Monday, April 17, 2017

Orang Tercari-cari Manikam Kita Pula Mencari-cari Cara Membuangnya


Sebentar tadi ada seorang pelajar bertanya pada dr. Hiroko mengapa orang Melayu kuat berpegang kepada adat yang menyusahkan. Dr dalam jawapannya yang mengkagumkan saya berkata, "saya tak nampak orang Melayu kuat berpegang dengan tradisi, yang saya nampak mereka hari ini kuat berpegang kepada modenisme".

Persoalan sebegini biasanya datang dari individu-individu yang dipengaruhi sentimen Barat yang datang dahulu membawa pemikiran bahawa apa sahaja yang bertentangan dengan konsep modenisme mereka sebagai mundur dan terkebelakang antaranya elemen adat Melayu dan Islam. Kita sebagai peribumi sedikit sebanyak terjebak apologetik dengan sub-altern sedemikian. Puncanya adalah kejahilan dan sikap inferioriti kompleks yang tinggi.

Mereka yang membawa premis ini sebenarnya dipengaruhi bahasa pemikiran era kolonial. Pola pemikiran penjajah neo-kolonialisme sebegini kini memarak kembali setahun dua ini misalnya melalui pelbagai nistaan yang menjengkelkan yang kita dapati daripada netizen-netizen di laman Malaysiakini mahupun Free Malaysia Today. Misalnya mereka tak habis-habis membandingkan Singapura dan Pulau Pinang bak sebuah utopia terulung ala Atlantis manakala Kelantan sebagai backwater yang dihuni masyarakat 'Malay savage' dan 'corrupt clerics' meminjam memori Reformasi Eropah yang sememangnya diluar konteks masyarakat Melayu-Islam kita di rantau ini.

Kata dr. lagi, "Orang Malaysia saya selalu dengar mahu pergi ke Jepun, kononnya sebuah negara maju, rakyatnya happy sedangkan mereka orang Jepun sendiri sudah mula mempersoalkan halatuju moden mereka, sains dan teknologi ternyata gagal memberi kebahagian."

Mereka mencari semula tradisi dan kita orang Melayu Islam mahu membuang apa yang masih tersisa sedikit ini kerana terpengaruh dengan kayu ukur kemajuan dan kebahagiaan modenisme yang gagal. Apa yang diwarisi sebagai adat itu dianggap menyusahkan sedangkan kita sendiri tidak pernah mengamalkannya untuk layak memberi justifikasi sedemikian. Berapa susah sebenarnya kesusahan yang dikatakan susah itu?


Kegagalan Barat perlu dipelajari dan apabila datang zaman dan ejen-ejen pasca-moden seperti kelompok liberal demokrat, feminis, LGBT, anti-autoriti dan persamaan hak asasi manusia dasawarsa ini maka kita ada sentimen yang kuat untuk menolak agenda terbaharu untuk menjadikan kita sebagai bahan ujikaji makmal ideologi mereka. Berpadalah sudah dengan modenisme, kita orang Alam Melayu dan Islam ada pengalaman dan kearifan tempatan kita sendiri.

No comments: