Tuesday, July 14, 2015

Isu Lowyat: Apabila Anak Muda Menuntut Hak



Apapun yang berlaku di Lowyat atau kejadian yang serupa di mana-mana kawasan di muka bumi ini maka prinsip Islam tetap sama, iaitu :

1. Berlaku adil, baik kepada musuh atau rakan

Allah SWT berfriman di dalam al-Quran ;

“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu adalah lebih dekat kepada takwa.”

(al-Maaidah: 8)

Maksudnya.. jangan menghukum secara melulu. Teliti, laksanakan keadilan dan hak kepada semua pihak. Hak orang yang dituduh untuk membela diri, hak orang yang menuduh untuk mengemukakan bukti, hak orang ramai untuk mengetahui kebenaran dan cerita sebenar.

2. Berhati-hati dengan menjaga had dan tidak melampaui batas dalam membela atau menuntut hak serta mengelak dari terjerumus ke dalam fitnah

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ;

Sesungguhnya orang yang paling bahagia ialah mereka yang dijauhkan daripada fitnah. “

(HR Abu Daud)

Pintu fitnah sangat banyak, kadang-kadang api yang besar bermula daripada perselisihan yang kecil. Jika dapat menuntut hak tanpa perlu mencetuskan perbalahan maka itu adalah lebih baik.

3. Membantu pihak yang tertindas dan melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar

Sekiranya pihak berkuasa dapat melaksanakan kewajipan membela hak orang-orang yang tertindas dan melindungi golongan yang lemah maka hendaklah kes atau kejadian yang berlaku diserahkan kepada ulil amri atau pemerintah untuk melaksanakan tugas mereka, jika tidak (contohnya akibat pemerintah makan rasuah dari tokey kongsi gelap atau kerana pemerintah tidak boleh dipercayai) maka setiap Muslim wajib bekerjasama dan menolong saudara-saudara mereka yang tertindas.

Ianya ialah satu fardhu kifayah.

Allah Azza wa Jalla berfirman:

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya."

 (al-Maaidah:2)

Semoga Allah memelihara umat Islam, menyatukan persaudaraan sesama Muslim, memberikan hak dan perlindungan kepada golongan yang tertindas serta membalas dan menghukum golongan yang zalim lagi suka menindas!

Nota Siku


Melayu menjadi mulia dengan iman dan Islam. Rujuklah sejarah.. betapa bangsa ini dulunya pernah menguasai Nusantara, iaitu ketika mana mereka berpegang teguh dengan Islam.

Melayu dikenali sebagai bangsa beradab dan penuh sopan santun. Kesantunan akhlaq itu bukanlah tabiat yang lahir secara semulajadi, tetapi kerana dada dan hati mereka sarat dengan iman.

Apabila iman semakin menipis, mencari dunia dan kedudukan jadi keutamaan.. ALLAH ambil kembali kemegahan tadi. Kerajaan Islam Melayu Melaka tumbang kepada kuasa asing. Setelah 350 tahun dijajah, Melayu ditinggalkan dengan faham sekular yang meminggirkan agama.

Sejak itu Melayu makin parah. Sopan santunnya semakin hilang dibadai ombak nafsu dunia yang menggila. Dari pemimpin atasan hingga rakyat bawahan, dijangkiti penyakit walhan dan hubbud dunya.

Pemimpin tenggelam dalam kekayaan dan kemewahan, manakala rakyat dari sudut ekonomi..ada yang hanyut dalam kemiskinan dan kemelaratan. Rakyat terutama anak mudanya dibius dengan budaya hedonisme yang mengagungkan kepuasan nafsu remaja.

Ukhuwwah dirungkai oleh budaya hidup nafsu nafsi. Aqidah mereka tenggelam dalam kepercayaan khurafat dan tahayyul. Berpecah pecah, diserak serakkan pegangan politik.. yang majoritinya menjauhkan mereka dari Islam dan Iman.

Bangsa Melayu hilang identiti. Apabila pagar iman tiada.. manusia Melayu hilang daya tahan melawan arus globalisasi. Tenggelam dan terpinga pinga, hilang punca tanpa tahu membeza antara modenisasi dan westernisasi. Tidak mampu memisahkan antara fantasi dan realiti, antara kebebasan hak asasi dengan liberalisasi.

