Firman Allah s.w.t.:
“Telah zahirlah keburukan di darat dan
laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya
dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah - mudahan
mereka kembali kepada kebenaran”
(Ar-Rum: 41)
Sebenarnya, pengertian Globalisasi (al-‘Awlamah) adalah
hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam,
sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran:
“Dan tiadalah Kami mengutus
kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”
(Al-Anbiya’: 107).
Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada
hari ini bererti mem-baratkan dunia (Westernisation) atau meng-amerikakan dunia
(Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan
yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika
dan Eropah ke seluruh dunia.
Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi
ekonomi, sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu samada Liberal
Kapitalisma atau Sosialisma. Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan
ideologi sosialisma, sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem
seperti China dan Rusia serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada
ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal Kapitalisma, sehingga yang dikatakan
tabir besi dahulu sudah tidak ada lagi, kerana semuanya sudah bergerak
kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.
Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal
kapitalisma dengan krisis ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan
terpalit. Maka diciptakan gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah
Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia,
bahkan menjadi salah satu punca masalah. Kalau kita menumpang bahtera ini kita
akan bersama melakukan kesilapan yang sama dan tenggelam bersama.
Kita sama sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika
menjelaskan kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan
menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan
perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas Negara
anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak
ekonomi negara besar China.
Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang
merentasi beberapa benua bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut
melibatkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA
ingin mengukuhkan geopolitik dan pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut
China Selatan. Lebih-lebih lagi, kedudukan Malaysia yang strategik amat penting
untuk Amerika menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut
China Selatan.
TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal
Kapitalisma yang diketuai oleh barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa
ekonomi, politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh
pelusuk dunia. TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan
Belanda yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanahair, memperhambakan
rakyat, dan mengangkut hasil buminya.
Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7
Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan
bertukar-tukar maklumat negara. Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap
keselamatan negara dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah
Kerajaan Malaysia mampu mengawal maklumat negara dari diserahkan kepada negara
luar secara ‘halal’ sedangkan negara anggota terpaksa akur dengan langkah
perundangan? Benarlah TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri
urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula dengan penguasaan ekonomi.
Ideologi Liberal Kapitalisma masih menjadi ideologi yang
dianut, maka perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan
ekonomi bebas yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau
pun berpakat, tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama
menggalakkan kemajuan ekonomi.
Di samping itu, Langkah Perlindungan Sementara yang
diperuntukkan hanya untuk tempoh maksima 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh
itu, tiada lagi perlindungan dibenarkan untuk melindungi industri tempatan dan
pampasan mestilah dibayar kepada pihak yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian
TPP ini boleh membunuh industri tempatan.
Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf
perjanjian yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang
dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin
sangat menarik hasilnya pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan
liberalisma ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita
hanya sekadar menumpang kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih
jenteranya, lebih laju perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya
yang asasi, apabila aset mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran
mereka lebih besar.
Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua
tahun selepas perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa
meminda tidak kurang daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan
kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan
yang terkandung dalam TPPA (patuh-TPPA). Inilah satu bentuk penjajahan
undang-undang dan ekonomi yang berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi
dan keterbukaan ekonomi, yang wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat
mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.
Ya ! , kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya
raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil
yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut , akan menjadikan air
kita surut kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang
tasiknya boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.
Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas,
kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan
ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan
sangat membantu negara anggota. Pihak kita pula terus berkempen bahawa
syarikat-syarikat tempatan akan menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya,
percayalah bahawa ianya akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan
bertanding dengan syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah
konsep ekonomi liberal kapitalisma, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.
Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh
menentukan dasar cukai dan duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk
kepada perjanjian TPP, hanya diperlukan 2 negara asing untuk memohon supaya
duti Malaysia dikurangkan dan Malaysia mesti akur dan patuh. Malaysia juga
harus memberikan layanan kepada pelabur asing setara dengan layanan yang
diberikan kepada pelabur rakyat Malaysia, sama rata dan tiada pilih kasih.
