuhan.

Kisah ini timbul semula di dalam benak fikiran saya setahun dua kebelakangan ini. Dalam keghairahan masyarakat kita menggagau konsep 'natural' dan pemakanan sunnah sehingga menidakkan kepentingan vaksinasi, perlu diingatkan bahawa kita hidup bermasyarakat.

Tiada sesiapa di Malaysia mampu membawa keluarganya hidup di sebuah pulau yang terpencil, menanam padi dan tanaman makanan lain sendiri, memproses menjadi beras atau tepung, menjahit bajunya sendiri, menyekolahkan anaknya sendiri tanpa sebarang interaksi dengan manusia lain.

Islam mengajar kita hidup bermasyarakat dan bermuamalah dengan manusia lain dengan peraturan yang ditetapkan. Tiada istilah 'saya menjaga keluarga saya sendiri' dan orang lain menjaga keluarga masing-masing kerana kita berkongsi ruang udara yang sama dan berisiko menyebarkan penyakit sesama sendiri.

Vaksin penting bukan untuk orang sihat seperti kamu dan saya tetapi mereka yang lemah daya ketahanan penyakitnya atau tahap imunisasinya seperti mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik, penyakit kanser seperti leukimia yang dalam rawatan, mereka yang telah dibuang limpanya, penghidap HIV dan AIDS, ibu mengandung jua bayi kecil yang belum boleh mengambil vaksinasi. Mereka ini mungkin anak, isteri, ibu bapa mahupun datuk dan nenek kita.

Apatah lagi di era kebanjiran pendatang asing, sedarkah anda bahawa setakat awal 2015, negara Indonesia, Myanmar, Vietnam dan India tiada program imunisasi nasional Rubella seperti yang sedia ada bertahun lamanya di Malaysia? Yang mereka usahakan hanyalah program imunisasi 'measles' berbanding Malaysia yang menggunapakai vaksin MMR atau 'Measles/Mumps/Rubella'.



Hanya negara Bangladesh baru memulakan usaha imunisasi Rubella ini pada tahun 2014. Oleh itu, apakah status pendatang asing yang ramai di Malaysia? Pastinya, kebanyakannya tiada imunisasi dan bakal menjadi penyebar wabak penyakit Rubella, malah penyakit lain terutamanya jika sebahagian masyarakat kita berterusan memandang enteng usaha pihak berwajib untuk menangani masalah peningkatan wabak di negara kita.

Ibu yang mengandung tetapi lemah imunisasi terhadap Rubella boleh dijangkiti dan mengalami keguguran atau kematian janin dalam kandungan. Jika hidup, janin bakal cacat fizikal dan mental dan diperincikan sekurang-kurangnya lima belas kecacatan atau penyakit yang boleh berlaku, antaranya kecacatan otak, jantung, pendengaran, penglihatan dan autism.

Oleh itu, untuk pasangan yang baru terfikir untuk menimang anak yang sulong, mahupun yang kedua atau ketiga, sila periksa status imunisasi Rubella sang isteri. Jika rendah, sila dapatkan vaksin tersebut dan elak dari mengandung untuk sekurang-kurangnya sebulan setelah menerima vaksin tersebut.

Jika anda tidak mahu mana-mana ahli keluarga anda mendapat nasib yang sama seperti kisah benar di atas, maka pastikan imunisasi anak-anak anda lengkap dan tepat pada masanya.

Masih belum termakan hujah saya atau masih merasakan ya, vaksin ada gunanya tetapi bukan untuk keluarga sendiri?

Bagaimana jika saya katakan bahawa keengganan mengambil vaksin boleh menyebabkan kemandulan orang tersayang?

Jika anda ingin menimang cahayamata seramai sepasukan bola, atau setidak-tidaknya seorang dua atau mahu menjadi seorang datuk atau nenek kepada berdozen-dozen cucu dan cicit, pastikan anak serta cucu anda mengambil vaksin MMR.

Kenapa ya?

Itu cerita untuk hari lain.... nantikan ya!

*Penulis pernah melihat dengan sendiri kesan memandang enteng kepada usaha imunisasi ini dan mendoakan yang baik-baik sahaja serta dihindari perkara yang tidak diingini.



Disclaimer: Penulis adalah kenalan 'Intuisiku'..

Monday, May 02, 2016

Cubalah 'Setia' dengan Dia..~



Lepas je solat.
Lepas je salam.
Terus capai 'Smart phone'.
Tersengih sendirian.

Penangan 'whatsapp' barangkali..
Penangan 'wechat' barangkali..
Penangan 'ig' barangkali..
Penangan 'fb' barangkali..

Jari laju mengetuk skrin telefon.
Laju sampai terlupa adab dengan Allah lepas solat.
Zikirnya tiada..
Apatah lagi, doa..
Kita ambil mudah..

Tapi, 
Cuba bila time hati kita remuk,
Cuba bila time kita tersungkur,
Tak larat nak bangun..
Tak mampu nak 'handle' suatu ujian..

Doa kita jadi khusyuk..
Zikir kita jadi khusyuk..
Alunan bacaan surat cinta-Nya dibiarkan menyusup di hati..

Bila kita susah kita cari Allah..
Bila kita rasa senang sikit, mudahnya kita lupakan-Nya.

Hei,
Cuba belajar untuk 'setia' kepada Allah..

Senyum..=)

#BuatDiriSendiri
#DanMerekaYangMengerti
smile emoticon

Tuesday, April 12, 2016

Facebook, Status dan Like



Like itu bermaksud ada hubungan antara pembaca dan penulis. Ia kadang-kadang memberi semangat kepada mereka untuk terus menulis dan memuatnaik apa sahaja cerita setelah merasakan kegembiraan berkongsi itu tadi. Ada yang terlepas pandang seperti menaikkan status yang mengutuk, mengeji, mengaibkan demi untuk mengutip like terbanyak. Hati-hati ya. Pastikan status kita itu positif dan tidak mengutip saham yang teruk di akhirat.

Kadang-kadang, ada juga yang memuatnaik status sangat bermanfaat namun likenya hanya 3 orang. Itu pun 2 orang letak emoticon senyum. Tapi, dia tidak sedar, bahawa status yang bermanfaat itu telah dibaca oleh sekalian orang dan sebahagian daripadanya sudah tersentuh hatinya dan cuba kembali ke pangkal jalan. Walaupun like hanya 3.

Demikianlah teman-teman sekalian, like ini tiadalah pentingnya sangat. Cuma ia adalah salah satu cara untuk kita berkomunikasi antara penulis dan pembaca. Tambahan lagi disamping like jika ada yang komen. Memberikan pandangan dan kritikan berguna. Itu tanda mereka menghargai apa sahaja yang kita tulis.

Di sana, ada golongan yang kerjanya like semata-mata. Apa sahaja status yang dimuatnaik, like dulu. Baca kemudian. Ini memang superb! Ia memberikan definisi bahawa si pembaca sangat menyenangi dan mempercayai si penulis sehingga apa sahaja yang dimuatnaik akan dilike terlebih dahulu kemudian baharu akan dibaca.

Membina like banyak bukanlah senang. Ia tidak terbina dalam sehari. Seperti juga Kota Rom dan Kota Damansara. Semestinya memakan masa berbulan-bulan, bertahun-tahun. Jika ada yang memakan masa sehari, itu rare.

Ia memerlukan anda menulis dengan konsisten atau berterusan dan selaras. Momentumnya perlu senada dan sekata. Bukan hari ini menulis motivasi, esok hentam politik, lusa hentam artis. Hentam pulak kaw-kaw. Perlunya kesederhanaan. Bukan apa, setakat yang diperhati, politik ini isunya asyik ke atas ke bawah.

Namun, segalanya kembali kepada kita. Facebook adalah medan kita untuk meluahkan apa sahaja. Tiada sekatan, tiada halangan. Kita nak maki orang ke, nak menjerit ke, nak puji melambung ke, sukahati. Namun sebelum itu, seharusnya kita fikir baik dan buruk.

Bagi intuisiku, Facebook adalah melambangkan kita. Tapi, ia bukan 100% wakil kita. Facebook ini tidak lebih adalah sekadar permainan. Bukan untuk disimpan di dalam hati sangat. Sebab itu, jangan pelik jika kita berjumpa orang yang sama teta[pi berlainan karakternya dalam alam maya dan realiti.


Senyum..=)

Wednesday, February 17, 2016

Rezeki dan Iri Hati..~



Aku melihat hidup orang lain begitu nikmat,
Rupanya dia menutup kekurangannya tanpa perlu berkeluh kesah.

Aku melihat hidup teman-temanku tak ada duka dan kepedihan.
Rupanya dia pandai menutup dukanya dengan bersyukur dan redha.

Aku melihat hidup saudaraku tenang tanpa ujian,
Rupanya dia begitu menikmati badai hujan dlm kehidupannya.

Aku melihat hidup sahabatku begitu sempurna,
Rupanya dia berbahagia dengan apa yang dia ada.

Aku melihat hidup jiran tetanggaku sangat beruntung,
Ternyata dia selalu tunduk pada Allah untuk bergantung.

Setiap hari aku belajar memahami dan mengamati setiap hidup orang yang aku temui..

Ternyata aku yang kurang mensyukuri nikmat Allah..
Bahawa di satu sudut dunia lain masih ada yang belum beruntung memiliki apa yang aku ada saat ini.