Ini semua adalah berpunca dari keringnya sumur iman kerana digantikan dengan fahaman atau ideologi yang memisahkan Melayu dari Islam. Proses indoktrinasi ini diterap masuk melalui sistem pendidikan sekular yang memisahkan ilmu dari iman.

Dalam bahasa mudahnya ialah.. meniadakan ALLAH atau meminimakan sebutan nama ALLAH dari dalam buku buku teks yang diajar. Kecuali hanya beberapa minit di dalam mata pelajaran agama dari keseluruhan pembelajaran.




p/s: Kekuatan Melayu bukan diukur dengan ramainya manusia di medan Lowyat....Tetapi kekuatan Melayu diukur...pabila ramainya orang  Melayu yang beragama Islam solat secara berjemaah di setiap masjid.... Hati-hati orang Mukmin akan bersatu dengan sendirinya.. Jika kita perkemaskan Islam hanya dengan bangsa.... Islam itu tidak akn nmpk apa-apa...tapi jika kekuatan bangsa itu hqnya dengan Islam... Bangsa itu akqn nmpk hebat dan gah di mata dunia...sebagaimana bangsa Arab dimuliakan selepas turunnya al-Quran, dan mereka amalkannya... Tidak guna melaung semangat Melayu tetapi diri masih dengann sifat assobiyah yang melampau... Kita saying akan bangsa kita...Namun kita harus lebih sayang agama kita...bangsa akan dihormati jika agama yang kita anuti kita amalkan sepenuh hati...~

Senyum..=)

Sunday, July 12, 2015

Tentang ‪#‎sayaZAHRA..~





Boleh sahaja masing buat interpretasi tentang klip video tersebut yang asalnya lebih panjang dan lebih 'nampak' permasalahan sebenarnya.

Sama ada mahu melihatnya dari sudut mikro: zahra malas, poyo, urus wang tak betul, pergi makan gaji buat apa, zahra berani, orang di luar sana seperti zahra.

Ataupun dilihat secara makro: zahra adalah mangsa kepada implementasi polisi yang entah apa-apa, miskin bandar adalah isu serius yang perlu tindakan segera, jurang perbezaan intra dan inter etnik adalah suatu yang perlu diambil perhatian mengatasinya, polisi-polisi untuk bumi perlu ada penilaian keberkesanannya dan bukan semata-mata maklumkan berapa juta gran dan pinjaman serta latihan yang ditawarkan, sokongan usahawan-usahawan berjaya untuk melatih mentee-mentee usahawan muda atau yang berminda macam 'zahra'.

Pada saya, kewajaran yang lebih utama diperdebatkan adalah sudut makro bagi gimik yang dilakukan. Bagaimana implementasi polisi amat mempengaruhi cara rakyat bertindak. 

Apapun secara peribadi saya melihat sendiri kecenderungan orang kita bercakap dan beri pendapat tidak cermat, tidak ada ilmu tentangnya, hentam semberono dan berdasarkan spekulasi-spekulasi yang amat menggelikan hati.


Senyum..=)



Disclaimer: Dipetik daripada tulisan salah seorang kenalan 'Intuisiku'..~

Friday, July 10, 2015

Puasa: Bukan Sekadar Menahan Lapar dan Dahaga..~




Di bulan Ramadhan yang mulia ini, berusahalah untuk BERHENTI bercerita peribadi atau urusan ORANG LAIN. Termasuklah dari komen-komen di media sosial ini. Komen di berita-berita akhbar yang menyentuh urusan orang lain yang tiada kena- mengena dengan kita. JANGAN sampai puasa itu hanya lapar dahaga tetapi Allah swt tidak mengendahkannya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata buruk, dan perbuatan buruk, maka tiadalah bagi Allah hajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu)"
( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Al-`Arabi dan al-Qaradawi masing-masing mengulas bahawa pahala puasa akan hancur dengar kesalahan-kesalahan ini, puasa tidak batal tapi pahalanya batal, hingga jadilah puasanya kosong, lagi gagal menghasilkan taqwa yang menjadi sasaran.
Umar ibn Al-Khattab berkata :

"Puasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga dari bercakap bohong, tipu dan cakap kosong"

‘Intusiku’ cukup kagum dan hormat dengan individu yang tetap setia memenangkan Islam. Hidupnya diwakafkan untuk Islam. Intipati perbualannya bukan berkisar tentang kereta, gaji, pangkat, gosip. Tetapi bagaimana untuk memenangkan Islam. Walaupun mungkin usahanya tidak dilihat orang, walaupun usahanya tidak menjadi viral, walaupun usahanya tidak dicanang di mana-mana. Namun mereka terus bekerja, dan bekerja.