Malah, hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers
(PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat
ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi
Malaysia tidaklah terlalu signifikan – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan
kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan
tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7%
setahun.
Di samping itu, kajian PWC mendapati tiga sektor yang
bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang
lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan,
di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan
dikuasai syarikat Bumiputera.
Manakala, tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran
terbuka di bawah TPPA kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport
seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana
sektor ini kebanyakannya dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah.
Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh
mereka untuk mendapat persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju,
tetapi tentu sahaja perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai
agenda tersembunyi oleh kuasa besar. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti
perjanjian TPP yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian
Negara-Pelabur (ISDS) akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan
Malaysia disaman dengan alasan “keadilan dan kesamarataan”.
Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh
kerajaan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan
prinsip perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas
dasar kontrak moral. Ditambah pula, ianya nanti akan dikawal oleh undang-undang
perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah.
Akhirnya hanya dapat menghukum syarikat syarikat kecil dari negara kecil
seperti kita. Apakah jaminan negara besar yang menjadi anggota boleh
mematuhinya dan bersedia diambil tindakkan undang-undang yang adil ?.
Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan ‘Masyarakat
Madani Global’ bersama negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam
(Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil dan saksama. Kita bina kekuatan
sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan
sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, bukan sahaja terikat
dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka
tanpa ikatan dengan sesiapa.
Adalah lebih baik diperkenalkan konsep Islam kepada
dunia, setelah kegagalan sosialisma dan tanda kelemahan liberal kapitalisma. Di
antaranya ialah penyakit muamalah riba, senjata zionis yang sedang meruntuhkan
ekonomi Amerika sendiri. Inilah Firman Allah :
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada
Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang- orang yang
beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan
riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan
RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka
hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian)
kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh
sesiapa."
(Al-Baqarah: 278-279)
Inilah kerja Tabung Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang
dibayangi Zionis dan inilah juga urusan institusi kewangan yang memangkin TPPA
bersama Amerika. Maka TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana
tongkat untuk berdepan dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa
besar ekonomi yang baru iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya,
bukan untuk berpakat secara saksama dan adil.
Sepatutnya kerajaan kita menunaikan yang wajib terlebih
dahulu daripada sumber sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan
bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang
kerana program pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum bumiputera masih
ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.
TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan
kita sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak
yang lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini. Pembahagian kelas masyarakat
dalam negara kapitalis juga menjadi acuan dalam masyarakat antara Negara.
Mereka sudah membahagikan kepada Kumpulan Negara maju dan kumpulan yang
dinamakan sedang membangun, dalam konsep kapitalis tetap meneruskan sumber
kekayaan berpusing di kalangan yang kaya dan maju sahaja. Al Quran menyebut :
“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang
kaya dari kalangan kamu.”
(Al-Hasyr: 7)
Sepatutnya negara bekas tanah jajahan ini sedar dan
insaf, betapa peranan yang zalim daripada negara bekas penajah, sejak zaman
mereka memerintah kita secara langsung, sehinggalah selepas dikatakan kita
sudah merdeka dan diletakkan di dalam bakul bekas jajahan dengan berbagai nama
yang disenaraikan dalam negara sedang membangun yang tidak diizinkan bangun
sendiri.
Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang
bertanggungjawab ke atas kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk
campurtangan asing dalam menentukan urusan politik dan ekonomi tanahair, dengan
menolak usul penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
ini, demi masa depan negara dan generasi akan datang.
Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di
atas kaki sendiri, dan begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan
generasi muda negara, untuk mencorak kejayaan di abad ini dan melakar
kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita
sendiri.
Oleh
Tuan Guru Dato' Seri Sheikh Abdul Hadi Awang
Ahli Parlimen Marang Merangkap Presiden Pas,
Sidang Khas Dewan Rakyat
26 - 27 Januari 2016
No comments:
Post a Comment