Dan satu hal yang aku ketahui, bahawa Allah tak pernah mengurangkan ketetapan-Nya.

Hanya akulah yang masih saja mengkufuri nikmat suratan takdir Ilahi.

Maka aku merasa tidak perlu iri hati dengan rezeki orang lain.
Mungkin aku tak tahu dimana rezekiku. Tapi rezekiku tahu dimana diriku berada.

Dari lautan biru, bumi dan gunung, Allah telah memerintahkannya menuju kepadaku.
Allah menjamin rezekiku, sejak 4 bulan 10 hari aku dalam kandungan ibuku.

Amatlah keliru bila bertawakkal rezeki dimaknai dari hasil bekerja.
Kerana bekerja adalah ibadah, sedang rezeki itu urusan-Nya..
Melalaikan kebenaran dan gelisah dengan apa yang dijamin-Nya, adalah kekeliruan berganda..

Manusia membanting tulang, demi angka simpanan gaji, yang mungkin esok akan ditinggal mati.
Mereka lupa bahawa hakikat rezeki bukan apa yang tertulis dalam angka, tapi apa yang telah dinikmatinya.

Rezeki tak selalu terletak pada pekerjaan kita, Allah menaruh sekehendak-Nya.
Siti Hajar berulang alik dari Safa ke Marwah, tapi air Zam-zam muncul dari kaki anaknya, Ismail.

Ikhtiar itu perbuatan. Rezeki itu kejutan.

Dan yang tidak boleh dilupakan, setiap hakikat rezeki akan ditanya kelak, "Dari mana dan digunakan untuk apa?"

Kerana rezeki hanyalah "hak pakai", bukan "hak milik"...

Halalnya dihisab dan haramnya diazab.

Maka, aku tidak boleh merasa iri pada rezeki orang lain.
Bila aku iri pada rezeki orang, sudah seharusnya juga iri pada takdir kematiannya.

Senyum..=)

Isu Kemasukan 1.5 Warga Bangladesh - We are Better than This



Tidak salah untuk kita menyuarakan pendapat tentang kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke dalam negara kita.

Tetapi jangan la kita memanggil mereka dengan nama seperti bangsa "perogol, "perompak""sampah". Perbuatan sedemikian adalah sangat tidak bermoral dan tidak melambangkan nilai seorang rakyat Malaysia.

When we are abroad, we dislike being stereotyped, kita saban hari berkongsi video mengenai islamophobia di negara barat. Tetapi amat memalukan, perbuatan tersebut dilakukan di tanah air kita sendiri.

Where is our manners? Di manakah budi bahasa kita?

Tidak salah kita mempersoalkan tindakan kerajaan. Tapi jangan la kita menjadi seorang yang rasis dan xenophobic seperti Donald Trump.

Malaysians, you are better than this.

My debate partner who is incidentally my roommate is a Bangladeshi. He is an Asian Debate Champion and World Class Debater.

Muhammad Yunus, a Bangladeshi social entrepreneur, banker, economist and civil society leader who was awarded the Nobel Peace Prize for founding the Grameen Bank and pioneering the concepts of microcredit and microfinance.

Both are exceptional people from the country that many of you decided to call "bangsa perogol".

Before we start judging a person based on their race or nationality, ask yourself, do you like being stereotyped?

Adakah anda suka dikutuk, dilabel dan dikeji ketika anda berada di negara asing untuk mendapat rezeki yang halal.

Sudah tentu tidak.

I personally disagree with the influx of foreign workers, but never will I label them as "bangsa perompak". Mereka adalah manusia sama seperti saya.

Tidak kira warna kulit ataupun bangsa, marilah kita belajar menghormati sesama manusia.


Disclaimer: Artikel ini adalah hasil nukilan sahabat 'Intuisiku'..

Tuesday, January 26, 2016

Mengapa TPPA WAJIB Ditolak?!



Firman Allah s.w.t.: 

“Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah - mudahan mereka kembali kepada kebenaran”
 (Ar-Rum: 41)

Sebenarnya, pengertian Globalisasi (al-‘Awlamah) adalah hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran: 

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” 
(Al-Anbiya’: 107).

Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti mem-baratkan dunia (Westernisation) atau meng-amerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi, sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu samada Liberal Kapitalisma atau Sosialisma. Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisma, sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal Kapitalisma, sehingga yang dikatakan tabir besi dahulu sudah tidak ada lagi, kerana semuanya sudah bergerak kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.

Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal kapitalisma dengan krisis ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan terpalit. Maka diciptakan gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu punca masalah. Kalau kita menumpang bahtera ini kita akan bersama melakukan kesilapan yang sama dan tenggelam bersama.