Boleh jadi individu yang setup microphone untuk ustaz berceramah mungkin sahaja lebih ikhlas daripada ustaz itu sendiri walaupun dia tidak dikenali, tidak dicetak gambarnya di banner.

Mudah mudahan, kita semua terus bekerja untuk meninggikan kalimah tauhid di atas muka bumi ini.

Insya-Allah.. =)



p/s:  Baca al-Kahfi pada hari jumaat.. katanya mahu terhindar daripada fitnah Dajjal..Tapi ironinya..Selepas baca surah tersebut, diri berterusan bergelumang dengan perkara maksiat, mazmumah dan fitnah.. 

Acano tu? ;)

Wednesday, July 08, 2015

Catatan Si Pemburu Al-Qadr.. ~


Agak terlewat hari ini ke Masjid untuk bersama i'tikaf dan qiamullail bersama jemaah masjid..

Kelihatan mak cik tua lengkap berpakaian solat sedang berjalan juga menghampiri masjid sambil ditangannya kain sejadah..

Setibanya di sana kelihatan sudah ada seorang tua bersama kerusinya duduk mendirikan malamnya dengan solat..


Di hujung masjid telah diisi "pemuda" berjanggut putih dan berkedut..


Terasa malunya diri..pada saat sang tua telah memenuhi masjid..tanpa.mengira malam ganjil mahupun tidak..

Sang pemuda masih terbujur kaku di katil..

Kepenatan mungkin..

Dengan tugasan assignment..

Penat menyepak bola futsal..

Penat mungkin stay up berbual kosong bersama teman..

Penat mungkin menahan mata melihat cahaya smartphone sebelum tidur..

Maka pak cik yang mengambil tempat untuk mendirikan malamnya walaupun hakikatnya duduk di atas kerusi bersebelahan dinding dan tiang..

Wahai Pemuda..

Untuk Kali ini sahaja...

Untuk 10 terakhir ini sahaja..

Kosongkan malammu dari urusan dunia dan lalai..

Bersamalah menghidup malam malam terakhir ini..

Agar Eid Fitri itu lebih bermakna..

Dengan kembalinya kita pada FITRAH YANG BERSIH..



Yang Benar :

Pemburu Al-Qadr



Idea Asal: #AkhiTrollTarbawi

Friday, June 26, 2015

Muhasabah Awal Ramadhan



Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk bermuhasabah, dalam keadaan perut kita lapar, dahaga dan terhalang dari sedikit nikmat dunia moga-moga hati kita menjadi celik dan nampak apa yang tak kenanya dengan hidup kita. 

Cari apa yang tidak kena dengan ibadah kita ?


Tiap waktu cuba tambah ilmu dan berusaha memperbaiki ibadah kita. Apa yang masih kurang, tambahkan dan yang tidak betul, perbetulkan. 

Contoh ; Kenapa kita ghairah ke masjid untuk solat SUNAT terawih tetapi tidak ghairah ke masjid untuk soat FARDHU lima waktu? Kenapa kita sanggup beli kurma walaupun ada yang dikenakan GST sebab nak ikut sunnah tetapi tidak pula sanggup duduk makan berjamaah atau menjamu orang susah sedangkan itu adalah lebih sunnah. 

Diriwayatkan bahawa ;

كان ابن عمر رضي لله عنهما يصوم، ولا يفطر إلاَّ مع المساكين

Adapun Ibn Umar RA apabila bepuasa maka beliau tidaklah berbuka puasa kecuali dengan bersama-sama orang miskin. [Lathaif Al-Ma'arif, Ibn Rajab]

Juga diriwayatkan daripada salaf bahawa tidak ada seorang pun yang berpuasa di masjid nabi pada zaman mereka akan memakan makanannya seorang diri kecuali akan berkongsi dengan orang lain atau dicarinya orang untuk makan dengannya. 

Cari apa yang tidak kena dengan sikap kita ?


Kadang-kadang ibadah kita sudah bagus namun sikap dan cara berfikir kita pula banyak yang perlu diubah. 