Kita sama sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika menjelaskan kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas Negara anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.

Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang merentasi beberapa benua bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut melibatkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA ingin mengukuhkan geopolitik dan pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut China Selatan. Lebih-lebih lagi, kedudukan Malaysia yang strategik amat penting untuk Amerika menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut China Selatan.

TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisma yang diketuai oleh barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk dunia. TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanahair, memperhambakan rakyat, dan mengangkut hasil buminya.

Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7 Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara. Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah Kerajaan Malaysia mampu mengawal maklumat negara dari diserahkan kepada negara luar secara ‘halal’ sedangkan negara anggota terpaksa akur dengan langkah perundangan? Benarlah TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula dengan penguasaan ekonomi.

Ideologi Liberal Kapitalisma masih menjadi ideologi yang dianut, maka perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan ekonomi bebas yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat, tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan ekonomi.

Di samping itu, Langkah Perlindungan Sementara yang diperuntukkan hanya untuk tempoh maksima 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh itu, tiada lagi perlindungan dibenarkan untuk melindungi industri tempatan dan pampasan mestilah dibayar kepada pihak yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian TPP ini boleh membunuh industri tempatan.

Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisma ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya yang asasi, apabila aset mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran mereka lebih besar.

Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua tahun selepas perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa meminda tidak kurang daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam TPPA (patuh-TPPA). Inilah satu bentuk penjajahan undang-undang dan ekonomi yang berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi dan keterbukaan ekonomi, yang wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.

Ya ! , kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut , akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.

Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan sangat membantu negara anggota. Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ianya akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi liberal kapitalisma, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.

Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh menentukan dasar cukai dan duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk kepada perjanjian TPP, hanya diperlukan 2 negara asing untuk memohon supaya duti Malaysia dikurangkan dan Malaysia mesti akur dan patuh. Malaysia juga harus memberikan layanan kepada pelabur asing setara dengan layanan yang diberikan kepada pelabur rakyat Malaysia, sama rata dan tiada pilih kasih.

Malah, hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu signifikan – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7% setahun.

Di samping itu, kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat Bumiputera.

Manakala, tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah.

Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh mereka untuk mendapat persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju, tetapi tentu sahaja perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai agenda tersembunyi oleh kuasa besar. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS) akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman dengan alasan “keadilan dan kesamarataan”.

Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar kontrak moral. Ditambah pula, ianya nanti akan dikawal oleh undang-undang perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah. Akhirnya hanya dapat menghukum syarikat syarikat kecil dari negara kecil seperti kita. Apakah jaminan negara besar yang menjadi anggota boleh mematuhinya dan bersedia diambil tindakkan undang-undang yang adil ?.

Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan ‘Masyarakat Madani Global’ bersama negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil dan saksama. Kita bina kekuatan sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan sesiapa.

Adalah lebih baik diperkenalkan konsep Islam kepada dunia, setelah kegagalan sosialisma dan tanda kelemahan liberal kapitalisma. Di antaranya ialah penyakit muamalah riba, senjata zionis yang sedang meruntuhkan ekonomi Amerika sendiri. Inilah Firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa."


(Al-Baqarah: 278-279)

Inilah kerja Tabung Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang dibayangi Zionis dan inilah juga urusan institusi kewangan yang memangkin TPPA bersama Amerika. Maka TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat secara saksama dan adil.

Sepatutnya kerajaan kita menunaikan yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang kerana program pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum bumiputera masih ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.

TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini. Pembahagian kelas masyarakat dalam negara kapitalis juga menjadi acuan dalam masyarakat antara Negara. Mereka sudah membahagikan kepada Kumpulan Negara maju dan kumpulan yang dinamakan sedang membangun, dalam konsep kapitalis tetap meneruskan sumber kekayaan berpusing di kalangan yang kaya dan maju sahaja. Al Quran menyebut :

“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.” 
(Al-Hasyr: 7)

Sepatutnya negara bekas tanah jajahan ini sedar dan insaf, betapa peranan yang zalim daripada negara bekas penajah, sejak zaman mereka memerintah kita secara langsung, sehinggalah selepas dikatakan kita sudah merdeka dan diletakkan di dalam bakul bekas jajahan dengan berbagai nama yang disenaraikan dalam negara sedang membangun yang tidak diizinkan bangun sendiri.

Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam menentukan urusan politik dan ekonomi tanahair, dengan menolak usul penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini, demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara, untuk mencorak kejayaan di abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita sendiri.

Oleh
Tuan Guru Dato' Seri Sheikh Abdul Hadi Awang
Ahli Parlimen Marang Merangkap Presiden Pas,  
Sidang Khas Dewan Rakyat

26 - 27 Januari 2016