Contohnya, kebersihan ialah sunnah tetapi berapa ramai yang membuang najis di tandas masjid tetapi tidak 'flush' ? Ada hadith meriwayatkan bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda:

“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Baginda menjawab : “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka”. [Riwayat Muslim]

Ia juga boleh membawa maksud haram dan berdosa menggotorkan tempat awam, menyusahkan orang dan sikap mementingkan diri sendiri. Kita juga suka bersedekah ke masjid, sedang masjid banyak yang sudah kaya-raya namun kita kurang bersedekah kepada sanak-saudara, jiran-tetangga, pelajar yang kesusahan, anak muda yang mahu bernikah dan mereka yang dalam kesusahan. Itu belum mereka yang tiap tahun membuat umrah sedangkan jiran sebelah rumahnya kelaparan dan ada adik-beradiknya yang tidak cukup makan!

Cari apa yang tidak kena dengan keluarga, masyarakat dan sekeliling kita?


Tiap kali Ramadhan, masjid cukup suka buat kuliah dan tazkirah utk orang ramai tetapi jarang yang mahu buat khidmat kepada masyarakat. Ziarahi jiran dan tetangga masjid dan jemaah yang sakit, melawat non-muslim dan ajak mereka menziarahi masjid, menyantuni kanak-kanak, sediakan tempat bermain untuk kanak-kanak atau ada yang menjaganya agar ibubapa senang solat, menyediakan sahur dan berbuka kepada orang susah dan mencari jalan bagaimana berkhidmat kepada umat dan menyebarkan dakwah Islam. Sebaliknya yang disibukkan buat ialah tahlil kepada orang mati, sedekah pahala yang tidak pasti dan buat makan-makan serta takirah atau ceramah yang kurang berkualiti. 

Itu belum bab politik apabila masing-masing menggunakan nass dan dalil agama untuk menghentam lawan masing-masing, berpecah sesama Muslim dan saling mencerca dan menghina pihak yang berbeza pendapat. 

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a, bahawasanya Rasulullah Salallahualaihiwassalam bersabda,

 لا تباغضوا ولا تقاطعوا ولا تحاسدوا ولا تدابروا وكونوا عباد الله إخوانا

"Janganlah kalian saling membenci, saling berdengki, dan saling bermusuhan. Jadilah kalian hamba Allah yang besaudara. [HR al-Bukhari] 

Manakala anak-anak muda pula jauh daripada sentuhan Iman dan agama, tertutup daripada mendapat hikmah tarbiyyah dan didikan orang tua sehingga merayau-rayau mencari arah tujuan dan haluan diri. Sedang kata sebahagian salaf terdahulu;

إن من نعمة الله على الشاب إذا تنسك أن يواخي صاحب سنة يحمله عليها

Di antara nikmat Allah ke atas para pemuda jika dia beragama ialah apabila dia dipersaudarakan (oleh Allah) dengan orang yang mengamalkan sunnah yang membawanya (membimbingnya) kepada al-sunnah.

Isu Gymnastik, Kun Anta, gejala selfie, dubmash, buat video gedik di youtube, Macam cantek jer, tutorial pakai kain pelikat, buli kawan di sekolah, gila artis Korea, khayal dengan novel suamiku encik ketam, gadis bertudung main gitar jadi penyanyi, purdah bermaskara dan gedik, 3gp video lucah, Gangnam style, Sakitnya Tuh disini, salafi vs sufi, anti hadith, anti-tesis, sosialis, liberal, syiah, candy crush dan bermacam lagi....

Kata Syeikh Sulaymaan al-'Alwaan, pakar hadith daripada Arab Saudi.

التوحيد إذا لم يمارسه المسلمون عملياً في حياتهم لم تثمر كلماتهم ولا كتاباتهم ولا تصوراتهم ولم يحصل لهم التمكين

"Tauhid apabila tidak dilatih dan diamalkan oleh kaum muslimin dalam hidup mereka maka ianya tidak akan membuahkan hasil pada ucapan, penulisan dan pandangan mereka dan mereka tidak akan mencapai kekuatan."

Banyak lagi yang perlu kita muhasabah..~

Idea Asal: Ustaz Emran Ahmad



p/s: jika kita boleh jadi 'baik' pada bulan Ramadhan, takkanlah tidak boleh pada bulan-bulan selainnya.. ^_^v